Wujudkan segera Kementerian Perusahaan Kecil dan Sederhana.

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) menggesa kerajaan agar mewujudkan segera Kementerian Perusahaan Kecil dan Sederhana sekiranya mahu melihat golongan usahawan kecil bumiputera berdaya saing dan maju di negara ini.Presidennya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammad berkata, langkah itu wajar kerana segala permasalahan yang dihadapi oleh usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bumiputera selama ini akan dapat ditangani dengan lebih efektif.

''Komita juga yakin dengan kewujudan kementerian itu, segala permasalahan golongan usahawan kecil sudah tentu dapat diatasi dengan lebih berkesan kerana ia mempunyai menteri dan juga agensi khusus di bawahnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.Beliau diminta mengulas komen Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan hari ini yang bangga dengan kejayaan Komita mempromosikan produk usahawan kecil di luar negara seperti di Perth, Australia baru-baru ini, walaupun tidak mendapat tempat di negara sendiri.Awang juga turut mempersoalkan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan produk-produk keluaran bumiputera adalah tidak bermutu, justeru ada antaranya gagal mendapat tempat di pasar raya besar.

Sambil menyokong ulasan Awang itu, Ahmad Dusuki juga menafikan perkara itu dan ini dibuktikan dengan pengiktirafan pihak kuarantin Australia yang cukup dikenali dengan peraturan ketatnya.

Beliau seterusnya berkata, cadangan mewujudkan kementerian itu adalah jalan terbaik kerana Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini sebenarnya banyak membantu usahawan bumiputera sebelum ia dibubarkan.Sementara itu, Ahmad Dusuki menambah, sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula kelulusan lesen untuk mendirikan pasar raya besar atau pasar raya di negara ini.Beliau menegaskan, kelulusan lesen pasar raya yang tidak dikawal atas alasan pelaburan langsung asing (FDI) negara tidak boleh dijadikan alasan kerana kehadiran mereka tidak membantu PKS.''Tidak ada gunanya jika pasar raya besar dan pasar raya yang diberi lesen, tetapi kemudiannya menyisihkan produk usahawan kecil daripada memasuki pasaran, ini akhirnya tidak membantu usahawan PKS untuk memasarkan produk mereka," tegas beliau.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan agar membantu peniaga runcit bumiputera terutamanya di luar bandar dengan kursus kemahiran komunikasi dan menyediakan geran bagi meningkatkan sistem dalam kedai runcit mereka dengan peralatan komputer.

Sementara itu, Setiausaha Komita, Suriati Abd. Rahman berkata, komen Awang Selamat mengenai perkara itu ada kebenarannya dan diharapkan pasar raya besar di negara ini melihat sendiri pengiktirafan Australia terhadap produk bumiputera.Beliau juga berkata, kementerian yang dipertanggungjawabkan perlu memainkan peranan lebih proaktif membantu golongan usahawan PKS bumiputera yang kini semakin tidak bermaya.

''Kementerian terbabit perlu memainkan peranan kerana jika produk bumiputera diterima di negara asing, kenapa tidak di negara sendiri.''Saya rasa ada rakyat di negara ini tidak kenal pun produk kita sendiri," katanya yang memuji langkah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sentiasa membantu usahawan PKS bumiputera memasarkan produk mereka ke luar negara.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: