Anwar bukan Aung San Suu Kyi


TULISAN Motte mengenai Anwar yang dimuatkan dalam blog The New Ledger. Gambar kecil Suu Kyi.


LAGAK pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti akan menarik perhatian setiap kali beliau membuat lawatan ke luar negara.

Baru-baru ini beliau membuat kunjungan ke Australia dan sekali lagi Anwar menunjukkan beliau semakin terdesak untuk mencari sokongan dari negara luar.

Menurut sebuah rencana yang ditulis oleh Rachel Motte dalam sebuah blog yang dikenali sebagai The New Ledger, Anwar berada di Australia minggu ini dan berucap mengenai keadilan sosial, demokrasi dan masalah perundangan yang dihadapinya.

Menurut Motte, Anwar turut menyatakan pandangan tentang pembebasan pemimpin pembangkang di Myanmar Aung San Suu Kyi, dimana pembebasan itu tidak memberi apa-apa makna sehinggalah Suu Kyi dibenarkan kembali memimpin negara itu.

"Anwar nampaknya telah menggunakan isu pembebasan Suu Kyi untuk mengaitkan dengan masalah politiknya dengan mendakwa Asutralia sepatutnya lebih lantang bersuara dalam kekejaman yang berlaku di Myanmar dan Malaysia," tulis Motte.

"Menurut beliau dalam satu kenyataan Anwar telah menyatakan, "Saya merasakan kerajaan Australia telah mendapat pandangan yang silap jika terus bersikap seperti ini... Saya tidak mencadang anda (kerajaan Australia) perlu campur tangan, tapi anda perlu melahirkan pandangan, anda perlu mempromosikan masyarakat sivil, sebagai asas demokrasi yang penting, anda mempunyai tugas yang perlu dilakukan...

"Saya berpandangan isu seperti demokrasi, hak asasi manusia, pelaksanaan undang-undang, ia bukanlah perkara yang anda boleh ketepikan, kata Anwar.

Ujar Anwar lagi, "Saya pasti sangat berterima kasih kepada Menteri Luar Kevin Rudd, yang sudi meluangkan masa dan kami telah berbincang tentang perkara bermanfaat dalam isu berkait dengan kedua-dua negara dan sudah tentu termasuk kesusahan dan masalah yang berlaku kepada saya.

Perhatian

"Saya akan terus memberi keutamaan bahawa anda perlu terus memberi perhatian tentang isu seperti kebebasan dan hak asasi manusia. Ia adalah menjangkaui kes peribadi Anwar," katanya.

Berdasarkan penilaian Motte, masalahnya di sini adalah ia merupakan kes peribadi Anwar dan adalah sangat berbeza apa yang berlaku terhadap Suu Ky,i malah lanskap politik Malaysia dan Myanmar tidak langsung mempunyai persamaan.

Ujar Motte, Suu Kyi pernah dinobatkan dengan Anugerah Nobel pada 1991 atas usaha perjuangan tanpa keganasan untuk demokrasi dan hak asasi manusia di Myanmar. Ayah beliau, Aung San yang terlibat dalam proses perundingan kemerdekaan Burma dari jajahan British pada 1947, telah dibunuh oleh musuh politiknya ketika Suu Kyi berumur dua tahun.

"Apabila ibunya yang berkhidmat sebagai duta meninggal dunia pada 1989, Suu Kyi telah menghambakan diri dalam memperjuangkan demokrasi seperti mana keluarganya. Beliau aktif dalam pergerakan pro-demokrasi di Myanmar yang kemudian mengakibatkan Suu Kyi dikenakan tahanan rumah pada 1989 tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan dilakukan.

"Bagaimanapun di sebalik kesukaran yang dihadapi, partinya telah memperoleh majoriti yang besar dalam pilihan raya 1990 malah berpeluang menjadi Perdana Menteri jika pihak tentera tidak campur tangan,: kata Motte.

Katanya lagi, Suu Kyi yang dibebaskan dari tahanan rumah pada 13 November lepas telah menderita akibat dikenakan tahanan rumah dalam tempoh 15 tahun dari 21 tahun lepas selain terpaksa berpisah dari keluarga. Beliau hanya berpeluang menemui suaminya Michael Aris sebanyak lima kali dalam 10 tahun terakhir sebelum kematiannya.

"Walaupun terdapat campur tangan dari tokoh seperti bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan dan Pope John Paul II, ia tidak mampu mengubah pendirian pihak junta supaya Aris diketemukan dengan Suu Kyi.

"Beliau juga telah terpisah sejak sekian lama dari dua orang anaknya selain terpaksa hidup dalam keadaan kesempitan dan kesusahan dan adakalanya tanpa bekalan elektrik," tulis Motte..

Menggadai

Menurut Motte yang juga seorang blogger dan pernah menulis di CNN.com, Suu Kyi tetap memilih untuk hidup dalam keadaan sukar daripada menggadaikan usaha memimpin demokrasi di Mynmar malah pernah ditawarkan pembebasan sebagai pertukaran beliau ke luar negara. Namun semua usaha kotor ini ditolak.

"Jika ada sesiapa yang tersiksa dalam usaha menegakkan demokrasi, orang itu adalah Suu Kyi tetapi bukan Anwar. Beliau telah menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan untuknya seperti faedah perbicaraan, sepasukan peguam, kemudahan kepada perhubungan media sama ada tempatan dan luar negara, memiliki parti politiknya sendiri malah berpeluang mengembara ke seluruh dunia tetapi tiba-tiba memberitahu rakyat Australia minggu ini bahawa peranannya perlu menjadi lebih jelas dalam memperjuangkan demokrasi..

"Jika tidak anda mempunyai kedudukan yang kukuh di Myanmar tetapi tidak dalam hal kekejaman di Malaysia," katanya yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR)..

Ujar Motte lagi, Anwar tidak sama dengan Suu Kyi. Malah tindakan nya sebagai antara pengasas sebuah pertubuhan Global Muslim Brotherhood menunjukkan beliau sebenarnya menolak idea mengenai demokrasi tidak seperti Suu Kyi yang telah banyak berkorban untuk demokrasi.

Tulisnya, pada tahun 70-an dan 80-an ketika Suu Kyi sibuk dengan kerja-kerja yang mengakibatkan beliau dihumban ke penjara, Anwar pula berkhidmat pemegang amanah World Assembly of Asian Youth. The Pew Forum pula menggambarkan perhimpunan tersebut sebagai mempunyai hubungan dengan Muslim Brotherhood.

"Pada 2002, Suu Kyi telah mengambil peluang dari pembebasan sementara untuk menyambung kerja-kerja berkaitan pembebasan Myanmar.

"Manakala Anwar pula melalui International Institute of Islamic Thought (IIIT) telah dikenakan saman bagi pihak mangsa dan keluarga yang terkorban dalam peristiwa 9 September 2001, yang dilancar terhadap pertubuhan yang didakwa membantu dana kumpulan radikal Islam," tulis Motte yang juga graduan dari Biola University dan Torrey Honors Institute dalam pengajian Sejarah.

Menurut Motte, pada 2007, apabila Suu Kyi membuat kenyataan nasional media, yang pertama dalam tempoh empat tahun dari tahanan rumah, Muslim Brotherhood pula menamakan IIIT yang dikaitkan dengan Anwar dalam senarai ke 29, "pertubuhan kami dan pertubuhan untuk rakan kami" (our organizations and the organizations of our friends).

" Walaupun secara terang-terangan Anwar cuba menyamakan masalah politik dan perundangan yang dihadapinya di Malaysia dengan penyalahgunaan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh Suu Kyi di Myanmar, namun tiada siapa pun boleh menyamakan mereka.

"Anwar dan Suu Kyi mungkin menjadi pemimpin pembangkang di negara masing-masing tetapi persamaan antara mereka hanya setakat itu saja," akhiri Motte.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: