Pasar roda tiga untuk usahawan tani


URUSAN mengutip hasil pertanian di kawasan kampung dan terpencil akan menjadi lebih mudah menggunakan motosikal roda tiga.

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sememangnya tidak pernah kekeringan idea untuk tampil dengan pelbagai inisiatif membantu petani dan peladang di negara ini memasarkan produk pertanian mereka.

Bermula dengan pengenalan program Pasar Tani 25 tahun lalu, ia kini terus menjadi medan pertemuan di antara pengeluar dan pengguna yang mendapat sambutan cukup hangat.

Hari ini, pasar tani telah berkembang sebagai sebuah institusi pemasaran yang berjaya dan banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.Menerusinya, hasil-hasil pertanian tempatan telah dapat diedar serta dipasarkan dengan skala yang besar ke seluruh negara.November tahun lalu pula, FAMA telah memperkenalkan konsep baru bagi pemasaran produk pertanian melalui Karavan Pasar Tani.Tujuannya adalah untuk membantu para peserta Pasar Tani memasarkan barangan mereka secara bergerak kepada pengguna.

Tidak cukup dengan itu, FAMA turut menjalankan kerjasama dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk membangunkan projek ladang kontrak di negeri Selangor.Projek yang melibatkan Jabatan Pertanian dan juga Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu bertujuan untuk meningkatkan keperluan makanan negara.Setakat ini, terdapat seramai 322 peserta ladang kontrak di negeri Selangor dengan kawasan tanaman seluas 949.86 hektar.Sedikit demi sedikit pelaksanaan usaha FAMA ini menawarkan perkhidmatan pasaran yang lebih mudah dan selesa kepada para pengeluar.Terbaru, FAMA telah memperkenalkan konsep peraih produk pertanian menerusi Program Pembangunan Usahawan Peraih Motosikal Roda Tiga.

Peraih tersebut mempunyai peranan membeli hasil pertanian yang diusahakan oleh orang-orang kampung untuk dipasarkan ke pusat-pusat jualan.Konsep tersebut bersesuaian dengan kemampuan para petani kerana melaluinya, mereka tidak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk tujuan pasaran.Selain menawarkan harga yang berpatutan, konsep tersebut juga dilihat mampu menampilkan imej yang kemas dan seragam di seluruh negara.Menurut Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin, program tersebut diperkenalkan berikutan masalah lebihan hasil pertanian di kawasan luar bandar.

''Dengan cara ini hasil pertanian orang kampung dapat akan mendapat pasaran walaupun dikeluarkan dalam kuantiti yang kecil.''Apabila orang kampung mengetahui produk yang dihasilkan mempunyai pasaran, mereka akan lebih bersemangat untuk bercucuk tanam.''Ia secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah kemiskinan dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan pendapatan,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Program FAMA Daerah Kuala Langat di Kompleks Pengumpulan Ladang (KPL), Kampung Kanchung Tengah, Banting, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.Peraih yang telah dilantik akan memasuki daerah-daerah kampung bagi membeli hasil pertanian secara tunai.

Dari segi harga, peraih akan membeli kesemua produk pertanian itu mengikut harga ladang seperti yang telah ditetapkan oleh pihak FAMA.Ia secara tidak langsung akan memberi jaminan harga hasil tanaman tidak akan mengalami penurunan walaupun harga pasarannya jatuh menjunam.Harganya juga akan ditentukan mengikut kualiti produk berdasarkan piawaian sistem penggredan.Bagi menjayakan objektif program itu, FAMA telah mengenalpasti beberapa usahawan untuk diberi kemudahan motosikal roda tiga secara jual beli.Untuk peringkat awal, seramai 10 peserta dari sekitar Tanjung Karang, Kuala Selangor, Banting, Kelang dan Sabak Bernam telah dipilih memulakan perniagaan tersebut.''Buat permulaan, kita lancarkan program ini di Selangor dahulu dan ia akan diperkembangkan ke seluruh Malaysia dari semasa ke semasa.

''Kita menyasarkan pengedaran sebanyak 1,000 unit motosikal roda tiga menjelang akhir tahun 2010,'' katanya.Pemilihan usahawan motosikal roda tiga yang bertindak sebagai peraih ini ditentukan mengikut pengalaman, minat dan pengetahuan produk pertanian mereka.Di samping itu, Pengerusi Majlis Pertanian di setiap daerah juga akan bertindak mengenalpasti usahawan yang berpotensi menjadi peraih.Bagi memudahkan para peraih menjual semula produk yang telah dikumpul, pihak FAMA turut mewujudkan rangkaian Agrobazaar Kedai Rakyat dan juga gerai Buah-Buahan Segar (GBBS).Jadi setiap peraih boleh menjual produk-produk mereka secara terus kepada kedai-kedai ini.

Konsep Agrobazaar dan GBBS sebenarnya berasal daripada perniagaan milik usahawan yang menjalankan perniagaan menjual keperluan harian di sesebuah kampung.''FAMA akan bantu pemilik-pemilik kedai runcit sedia ada ini untuk menaik taraf premis mereka menjadi kedai rakyat.

''Untuk memastikan ia kelihatan kemas dan menarik, FAMA akan menyediakan pelbagai kemudahan seperti kelengkapan, rak jualan, papan tanda selain memberi bantuan bekalan barang kawalan seperti beras, minyak, tepung dan gula,'' katanya.Menurut salah seorang usahawan yang menerima motosikal roda tiga, Jumali Misman, 56, pengenalan konsep tersebut akan memudahkan kerja-kerja mengumpulkan hasil pertanian.''Dengan adanya motosikal ini, saya boleh mengambil hasil pertanian di sekitar kawasan kampung untuk dibawa ke kedai rakyat berdekatan.''Saya juga merupakan seorang peniaga di Pasar Tani. Jadi secara tidak langsung, saya boleh bantu memasarkan barang-barang pertanian ini terus kepada pengguna,'' katanya yang telah 30 tahun terlibat dalam aktiviti perniagaan Pasar Tani.

Seorang lagi penerima, Ramdzan Sajat, 41, berkata, beliau amat bersyukur kerana menerima bantuan tersebut.''Perjanjian jual beli seperti ini amat mudah dan tidak membebankan peraih seperti saya.''Memandangkan saya telah menjadi peraih sejak 10 tahun lalu, jadi menerusi bantuan ini, ia akan menyenangkan kerja saya,'' jelasnya yang turut mempunyai ladang sayur-sayuran sendiri.Para peraih ini juga sudah dimaklumkan dengan cara penggredan dan cara menentukan harga mengikut kualiti produk.Menerusi inisiatif seperti itu, adalah diharapkan ia dapat mengurangkan import makanan daripada luar negara sekali gus dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih mampan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Akhlak dalam pemasaran

PEMASARAN adalah antara aspek penting dalam sesebuah institusi perniagaan. Institusi-institusi ini bukan sahaja perlu menitikberatkan persoalan pengeluaran produk yang berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan. Namun mereka juga perlu proaktif membina rangkaian perniagaan melalui pemasaran produk yang berkesan.

Pihak pengurusan sebuah syarikat perniagaan perlu melihat persoalan ini secara bersungguh-sungguh. Disebabkan kurangnya penekanan kepada aspek pemasaran, maka produk yang diperkenalkan tidak berjaya sampai kepada masyarakat.

Institusi kewangan Islam perlu lebih inovatif untuk mengeluarkan produk-produk yang dapat memenuhi keperluan ummah dan menjamin kemaslahatan mereka. Bukan hanya untuk memenuhi dan mengejar sasaran tahunan semata-mata. Memiliki produk yang berkualiti tidak cukup jika tidak digandingkan dengan kaedah dan strategi pemasaran yang baik.

Institusi kewangan Islam adalah antara entiti penting yang terlibat dalam jihad membangunkan sistem ekonomi Islam. Sebagaimana maklum, dasar dan pembawaan operasi institusi-institusi ini perlu mengambil kira persoalan dosa dan pahala. Hukum-hakam Allah SWT tidak boleh dikesampingkan demi mencapai keuntungan yang disasarkan.

Islam tidak pernah menghalang kita untuk mendapatkan keuntungan, namun biarlah keuntungan tersebut diperolehi dalam ruang lingkup batasan-batasan yang telah digariskan oleh al-Quran, hadis, ijmak dan qias.

Semua individu yang bekerja di institusi-institusi kewangan Islam memikul tanggungjawab yang besar untuk memperkenalkan dan menyebarkan sistem kewangan Islam kepada seluruh lapisan masyarakat.

Semua warga kerja institusi kewangan Islam, dari perspektif Islam, mereka adalah daie (pendakwah) yang menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Mereka merupakan kelompok yang secara langsung atau tidak langsung yang mula-mula berinteraksi dengan pelanggan.

Pelanggan pula merupakan mad'u (orang yang diseru) dalam memasarkan produk yang berteraskan sistem muamalah Islam.

Sebenarnya, individu-individu yang berada di industri kewangan Islam khususnya yang terlibat dalam aktiviti promosi dan pemasaran produk-produk perlu bangga dengan kerjaya tersebut.

Mereka mempunyai peluang untuk bertindak sebagai pendakwah sekali gus sebagai penyelamat manusia daripada bergelumang dengan dosa-dosa riba, judi dan lain-lain.

Oleh yang demikian, niat yang betul perlu dipasakkan ke dalam hati mereka agar semua tugas yang dijalankan mempunyai nilai di sisi Allah SWT.

Oleh sebab itu, maka institusi-institusi kewangan Islam perlu menyediakan kursus-kursus latihan untuk individu-individu ini kerana mereka berada di barisan hadapan untuk bertemu pelanggan.

Pihak syarikat perlu melahirkan tenaga pemasaran yang mempunyai kefahaman dan keyakinan dengan sistem kewangan Islam di samping memiliki akhlak sebagai seorang 'pendakwah'.

Dalam mengendalikan proses pemasaran produk, pihak institusi kewangan Islam perlu memastikan semua konsep, mekanisme, bahan-bahan dan aktiviti pemasaran hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip Syariah.

Ini untuk memastikan imej institusi kewangan Islam terjaga di mata masyarakat. Antara aspek penting dalam aktiviti pemasaran yang perlu diberi perhatian ialah berkaitan produk.

Mematuhi syariah

Produk yang ingin dipasarkan mestilah mematuhi syariah. Pengeluaran produk-produk perlu melalui kelulusan Jawatankuasa Syariah yang dilantik oleh institusi kewangan berkenaan.

Ini selaras dengan peruntukan pembentukan Jawatankuasa Syariah sebagaimana termaktub dalam Seksyen 5(b) Akta Takaful 1984. Sebagaimana yang telah dijelaskan, produk berkenaan juga hendaklah mengambil kira keperluan semasa serta menjamin kemaslahatan ummah.

Ini kerana, mungkin ada produk-produk yang telah mengikut lunas-lunas akad muamalah, namun tidak sesuai untuk kebaikan syarikat dan masyarakat. Maka tentunya ia tidak wajar dikeluarkan.

Semasa urusniaga di antara pihak syarikat dan pelanggan mestilah berlaku dengan memelihara rukun-rukun dan syarat-syarat kontrak yang digunapakai. Sebagai contoh, sekiranya menggunakan kontrak jualan (bai'), maka rukun-rukun seperti penjual, pembeli, barang dan sighah perlu dicermati agar kontrak tersebut sah dan tidak batal.

Produk atau barang yang hendak dijual mestilah jelas, wujud dan mampu diserahkan kepada pelanggan mengikut masa dan harga yang dipersetujui bersama. Sekiranya gagal dipatuhi, maka kontrak tersebut adalah haram kerana mengandungi unsur gharar (keraguan).

Ia jelas dilarang berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a.: Rasulullah SAW telah melarang daripada terjerumus dalam perniagaan lontaran dan perniagaan yang tidak pasti. (riwayat Muslim)

Elemen yang penting juga dalam pemasaran adalah harga. Penentuan harga produk mestilah dibuat secara adil dan mengikut pasaran semasa. Tidak wajar pihak syarikat mengenakan harga yang tinggi sehingga menyukarkan pelanggan untuk mendapatkannya.

Akhirnya, para pelanggan tidak mempunyai pilihan kecuali beralih kepada institusi yang tidak patuh syariah. Ejen-ejen pemasaran mesti menerangkan ciri-ciri produk secara jelas supaya dapat difahami oleh pelanggan.

Ini termasuklah harga produk, metod pembayaran, upah dan manfaat kepada pelanggan. Selain itu, mereka tidak boleh memberikan tekanan kepada pelanggan untuk membuat pembelian dan sekiranya perlu, para pelanggan tersebut diberikan masa untuk membuat pembelian.

Saluran atau medium adalah aspek seterusnya yang penting dalam sesuatu aktiviti pemasaran. Saluran atau medium pemasaran perlu mengikut prinsip-prinsip syariah.

Institusi kewangan Islam perlu mempunyai garis panduan syariah dalam penganjuran program pemasaran kepada pelanggan-pelanggan seperti taklimat produk, kempen promosi produk, konvensyen, seminar dan sebagainya.

Penganjuran dan perjalanan program-program tersebut perlu dipantau supaya tiada unsur yang tidak mematuhi syariah seperti hidangan minuman keras, majlis hiburan serta maksiat, percampuran lelaki dan perempuan tanpa batas dan sebagainya.

Periklanan

Seterusnya adalah pengiklanan. Iklan digunakan untuk mempromosi produk khususnya kepada masyarakat yang sukar dikunjungi. Ia adalah lebih efektif dan menjimatkan masa.

Namun, iklan yang dipaparkan melalui televisyen, radio atau akhbar perlulah menerangkan ciri-ciri sebenar produk berkenaan. Ia tidak boleh digambarkan secara berlebih-lebihan sehingga memukau dan menipu pengguna.

Sabda Nabi SAW: "Peniaga yang benar dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para Nabi, golongan orang-orang yang benar dan para Syuhada". (riwayat Tirmidzi)

Bahan-bahan percetakan yang diperlukan dalam memasarkan produk seperti brosur dan risalah perlu dipastikan tidak mengandungi bahan-bahan yang bercanggah dengan syariah seperti gambar, imej atau perkataan yang berunsurkan maksiat atau yang boleh menjejaskan reputasi syarikat sebagai institusi kewangan Islam.

Sebagaimana yang telah difahami, pelanggan adalah merupakan sebuah aset penting kepada industri perniagaan. Sebagai daie, kita perlu bertanggungjawab menjaga etika dan adab dalam berurusan dengan mereka.

Sikap amanah perlu wujud dalam diri agar pihak pelanggan meyakini dan mempercayai syarikat dan sekali gus dapat menarik minat masyarakat kepada sistem kewangan Islam.

Keadilan kepada peserta yang memberikan kepercayaan penuh terhadap kita dengan harta dan masa depan mereka akan terjejas sekiranya terdapat sikap rakus dan tidak amanah warga kerja institusi kewangan Islam. Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (al-Ahzab: 72)

Ejen-ejen pemasaran perlu mengelak mengkritik atau memburuk-burukkan pesaing. Mereka perlulah menonjolkan kelebihan-kelebihan yang ada pada produk yang ditawarkan berbanding memburukkan syarikat yang lain.

Sekiranya sikap memburukkan pihak lain ini diteruskan, maka ia akan menyebabkan berlakunya suasana yang tidak harmoni dalam industri perniagaan terbabit. Mereka juga perlu memahami dengan sebetulnya ciri-ciri produk yang ditawarkan.

Kadang-kadang terdapat pelanggan yang perlu diberikan layanan istimewa untuk mendapatkan persetujuan mereka bagi melakukan pembelian atau mendapatkan perkhidmatan syarikat.

Layanan istimewa ini sebenarnya tidak dilarang oleh Islam. Namun, mestilah memastikannya berada pada garisan yang betul mengikut kehendak syariah dan prinsip-prinsipnya.

Justeru, layanan tersebut tidak boleh sampai ke peringkat melakukan perkara-perkara haram seperti rasuah, pelacuran, minuman keras dan hiburan yang berunsurkan maksiat.

Inilah beberapa elemen yang perlu diperhalusi oleh semua mereka yang terlibat dengan institusi perniagaan yang berasaskan Islam. Kita mungkin begitu bersungguh-sungguh menggerakkan syarikat untuk mencapai tahap yang diinginkan oleh Lembaga Pengarah syarikat.

Namun, dalam banyak keadaan kita lupa untuk memenuhi tahap yang diinginkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya rezeki bukan datangnya daripada manusia, namun ia mutlak datang daripada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kekayaan jiwa. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kejayaan yang hakiki dari sudut pandangan Islam adalah apabila kita dapat meraih keuntungan dunia dengan mendapat reda Allah SWT hasil usaha yang optimum dan berdasarkan syariah Allah SWT. Hidup berkat, akhirat pasti akan selamat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

terkaya




'Raja Gula' miliki kekayaan RM42.76 bilion bertambah RM16.1 bilion tahun lalu

PENERAJU Kumpulan Kuok Brothers, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien kekal sebagai orang paling kaya di Malaysia tahun lalu dengan nilai kekayaan RM42.76 bilion, meningkat 60.52 peratus atau RM16.1 bilion daripada RM26.6 pada 2008 susulan pemulihan ekonomi global.

Beliau yang bakal melepaskan gelarannya sebagai 'Raja Gula' berikutan cadangannya menjual operasi penanaman dan pemprosesan gula dalam PPB Group Bhd kepada Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd Oktober tahun lalu, telah mengekalkan kedudukan di tempat teratas sejak 2003.


Tokoh telekomunikasi, T Ananda Krishnan pula mengekalkan kedudukan sebagai orang kedua paling kaya di negara ini dalam senarai 40 orang terkaya Malaysia hasil kajian majalah Malaysian Business, dengan kekayaan RM27 bilion, diikuti pemegang saham terbesar IOI Corporation Bhd, Tan Sri Lee Shin Cheng dengan nilai kekayaan RM11.92 bilion.

Tokoh perbankan, Tan Sri Teh Hong Piow yang juga peneraju Public Bank Bhd, di tempat keempat dengan kekayaan bernilai RM10.86 bilion, diikuti Tan Sri Lim Kok Thay, peneraju kumpulan Genting Bhd yang juga anak pengasas kumpulan itu, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dengan nilai kekayaan RM10.39 bilion.

Puan Sri Lee Kim Hua, balu pengasas kumpulan Genting kekal sebagai wanita terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan RM4.41 bilion untuk berada di senarai kelapan secara keseluruhan.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan AlBukhary, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary kekal mengungguli individu Bumiputera paling kaya untuk berada di tempat ketujuh keseluruhan dengan kekayaan RM6.01 bilion.

Beliau diikuti tokoh perbankan yang juga peneraju kumpulan Arab-Malaysian Corp, Tan Sri Azman Hashim yang berada di tempat ke-11 keseluruhan dan Ketua Eksekutif Kumpulan Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir dengan nilai kekayaan masing-masing adalah sebanyak RM2.86 bilion dan RM1.08 bilion. Dalam senarai keseluruhan Mokhzani berada di tempat ke-20.

Kaji selidik yang dibuat berasaskan nilai pegangan individu dalam syarikat tersenarai di pasaran saham itu turut menyenaraikan lima muka baru dalam senarai 40 orang terkaya itu, iaitu Lee Swee Eng dari KNM Group; Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura Group; Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings Bhd.

Secara umumnya, kaji selidik berkenaan mendapati semua 40 individu dalam senarai itu mencatat peningkatan kekayaan masing-masing tahun lalu. Jumlah kekayaan terkumpul 40 individu berkenaan setakat 15 Januari lalu ialah sebanyak RM156.7 bilion, meningkat lebih 63 peratus berbanding RM96.3 bilion pada tarikh sama tahun lalu.

Peningkatan berkenaan juga mengatasi kenaikan penanda aras, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) sebanyak 44 peratus tahun lalu berikutan pemulihan ekonomi global.

Bagaimanapun, kekayaan terkumpul berkenaan masih rendah berbanding rekod tertinggi RM171.9 bilion yang dicatat pada 2008.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Pentingnya sijil halal


INDUSTRI halal menjadi sistem ikutan bagi perniagaan Muslim dan bukan Muslim di negara ini.


SIJIL dan logo halal bukan sahaja memberi jaminan kepada masyarakat Islam bahawa sesuatu makanan atau produk itu halal mengikut syarak tetapi ia juga mempunyai implikasi besar kepada industri atau pengusaha yang mengeluarkannya.

Aspek halal menjadi satu sistem kualiti dalam dunia perniagaan hari ini termasuk di peringkat global yang dapat menarik pelanggan Muslim dan bukan Muslim.

"Halal bukan sahaja dilihat dari sudut keagamaan tetapi satu komponen penting dalam dunia perniagaan termasuk pasaran halal global. Negara bukan Islam juga mengutamakan produk halal untuk pengguna mereka kerana aspek kualiti dan keselamatan," kata Saimah Mukhtar, Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika ditemui baru-baru ini.

Pasaran produk halal yang besar kata beliau, membuatkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menjadi rakus memanipulasi perkataan halal untuk tujuan pemasaran dan keuntungan.

Sijil dan logo halal

Sepanjang 2009, Jakim menerima sebanyak 1,907 permohonan sijil halal dan jumlah yang diterima daripada Bumiputera ialah 622 dan bukan Bumiputera 1,285.

Kelulusan sijil halal yang dibuat pada 2009 pula ialah 301 Bumiputera dan 886 bukan Bumiputera.


PENYERAGAMAN logo halal begitu penting untuk mengelakkan perbuatan manipulasi.


"Yang kita tarik balik sijil halal atas alasan tertentu termasuk kebersihan hanya sekitar 10 peratus sahaja," kata Saimah sambil menegaskan Jakim menjaga kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan juga industri.

Jakim kata beliau, mendaftarkan logo dan sijil halal Malaysia dengan Perbadanan Harta Intelek.

Di samping itu, Jakim juga melantik SIRIM Berhad untuk mendaftarkan logo halal Malaysia di luar Negara. Sebelum itu sijil halal Malaysia didaftarkan di China dan Indonesia.

Jakim mengiktiraf 47 badan Islam di 23 buah negara untuk mengeluarkan sijil halal bagi produk mentah, produk siap dan rumah penyembelihan bagi tujuan pasaran di Malaysia.

Halal dan Jakim

Jakim terbabit dalam memberi pengesahan status halal kepada makanan dan barang gunaan Islam di negara ini sejak 1974.

Ketika itu, Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis), Jabatan Perdana Menteri memberikan pengesahan halal kepada beberapa produk makanan utama yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar makanan tempatan dalam bentuk surat pengesahan halal.

Bermula pada 1994, pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan halal beserta dengan logo halal atas nama Baheis (Bahagian Hal Ehwal Islam) dan dikuti pengeluaran logo halal atas nama Jakim pada 1997.

Berasaskan kepada keperluan semasa, mulai 30 September 1998, tugas pemeriksaan premis bagi tujuan halal dilaksanakan oleh sebuah syarikat yang dilantik kerajaan iaitu Syarikat Ilham Daya Sdn. Bhd. dan Jakim mengendalikan aspek lain seperti pengeluaran sijil dan tugas pemantauan.


JIKA penyeragaman dilaksanakan, nama 'JAKIM' yang tertera di atas sijil dan juga label produk akan digugurkan dan digantikan dengan 'KERAJAAN MALAYSIA'.


Bagaimanapun, pada 1 September 2002, kerajaan memutuskan untuk Jakim mengendalikan semua urusan pengesahan sijil halal termasuk tugas pengauditan.

Bagi memenuhi perkembangan pesat industri makanan halal di negara ini dan keperluan semasa umat Islam, Jakim mewujudkan sebuah bahagian baru pada 2002 yang diberi nama Bahagian Makanan dan Barangan Gunaan Islam.

Bahagian itu yang menguruskan semua kegiatan berkaitan dengan pengurusan halal termasuk pengesahan sijil halal, standard halal, pemantauan, Pengiktirafan Badan Islam Luar Negara dan sebagainya. Ia kemudian ditukar kepada Bahagian Hab Halal, dan logo halal Malaysia dikeluar dan didaftarkan.

Pada Januari 2008, pengeluaran logo halal diselaraskan bagi semua Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), yang menyaksikan hanya satu logo halal Malaysia digunakan oleh Jakim dan JAIN tanpa kod negeri.

Pada 2 April 2008, pengeluaran sijil halal kemudian diambil alih Halal Development Corporation (HDC).

Tugas ini diserahkan semula kepada Jakim pada 8 Julai 2009 dan Jakim mula mengeluarkan sijil halal pada 1 Ogos 2009.

Satu sijil

Meskipun penggunaan satu logo halal dimulakan pada Januari 2008, sijil halal masih dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Bagaimanapun, Jakim sedang mengusahakan supaya sijil halal yang dikeluarkan dapat diseragamkan.

Buat masa ini juga, setiap negeri menggunakan standard masing-masing dalam pengeluaran sijil halal.

"Dengan penyeragaman ini, nama JAKIM yang tertera di atas sijil akan digugurkan dan digantikan dengan KERAJAAN MALAYSIA.

"Jika semua negeri bersetuju menggunakan sijil halal yang seragam, ini bermakna pensijilan halal di negara ini akan menggunakan standard halal Malaysia MS15000:2009 untuk produk makanan dan MS2200:2008 untuk kosmetik," kata Saimah yang menyandang jawatan Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim sejak 17 Ogos 2009.

Pindaan akta

Penyeragaman sijil halal bagaimanapun akan hanya dapat dilaksanakan selepas pindaan dibuat ke atas Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 dan Saimah berkata, pihaknya menyasarkan pindaan akta berkenaan dilaksanakan Jun ini.

Dengan pindaan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melantik pihak berkuasa yang kompeten untuk mengeluarkan sijil halal dan dalam hal ini, pihak berkenaan ialah Jakim dan JAIN.

"Ini bermakna hanya Jakim dan JAIN boleh mengeluarkan sijil halal. Sekarang ini sesiapa sahaja boleh mengeluarkan sijil halal. Langkah ini juga untuk membendung penipuan penggunaan sijil halal palsu yang berlaku sekarang," katanya

Bendung manipulasi

Sekiranya ada negeri yang tidak bersetuju dengan penyeragaman ini, apa yang perlu dilakukan ialah dengan memasukkan klausa di bawah pindaan APD bahawa pihak berkuasa yang kompeten iaitu Jakim dan JAIN kecuali negeri 'X' (nama negeri yang tidak bersetuju).

"Jakim telah berbincang dengan pihak Peguam Negara mengenai perkara ini dan kami yakin klausa seperti ini tidak akan berlaku," katanya.

Saimah turut memberitahu, beberapa risiko yang boleh terjadi bagi negeri yang memilih untuk tidak menyertai penyeragaman sijil halal.

Menurut beliau, negeri yang tidak termasuk dalam APD sebagai competent authority dalam pengeluaran sijil halal yang seragam memang boleh mengeluarkan sijil halal di negeri masing-masing tetapi pada masa yang sama, pihak lain termasuk syarikat atau individu di negeri berkenaan boleh mengeluarkan sijil halal.

"Ini kerana JAIN di negeri tersebut tidak dinamakan sebagai competent authority apabila Akta Perihal Dagangan 1972 dipinda.

"Sekiranya sesebuah MAIN mengeluarkan arahan bahawa hanya JAIN boleh mengeluarkan sijil halal, arahan sedemikian hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

"Kalau ada syarikat bukan Islam di negeri itu mengeluarkan sijil halal, tindakan tidak boleh diambil dan kita bimbang ini akan membuka ruang untuk manipulasi.

Inilah sebabnya, Jakim bersungguh-sungguh mengusahakan penyeragaman dan usaha ini sebenarnya memperkukuh bidang kuasa negeri dalam pengurusan halal," jelas Saimah.

1Malaysia 1Halal

Sebagai usaha memberi kesedaran, khususnya kepada masyarakat Islam negara ini tentang kepentingan halal, Jakim akan mengadakan Kempen 1Malaysia 1Halal pada 25 hingga 28 Februari ini bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Antara program yang diatur di sepanjang kempen berlangsung ialah jualan produk halal, seminar halal, klinik halal bagi pemohon, forum Perdana Hal Ehwal Islam, nasyid dan pelbagai program menarik.

Pelancaran kempen dijangka disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 26 Februari pada pukul 12.30 tengah hari dan orang ramai dijemput hadir. - Bernama

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Songket Kelantan masih popular


AHMED KAMEL menunjukkan antara songket dan kain tenun yang dijual di Galeri Cik Minah Songket, Kota Bharu baru-baru ini.

KOTA BHARU - Lambakan fabrik moden dalam pasaran tempatan tidak menjejaskan perniagaan songket di negara ini malah kesenian fabrik tradisional itu terus diminati dan mendapat sambutan tinggi.Perusahaan songket di Kelantan juga berkembang dengan gaya tersendiri berikutan permintaan terhadap fabrik tradisional tersebut yang sering dikaitkan dengan golongan pembesar dan bangsawan.Pengurus syarikat pengeluar songket dan kain tenun, Che Minah Songket, Ahmed Kamel Huseein berkata, beliau berbangga apabila generasi muda masih berminat untuk memperagakan fabrik tradisional itu pada majlis-majlis rasmi dan keraian.

Menurutnya, syarikatnya berjaya memasarkan lebih 2,000 helai songket dan 30,000 helai kain tenun sepanjang tahun lalu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

1901 jenama tempatan


1901 merupakan produk keluaran 100 peratus Bumiputera yang menitik beratkan soal kebersihan serta kesihatan.

JIKA selama ini anda tidak pernah mencuba hot dog keluaran syarikat Nineteen O One Sdn. Bhd. (1901), apa kata anda mencubanya dan tidak rugi malah ia amat berbaloi.

Ini kerana selain menggunakan daging yang berkualiti, hot dog yang disajikan juga sedap dan ditambah pula dengan sos yang dihasilkan daripada resipi tersendiri.

Pada masa yang sama, 1901 turut menyediakan produk yang mementingkan kesihatan dan ini dibuktikan dengan kesemua makanan di 1901 disediakan secara kukus dan bukan digoreng.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Ekesekutifnya, Tengku Rozidar Tengku Zainol Abidin, misi 1901 ialah menyedarkan pengguna bahawa makanan keluaran syarikatnya adalah 'makanan segera yang sihat' dan menjanjikan ia bebas minyak.

''Semasa memulakan perniagaan ini pada 1997, kami memutuskan untuk memberi pengguna pilihan baru dalam makanan segera yang bukan sahaja sedap dimakan, malah baik untuk kesihatan.''Ini kerana bagi mereka yang menjaga kesihatan seboleh mungkin akan mengelak memakan makanan segera,'' ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Tambah Tengku Rozidar, dengan menggunakan slogan '1901 food for friendship' atau makanan untuk persahabatan, 1901 adalah jenama universal yang bercirikan nilai tempatan.

Ini kerana, kata beliau, sebelum ini penggemar makanan segera sering mengaitkan 1901 sebagai jenama luar dan datang dari Amerika Syarikat.Oleh yang demikian, pihaknya ingin menggubah persepsi itu dan menegaskan bahawa 1901 adalah syarikat tempatan yang dimiliki 100 peratus bumiputera dan semua produk mereka dibuat di Malaysia termasuk sos kecuali sos mustard.

Hari ini dengan mempunyai 80 buah cawangan di seluruh dunia termasuk di Singapura, Beijing dan Jakarta, 1901 diharap dapat dijadikan sebagai produk antarabangsa bercirikan Malaysia.

Umat Islam di Malaysia juga tidak perlu was-was memandangkan syarikat itu adalah 100 peratus milik Bumiputera yang sentiasa memastikan bahawa produk makanannya bersih, selamat dan halal.Selain itu, pembekal sosejnya juga merupakan sebuah syarikat milik Bumiputera yang sentiasa memastikan sosej yang dibekalkan itu berkualiti tinggi.Bagi penggemarpenggemar hot dog, 1901 pastinya memberi pelbagai pilihan kepada anda apabila menyediakan 11 jenis hot dog dan dua jenis burger.

Menurut Rozidar lagi, kini setiap 19 haribulan setiap bulan, 1901 akan membuat promosi di mana hot dog Chicago Beef dan New York Chicken akan dijual pada harga RM2.99 tidak termasuk air.Bagi mereka yang ingin membeli secara set termasuk jus oren, anda cuma dikenakan bayaran tambahan RM1.Jelas Rozidar lagi, promosi tersebut yang dibuat pada setiap bulan akan dijalankan secara berterusan.

''Promosi RM2.99 ini hanya untuk saiz regular sahaja dan ia telah pun bermula tiga bulan yang lalu.''Walaupun ia baru bermula tetapi sebenarnya kempen tersebut telah pun dilaksanakan pada satu setengah tahun yang lalu.''Ia adalah bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membeli dan mencuba produk 1901,'' katanya.Kesemua cawangan 1901 dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam termasuk cuti umum.Jadi kepada mereka yang belum pernah mencuba 1901, apa kata dapatkannya hari ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Bengkel Pesona Humairah


Peserta pada bengkel korporat Muslimah, 'Pesona Humaira' di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MENJAGA imej atau penampilan diri bukan soal kecil yang boleh dipandang remeh. Ia sangat perlu dan penting dalam menjalani urusan kehidupan, apatah lagi bagi wanita Muslim dewasa ini yang turut terdedah dengan globalisasi.

Malah tidak dinafikan, wanita Muslim sekarang ini sudah ada yang berjawatan hebat di organisasi bertaraf antarabangsa, sumbangan dan suara mereka sudah semakin diiktiraf dan didengari, keberanian dan kejayaan mereka dalam lapangan perniagaan serta banyak lagi keterampilan lain.

Justeru tidak hairanlah dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengatakan terdapat peningkatan pembayar zakat wanita antara tahun 2008 dan 2009.

Bagi kutipan tahun 2009, pembayaran zakat oleh pembayar wanita adalah sebanyak RM71 juta berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak RM57 juta, meningkat sebanyak 25 peratus. Manakala bagi bilangan pembayar pula, meningkat sebanyak 16 peratus iaitu 35,646 orang bagi tahun 2009 berbanding tahun 2008 sebanyak 30,769 orang.

Lantas sebagai satu simbol penghargaan pihak PPZ kepada semua wanita yang membayar zakat di institusi zakat tersebut, satu bengkel korporat Muslimah dengan menggunakan tema, 'Pesona Humaira' telah diadakan.

Bengkel yang berlangsung di Impiana KLCC Hotel & Spa, Jalan Pinang, Kuala Lumpur pada 11 Februari lalu telah menerima sambutan hangat di mana seramai 130 orang wanita daripada pelbagai lapangan kerjaya menyertai bengkel separuh hari itu.

"Kebiasaannya, pihak PPZ menganjurkan kaedah berupa seminar zakat dengan kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta tetapi buat julung kalinya bagi menghargai pembayar zakat wanita, pendekatan lain sedikit telah digerakkan.

"Alhamdulillah, sambutannya begitu memberangsangkan. Ini berkemungkinan kerana dua orang panel yang telah diundang iaitu Eksekutif Unit Dakwah di PPZ yang juga penceramah bebas yang tidak asing lagi iaitu Ahmad Husni Abdul Rahman serta Yasmin Siddik, Pengasas Butik Women 2 Women yang juga merupakan seorang perunding imej yang juga tidak kurang hebatnya.

"Harapan PPZ agar hubungan baik yang terbina ini tidak putus setakat berlangsungnya seminar ini. Malah kita juga berharap agar ada di antara peserta ini akan dapat menguar-uarkan kepada teman-teman wanita mereka yang lain atau ditekankan kepada para pekerja mereka soal tanggungjawab dan kewajipan berzakat," terang Ketua Unit Komunikasi Korporat PPZ-MAIWP, Nor Mukshar Harun yang mengakui bahawa potensi wanita yang membayar zakat dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Bengkel tersebut dirasmikan Pengurus Besar PPZ, Rais Alias.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kejayaan IKS menjana ekonomi negara

MODEL Ekonomi Baru (MEB) akan diumumkan pada penghujung bulan depan. Tujuan utama MEB diperkenalkan adalah untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat Malaysia yang kini berada pada lingkungan berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi. Sudah tentu rakyat tertunggu-tunggu apakah mekanisme baru yang bakal diumumkan oleh kerajaan agar tujuan utama MEB ini tercapai. Tanpa dasar ekonomi yang baru, bukan konvensional dan segar, tentulah negara akan semakin terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana.

Melihat balik sejarah lalu, negara kita telah mencapai pertumbuhan yang amat memberangsangkan pada tahun-tahun 1990-an sehinggalah krisis kewangan Asia melanda negara. Ketika itu, pelaburan-pelaburan dari luar negara mencurah masuk ke dalam negara sehinggakan Malaysia dikenali sebagai antara negara yang berpotensi untuk menjadi negara maju. Pelaburan langsung asing (FDI) amat tinggi sekali berbanding dengan negara-negara lain.

Kini, negara kita telah disaingi oleh banyak negara lain. Malaysia tidak boleh lagi berada dalam keadaan statik. Bahkan, Malaysia mesti bergerak lebih pantas lagi berbanding dahulu. Daya saing Malaysia tidak lagi terletak pada kos buruh yang murah. Banyak lagi negara yang mempunyai kos buruh yang lebih murah berbanding Malaysia. Begitu juga, Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada FDI. Lebih-lebih lagi, keadaan ekonomi yang masih tidak menentu dengan rakan dagangan utama Malaysia iaitu Amerika Syarikat (AS) masih lagi tercari-cari formula untuk memulihkan ekonominya.

Persekitaran global telah berubah sama sekali dan memaksa Malaysia membentuk serta mencari mekanisme baru. Atas dasar itu, satu pelan induk perusahaan atau industri kecil dan sederhana (IKS) bagi tempoh 2011 hingga 2020 akan dirangka dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada MEB. Setelah sekian lama, IKS memainkan peranan yang amat penting dalam menjana ekonomi Malaysia. IKS merupakan enjin pelaburan domestik yang mesti diperkukuhkan dan mestilah menjadi peneraju utama ekonomi negara. Sebagai peneraju utama ekonomi negara, IKS sewajarnya berkeupayaan untuk berkembang bukan sahaja dalam sektor domestik negara tetapi juga berjaya melangkaui pelaburan serantau dan global.

Keupayaan-keupayaan IKS yang perlu dipertingkatkan meliputi pengurusan kewangan terbaik, pemasaran yang dinamik dan sokongan logistik yang mantap. Tidak lupa juga, teras daya saing IKS adalah sentiasa memberi ruang kepada seluruh warga IKS berinovasi dan kreatif sejajar dengan strategi-strategi yang ampuh. IKS tidak boleh lagi bergerak sendiri tetapi perlu mempunyai jaringan perniagaan yang meluas merangkumi jaringan dengan sektor swasta yang lain dan juga sektor awam. Tanpa kerjasama yang kukuh dengan kedua-dua sektor ini, IKS tidak mampu untuk berkembang dengan cepat sekali. Umpamanya, sektor awam kini dilihat semakin mesra perniagaan dengan menumpukan kepada penambahbaikan sistem penyampaian yang lebih baik seperti memperkenalkan satu nombor rujukan perniagaan yang dikenali sebagai MyCoID. Perkenalan MyCoID menggambarkan perniagaan mestilah berjalan dengan pantas dan berintegriti kerana setiap saat yang berlalu amat penting untuk warga IKS dan peniaga menjana pendapatan mereka. Kejayaan IKS bukan sahaja menjana ekonomi negara tetapi juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas lagi kepada rakyat Malaysia.

Selain IKS, peranan pelabur-pelabur institusi juga mestilah diperkukuhkan lagi. Mereka mestilah melabur dengan lebih agresif agar dapat memulangkan balik keuntungan yang lebih besar kepada para pendeposit mereka. Mereka tidak seharusnya sekadar berpuas hati dengan memberi pulangan yang lebih kurang sama saban tahun dan akhirnya menyebabkan rakyat beralih kepada pelaburan lain meskipun berisiko tinggi. Maka, tidak hairanlah apabila Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjangkakan kegiatan penipuan menerusi pelaburan dijangka meningkat di kalangan penduduk luar bandar kerana golongan ini akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pelaburan yang kononnya memberi pulangan sehingga 300 peratus. Suatu yang amat menyedihkan apabila penduduk luar bandar ditipu sedangkan rata-rata di kalangan mereka berpendapatan rendah. Selain mendidik mereka mengenai pelaburan, kita juga tidak boleh salahkan mereka seratus peratus kerana sesiapa sahaja akan mudah kelam mata apabila mendengar sesuatu pelaburan mampu memberi pulangan yang amat tinggi berbanding dengan pelaburan yang sedia ada.

Jadi, disyorkan melalui MEB, pelabur-pelabur institusi mestilah memikirkan bagaimana caranya untuk memberi pulangan yang amat tinggi kepada para pendeposit mereka. Sememangnya diakui, selama ini, pelabur-pelabur institusi telah banyak membantu rakyat tetapi bagi memacu ekonomi rakyat dengan lebih tinggi lagi, mereka sewajarnya mencari alternatif pelaburan yang memberi pulangan berlipat kali ganda seterusnya mengurangkan risiko rakyat Malaysia daripada ditipu oleh sindiket pelaburan.

Salah satu caranya adalah mengkaji pelaburan-pelaburan yang berdaya maju melibatkan perniagaan yang kreatif, inovatif dan bernilai tinggi. Jika pelabur-pelabur institusi mampu membayar pulangan yang amat tinggi kepada para pendeposit, mereka bukan sahaja dilihat sebagai bertindak membela nasib rakyat tetapi juga menjayakan agenda kerajaan untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat kepada berpendapatan tinggi melalui pendekatan pelaburan yang lebih dinamik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Jadi Jutawan Sebelum Usia 30 Tahun Matlamat Irfan Khairi Tercapai

Antara kaedah pembelajaran yang digunakan
Termasuk menghadiri beberapa kursus pendek,
Menceduk pelbagai tip menerusi internet, serta
Menjadikan beberapa orang pakar dalam bidang
Pemasaran internet sebagai contoh.

Latar belakang hidup Irfan Khairi yang kini cukup sinonom dengan gelaran 'jutawan internet' tidak banyak berbeza dengan individu lain. Gayanya yang ringkas dan bersahaja langsung tidak mengambarkan kedudukannya sebagai seorang jutawan.

Menurut Irfan, penampilannya banyak dipengaruhi oleh suasana pekerjaan yang dilakukan, berniaga menerusi internet. Pejabatnya di rumah, dan kerjayanya tidak memerlukan dia berurusan dengan pelanggan secara fizikal. Sebab itu penampilannya begitu ringkas.

Jika melihat penampilan Irfan, pasti ramai yang ingin mengikut jejak langkahnya. Bekerja di rumah, tanpa dikongkong oleh pelbagai masalah, seperti yang dihadapi oleh mereka yang menjalankan perniagaan yang lain, atau mereka yang bekerja makan gaji.

Akan tetapi, bagaimana Irfan mampu berada pada kedudukan ini, sedangkan terdapat ramai lagi individu yang turut bertungkus-lumus membangunkan perniagaan mereka di internet.

'Semua ini bukan datang dengan sendiri, sebaliknya saya berusaha keras untuk mencapainya,' jelas Irfan Khairi bersungguh-sungguh.

Di sebalik kisah kejayaan yang banyak dikongsikan bersama menerusi penampilannya dalam media massa dan eletronik tempatan hari ini, tidak ramai yang tahu pengalaman yang pernah dilalui untuk mencapai kejayaan yang dikecap sekarang.

Menurutnya, matlamat untuk menjadi jutawan sebelum mencapai umur 30 tahun berjaya dicapai setelah melalui pelbagai kesukaran.

Menceritakan pengelamannya ketika bekerja di Netmedia, sebuah syarikat Multimedia di Birmingham, selepas tamat pengajian dalam bidang Reka Bentuk Multimedia di Universiti Staffordshire, United Kingdom, Irfan tidak menyembunyikan fakta bahawa dia pernah gagal dalam menjalankan perniagaan di internet secara sambilan.

Penglibatannya dalam perniagaan menerusi internet bermula pada tahun 1999, dengan menawarkan perkhidmatan mereka bentuk laman web, brosur, kulit buku dan sebagainya.

Banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah dihabiskan untuk membangunkan perniagaan tersebut, tetapi hasilnya tidak kelihatan

'Selama setahun saya menghadapi masalah untuk mendapatkan pelanggan, menyebabkan perniagaan yang dijalankan menghadapi kegagalan,' jelas Irfan berterus-terang.

Antara faktor yang dikenal pasti menjadi penyebab kegagalan perniagaan yang dijalankan ialah kelemahan daripada aspek promosi.

'Ketika itu, cara promosi yang dilakukan tidak betul, cara pemilihan produk yang salah, dan sasaran pasaran yang tidak tepat, telah menyebabkan perniagaan yang dijalankan menghadapi kegagalan,' jelas Irfan sambil menceritakan pengalaman awalnya dalam menjalankan perniagaan menerusi internet.

Kegagalan yang dialami menyebabkan Irfan mula belajar tentang selok-belok perniagaan di internet. Hasil penelitiannya, Irfan mendapati bahawa terdapat dua kelemahan utama yang menyebabkan dia gagal. Pertama kaedah promosi yang tidak tepat,. Kedua tidak ada fokus.

'Ramai yang menganggap apabila kita ada laman web dan ada produk, pelanggan akan dating. Namun hakikatnya, jika laman web berkenaan tidak dipromosikan, maka tidak ada siapa yang tahu kewujudannya,' jelas Irfan.

Minat yang mendalam terhadap perniagaan menerusi internet telah mendorong Irfan mempelajari pelbagai perkara tentang pemasaran menerusi internet. Antara kaedah pembelajaran yang digunakan termasuk menghdiri beberapa kursus pendek, menceduk pelbagai tip menerusi internet, serta menjadikan beberapa orang pakar dalam bidang pemasaran internet sebagai contoh. Salah seorang tokoh pemasaran internet yang dijadikan contoh ialah Corey Rudl.

Corey Rudl merupakan presidan dan Ketua Pegawai Eksekutif Internet Marketing Centre, yang memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kaedah untuk menarik kumpulan sasaran kepada laman web yang dibina dan cara untuk menukar aliran pengunjung laman web kepada jualan dan profit.

Irfan menjelaskan, faktor minat, diikuti usaha yang gigih adalah resipi kejayaannya. Pada masa yang sama, pengetahuan tentang selok belok perniagaan yang dijalankan tidak patut diabaikan.

Berbekalkan ilmu dan pengelaman yang dipelajarinya sebelum ini, Irfan telah menyusun semula perniagaannya, dengan hanya bermodalkan kurang daripada RM500. Dalam percubaan yang kedua ini, Irfan lebih bijak memilih kaedah promosi yang lebih sesuai dengan produk yang diketengahkan. Misalnya, Irfan telah memberi tumpuan promosi kepada pasaran Arab bagi menjual peta Malaysia, apabila mendapati produk tersebut mempunyaai permintaan yang tinggi di sana.

Irfan akhirnya berjaya membawa perniagaannya ke landasan yang betul, apabila pendapatannya menerusi perniagaan tersebut meningkat berlipat berkali ganda daripada pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan tetapnya. Hal ini telah mendorong Irfan menjadikan perniagaan internet sebagai kerjaya sepenuh masa. Akhirnya, selepas tiga tahun menjalankan perniagaan, Irfan telah berjaya memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM1 juta.

Walau bagaimanapun, Irfan tidak menafikan bahawa permintaan daripada pengguna tempatan masih amat rendah, ekoran kurangnya keyakinan masyarakat tempatan pembelian menerusi internet.

Ketika ini 90 peratus daripada pelanggannya terdiri daripada pasaran Eropah dan Amerika Syarikat, sementara lebih kurang 10 peratus lagi datang dari negara-negara lain termasuk Malaysia.

'Masyarakat Malaysia masih menganggap transaksi menerusi internet masih tidak selamat, menyebabkan mereka kurang berminat untuk membeli menerusi internet,' jelas Irfan. Walau bagaimanapun Irfan yakin keadaan tersebut akan berubah dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Sehubungan itu, Irfan yakin individu yang sudah memiliki perniagaan di internet hari ini akan mendapat manfaatnya kelak.

Bagi mereka yang ingin menceburi perniagaan ini, Irfan mengingatkan mereka tidak perlu memulakan perniagaan dengan kos yang tinggi. Irfan mendakwa banyak perniagaan menerusi internet mengalami kegagalan kerana dimulakan perniagaan dengan kos yang besar.

'Kos sewa premis perniagaan melibatkan perbelanjaan yang tinggi setiap bulan. Begitu juga kos pembelian produk yang tinggi, sedangkan permintaan terhadap produk berkenaan masih belum dapat dipastikan. Semua ini menyebabkan peniaga sering menghadapi masalah kekurangan modal pusingan,' tegas Irfan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Ekonomi - Pemulihan satu ilusi?

HARAPAN untuk menyaksikan pemulihan ekonomi dunia yang pesat sempena bermulanya Tahun Harimau mungkin tergugat berikutan penemuan daripada salah satu kaji selidik peringkat terbesar yang dilakukan di kalangan akauntan seluruh dunia.

Walaupun kajian Global Economic Conditions Survey yang dijalankan pada suku keempat oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) telah menunjukkan bukti kukuh yang keadaan ekonomi semakin pulih, tetapi tinjauan kali ini telah menarik minat seramai 1,700 orang responden dan ahli-ahli ACCA (akauntan bertauliah) dari 99 buah negara untuk mambayangkan bahawa pemulihan sepenuhnya mungkin mengambil masa yang lebih lama dari yang dijangkakan.

Buat pertama kalinya sejak kajian yang dilakukan oleh ACCA ini dijalankan, ahli-ahlinya melaporkan bukan sahaja terdapat peningkatan keyakinan, dengan lebih separuh (46 peratus) daripada responden percaya situasi ekonomi akan semakin pulih atau sudah pulih, tetapi juga terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa permintaan, serta akses kewangan dan aliran tunai turut bertambah baik. Kaji selidik tersebut juga menunjukkan negara-negara di benua Asia dan Afrika berada dalam landasan yang betul ke arah pemulihan, yang mana para akauntan di benua ini melaporkan keyakinan yang tinggi dan pendapatan yang meningkat, sementara benua Eropah dan Amerika masih cuba mengimbangi pertumbuhan ekonomi mereka.

Bagaimanapun, kadar pemulihan ekonomi global secara hakikatnya adalah semakin perlahan walaupun dengan segala berita baik yang dinyatakan tadi.

Ahli-ahli ACCA di rantau Asia-Pasifik, yang secara konsisten mendahului jalan keluar daripada kemerosotan ekonomi, telah menjadi semakin pesimis sejak suku terakhir, kerana mereka mula mempersoalkan tentang keupayaan ahli ekonomi di Barat untuk terus mengikut rentak ekonomi yang lebih dinamik yang dipraktikkan oleh mereka.

Sementara itu, sebilangan besar pakar kewangan dari seluruh rantau menjangkakan sasaran pertumbuhan yang lemah, yang mana 11 peratus responden mengatakan kejatuhan ekonomi mungkin akan berlanjutan selama tiga tahun lagi atau lebih.

Menurut kajian terbaru ACCA ini, aktiviti pelaburan masih lagi tidak begitu menggalakkan di serata benua dan sektor, walaupun bukti kegagalan pasaran di dalam pembiayaan pelaburan menjadi semakin kurang nyata.

Pengarah Polisi dan Kajian Teknikal, ACCA Dr. Steve Priddy berkata: "Kaji selidik ACCA pada suku keempat ini merupakan yang pertama menunjukkan bukti kukuh bagi pemulihan ekonomi. Walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah profesional kewangan yang bersedia mengakui bahawa kemelesetan ekonomi sudah berakhir, tetapi kebimbangan masih wujud terhadap perkembangan pada tahun yang akan datang. Kebanyakan ahli ACCA menganggap pemulihan ini mungkin hanya suatu ilusi - iaitu ia mungkin boleh dilihat dari suatu sudut, namun ia masih tidak berganjak walau sebanyak mana pun usaha dibuat oleh organisasi mereka ataupun ekonomi domestik yang seakan berkembang."

"Secara keseluruhan, ACCA menjangkakan sekurang-kurang terdapat satu tahun lagi bagi situasi ekonomi yang mencabar, tapi dalam masa yang sama pandangan pesimis dari kaji selidik ini juga berasas (ada benarnya)", kata Steve Priddy.

Gambaran di Asia-Pasifik dan Malaysia: Kesedaran optimis melenyapkan kebimbangan tentang inflasi, kewangan kerajaan.

Pada tahun lepas, rantau Asia-Pasifik telah bangkit kembali dari kejatuhan ekonomi yang berlaku pada penghujung tahun 2008, walaupun pada ketika itu perdagangan dunia menjadi lembap dan hampir terhenti, dan rantau ini mendahului dalam pemulihan ekonomi global. Kaji selidik oleh ACCA turut mencadangkan jika pihak Barat terus gagal bersaing seiringan, ini akan memberi impak negatif terhadap dinamik ekonomi Timur Jauh menjelang tahun tahun 2010

Majoriti akauntan di kawasan Asia Pasifik percaya bahawa kesan terburuk kemerosotan ekonomi telah berakhir seawal musim panas tahun 2009 - sekurang-kurangnya tiga suku lebih awal dari kebanyakan negara Barat. Pada bulan November, 60 peratus daripada 441 responden dari sepuluh negara di rantau Asia Pasifik (berbanding 52 peratus secara global) yakin bahawa pemulihan ekonomi global akan berlaku dalam jangka masa satu tahun atau kurang.

Para akauntan di rantau tersebut mengiktiraf usaha Amerika Syarikat dalam penambahbaikan ekonomi: dan lebih separuh responden (57 peratus) percaya kerajaan mereka telah bertindak secara baik atau sangat baik terhadap kejatuhan ekonomi, berbanding hanya 24 peratus secara global. Tetapi, kebanyakan pihak kerajaan di rantau ini mempunyai kelebihan daripada rantau lain: iaitu beban hutang yang rendah yang membolehkan mereka memberi rangsangan ekonomi yang tegas dan berterusan.

Di Malaysia, bekalan kewangan adalah masih ketat; tekanan terhadap aliran tunai juga lebih nyata di sini berbanding negara lain di rantau Asia Pasifik dan anggaran pertumbuhan pendapatan baru sahaja memasuki angka positif. Terdapat juga persepsi terhadap usaha kerajaan yang dikatakan mungkin tidak memberi kesan walaupun terdapat banyak sokongan dan galakan kerajaan bagi pelaburan baru.

Sesetengah perbezaan ini mungkin boleh dijelaskan oleh situasi fiskal Malaysia yang lebih ketat: 40 peratus dari responden di sini mengharapkan kerajaan (di mana campur tangan kerajaan dianggap kurang popular di kalangan akauntan Malaysia berbanding dengan kerajaan lain di rantau ini) untuk mengurangkan perbelanjaan mengikut keadaan semasa ekonomi. Selebihnya adalah disebabkan oleh krisis kredit yang menyebabkan aliran modal di seluruh negara terganggu - hasil dari kadar mata wang asing yang tidak menentu, dilaporkan 30 peratus dari responden menunjukkan kebimbangan bagi diri mereka dan juga klien-klien mereka. Majoriti daripada 116 responden (52 peratus) dari Malaysia mengharapkan ekonomi global akan pulih dalam masa 12 bulan akan datang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Pelancongan pendidikan makin popular


SITUASI cemas peserta ketika rakit mereka karam di sungai.


BENTONG 16 Feb. - Produk pelancongan berkonsepkan rekreasi pendidikan, berpotensi tinggi untuk dikembangkan di negeri ini memandangkan keindahan alam semulajadi yang luas dan terpelihara serta amat sesuai untuk aktiviti riadah.

Konsep pelancongan menggabungkan rekreasi dan pendidikan merupakan aktiviti yang amat popular di kalangan masyarakat Barat yang dikenali sebagai summer camp atau team building yang menjadi program musim cuti bertujuan membentuk keperibadian individu.

Kini ia semakin popular di negara ini kerana memberi kesan positif kepada masyarakat khususnya golongan pelajar dan belia untuk melancong sambil beriadah serta menjalankan aktiviti motivasi diri di lokasi yang jauh daripada kesibukan kota seperti di hutan dan perkampungan.

Pengarah Pelancongan Malaysia cawangan Pahang, Amran Abdul Rahman berkata, konsep pelancongan seumpama itu semakin mendapat permintaan ketika ini berikutan meningkatnya kesedaran masyarakat terhadap motivasi diri melalui aktiviti pelancongan.

"Justeru program rekreasi tertentu akan dianjurkan dengan melancong ke sesuatu lokasi seperti hutan lipur, taman negara, pulau dan hutan simpan untuk beriadah sambil diterapkan dengan pelbagai elemen pendidikan.

"Dengan berkembangnya trend pelancongan seperti itu, secara tidak langsung ia turut meningkatkan permintaan terhadap lokasi dan infrastruktur bersesuaian bagi memenuhi keperluan kumpulan pelancong terbabit.

"Ia amat berpotensi kepada pengusaha pelancongan di luar bandar seperti di Kampung Janda Baik untuk memanfaatkan pelancongan ini dengan fokus terhadap aktiviti riadah ekopelancongan seperti hutan, bukit, sungai dan air terjun," katanya.

Menurutnya, aktiviti yang menjadi tumpuan pelancongan rekreasi pendidikan adalah seperti meredah hutan, berakit, berkayak, mendaki bukit atau menuruni jurang, perkhemahan dan sesi pengenalan spesies flora dan fauna.

''Kebanyakan pelancong dari kumpulan seperti ini tidak terlalu mementingkan aspek kemudahan penginapan yang sempurna kerana mereka inginkan sesuatu persekitaran yang lebih semulajadi dan mencabar khususnya kepada golongan pelajar universiti," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Amran, pihaknya amat menyokong aktiviti pelancongan sedemikian kerana program pelancongan pelajar merupakan sebahagian daripada tumpuan promosi Pelancongan Malaysia dalam mengembangkan pendidikan pelancongan kepada masyarakat.

Bagaimanapun, beliau menasihati individu yang mengusahakan produk pelancongan seumpama itu supaya memastikan mereka menjalankan perniagaan tersebut secara profesional dengan mendaftar dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkaitan supaya tidak timbul sebarang isu membabitkan pelancong.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Siapa terkaya di Malaysia ?

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Bekas Raja Gula, Robert Kuok Hock Nien terus mengekalkan kedudukan di tempat teratas sebagai orang terkaya di Malaysia apabila nilai kekayaannya meningkat sebanyak RM16.1 bilion kepada RM42.7 bilion.

Tahun lalu, nilai kekayaan Robert Kuok adalah sebanyak RM26.6 bilion.

Tempat kedua dikuasai oleh 'orang kuat' industri telekomunikasi, T. Ananda Krishnan dengan nilai kekayaan berjumlah RM27 bilion manakala tempat ketiga pula jatuh kepada taikun perladangan, IOI Corporation Bhd., Tan Sri Lee Shin Cheng dengan nilai kekayaan sebanyak RM11.92 bilion.

Kaji selidik tersebut dilakukan oleh sebuah majalah tempatan, Malaysian Business bagi terbitan hari ini.

Malaysian Business dalam kenyataannya di sini turut mendedahkan nilai kekayaan 40 orang terkaya Malaysia setakat pada 15 Januari 2010 berjumlah RM156.7 bilion berbanding RM96.3 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu mewakili kenaikan sebanyak 63 peratus.

Katanya, sehingga pertengahan tahun ini, pertambahan nama dalam senarai orang terkaya negara dijangka berlaku sebanyak 50 peratus lagi.

Jelasnya, setakat ini, Malaysia mempunyai 22 orang terkaya, meningkat berbanding pada tahun lalu.

"Nilai kekayaan pada tahun ini secara keseluruhannya menyusut sedikit berbanding 2008, jatuh RM171.9 bilion,'' kata Malaysian Business.

Tokoh perbankan dari Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow pula berada di kedudukan keempat terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak RM10.86 bilion.

Berada di kedudukan kelima terkaya adalah Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM10.38 bilion, manakala tempat keenam diisi oleh Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Group dengan nilai kekayaan RM7.09 bilion.

Usahawan bumiputera dan pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula menduduki tempat ketujuh dengan nilai kekayaan sebanyak RM6 bilion.

Tempat kelapan dikuasai oleh isteri mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, orang kuat syarikat konglomerat hiburan dan perjudian Genting Group, Puan Sri Lee Kim Hua dan tempat kesembilan menjadi milik Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM3.5 bilion.

Menduduki carta ke 10 merupakan tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.

Dua lagi usahawan bumiputera yang berjaya menempatkan diri dalam senarai orang terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Azman Hashim dari Arab Malaysian Corporation untuk mengisi kedudukan ke-11 dengan nilai kekayaan RM2.86 bilion dan Datuk Mokhzani Mahathir dari Kencana Petroleum pada kedudukan ke-20 dengan nilai kekayaan sebanyak RM1.07 bilion.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments