Mudah mengurus kehidupan harian


pengguna sentiasa di hadapan dengan Sony Ericsson Naite.

Adakah anda seorang yang sibuk dan sentiasa berada di luar kawasan? Jika jawapannya ya, mungkin anda memerlukan Sony Ericsson Naite yang boleh meningkatkan mutu gaya hidup.

Gajet berkenaan membolehkan anda sentiasa berada di hadapan dengan membantu memberikan pilihan hijau dengan akses segera tanpa mengorbankan inovasi dan reka bentuk.

Hanya dengan menekan satu butang untuk mengakses mesej, kalendar, laman sesawang, kontak atau apa saja yang anda selalu gunakan.

Membeli jambangan bunga, mengubah temu janji atau menghantar e-mel kepada rakan handai dan taulan malah sahabat sekali pun dengan hanya satu sentuhan butang.

Perayauan kelajuan tinggi dan akses dengan hanya satu klik kepada pencarian Google bermakna anda berada di atas talian di mana saja anda berada dan panggilan video membolehkan anda bersemuka dengan kawan dan keluarga pada bila-bila masa.

Salah satu pengasas telefon Green Heart yang dilancarkan oleh Sony Ericsson, Naite juga termasuk elektronik, manual in-phone yang menggantikan versi kertas, menjimatkan sehingga 90 peratus penggunaan kertas dan memberikan keselesaan di mana saja anda berada.

e-manual juga mengurangkan kesan pengangkutan produk akhir dengan pembungkusan kompak.

Diperbuat daripada 50 peratus plastik kitar semula, Naite menggunakan pengecas kuasa rendah yang paling efisien diperkenalkan di pasaran.

Terima kasih dengan inovasi berkenaan yang mengurangkan jejak karbon dioksida (CO2) Naite sebanyak 15 peratus.

Pengurus Besar Sony Ericsson Malaysia, Alex Wong berkata Naite merupakan telefon yang bukan saja membantu anda menguruskan kehidupan dan kerja malah membenarkan pengguna membuat pilihan lebih ekonomik dengan pengecas berkuasa rendah dan mengurangkan kesan alam sekitar.

"Menuju ke arah hijau tidak bermakna pengguna perlu berkorban gaya malah kami mereka telefon dengan ciri yang mengagumkan seperti kelajuan tinggi 3G dan desktop aktif bagi membantu pengguna menguruskan kehidupan mereka yang sentiasa sibuk," katanya.

Naite juga melibatkan aplikasi Ecomate bagi membantu pengguna membuat pilihan ke arah hijau dalam kehidupan seharian selain pengiraan jejak karbon bagi menunjukkan pengguna berapa banyak CO2 yang dijimatkan apabila mereka berjalan kaki berbanding memandu kereta.

Naite menyokong GSM/GPRS/EDGE 850/900/1800/1900 dan telah berada di pasaran dengan harga runcit RM599 serta boleh dipilih warna Vapour Silver atau Ginger Red.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Berfikir ikut kebijaksanaan, bukan emosi

SEBAGAI pekerja, kita sering berdepan dengan pelbagai permasalahan. Kadang-kala ia menyebabkan kita tertekan dan hilang semangat untuk bekerja. Minggu ini, Putri senaraikan panduan mengurangkan tekanan berkerja. Selamat mencuba.

  • Jangan sesekali biarkan salah faham menjejaskan perasaan dan tindakan serta gantikan pemikiran yang tidak rasional dan negatif tadi dengan keterangan lebih munasabah.
  • Komunikasi juga memainkan peranan penting dalam menangani tekanan kerana komunikasi yang baik membolehkan kita meluahkan pendapat dengan jelas, tepat dan tegas selain menggunakan fakta, bukan mengikut perasaan.
  • Cuba tangani setiap kritikan dengan baik kerana melalui cara itu kita sebenarnya berusaha mengubah diri daripada cepat melenting kepada seorang lebih terbuka dan tenang.
  • Cara tangani kemarahan pula dengan mengikuti tiga langkah penting iaitu berhenti seketika sambil mengakui anda sebenarnya sedang marah dan cuba bertenang.
  • Kemudian rancang fikiran anda mengikut kebijaksanaan dan bukan emosi seterusnya bertindak menggunakan daya tindak yang berkesan. Dengan cara itu, akan lebih menjadikan seseorang tenang dalam menghadapi apa jua keadaan mendesak serta mampu mengamalkan cara hidup sihat termasuk bersenam, beriadah dan meditasi menggunakan muzik.
  • Meningkatkan sokongan sosial di tempat kerja iaitu menjalinkan persahabatan sesama rakan sekerja dan berkongsi masalah dengan mereka yang boleh dipercayai.
  • Cuba praktikkan pemikiran yang rasional dan positif kerana pemikiran negatif hanya menyebabkan timbul salah faham antara kita dan pihak lain seperti rakan dan mungkin juga majikan.
  • Gejala tekanan atau ‘tekanan’ pekerjaan boleh dilihat melalui tanda:

  • Kurang motivasi diri
  • Gelisah dan risau berlebihan
  • Mempunyai masalah tidur
  • Merokok dengan berlebihan
  • Kurang berminat dalam aktiviti dilakukan
  • Sakit kepala atau sakit badan
  • Tidak dapat membuat keputusan
  • Cepat marah
  • Penyalahgunaan dadah dan alkohol
  • Lesu
  • Tingkah laku yang agresif
  • Tidak gembira
  • Berasa marah dan geram
  • Kecewa
  • Kurang memberi tumpuan pada pekerjaan
  • Berasa diri tiada harapan
    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    'Layan' sampai licin


    Kuah chicken chop yang cukup membuka selera pengunjung ke Marisa Burger and Western di medan selera Atap Berlian di Hutan Bandar, Johor Bahru, Johor.

    Malam semakin larut dan jarum jam di tangan sudah menghampiri pukul 12 tengah malam.

    Secara logik mengikut putaran alam, sepatutnya waktu begitu kebanyakan kita sedang berkira-kira untuk masuk tidur dan mungkin juga sudah ada yang dibuai mimpi enak.Namun senario sebaliknya cukup berbeza apabila anda berada di medan selera Atap Berlian di Hutan Bandar, Johor Bahru, Johor.

    Ini kerana orang ramai masih lagi memenuhi kawasan itu tanpa terdapat tanda-tanda untuk mereka mahu pulang ke rumah.Tanpa menghiraukan kedinginan malam dan embun pagi yang mula menitis, penangan makanan Barat di gerai Marisa Burger and Western adalah jawapan kepada segala-galanya.Gara-gara chicken chop yang berharga hanya RM5, hidangan Barat itu telah mendapat sambutan luar biasa dan menimbulkan satu fenomena di kalangan pengunjung.

    Pemiliknya, Rahmat Atan, 41, tidak perlu meletakkan set karaoke di atas pentas atau pun skrin layar besar seperti di restoran mamak sebagai tarikan utama ke gerainya.Hanya berteman suasana malam yang romantik, ia sudah cukup membuatkan pengunjung ralit menikmati hidangan.Di kelilingi konsep ala-ala pondok yang mampu membuat pelanggan berasa selesa dan santai, pastinya kunjungan anda meninggalkan satu kenangan terindah.Hari ini, masyarakat perlu mengakui bahawa chicken chop semakin mendapat tempat di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan hidangan Barat itu bukan lagi sekadar menjadi pilihan orang kebanyakan.

    Siapa mampu menepis keenakan hidangan chicken chop yang panas-panas baru di angkat dari kuali dan dilimpahi sos lada hitam untuk dimakan bersama air jus oren.Namun bagaimana pula kalau chicken chop itu hanya berharga RM5 berbanding harga standard sekitar RM10 malah ada yang mencecah harga hingga RM20?Dengar macam tidak percaya membuatkan penulis bersama jurugambar, Raja Jaafar Ali agak teruja untuk mencubanya.Sempat terlintas di fikiran mungkin saiznya telah dikecilkan, kuantiti kentang goreng dan coleslaw yang sedikit serta hiasan salad ala-ala kadar sahaja.Sebaik rezeki sudah di depan mata, melihat hiasan hidangan itu saja sudah membuka selera perut yang sedang berkeroncong.Sebaik sahaja menikmati hidangan berkenaan, tiada rasa yang kurang malah kombinasi daging ayam, kentang goreng, coleslaw dan salad begitu menjadi hingga membuat kami 'melayan' sehingga licin.Hilang semua telahan negatif yang bermain di fikiran dan ingin pula mengetahui rahsia di sebalik hidangan daging ayam yang digoreng dengan serbuk roti itu.

    Bekas chef hotel

    Gerai Marisa Burger dan Western dikendali chef profesional, Rahmat yang berpengalaman luas dalam bidang sajian makanan Barat di beberapa hotel terkemuka negara ini sejak 23 tahun lalu.

    Rahmat bersama isteri, Suhaili Md. Nor, 34, kini tidak lagi menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus bermula pukul 6.30 petang hingga 2.30 pagi setiap malam.Ditanya mengapa chicken chop itu hanya berharga RM5, dia menjelaskan, tanggapan negatif masyarakat yang sinonim mengatakan makanan Barat adalah mahal perlu dikikiskan.

    Dia mahu memberi peluang kepada semua golongan masyarakat termasuk yang berpendapatan rendah atau pun golongan pelajar untuk menikmati hidangan makanan itu pada harga berpatutan."Setiap malam, sebanyak 40 hingga 50 kilogram (kg) daging ayam digunakan untuk chicken chop, tujuh hingga lapan kg daging lembu untuk stik dan 20 kg daging kambing.

    "Untuk menjimatkan kos, saya hanya menempah daging mentah itu dan akan memotongnya sendiri selain menghasilkan sos lada hitam ciptaan sendiri," katanya..Rahmat berkata, dia dan isteri menjanjikan kepuasan tinggi agar pelanggan yang datang menjamu selera di gerainya gembira dengan apa yang disajikan.Katanya, ini kerana menjadi matlamat Marisa Burger and Western untuk menyajikan hidangan berkualiti dan kuantiti yang berbaloi dengan harganya.Kepada mereka yang ingin membuat tempahan atau membuat pesanan, anda boleh menelefon Rahmat di talian 013-7472013 dan 013-7550192.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Teh Tarik ...


    TEH tarik dan roti bakar.


    MACAM tak siap! Mungkin ini kata yang terpacul dari mulut anda tatkala melintasi Teh Tarik Place yang terletak di Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju ini.

    Namun terimalah hakikat bahawa ini adalah trend semasa yang sangat diminati terutama golongan muda urban.

    Dekorasi ringkas seakan-akan bangunan tidak siap mempunyai nilai artistik tersendiri. Keunikannya terletak pada susun atur perabot dan kebijaksanaan menggunakan props yang ada di sekitar ruang restoran.

    Dinding yang dibiar warna simen tanpa cat dihiasi lakaran burung-burung berlagu riang mencetus suasana ceria. Juga susunan botol-botol kaca dan tin susu kosong mengingatkan kita kepada gerai mamak tepi jalan.

    Memberi nafas baru kepada konsep mamak konvensional, Teh Tarik Place menjanjikan satu suasana selesa, nyaman dan kontemporari sesuai untuk semua golongan juga keluarga. Hidangan popular kesukaan rakyat Malaysia boleh didapati di sini pada harga yang berpatutan, namun keenakannya tiada kompromi.

    Sepinggan mi goreng mamak dengan beberapa ekor udang hanya berharga RM6.90! Dan percayalah setiap hidangan didatangkan dalam saiz yang memuaskan hati pengunjung dan paling utama, kebanyakannya berharga di bawah RM10.

    Penolong Pengurus Pemasaran Chaswood Resources, Jocelyn Lee yang mengendalikan restoran ini berkata, restoran ini diilham sebegini rupa bagi meminimumkan kos sajian agar pengunjung masih boleh menikmati hidangan kegemaran mereka tanpa rasa terbeban.“Selain harga berpatutan, kami juga mementingkan kebersihan dan kesihatan dengan tidak menggunakan bahan perasa MSG, mengurangkan gula, garam dan juga minyak,” katanya.

    Antara hidangan kesukaan adalah mi rebus, roti canai, nasi goreng ayam TTP, murtabak ayam, roti bakar, nasi kerabu, nasi ayam dan banyak lagi.Restoran yang dibuka Julai lalu itu sedang mengadakan Pertandingan Mereka Lakaran Dinding. pemenang berpeluang memenangi RM1,000 serta hasil kreativiti mereka akan dipaparkan secara kekal di dinding Teh Tarik Place, Wangsa Maju. Maklumat lanjut pertandingan sila layari www.tehtarikplace.my

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Kehebatan Resort World Sentosa


    RESORT World Sentosa yang menempatkan Universal Studios Singapura berpotensi menjadi ikon pelancongan global.


    PENGARAH filem tersohor Hollywood, Steven Spielberg pernah berkata: "Masyarakat umum mempunyai selera terhadap segalanya yang berkenaan dengan imaginasi - apa sahaja yang jauh daripada realiti dan sekreatif yang mungkin."

    Ungkapannya itu sebenarnya bukan sahaja boleh digunapakai dalam industri pembikinan filem tetapi juga dalam industri taman tema yang berjaya membawa pengunjung menikmati satu pengembaraan persis imaginasi.

    Bahkan, ia bagai membawa para pengunjung menerokai alam 'lain' yang jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan harian menerusi pemandangan dan efek bunyi yang mengujakan.

    Resort World Sentosa (RSW) yang terletak di Singapura dijangka mengubah pengalaman percutian sekeluarga selama-lamanya. Dengan pesona taman tema penuh warna-warni, penginapan bertaraf dunia, persembahan yang memukau dan tarikan-tarikan lain, ia dipercayai dapat memenuhi selera segenap lapisan usia pengunjung.

    Terletak di tanah berkeluasan keseluruhan 49 hektar dengan pelaburan AS$4.32 bilion (RM14.85 bilion), projek mega itu bakal dibuka secara rasmi pada suku pertama 2010.

    Lebih mengagumkan, RSW akan menempatkan taman tema terkemuka Universal Studios yang pertama dan tunggal di Asia Tenggara.

    Universal Studios Singapura (USS) bakal menjanjikan perfileman dalam dunia realiti kepada para pengunjung. Dengan keluasan 20 hektar, ia menempatkan tujuh zon bertema dengan 24 tarikan.

    Dimajukan oleh syarikat subsidiari Genting Berhad, Genting Singapore PLC (Genting Singapore), tarikan yang akan mengangkat nama Singapura di peta dunia sebagai destinasi percutian terkemuka itu juga akan mempamerkan oseanarium terbesar dunia, Marine Life Park, sebuah kasino, spa, persembahan hiburan bertaraf dunia dan kepelbagaian pusat beli-belah serta restoran.

    Tarikan unik


    MENDEKATI gergasi hijau, Shrek di zon Far Far Away.


    Menurut Produser Eksekutif USS, Steve Ryan, 18 daripada tarikan yang ada merupakan yang unik di Singapura dan tidak ada di mana-mana taman tema Universal Studios lain di seluruh dunia.

    "Daripada zaman prasejarah ke era glamor Hollywood dan set produksi filem sehinggalah dunia animasi serta fiksyen sains, tujuh zon menarik untuk diterokai ialah Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar," kata beliau kepada wartawan antarabangsa termasuk dari Malaysia, India dan Singapura dalam satu pertemuan memperkenalkan taman tema itu baru-baru ini.

    Di zon Hollywood, misalnya, para pengunjung boleh merasai pengalaman berada di Hollywood Boulevard dengan seni bina dinamik, pepohon palma dan laluan Walk of Fame yang sinonim dengan peneraju industri hiburan dunia itu.

    Pengunjung boleh merasai semangat dan tenaga penuh bercahaya bandar raya terbesar Amerika Syarikat di zon New York. Saksikan sendiri set-set filem yang menarik melalui tarikan LIGHTS! CAMERA! ACTION! yang dihos oleh Spielberg. Di samping itu, Stage 28 membuka peluang kepada orang ramai melibatkan diri dalam produksi filem waktu sebenar.

    Interaksi


    NIKMATI percutian keluarga yang menghiburkan di Resort World Sentosa, Singapura.


    Keunggulan Hollywood amat sinonim dengan primadona dan pelakon terkemuka, Marilyn Monroe serta Charlie Chaplin. Lengkapkan pengalaman Hollywood anda menerusi interaksi dengan watak 'jelmaan' mereka!

    Dunia Transformers yang penuh aksi bakal menjadi antara tarikan utama di zon Sci-Fi City pada tahun 2011.

    Sungguhpun demikian, sebelum itu, antara tarikan utama di zon itu ialah roller-coaster berkembar yang diadaptasi daripada filem Battlestar Galactica.

    Memperlihatkan pertarungan antara manusia dengan cyclon melalui roller-coaster yang tergantung, penumpang pasti tidak akan lupa dengan 'pengembaraan' selama 87 saat di trek sepanjang 992 meter berketinggian puncak kira-kira 42.5 meter.

    Sementara itu, Era Emas Eksplorasi Mesir pada tahun 1930-an dihidupkan melalui zon Ancient Egypt dengan piramid dan batu obelisk membawa pengunjung merasai zaman penemuan makam Firaun dan sumpahan yang dibawa bersama dalam kawasan gurun itu.

    Zaman prasejarah 'dimeriahkan' dengan kehadiran dinasour yang pada satu ketika dulu pernah menjajah dunia melalui zon The Lost World.

    Sementara itu Zon Far Far Away membolehkan pengunjung mendekati gergasi hijau berjiwa murni, Shrek dengan permaisuri hidupnya, Puteri Fiona.

    Manakala Zon Madagascar memberi peluang kepada pengunjung untuk menyertai pengembaraan empat hero daripada filem animasi terkenal DreamWorks, Madagascar, iaitu Alex, Marty, Melman dan Gloria melalui hutan tebal dan merentasi sungai yang unik.

    Penginapan


    PELUANG berinteraksi dengan 'jelmaan' Marilyn Monroe melengkapkan pengalaman Hollywood anda.


    Sebagai satu destinasi percutian bersepadu menyasarkan kunjungan 13 juta orang pada tahun pertama operasi, sebanyak 1,800 bilik penginapan di enam buah hotel dengan variasi tema menjadi pelengkap RSW. Kepelbagaian itu bagi memenuhi keperluan dan cita rasa berbeza pengunjung.

    Ia turut membabitkan Maxims Tower yang menyediakan pengalaman penuh kemewahan di samping terletaknya kasino RSW.

    Hotel Michael merupakan satu-satunya hotel di dunia yang memaparkan sentuhan penuh gaya oleh arkitek ikon Amerika, Michael Graves. Spa Villas pula menawarkan ketenangan tropika melalui banglo-banglo atas air dan kotej tepi pantai.

    Selain itu, Hotel Hard Rock menghidupkan semula sejarah, gaya dan falsafah rock and roll, Hotel Festive menampilkan gaya penuh kontemporari dan chic untuk sekeluarga dan Hotel Equarius menyediakan penginapan dalam suasana kehijauan hutan.

    Marine Life Park juga bakal menjadi tarikan utama di RSW dengan tarikan lebih 700,000 hidupan laut termasuk ikan jerung, pari bersama aneka terumbu karang dan ikan di laut terbuka.

    Berkeluasan lapan hektar dengan 20 juta gelen air, oseanarium terbesar dunia itu bakal mencabar keberanian pengunjung untuk memberi makan jerung-jerung harimau melalui sangkar khas.

    Bagi yang berjiwa lembut dan muda pula, peluang mendekati ikan lumba-lumba yang jinak pasti memberikan pengalaman yang cukup bermakna.

    Muzium Maritime Xperiential pula menghidupkan semula kisah pengembaraan Laluan Sutera melalui penataan cahaya dan bunyi. Pengunjung dapat merasai kepahitan dan cabaran kapal yang menuju ke Arab dalam satu teater multimedia.

    Dengan sasaran untuk menjadi ikon pelancongan global, Pengerusi Kumpulan Genting, Lim Kok Thay dalam satu kenyataan berkata, RWS bersama tarikan universalnya akan mengubah paradigma sektor pelancongan di rantau Asia Tenggara.

    Katanya lagi, semua yang disediakan di sini, sama ada sebagai hiburan, pendidikan mahupun santai yang terbaik, adalah dengan imaginasi tanpa batasan.

    "RSW ialah tempat di mana imaginasi terus hidup," ujarnya.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Bak sebuah muzium hidup

    Kampung Morten yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka memiliki pemandangan yang indah dan menyimpan sejarah serta tarikan tersendiri.




    PINTU gerbang yang tertera tulisan Kampung Morten, Kampung Ku Indah sudah cukup membuatkan orang yang melaluinya terpesona.

    Tarikan itu bukan sekadar kerana tulisan tersebut, sebaliknya pemandangan kampung yang bersih dan kedudukannya seolah-olah ia terletak di atas sebuah pulau dengan keistimewaan tersendiri. Pemandangan dari kaki lima kampung pula dihiasi dengan deruan bot-bot siar sungai yang tidak pernah bosan membelah Sungai Melaka yang mengalir lesu.

    Itulah aura Kampung Morten yang terletak di pinggir Sungai Melaka. Ia berdiri gah walaupun dikelilingi bangunan tinggi di setiap penjurunya.

    Kampung itu boleh dikatakan sebagai sebuah muzium besar yang hidup. Ini kerana setiap penghuni deretan rumah berwarna terang yang tinggal di sana menjalani kehidupan harian seperti biasa.

    Penghuninya 100 peratus masyarakat Melayu. Mereka masih mengamalkan cara hidup Melayu, selain mengekalkan bentuk rumah kampung negeri Melaka.

    Pinjam wang

    Menurut sejarah, Kampung Morten seluas 5.02 hektar itu dibuka pada tahun 1922. Ia menempatkan 100 buah rumah dengan anggaran 600 orang penduduk.

    Mengikut cerita, kampung unik itu mendapat nama Kampung Morten selepas salah seorang penduduk ketika itu berjumpa dengan seorang pegawai daerah bernama J.F Morten untuk meminjam wang.


    NIZAN Misni meluangkan masa melihat gambar aktiviti belia-belia Kampung Morten.


    Ketika itu kampung tersebut dimiliki oleh dua orang lelaki iaitu Abdullah Maarof dan Pak Khalil. Sementara pengasasnya ialah Datuk Othman Md. Nor.

    Disebabkan terlalu kepinginkan kampung tersebut, salah seorang penduduk kemudian bertindak berani dengan meminjam wang sebanyak RM10,000 daripada pegawai Inggeris itu.

    Hasrat penduduk kampung itu tertunai apabila pegawai daerah terbabit menghulurkan wang yang diminta untuk membeli kampung itu. Dua orang lelaki yang merupakan tuan tanah itu bersetuju untuk menjualkan tanahnya kepada penduduk kampung.

    Terharu dengan pinjaman tersebut selain gembira kerana berjaya memiliki kampung itu, sebagai mengenang jasa JF Morten penduduk kampung sepakat menamakan kampung itu sebagai Kampung Morten sehingga hari ini.


    SIAR kaki di tepi Sungai Melaka dan Kampung Morten yang menjadi tempat riadah orang ramai pada waktu petang.


    Mengelilingi kampung tersebut, sudah pasti sebuah rumah yang diberi nama Villa Sentosa menjadi lokasi wajib disinggahi.

    Lebih menarik, struktur kediaman tersebut masih kekal seperti asal walaupun ia telah dibina pada suku pertama abad ke-20.

    Sangat fasih berbahasa Inggeris dan boleh bertutur dalam bahasa Jepun, pemiliknya, Abdul Rahim Hashim, 74, memberitahu, segala perkakasan di dalam rumah keluarganya itu merupakan barang-barang asli dan langsung tidak diubah.


    VILLA Sentosa lokasi yang wajib dikunjungi jika anda singgah ke Kampung Morten.


    "Dari ruang tamu hinggalah meja makan semuanya asli mengikut adat budaya zaman dahulu," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

    Antaranya ialah gong, kamera, keris dan sundang yang menjangkau usia lebih 100 tahun. Itu belum termasuk ayat-ayat suci al-Quran yang digantung di dinding yang berusia 200 tahun.

    Nilai sejarah

    Rumah yang mengenengahkan konsep binaan rumah Melayu asli itu turut menempatkan pelamin bagi pasangan Melayu bersanding dan dihias dengan begitu unik tanpa menghilangkan nilai-nilai sejarahnya.

    Tarikan Villa Sentosa bukan sahaja pada barang antiknya, bahkan reka bentuk rumah itu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bertatahkan jubin pelbagai warna.


    SALAH sebuah rumah tradisional Melaka yang terdapat di Kampung Morten.


    Sebelum beredar, Abduk Rahim sempat membacakan serangkap pantun kepada kami.

    Villa Sentosa nama rumahnya,

    Telah dibina berdekatan Sungai Melaka,

    Jika anda sudi melawatinya,

    Anda tidak akan lupa selama-lamanya.


    SEORANG pengunjung memukul gong yang berusia 200 tahun yang terdapat di Villa Sentosa.


    Lupakan sebentar reka bentuk rumahnya, kami menyelami pula budaya mereka. Umum mengetahui walaupun dihimpit pembangunan, masyarakat setempat masih mengamalkan cara hidup kampung.

    Bagi Nizam Misni, 41, dia tidak pernah merasa sukar untuk tinggal di kampung itu walaupun berada di tengah-tengah bandar.

    "Kami penduduk kampung yang masih mengamalkan 100 peratus adat budaya orang Melayu. Misalnya bertukar-tukar juadah, bertarawih secara jemaah di surau pada bulan Ramadan seperti yang dilakukan oleh orang-orang Melayu di kawasan pedalaman," katanya.


    VILLA Sentosa sentiasa menjadi tumpuan pelancong kerana mempunyai pelbagai barangan antik dan bersejarah.


    Bukan itu sahaja, suasana menjadi lebih meriah ketika Hari Raya Aidilfitri. Para penduduk kampung sibuk beraya dari rumah ke rumah dengan masing-masing melaram baju Melayu dan baju kurung baru.

    Menurut Nizam, pada sambutan Hari Raya Aidiladha aktiviti lembu korban juga dijalankan. Sukar untuk membayangkan betapa meriahnya suasana ketika itu.




    "Tidak pernah terfikir pun untuk berpindah ke mana-mana. Biarlah sampai bila-bila pun saya tetap berada di kampung ini, anak jati Kampung Morten," katanya menutup bicara.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    AgroBazar Kedai Rakyat tingkatkan ekonomi


    Muhamad Idris Mansor BANGGA BERDIRI DI DEPAN KEDAINYA SEBAGAI BUKTI KEJAYAAN SEJAK TERLIBAT DALAM PROGRAM aGRObAZAAR.

    LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) antara agensi Kementerian dan Industri Asas tani yang memperkenalkan banyak program untuk membantu masyarakat luar bandar meningkatkan ekonomi mereka.

    Antara yang diperkenalkan ialah AgroBazar Kedai Rakyat iaitu satu program membantu meringankan bebanan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana terutama di kawasan luar bandar.

    AgroBazaar Kedai Rakyat berkonsepkan perniagaan milik usahawan dengan identiti tersendiri serta menjual barangan keperluan asas pada harga yang dikawal.

    FAMA akan membekalkan papan tanda berlampu serta rak yang bersesuaian bagi mewujudkan suasana menarik dan seragam dengan konsep perniagaan yang akan dijalankan.

    Bagi tahun ini, sebagai permulaan, FAMA mensasarkan penubuhan sejumlah 40 buah AgroBazaar Kedai Rakyat.Bagi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pula dijangkakan jumlahnya akan mencecah sehingga 1,000 unit di seluruh negara.Ini adalah selaras dengan misi FAMA untuk membangun rantaian pemasaran makanan dan hasil pertanian yang cekap dan berkesan bagi meningkatkan nilai kepada pelanggan.Salah seorang usahawan yang telah menyertai program FAMA ini ialah Muhamad Idris Mansor dari Kg. Sungai Baru, Kuala Sanglang, Kedah.Berusia 36 tahun, beliau yang dahulunya menjadi nelayan kini telah berjaya membangunkan perniagaan borong dan runcit di Kg. Simpang Sanglang, Perlis, terletak bersempadan Negeri Kedah dan Perlis).

    Minatnya untuk berniaga timbul sejak zaman persekolahan di Ipoh dengan mengusahakan perniagaan air soya, tauhu dan taufu fah.Selepas menamatkan pengajiannya di Sekolah Agama (2 Senawi), beliau kembali ke kampung halamannya di Kuala Sanglang dan menjalani penghidupan sebagai nelayan selama lima tahun.Kesukaran serta kesulitan hidup yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut telah membuka hati beliau untuk berkecimpung sepenuh masa dalam bidang perniagaan.Beliau memulakan perniagaan gerai tepi jalan dengan menjual hasilan laut dan sayur-sayuran yang diperolehi daripada nelayan dan petani dari kawasan berhampiran.

    Berkat usaha gigih serta sokongan isterinya, Aziroh Abu Bakar serta enam anak, perniagaannya terus berkembang sehingga membolehkan beliau menyewa rumah kedai tempat perniagaannya sekarang.Kini beliau mengusahakan perniagaan kedai runcit, barangan basah (ikan, daging, ayam, sayur dan buah), barangan sejuk-beku dan stesen minyak mini.Di samping itu, perniagaan beliau juga bertindak sebagai pembekal (pemborong) kepada peniaga-peniaga kecil di persekitaran.Bermula Julai lalu, beliau menerima tawaran daripada pihak FAMA Negeri Perlis untuk menyertai program AgroBazaar Kedai Rakyat.

    Penyertaannya membolehkan beliau menerima bantuan daripada FAMA meliputi penyediaan papan tanda, mengecat bangunan perniagaan, pinjaman rak perniagaan, payung serta kanopi di samping bekalan secara produk Agromas keluaran FAMA.Menurut Muhamad Idris, kewujudan AgroBazaar Kedai Rakyat telah memberi nafas baru kepada perniagaannya di mana nilai jualan harian meningkat antara 20 dan 30 peratus.Ini disebabkan keunikannya di samping konsep perniagaan yang mampu menarik lebih ramai pelanggan.Sehubungan itu, beliau berhasrat untuk memperbesarkan perniagaannya lagi dengan meluaskan premis perniagaan serta menambah cawangan di pekan berhampiran.Setelah 12 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, pulangan yang diperoleh amat membanggakan sehingga beliau mampu memiliki rumah sendiri bernilai RM 100,000 di samping membeli sebuah rumah kedai, sebuah kedai makan, sebuah perahu, kereta dan van.

    Adalah diharapkan pencapaian beliau ini mampu memberi inspirasi kepada usahawan-usahawan lain untuk terus bergiat serta memajukan diri di bidang perniagaan.FAMA akan sentiasa membantu dengan program dan aktiviti yang telah ditetapkan ke arah mewujudkan usahawan yang cemerlang, gemilang dan terbilang tanpa batasan agama, bangsa atau budaya selaras dengan konsep Gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments