Ubah cara berniaga

Ada sesuatu yang tidak kena apabila pelabur dan peniaga masih mengharapkan kos buruh yang rendah sedangkan kos sara hidup pekerja di negara ini semakin tinggi. Oleh sebab kos buruh yang rendah, majikan lebih berminat mengambil pekerja asing berbanding pekerja tempatan sendiri. Ketidakseimbangan ekonomi ini merencatkan agenda negara yang direncanakan melalui Model Ekonomi Baru (MEB).Kos sara hidup yang tinggi dan tidak bertepatan dengan gaji yang diperoleh menjejaskan kehidupan seharian pekerja tempatan. Selaras dengan itu, Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan kajian menyeluruh mengenai gaji minimum untuk para pekerja terutamanya yang terlibat dengan sektor industri bakal dijalankan.

Sebelum itu, Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan kenaikan gaji pengawal keselamatan yang rata-rata berpendapatan di antara RM500-RM700 sebulan pada masa kini. Dengan gaji yang sebegitu rendah berbanding dengan keperluan semasa, pengumuman tersebut sudah tentu menceriakan para pengawal keselamatan yang kebanyakannya merupakan pesara polis dan tentera.Namun demikian, ada desakan agar kenaikan gaji pengawal keselamatan ditangguhkan buat sementara waktu kerana majikan masih belum bersedia untuk menyerap kenaikan kos ini.Inilah satu perkara yang cukup sensitif tidak kiralah kepada para pekerja meskipun kepada majikan. Di mana-mana sahaja di dunia ini, isu gaji merupakan isu yang sering diperjuangkan di kalangan para pekerja. Isu gaji jugalah menyebabkan ramai tenaga mahir dan kurang mahir tempatan mencari peluang pekerjaan di luar negara.Umpamanya ramai doktor yang bekerja di luar negara seperti Singapura dan United Kingdom kerana mendambakan ganjaran yang cukup lumayan. Ramai yang bermastautin di luar negara semata-mata terpesona dengan gaji yang lebih menarik.

Inilah dilema yang mesti ditangani segera jika kita benar-benar ingin berdaya saing di pentas antarabangsa. Negara memerlukan tenaga mahir dan bukannya lambakan para pekerja asing yang rata-ratanya sanggup bergaji murah.Hujahnya cukup mudah. Malaysia tidak lagi berdaya saing dari segi kos buruh yang rendah. Banyak negara lain yang boleh menawarkan kos buruh yang rendah.Ambil contoh negara China, boleh dikatakan banyak barangan yang dipasarkan di seluruh dunia seperti pakaian diperbuat dari China. Adakah kita masih lagi ingin bersaing dengan cara yang sama sedangkan sememangnya diketahui kita akan kalah sebelum bertanding?Natijahnya, cara berniaga perlu diubah. Tidak boleh lagi menggunakan cara yang sama.

Oleh itu, para majikan mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan kebajikan para pekerja tempatan diutamakan. Kalau setiap tahun mereka mampu mengumumkan keuntungan berjuta-juta ringgit bahkan ada yang sampai berbilion ringgit, apalah sangat jika keuntungan ini disalurkan kepada kebajikan para pekerja.Perlu dingat, para pekerjalah yang selama ini menyumbang keuntungan kepada syarikat. Di negara Jepun, para pekerjanya cukup setia dengan majikannya. Jasa yang disumbangkan oleh majikan kepada mereka dibalas dengan budaya kerja yang hebat. Ini kerana kebajikan para pekerja dijaga dengan baik.Gaji mestilah setimpal dengan kerja yang dilakukan dan juga kos sara hidup semasa.Apabila kebajikan pekerja dijaga dan dihargai, produktiviti mereka juga akan semakin meningkat. Bukan itu sahaja, suasana kerja juga akan lebih kondusif dan seterusnya para pekerja akan termotivasi untuk bekerja secara ikhlas dan jujur bagi memastikan misi dan visi syarikat dapat dicapai.

Tidakkah ini akan memberi kesan yang amat baik kepada syarikat? Sayangnya, masih ada majikan yang mengutamakan keuntungan semata-mata dan tidak nampak tentang kepentingan menjaga kebajikan para pekerja.Ketamakan sebeginilah yang akhirnya memberi kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara.Selain gaji dan kebajikan pekerja, produktiviti juga akan meningkat jika gejala rasuah dapat ditangani di kalangan ahli perniagaan. Statistik untuk empat bulan pertama tahun ini menunjukkan golongan kedua tertinggi ditangkap atas kesalahan memberi rasuah adalah kes menggajikan pendatang asing.Sekali lagi kita dapat lihat tentang budaya perniagaan yang tidak sihat di negara kita. Sudahlah tidak mengutamakan pekerja tempatan, sanggup pula menawarkan rasuah kepada pegawai kerajaan.

Jangan menyalahkan penguat kuasa atau pegawai kerajaan jika punca rasuah bukannya datang dari mereka. Rasuah tidak akan sesekali berlaku jika tiada pihak yang memberi.Justeru, sokongan penuh mesti diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berusaha bersungguh-sungguh membanteras gejala rasuah.Kempen membanteras rasuah dan penerangan jelas yang bakal diberikan kepada golongan peniaga mampu mengurangkan gejala jijik ini ke tahap terendah. Jika ini dapat dicapai, suasana perniagaan akan lebih berintegriti dan seterusnya kualiti dan produktiviti akan berjaya dilonjakkan pada tahap tertinggi.Budaya perniagaan yang bersih tanpa penyelewengan, penipuan dan rasuah akan menjadikan suasana ekonomi negara yang lebih mapan untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: