Aroma rempah tarik pelanggan
SEBUT sahaja hal makanan, Malaysia tidak pernah suram daripada terus dilimpahi nikmat berkenaan. Lebih-lebih lagi di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur, setiap bulan atau setiap minggu, ada sahaja restoran baru yang diperkenalkan.
Baru-baru ini, Spice International Group membuka sebuah lagi rangkaian restoran baru. Ia bertempat di bangunan komersial serba baru di persimpangan Jalan Ampang, Jalan Tun Razak iaitu Intermark.
Berkonsepkan makanan India Utara dengan latar lokasi yang penuh tenang dan eksotik, Royal India, sebuah restoran fine dining, dengan hidangan makanan India Utara membuka pintunya kepada penggemar gourmet di Malaysia.
Membawakan resipi rahsia khas dari daerah India di utara, Royal India menyediakan seleksi resipi unik serta eksotik hidangan maharaja dahulu kala.
Cita rasa mewah
“Royal India adalah definisi kepada cita rasa mewah sajian India Utara. Kami menawarkan pengalaman yang penuh kemewahan, kualiti dan keaslian rasa,” ujar Pengarah Urusan Spice International Global Berhad, Thesan Salva.
Pelancaran Royal India bukan sahaja dimeriahkan acara sajian makan malam khas, malah turut disaji dengan pelbagai persembahan dan aktiviti yang menarik kepada para tetamu.
Sementara menunggu waktu menjamu selera, para tetamu diberi peluang menikmati pelbagai pengalaman budaya India.
Antaranya adalah seni hiasan jari henna, urutan tangan istimewa oleh pakar terapi bertauliah ataupun mencuba sisi mistik menerusi ramalan masa depan oleh Killi Josyam, tukang tilik burung kakak tua.
Di meja makan pula, para tetamu di Royal India disajikan persembahan tarian Odissi oleh penari Sutra Dance yang tampil mengisahkan legenda dewa yang merestui majlis keramaian.
Makan malam pada malam itu dimulakan dengan pengenalan ketua chef Royal India, Rakesh Prasad yang berpengalaman lebih sedekad sebagai chef hotel terkemuka di Mumbai dan Jakarta, sebelum menyertai Spice of India pada tahun 2005.
Rempah khas
“Kami menghidangkan menu signatur Royal India iaitu Tandoori Jhingga, Dum Biryani, Murgh Angaar dan Nehari. Kami akan memastikan, setiap ramuan yang digunakan diterbangkan khas dari India untuk mengekalkan keaslian rasa dan keunikan masakan,” kata Rakesh.
Makan malam bermula dengan sajian pembuka selera, Sabzi Samosa, pastri rangup yang berintikan sayuran berempah dan digoreng keemasan penuh kesempurnaan.
Ia diikuti menu permulaan, Tandoori Khazana, sebakul roti dan palak paneer. Tandoori Khaana adalah pilihan daging ayam, kambing dan udang yang dihidangkan bersama roti seperti naan atau capati berserta sos pencicah krim keju dan palak paneer (sayur bayam).
Menu utama yang menjadi tarikan yang paling dinantikan pada malam itu tentunya Mutter Pulao, Rogan Josh Kashmiri, Bhendi Masala dan Machli Mirch Masala.
Sajian-sajian yang berbunyi eksotik itu sebenarnya menu yang terdiri daripada kari kambing yang dimasak dengan kombinasi ramuan asli dan Kashmiri Masala, diikuti hidangan ikan yang diperap dengan pelbagai rempah ratus dari India serta sayur bendi resipi tradisional yang diadun dengan rempah masala penuh aroma.
Sebagai menutup tirai pada malam itu, Royal India menyediakan hidangan pemanis, Gulab Jamun. Pencuci mulut manis adunan susu dan buah pelaga yang disajikan bersama sirap ros pastinya pilihan wajib
0 comments:
Post a Comment