Dulu minat herba, kini jual pokok kurma.


KURMA menjadi makanan pilihan sepanjang Ramadan.- Gambar hiasan

BUAH kurma bukan lagi asing bagi masyarakat di negara ini khususnya umat Islam, lebih-lebih lagi apabila pada bulan Ramadan.

Namun pernahkah anda terfikir untuk menanam pohon kurma atau memiliki sendiri ladang kurma di negara ini?Atau memiliki sebuah tapak semaian benih kurma untuk dijual secara komersial? Atau sekadar menanam pokok kurma di halaman sebagai hiasan yang indah?Usahlah berasa hairan jika berhasrat demikian kerana ia kini bukanlah sesuatu yang mustahil!

Selama ini, apa yang diketahui umum ialah pohon kurma hanya terdapat di negara padang pasir dan jika ditanam di negara ini maka persepsinya ialah pokok itu tidak akan berbuah.

Namun kajian menunjukkan pokok kurma boleh ditanam dan mengeluarkan buah di mana-mana sahaja jika diusahakan dengan cara yang betul.

Selain itu, tanggapan terhadap pokok kurma juga tidak seharusnya dilihat dari segi penghasilan buah semata-mata kerana ia juga cukup indah jika dijadikan hiasan di halaman.

Menyedari potensi besar tanaman pokok kurma, seorang guru matematik, Mohd. Rahof Abdul, 48, di Kampung Tehel Bemban, Melaka nekad mengeluarkan benih anak pokok kurma untuk dijual secara komersial sejak tiga tahun lalu.

Berbekalkan sedikit modal, dia mula menanam 1,200 benih pokok kurma sebagai permulaan di tapak semaian yang terletak bersebelahan rumahnya dengan keluasan sekitar separuh gelanggang badminton.Ternyata, kegigihannya ternyata tidak sia-sia bahkan memberi pulangan lumayan apabila hasil jualan anak-anak pokoknya mendapat sambutan menggalakkan.Ia dijual kepada orang ramai dengan harga sekitar RM250 sepokok bergantung kepada saiz dan usia.Mohd. Rahof memberitahu, permintaan tinggi terhadap pokok tersebut menyebabkan kini hanya tinggal kira-kira 300 anak pokok kurma yang masih boleh dijual.

‘‘Daripada 300 anak pokok itu, sebanyak 250 adalah jenis baka Tunisia manakala baki 50 lagi dari jenis Ajwa yang berusia antara enam bulan hingga dua tahun setengah,” katanya ketika ditemui Mega di Bemban Melaka baru-baru ini.Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau memilih untuk menjual anak pokok dalam polibeg kerana lebih mudah berbanding menjual pokok kurma dewasa yang harganya lebih mahal dan lebih sukar untuk dipindahkan.

Dengan cara itu, pembeli boleh menjaga sendiri dan melihatnya membesar sehingga mencecah usia dewasa .Jika dijaga dengan baik mengikut kaedah pendebungaan yang betul maka ia mulai mengeluarkan buah ketika berusia antara lima hingga tujuh tahun.Mengimbas semula bagimana timbul minat terhadap anak pokok kurma, Rahof berkata, beliau asalnya gemar menanam pokok herba.Bagaimanapun selepas menyaksikan sendiri sebuah syarikat kontraktor berjaya menjual sebatang pokok kurma dengan harga RM2,000 kepada sebuah resort di Melaka untuk dijadikan hiasan, minatnya mula timbul.

Katanya, hasrat untuk membuka tapak semaian anak pokok kurma semakin membuak-buak apabila berkunjung ke Madinah dan Mekah.‘Di Madinah kita boleh lihat hotel menjadikan pohon kurma sebagai hiasan, ia bertambah cantik bila disapu syalek.“Selain itu, di sana juga kita boleh lihat pokok kurma sungguh cantik dijadikan hiasan di kaki lima jalan raya,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik Jasin.

Maka sekembali di tanah air, dia melihat terdapat ruang dan peluang yang luas untuk rakyat negara ini menceburi bidang penanaman pokok kurma secara komersial khususnya bagi masyarakat Islam yang amat dekat kehidupan mereka dengan kurma.

Lebih-lebih lagi, katanya, pohon kurma bukan sahaja disebut beberapa kali dalam al-Quran tetapi juga terbukti terlalu mempunyai banyak khasiat.Bagi tujuan hiasan, keindahan pokok kurma tidak dapat dinafikan lagi untuk dijadikan hiasan bagi menggantikan pokok palma atau kelapa sawit atau tanaman biasa lain.Ini kerana, katanya, ia akan lebih menampakkan imej Islam dan mempunyai nilai estetika yang tinggi dan menenangkan khususnya untuk lokasi seperti masjid, surau, pusat Islam, universiti, lokasi awam dan sebagainya.Selain itu, debunga kurma juga boleh digunakan bagi meningkatkan kesuburan wanita dan lelaki untuk pasangan yang sukar mendapatkan cahaya mata.

Allah s.w.t menjadikan buah kurma cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tiada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau.Allah pelihara dan memuliakannya manakala pokok kurma mesti disenyawakan oleh tangan manusia.Di Madinah hanya orang Arab sahaja yang sanggup memanjat dan turun naik ke atas pokok kurma untuk melakukan pencantuman ini.‘‘Pendebungaan secara manual oleh manusia dengan mengambil debunga jantan lalu diketuk ke mayang pokok betina,” kata Mohd. Rahof.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan anak pokok kurma boleh menghubungi beliau di 013-6476591 atau emel di rahofmra@yahoo.com.my.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: