Virtual Scope bantu usahawan IKS bina laman web promosi produk


KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kesukaran usahawan tempatan untuk memasarkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) menjadi antara punca perniagaan tersebut kurang berjaya di negara ini.Rata-rata mereka yang terdiri daripada usahawan bumiputera tidak mahir memasarkan produk mengikut cara moden dan masih menggunakan kaedah pemasaran lama termasuk jualan rumah ke rumah.Justeru sebuah syarikat milik bumiputera, Virtual Scope Sdn. Bhd. tampil menawarkan perkhidmatan perisian untuk membantu usahawan IKS membina laman web bagi mempromosikan produk mereka sehingga ke peringkat global.Pengarah Eksekutifnya, Zawahir Abdullah berkata, dengan perkhidmatan perisian itu, usahawan IKS dapat membina laman web untuk mempromosi serta memasarkan produk keluaran mereka secara dalam talian.

''Kami telah mengenal pasti masalah utama usahawan IKS tempatan adalah tidak mahir dalam memasarkan produk mereka. Kebanyakannya tidak mahir membina laman web perniagaan untuk mempromosikan produk walaupun sedar ia merupakan medium pemasaran terbaik pada masa kini.

''Jadi, kami cuba membantu mereka dengan menawarkan produk berbentuk perisian komputer iaitu MyOwnWeb2u.com yang membantu menyediakan laman web perniagaan dengan mudah dan boleh dilakukan sendiri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zawahir, perisian yang dicipta oleh syarikatnya itu amat mudah digunakan kerana ia mengaplikasikan kaedah 'Do It Yourself' (DIY) yang menyediakan tapak laman web dan usahawan hanya perlu memasukkan maklumat serta gambar produk sahaja.Katanya, idea untuk membina perisian tersebut timbul apabila mendapati kebanyakan usahawan IKS tempatan terdiri daripada masyarakat kampung yang kurang mahir mengendalikan laman web.

''Pada zaman serba canggih yang segalanya boleh dilakukan menerusi Internet, usahawan IKS sepatutnya menggunakan peluang yang ada ini untuk meluaskan lagi perniagaan mereka sehingga ke peringkat global.''Kami membina perisian ini juga bagi menyokong saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Internet dapat digunakan sebagai medan bagi mempertingkatkan ekonomi dengan menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian,'' jelasnya.

Beliau menyasarkan seramai 100,000 usahawan IKS akan menggunakan perkhidmatan tersebut tahun depan.Zawahir berkata, perkhidmatan perisian berharga RM365 itu akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Disember ini.Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi Mohd. Rayus Abdul Rahim di talian 010-423772 atau Hasrol Amri Abu Yazid di talian 012-2592759.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: