Siri jelajah Forest Secret Terengganu dilancar.


Mohamed Awang Tera (empat dari kiri) menyempurnakan pelepasan kenderaan jelajah Forest's Secret Terengganu Roadshow di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 25 Nov. - Cakna Sdn. Bhd. yang memiliki jenama rangkaian kedai serbaneka 24 jam, T'Shoppe akan menjalinkan kerjasama pasaran dengan pengeluar produk herba, Forest's Secret Sdn. Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, ia merupakan satu langkah yang dapat memperluaskan pasaran lebih 240 produk syarikat berkenaan melalui premis-premis runcitnya.

Cakna, sebuah anak syarikat Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) milik kerajaan negeri mempunyai rangkaian kedai di hampir seluruh daerah di negeri ini.

''Cakna dalam masa yang sama juga memiliki 51 peratus pegangan saham dalam Forest's Secret.

''Jalinan ini bakal memberi peluang kepada kedua-dua perniagaan bekerjasama dalam membentuk satu rakan niaga yang lebih berjaya pada masa akan datang," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan 'Forest's Secret Terengganu Roadshow' di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Malaysia International Franchise Sdn. Bhd., Datuk Shalimin Shaffie, Pengurus Besar Forest's Secret, Intan Hyriatee Mohd. Zawai dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik.Program 22 hari ini antara lain bertujuan untuk mempromosi dan mencorakkan kesedaran umum terhadap produk-produk keluarannya di samping memperluaskan rantaian pengedaran melalui program francais mikro.Siri jelajah ke seluruh negeri ini dijayakan dengan kerjasama YPU, Pusat GiatMara, Bank Rakyat dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA).

Forest'Secret yang diperkenalkan pada 2007 merupakan jenama herba terbaik dari hutan hujan tertua di dunia yang menawarkan kepelbagaian pilihan produk berasaskan sumber semula jadi.

Ia merangkumi kosmetik warna, penjagaan badan dan kulit, makanan dan minuman kesihatan, aromaterapi dan spa.

Dalam masa tiga tahun beroperasi, syarikat ini mempunyai lapan buah premis, lima daripadanya di Lembah Klang dan setiap satu di Johor Bahru, Melaka dan Kuala Terengganu.

Bersandarkan kualiti produk, Forest'Secret telah menerima anugerah jenama terbaik dalam kategori penjagaan badan dan kulit untuk tiga tahun berturut-turut bermula dari 2007 hingga 2009 oleh Brand Laureatte.Sementara itu, Pengurus Besar syarikat berkenaan, Intan Hyriatee Mohd. Zawai berkata, program ini juga bakal melatih usahawan-usahawan francais mikro yang akan menyokong perkembangan produk Forest's Secret di negeri ini."Pelancaran ini merupakan Program Francais Mikro pertama di negara ini yang bakal memberi peluang kepada usahawan tempatan yang berminat untuk memulakan perniagaan sendiri dengan mudah.

"Dengan modal permulaan sebanyak RM3,000 yang disediakan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS), lebih ramai usahawan dapat dilatih khususnya di kalangan wanita muda," jelasnya.Serentak dengan siri jelajah ini juga, pasukan promosi 'Forest's Secret Mobile' turut dilancarkan dengan kerjasama media iaitu Utusan Malaysia dan Terengganu.fm serta melalui interaktif khidmat pesanan ringkas (SMS).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: