Kraf tangan plastik ubah kehidupan


Najib Tun Razak tertarik hasil kraf tangan daripada tali plastik ketika mengadakan lawatan di Pusat Komuniti Bersepadu Bukit Kenau, Pulau Manis, Pekan, baru-baru ini. – utusan/RUSHDI SALLEH

PEKAN 11 Feb. - Tiada apa yang dapat merubah corak kehidupan seseorang melainkan hanya dengan usaha sendiri tanpa mengenal erti penat dan lelah.Tanpa usaha yang gigih atau dalam erti kata lain ikhtiar hidup, mana mungkin kesenangan dapat diperoleh dengan sewenang-wenangnya.

Walau segunung bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada golongan miskin sekalipun, sekiranya individu itu tidak memanfaatkannya, masalah kemiskinan tetap tiada berkesudahan.

Namun, lain pula kisahnya di penempatan Pusat Komuniti Bersepadu Bukit Kenau, Pulau Manis di sini.Kesemua isi rumah terdiri daripada golongan miskin tegar yang mahu mengubah kehidupan dan keluar daripada kepompong kemiskinan.Penempatan itu merupakan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyediakan kemudahan dan keperluan pekerjaan yang pastinya menjamin kualiti kehidupan yang lebih sempurna.Idea Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu adalah peluang menjana pendapatan bukan sahaja kepada golongan lelaki iaitu ketua isi rumah tetapi sesiapa sahaja boleh menyertainya termasuk suri rumah dan anak-anak.

Dengan kerjasama daripada sebuah syarikat yang sebelum ini beroperasi di Langkawi, Kedah, Neez Enterprise menawarkan pekerjaan berasaskan kreativiti iaitu menghasilkan kraf tangan daripada tali plastik.

Pekerjaan menghasilkan kraf tangan seperti bakul, beg tangan, beg pakaian, bekas telur, pasu bunga dan bakul sampah sememangnya sesuai untuk golongan wanita.Menariknya, seorang guru yang cukup berpengalaman dalam bidang kraf tangan yang didatangkan khas dari Langkawi diberi tanggungjawab membimbing komuniti di situ.Menurut tenaga pengajar itu, Rosilawani Abd. Majid, 30, dia akan membimbing sesiapa sahaja yang berminat untuk menambah pendapatan melalui penghasilan barangan kraf tangan itu.“Pada masa kini, projek kraf tangan tersebut ditempatkan di dewan orang ramai pusat komuniti ini dan beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.“Komuniti di sini terutama suri rumah dilihat cukup berminat dan memberi komitmen yang amat baik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini.Dia yang juga anak kelahiran Pekan berkata, syarikat berkenaan memberi upah antara 50 hingga 70 peratus daripada hasil jualan barangan kraf itu kepada peserta terbabit.

“Sehingga kini, terdapat kira-kira 50 peserta sehari dan kita menerima begitu banyak tempahan seperti beg tangan dan bakul serbaguna.“Menariknya, kraf tangan tersebut dihasilkan mengikut dua kategori iaitu untuk pengguna biasa dan orang kenamaan,” katanya.

Beliau memberitahu, harga yang ditawarkan produk kraf tangan itu adalah dari RM5 hingga RM300.

Terkini, semua beg dan bakul yang dihasilkan telah ditempah untuk pasaran di Rantau Panjang, Kelantan dan Padang Besar, Perlis.“Sejak sebulan beroperasi di Bukit Kenau ini, permintaan begitu menggalakkan terutama untuk pasaran tempatan,” katanya.Sementara itu, menurut seorang peserta, Imiah Adam, 60, dia bersyukur kerana masih berpeluang menjana pendapatan daripada upah menghasilkan barangan kraf tangan.

“Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir akan memperoleh pendapatan sendiri kerana hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai penoreh getah.“Dengan adanya peluang sebegini, saya bersyukur kerana membantu suami bagi menanggung keperluan keluarga,” katanya.

Ibu kepada sembilan orang anak itu berkata, dia tidak mempunyai masalah bekerja di situ kerana anak-anak telah bersekolah.

“Kerja senang sahaja. Yang penting kita mesti rajin dan mengikut nasihat tenaga pengajar.

“Saya tidak perlu fikir masalah anak-anak di rumah kerana semuanya bersekolah asrama. Selepas selesaikan tugas sebagai suri rumah, saya segera ke dewan ini,” kata Imiah yang berasal dari Kampung Seri Damai, Kuantan.Bagi Sabariah Osman, 50, selain menambah pendapatan keluarga, hubungan sesama jiran, lebih erat apabila dapat bersama-sama menghasilkan kraf tangan.“Seronok kerana dapat mengenali masyarakat di sini terutama golongan wanita apabila turut serta mengambil upah membuat bakul plastik.“Memang tidak dinafikan duit menjadi faktor utama tetapi apa yang lebih menggembirakan adalah mengenali satu sama lain kerana komuniti di sini di pilih dari seluruh Pahang,” katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

1 comments:

Unknown said...

sy sangat berminat untuk mempelajari seni kraftangan sulaman plastik ini, dimanakah saya perlu mendapatkan khidmat nasihat?