Nostalgia nasi lemak Tanglin
|
|
SENARIO orang beratur panjang untuk membeli nasi lemak Tanglin pada setiap pagi menjadi nostalgia manis bagi sebilangan warga Kuala Lumpur.
Nama nasi lemak Tanglin diperoleh daripada tempat ia dijual, iaitu Poliklinik Komuniti Tanglin. Terletak tidak jauh dari Bukit Aman, Masjid Negara dan Sekolah Menengah Perempuan Methodist.
Ia cukup popular bukan saja di kalangan mereka yang bekerja atau tinggal berdekatan. Malah, ada yang datang sejauh Petaling Jaya, Shah Alam, Selayang dan sebagainya.Sekali pandang nasi lemak Tanglin sama sahaja seperti nasi lemak lain. Tetapi bagi yang mencubanya dapat merasakan kelainan pada sambal tumis yang cukup enak.Sambal tumisnya dimasak lama antara tiga atau empat jam sehingga bawang hancur dan sebati dengan kuah serta warnanya berubah menjadi merah kehitaman.Apa yang pasti, nasi lemak ini merupakan resipi tradisional pengasasnya, Suryati Jawirunnah sejak ia pertama kali dijual sekitar tahun 1948 di Kuala Lumpur.
Kini perniagaan tersebut telah diambil oleh anak-anaknya. Nasi lemak Tanglin masih lagi dijual secara tradisional di gerai di Tanglin pada waktu pagi.
Oleh kerana ramai yang membeli maka ia cepat habis.
Bagaimanapun kini penggemar nasi lemak tersebut boleh menikmatinya pada bila-bila masa selepas pembukaan Restoran Nasi Lemak Tanglin di Bangsar (berhadapan Bangsar Village).
Restoran milik Norain Abdul Jalil itu baru dibuka sejak bulan Februari lalu dan merupakan rakan niaga bersama anak Suryati, Zainal Abidin Hassan yang bertujuan untuk mempopularkan lagi nasi lemak Tanglin.
Pengurus restoran, Eizham Zulkifli berkata, lauk-pauk nasi lemak yang dijual di restorannya itu masih dimasak sendiri oleh Zainal Abidin dan akan dihantar ke restoran setiap hari. Cuma nasi lemak sahaja yang dimasak di restoran.
‘‘Keistimewaan nasi lemak ini adalah sambal ikan bilisnya. Apabila pelanggan membeli, sambal ini akan dicampurkan sekali dengan kuah hitam daging. Itu yang membuatkannya begitu sedap.‘‘Rasa sambal ini memang konsisten dan tidak berubah-ubah. Pelanggan memang sukakan sambal tersebut,’’ katanya yang menerima pelanggan pelbagai kaum.Selain sambal, terdapat banyak lagi lauk lain seperti sotong, rendang daging, rendang ayam, ayam goreng, limpa berlada, bergedil, sambal kerang dan paru goreng.Selain nasi lemak terdapat juga bermacam jenis makanan lain seperti mi rebus, kuay teow, asam laksa dan pelbagai jenis snek, makanan pencuci mulut, sup dan minuman yang menyelerakan.
Restoran yang mula dibuka sejak pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah malam itu mengenakan harga yang amat berpatutan.Nasi lemak biasa dijual pada harga RM4.50, nasi lemak paru goreng RM9.45, nasi lemak sambal kerang RM10.45 dan nasi lemak rendang ayam atau daging RM12.45.Jika ditambah dengan lauk-pauk lain, harganya ditambah sedikit lagi dan hidangan ini memang cukup mengenyangkan dan memuaskan hati.Terdapat juga hidangan kombo, iaitu nasi lemak dengan satu lauk dan minuman teh limau cuma berharga RM10.Begitu juga kombo mi dan minuman teh limau yang berharga sama. Bagi kombo roti bakar hainan dengan telur setengah masak dan teh tarik atau kopi berharga RM5.
0 comments:
Post a Comment