Resipi peribadi Mastura


Mastura (tudung putih) memerhatikan pekerjanya menyiapkan tempahan biskut raya.

KEDATANGAN hari raya menjanjikan pendapatan yang lumayan bagi sesetengah orang. Mereka yang memiliki kemahiran menjahit pakaian, menjahit langsir, membuat biskut raya dan sebagainya memang tidak menang tangan pada ketika ini bagi menyiapkan tempahan pelanggan.Bagi yang menjahit pakaian, ada yang telah menutup tempahan kerana hendak memberikan tumpuan kepada tempahan yang sedia ada.

Begitu juga dengan mereka yang mengambil tempahan menjahit langsir. Tempahan sudah tidak diterima pada waktu ini kerana awal-awal lagi pelanggan telah menghantar langsir untuk dijahit sebagai persiapan menjelang raya.

Tidak kurang sibuk ialah pengusaha biskut raya kerana mereka telah pun membuat sampel biskut untuk diedarkan bagi memudahkan pelanggan membuat pesanan.Pada kita yang tidak terlibat pastinya merasakan bahawa hari raya lambat lagi dan belum teringin untuk menempah biskut. Namun diam tak diam, masa berjalan begitu pantas dan akhirnya tiba bulan Ramadan di mana pada ketika itu barulah sibuk mencari siapa yang berniaga biskut raya.Dalam kunjungan ke rumah Mastura Yusof di Taman Bukit Indah, Ampang, Selangor baru-baru ini, aroma biskut raya menerjah hidung sebelum tiba di rumahnya.

Di ruang letak kereta rumah Mastura, para pekerjanya sedang sibuk menerap pelbagai bentuk biskut raya. Beberapa dulang besar yang berisi biskut tersedia menunggu masa untuk dibakar.Mastura yang telah 26 tahun mengusahakan perniagaan membuat biskut raya berkata, setiap tahun, iaitu dua bulan sebelum tiba bulan Ramadan dia sudah mula membuat biskut raya untuk jualan dan tempahan pelanggan yang mula masuk mencurah-curah.Produk biskut keluarannya yang dinamakan Mass Delight memang cukup popular apatah lagi di kalangan mereka yang telah biasa merasai biskut Mastura.Menurutnya, terdapat 12 jenis biskut yang dibuat di bawah nama Mass Delight dan semuanya adalah hasil resipi Mastura sendiri.

Antaranya ialah tat blueberry, snow almond, suji salju, coklat almond roche, strawberry moist dan tar gunting.''Paling mendapat permintaan sejak dulu hingga sekarang ialah tat gunting. Biskut ini memang popular sejak dahulu dan memang tidak menang tangan hendak membuatnya. Selain tat bluberry juga cukup disukai pelanggan.

''Resipi biskut ini dan bahan-bahannya memang sama daripada dulu hingga sekarang. Walaupun harga barangan membuat biskut naik namun saya tidak mengurangkan bahan atau menggantikan dengan bahan yang lebih murah. Kualiti dan rasa amat saya utamakan demi kepuasan pelanggan.''Saya tidak mengharapkan pekerja untuk menyiapkan biskut ini. Pekerja hanya mengisi inti dan saya bersama anak akan menggunting bahagian atas tat,'' ujar ibu kepada dua orang anak perempuan ini.Tambah Mastura, harga berpatutan menjadi antara faktor dia mengekalkan pelanggannya daripada dulu sehingga sekarang.

Dibantu oleh lapan orang pekerja yang memulakan kerja membuat biskut dari pagi hingga 12 malam, biskut keluaran Mass Delight bukan hanya popular di kalangan pelanggan Melayu atau ketika hari raya sahaja malah dia juga menerima tempahan untuk hari perayaan bangsa lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.Selain biskut, kata Mastura, dia turut menerima tempahan membuat kek, coklat untuk cenderahati, hamper dan hantaran, kuih tradisional kering seperti rempeyek dan sebagainya.Dia juga kerap menganjurkan kelas masakan pelbagai jenis makanan (makanan Barat, nasi, kuih talam dan sebagainya) selain menerima tempahan katering untuk apa sahaja majlis.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: