Interaktif dengan LectureMAKER
BAYANGKAN kaedah pembelajaran konvensional menggunakan papan putih atau buku-buku teks mengalami transformasi dengan penggunaan komputer melalui sistem e-pembelajaran.
Kaedah e-pembelajaran itu tentu bakal memudahkan lagi pelajar khususnya di sekolah kerana tidak perlu lagi memikul lambakan buku teks yang berat sehingga membebankan mereka.
Senario tersebut mungkin agak ke hadapan untuk difikirkan tetapi tidak mustahil menjadi kenyataan pada satu hari nanti dengan teknologi dan perisian terkini.Kaedah e-pembelajaran yang mengetengahkan elemen seperti interaktif, multimedia, kesan bunyi dan banyak lagi dijangka mampu membuka mata serta menambah minat pelajar apabila mengikuti pembelajaran di kelas.Bahkan, pada hari ini transformasi tersebut sudah mula kelihatan apabila sesetengah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menggunakan perisian pengarangan kandungan untuk mengajar di dalam kuliah mereka.
Bagaimanapun, perbelanjaan tinggi diperlukan untuk membangunkan kandungan e-pembelajaran tersebut kerana mesti melantik syarikat tertentu bagi menghasilkan produk berkualiti.
Namun begitu, ia bakal berubah apabila Telekom Smart School Sdn. Bhd. (TSS) memperkenalkan perisian pengarangan kandungan multimedia LectureMAKER untuk memenuhi permintaan segmen pasaran pendidikan.
Bina kandungan sendiri
Perisian yang dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Korea, Daulsoft Co. Ltd. itu dijangka mampu dapat merevolusikan sistem pendidikan di negara ini apabila tenaga pengajar atau pun sesiapa sahaja mampu membangunkan kandungan e-pembelajaran mereka sendiri.
|
|
LectureMAKER tidak sukar untuk dikendalikan kerana mereka yang sudah biasa dengan aplikasi Microsoft PowerPoint dapat menggunakannya dengan baik memandangkan antara muka perisian itu mesra pengguna.
Anda boleh memasukkan teks dan grafik pada bahan pembelajaran mereka dengan mudah, malah perisian itu turut dilengkapi ciri-ciri tambahan komponen multimedia termasuk merakam, menyunting video, menambah audio dan sebagainya.
Dengan adanya komponen multimedia itu, pengguna terutama tenaga pengajar dapat membangunkan satu kandungan e-pembelajaran interaktif untuk pelajar-pelajar mereka.
Perisian tersebut juga didatangkan dengan beberapa contoh templat reka bentuk bentangan untuk digunakan dalam pembangunan kandungan e-pembelajaran mengikut kreativiti pengguna.Bahan-bahan multimedia lain seperti fail Macromedia Flash, bahasa penanda hiperteks (HTML), Microsoft PowerPoint, imej dan banyak lagi juga boleh dimasukkan untuk memastikan bahan yang lebih interaktif dapat disediakan.
Bagi tenaga pengajar pula aplikasi menyunting untuk mereka grafik sesuai bagi membuat graf, formula, kotak teks, jadual, bentuk, karakter istimewa disediakan berbanding menggunakan imej sebelum ini.
|
|
Mudah digunakan
Pengerusi TSS, Fazlur Rahman Zainuddin berkata, perisian pengarangan e-pembelajaran, LectureMAKER merupakan kelengkapan terbaik dan mudah digunakan oleh sesiapa sahaja.
"Ia disasarkan kepada para guru, pensyarah, pelatih dan komuniti akademik untuk menghasilkan bahan pengajaran yang dinamik, malah membenarkan pengguna melakukan suntingan terus terhadap bahan tersebut.
"Saya berharap lebih banyak e-kandungan akan dihasilkan oleh golongan pengajar lantas mengembangkan lagi industri pembelajaran secara talian," katanya.
Fazlur Rahman menambah, LectureMAKER merupakan penyelesaian lengkap bukan sahaja untuk menghasilkan kandungan e-pembelajaran tetapi dapat menyunting fail media.Ujarnya lagi, perisian itu dilengkapi dengan ciri-ciri pengarangan dan penyuntingan multimedia terkini bagi membolehkan tenaga pengajar membangunkan kerja kursus lebih berkesan.
"Tenaga pengajar boleh menggunakan multimedia, penilaian, kandungan boleh ubah dan navigasi berangkai dalam pembangunan e-pembelajaran mereka."Bahan-bahannya tidak terhad kepada teks dan grafik sahaja, malah pengguna boleh menghasilkan kandungan yang kaya dengan multimedia," katanya lagi.Tambah Fazlur Rahman lagi, ini termasuk penggunaan video, mikrofon dan kamera web.
Katanya, ia merupakan kelengkapan terbaik dan mudah digunakan untuk pengguna yang ingin menghasilkan e-kandungan mereka sendiri."Pembangunan e-pembelajaran yang dihasilkan melalui LectureMAKER juga boleh digabungkan dalam Learning Management System (LMS) sekali gus membolehkan kandungan itu dikongsi dengan lebih ramai tenaga pengajar serta pelajar."Ia juga dapat menerapkan nilai berkongsi dan mendatangkan faedah dalam penerbitan kandungan dalam sektor pendidikan," ujarnya lagi.
LectureMAKER bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan tenaga pengajar tetapi juga para pelajar. Mereka boleh menggunakan perisian itu bagi menunjukkan kreativiti dan kemahiran pembentangan melalui penghasilan multimedia menarik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSS, Zainudin Ismail memberitahu, kemunculan LectureMAKER mampu mengurangkan perbelanjaan kepada organisasi mahupun sektor pendidikan negara."Pengguna hari ini ingin menghasilkan kandungan dengan kadar segera tetapi secara kos efektif."Menyerahkan pembangunan kandungan kepada pihak luar mungkin mahal dan tidak praktikal buat tenaga pengajar yang perlu menghasilkannya untuk kerja kursus seharian mereka. Maka LectureMAKER adalah pilihan terbaik," ujarnya.
Katanya lagi, TSS juga menawarkan beberapa skim dan promosi kepada pihak yang berminat mendapatkan perisian tersebut.LectureMAKER kini ditawarkan pada harga RM2,160 hingga RM3,600.
0 comments:
Post a Comment