Tukang jahit



SUATU fenomena biasa apabila menjelang Aidilfitri antara golongan yang paling sibuk adalah tukang jahit. Bayangkan mereka terpaksa menyiapkan beratus-ratus pasangan pakaian yang ditempah supaya pelanggan dapat bergaya di pagi 1 Syawal.Ada pula pelanggan yang menghantar tempahan pada 'waktu kecemasan' iaitu pada awal atau pertengahan puasa. Hendak ditolak kesian terutama jika membabitkan pelanggan tetap. Jika diambil bimbang tidak dapat disiapkan.

Itu antara dilema yang dialami tukang jahit saban tahun setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.Tinjauan di beberapa kedai jahit sekitar Kuala Lumpur mendapati sejak sebelum Ramadan lagi mereka sudah menutup tempahan.Ada sesetengahnya pula satu atau dua bulan sebelum Ramadan sudah tidak menerima tempahan baju raya gara-gara bimbang tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

Seorang tukang jahit yang ditemui, Ramlah Ibrahim, 40, yang berniaga di bawah jenama R.I Collection berkata, dia terpaksa menutup tempahan sejak dua bulan lalu kerana tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi untuk menjahit baju raya sama ada baju kurung atau baju Melayu.''Setakat ini sudah ada 700 tempahan pakaian untuk disiapkan sebelum Syawal ini,'' ujarnya ketika ditemui di kedainya di Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur baru-baru ini.Ramlah yang sudah 10 tahun menjalankan perniagaan kedai jahit memberitahu, memang setiap tahun keadaan seperti ini.Malah masih ramai yang datang walaupun tempahan sudah ditutup.''Biarpun ada yang merayu-rayu agar menerima tempahan mereka tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana jika diambil juga bimbang lambat siap.

''Biarlah kami ambil setakat yang termampu sahaja. Nanti kalau pakaian tidak siap mereka juga yang marah," katanya.Berbanding tahun lepas kata Ramlah, tempahan tahun ini lebih menggalakkan sehingga dia terpaksa mengupah pekerja tambahan.Ssemua tempahan pakaian biasanya kata Ramlah, akan disiapkan seminggu sebelum Syawal kerana selepas itu dia perlu menumpukan perhatian kepada persiapan keluarga sendiri pula termasuk membuat kuih raya.Katanya, selain menjahit pakaian wanita dia juga menerima tempahan baju Melayu.Ditanya rutin hariannya sepanjang musim Ramadan ini, Ramlah memberitahu, setiap hari dia akan memulakan kerja-kerja memotong dan menjahit kain seawal pukul 9 pagi.

''Biasanya dua bulan sebelum raya kami sudah memulakan 'operasi' untuk raya. Jadi tidaklah kelam kabut sangat,'' ujarnya.

Walaupun hampir separuh tempahan disiapkan sebelum bulan Ramadan, dia tetap berkerja keras sehingga kadang kala hingga ke dinihari.''Saya lebih selesa jika semua tempahan disiapkan awal supaya tidak ada rungutan daripada pelanggan pakaian mereka tidak siap," katanya yang turut dibantu oleh suami.Ditanya mengenai cabaran memenuhi tempahan sepanjang bulan Ramadan dia mengakui, konsentrasi ketika menjahit mungkin berbeza dengan musim biasa.''Sebab itu, kami mulakan dari awal kerana kadang-kadang pada bulan puasa badan mudah letih jadi tumpuan ketika menjahit sedikit sebanyak terganggu,'' ujarnya lagi.

Sementara itu, pengurus Nomono Design, Norizan Mohd. Noor, 45, pula berkata, tahun ini dia menerima hampir 500 tempahan baju raya .Kedainya juga sudah tidak mengambil tempahan kecuali daripada pelanggan-pelanggan tetap."Kami mula buka tempahan baju raya sejak April lalu. Tetapi ia mula rancak dan datang mencurah-curah pada akhir bulan lepas.

"Memang beginilah keadaannya setiap tahun. Tempahan baju akan bertambah berlipat kali ganda setiap kali menjelang Hari Raya sehingga terpaksa menambah pekerja dan mesin jahit.

"Buat masa ini saya ada 10 mesin jahit yang beroperasi sepenuhnya. Pada masa sama saya juga menggunakan tiga khidmat tukang jahit yang bekerja dari rumah dan kami menggunakan 10 mesin jahit lagi," katanya sambil tangan ligat menggunting kain.

Menurut Norizan, sepanjang musim Ramadan ini rutin hariannya juga berubah di mana dia akan memulakan kerja menjahit pada tenghari dan membawa hingga menjelang sahur.Supaya keadaan tidak kelam-kabut dan kerja lebih tersusun, dia akan membuat jadual dengan menetapkan hari-hari tertentu untuk menjahit atau memotong sahaja.Katanya, kerja lebih masa memang tidak dapat dielak setiap kali bulan Ramadan kerana tempahan akan meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa."Kadang-kadang kami terpaksa berkerja sehingga 12 jam sehari. Waktu makan dan rehat pun terpaksa dilupakan bagi menyiapkan tempahan.


Nadiatul Idawiah Baharudin menyiapkan tempahan baju raya di kedainya di bangunan Medan Mara, Kuala Lumpur.

''Saya tidak kisah bersengkang mata asalkan semua tempahan dapat disiapkan. Lagi pun ini periuk nasi saya dan keluarga. Selain itu perlu juga jaga kepercayaan yang diletakkan pelanggan.

''Saya khuatir jika tempahan tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, pelanggan akan marah. Jadi kerja lebih masa pun tak kisah," katanya.

Menurut Norizan, dalam sehari seorang pekerja boleh menyiapkan hingga 10 pasang baju raya pelbagai fesyen.

''Disebabkan terlalu banyak tempahan, seorang tukang jahit terpaksa menyiapkan sehingga 10 pasang baju sehari berbanding hanya empat pasang pada hari-hari biasa,'' katanya.Menurutnya, baju kurung paling senang dibuat tetapi jika guntingan kain silap, ia akan mencacatkan pakaian, begitu juga dengan baju kebaya yang mengikut badan.''Setakat ini tidak pernah gagal memenuhi tempahan pelanggan. Semuanya siap sebelum Syawal tiba.''Ini juga memudahkan saya menentukan waktu yang sesuai untuk memberi ruang kepada pelanggan bagi menghantar tempahan di kedai kami supaya mengelakkan kelewatan.''Kebiasaannya pelanggan tetap akan menghantar lebih awal, berbeza dengan pelanggan yang belum kenal la gi. Oleh itu saya mengehadkan tempahan untuk pelanggan tetap sahaja," katanya.

Sementara itu, bagi Nurul Fiza Abd. Karim dari Sewing House yang terletak di Damansara, dia terpaksa berkorban dalam menyiapkan tanggungjawab yang diamanahkan oleh pelanggan.Oleh itu bagi memastikan tempahan dipenuhi, beliau yang dibantu oleh seorang lagi pekerja lain terpaksa menjahit sehingga lewat malam.''Dalam bulan Ramadan ini, kadang-kadang saya terpaksa tidur di kedai untuk menyiapkan tempahan baju raya," katanya.Menurutnya, setiap hari sebanyak lima hingga tujuh pasang baju raya boleh disiapkan mengikut corak dan rekaan baju tersebut.Dia yang sudah berpengalaman lebih lima tahun terlibat dalam dunia jahitan berkata, antara tempahan yang selalunya diterima adalah baju kurung moden, baju kurung asli dan baju kebaya.

''Upah yang dikenakan sama seperti tahun lepas iaitu RM60 sepasang manakala bagi baju Melayu RM90 sepasang bergantung pada corak dan rekaan.''Jika coraknya agak rumit dan susah serta menggunakan manik, saya akan mengenakan bayaran lebih tetapi berpatutan," katanya.Menurut Nurul Fiza, dia sentiasa peka dengan kedatangan Ramadan dan Syawal dengan melakukan persiapan lebih awal supaya keadaan tidak menjadi kucar-kacir.Ditanya mengenai pendapatan musim raya, dia memberitahu ia mencecah sehingga dua kali ganda berbanding musim biasa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: