Ekonomi - Pemulihan satu ilusi?

HARAPAN untuk menyaksikan pemulihan ekonomi dunia yang pesat sempena bermulanya Tahun Harimau mungkin tergugat berikutan penemuan daripada salah satu kaji selidik peringkat terbesar yang dilakukan di kalangan akauntan seluruh dunia.

Walaupun kajian Global Economic Conditions Survey yang dijalankan pada suku keempat oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) telah menunjukkan bukti kukuh yang keadaan ekonomi semakin pulih, tetapi tinjauan kali ini telah menarik minat seramai 1,700 orang responden dan ahli-ahli ACCA (akauntan bertauliah) dari 99 buah negara untuk mambayangkan bahawa pemulihan sepenuhnya mungkin mengambil masa yang lebih lama dari yang dijangkakan.

Buat pertama kalinya sejak kajian yang dilakukan oleh ACCA ini dijalankan, ahli-ahlinya melaporkan bukan sahaja terdapat peningkatan keyakinan, dengan lebih separuh (46 peratus) daripada responden percaya situasi ekonomi akan semakin pulih atau sudah pulih, tetapi juga terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa permintaan, serta akses kewangan dan aliran tunai turut bertambah baik. Kaji selidik tersebut juga menunjukkan negara-negara di benua Asia dan Afrika berada dalam landasan yang betul ke arah pemulihan, yang mana para akauntan di benua ini melaporkan keyakinan yang tinggi dan pendapatan yang meningkat, sementara benua Eropah dan Amerika masih cuba mengimbangi pertumbuhan ekonomi mereka.

Bagaimanapun, kadar pemulihan ekonomi global secara hakikatnya adalah semakin perlahan walaupun dengan segala berita baik yang dinyatakan tadi.

Ahli-ahli ACCA di rantau Asia-Pasifik, yang secara konsisten mendahului jalan keluar daripada kemerosotan ekonomi, telah menjadi semakin pesimis sejak suku terakhir, kerana mereka mula mempersoalkan tentang keupayaan ahli ekonomi di Barat untuk terus mengikut rentak ekonomi yang lebih dinamik yang dipraktikkan oleh mereka.

Sementara itu, sebilangan besar pakar kewangan dari seluruh rantau menjangkakan sasaran pertumbuhan yang lemah, yang mana 11 peratus responden mengatakan kejatuhan ekonomi mungkin akan berlanjutan selama tiga tahun lagi atau lebih.

Menurut kajian terbaru ACCA ini, aktiviti pelaburan masih lagi tidak begitu menggalakkan di serata benua dan sektor, walaupun bukti kegagalan pasaran di dalam pembiayaan pelaburan menjadi semakin kurang nyata.

Pengarah Polisi dan Kajian Teknikal, ACCA Dr. Steve Priddy berkata: "Kaji selidik ACCA pada suku keempat ini merupakan yang pertama menunjukkan bukti kukuh bagi pemulihan ekonomi. Walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah profesional kewangan yang bersedia mengakui bahawa kemelesetan ekonomi sudah berakhir, tetapi kebimbangan masih wujud terhadap perkembangan pada tahun yang akan datang. Kebanyakan ahli ACCA menganggap pemulihan ini mungkin hanya suatu ilusi - iaitu ia mungkin boleh dilihat dari suatu sudut, namun ia masih tidak berganjak walau sebanyak mana pun usaha dibuat oleh organisasi mereka ataupun ekonomi domestik yang seakan berkembang."

"Secara keseluruhan, ACCA menjangkakan sekurang-kurang terdapat satu tahun lagi bagi situasi ekonomi yang mencabar, tapi dalam masa yang sama pandangan pesimis dari kaji selidik ini juga berasas (ada benarnya)", kata Steve Priddy.

Gambaran di Asia-Pasifik dan Malaysia: Kesedaran optimis melenyapkan kebimbangan tentang inflasi, kewangan kerajaan.

Pada tahun lepas, rantau Asia-Pasifik telah bangkit kembali dari kejatuhan ekonomi yang berlaku pada penghujung tahun 2008, walaupun pada ketika itu perdagangan dunia menjadi lembap dan hampir terhenti, dan rantau ini mendahului dalam pemulihan ekonomi global. Kaji selidik oleh ACCA turut mencadangkan jika pihak Barat terus gagal bersaing seiringan, ini akan memberi impak negatif terhadap dinamik ekonomi Timur Jauh menjelang tahun tahun 2010

Majoriti akauntan di kawasan Asia Pasifik percaya bahawa kesan terburuk kemerosotan ekonomi telah berakhir seawal musim panas tahun 2009 - sekurang-kurangnya tiga suku lebih awal dari kebanyakan negara Barat. Pada bulan November, 60 peratus daripada 441 responden dari sepuluh negara di rantau Asia Pasifik (berbanding 52 peratus secara global) yakin bahawa pemulihan ekonomi global akan berlaku dalam jangka masa satu tahun atau kurang.

Para akauntan di rantau tersebut mengiktiraf usaha Amerika Syarikat dalam penambahbaikan ekonomi: dan lebih separuh responden (57 peratus) percaya kerajaan mereka telah bertindak secara baik atau sangat baik terhadap kejatuhan ekonomi, berbanding hanya 24 peratus secara global. Tetapi, kebanyakan pihak kerajaan di rantau ini mempunyai kelebihan daripada rantau lain: iaitu beban hutang yang rendah yang membolehkan mereka memberi rangsangan ekonomi yang tegas dan berterusan.

Di Malaysia, bekalan kewangan adalah masih ketat; tekanan terhadap aliran tunai juga lebih nyata di sini berbanding negara lain di rantau Asia Pasifik dan anggaran pertumbuhan pendapatan baru sahaja memasuki angka positif. Terdapat juga persepsi terhadap usaha kerajaan yang dikatakan mungkin tidak memberi kesan walaupun terdapat banyak sokongan dan galakan kerajaan bagi pelaburan baru.

Sesetengah perbezaan ini mungkin boleh dijelaskan oleh situasi fiskal Malaysia yang lebih ketat: 40 peratus dari responden di sini mengharapkan kerajaan (di mana campur tangan kerajaan dianggap kurang popular di kalangan akauntan Malaysia berbanding dengan kerajaan lain di rantau ini) untuk mengurangkan perbelanjaan mengikut keadaan semasa ekonomi. Selebihnya adalah disebabkan oleh krisis kredit yang menyebabkan aliran modal di seluruh negara terganggu - hasil dari kadar mata wang asing yang tidak menentu, dilaporkan 30 peratus dari responden menunjukkan kebimbangan bagi diri mereka dan juga klien-klien mereka. Majoriti daripada 116 responden (52 peratus) dari Malaysia mengharapkan ekonomi global akan pulih dalam masa 12 bulan akan datang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: