Dusun Buku jadi tumpuan
|
Bukan dusun buah langsat atau dokong apatah lagi durian, namun bagi mereka yang pertama kali melalui jalan tersebut pastinya tertanya-tanya melihat papan tanda tersebut yang tertulis ' Dusun Buku'.
Penulis juga ingin tahu apabila melihat papan tanda tersebut dan tidak teragak-agak untuk menyusuri arah papan tanda itu yang membawa kepada sebuah jalan tidak bertar, sempit namun teduh ditutupi pohon buah-buahan di sekelilingnya.Namun semua itu pasti berbaloi apabila tiba di sebuah rumah yang tertera di pintu pagarnya 'Dusun Buku' kerana nyata kediaman tersebut berbeza daripada rumah-rumah lain.Apa yang membezakan rumah tersebut adalah ia dipenuhi dengan ribuan bahan bacaan dari buku cerita kanak-kanak sehinggalah ke ensiklopedia.
Menurut pemilik Dusun Buku itu, Mokhtar Yusof atau lebih senang disapa dengan panggilan Cikgu Mokhtar, Dusun Buku tersebut merupakan ilhamnya memandangkan dia mempunyai banyak koleksi buku untuk dikongsi.Katanya yang juga merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Undang dekat sini, setakat ini terdapat kira-kira 5,000 buah buku pelbagai koleksi dimilikinya yang dikumpul sejak 40 tahun lalu."Saya memang gemar membaca buku dan membelinya sendiri namun akibat terlalu banyak jumlah buku berkenaan menyebabkan tiada ruang untuk menyimpan buku-buku ini.
"Apabila menyuarakan masalah ini, saya mendapat sokongan daripada isteri dan anak-anak untuk membuka perpustakaan kecil di rumah dan turut dibuka kepada orang ramai," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.Katanya, dengan menggunakan modal sendiri sebanyak RM70,000, konsep Dusun Buku ini dibina lebih santai daripada perpustakaan biasa kerana pengunjung boleh membaca dalam keadaan selesa dan tidak terikat dengan pelbagai peraturan.Tambahnya, tiada bayaran yang dikenakan untuk membaca di Dusun Buku namun setakat ini dia masih belum bercadang untuk meminjamkan koleksi buku yang ada kepada orang ramai kerana bimbang ia akan hilang."Ketika zaman persekolahan dulu tidak ramai pelajar yang mahu ke perpustakaan kerana terikat dengan pelbagai peraturan seperti perlu kekalkan suasana sentiasa senyap dan tidak boleh mengadakan perbincangan kerana bimbang mengganggu rakan-rakan yang lain.
"Jadi di Dusun Buku, kanak-kanak mahupun dewasa boleh membaca secara santai bersama rakan-rakan mereka selama mana mereka mahu namun tidak boleh membawa pulang ke rumah," jelasnya.Ditanya tentang koleksi-koleksi menarik yang terdapat di Dusun Buku, jelas bapa kepada lapan orang anak ini, dia mempunyai pelbagai koleksi buku-buku lama termasuk dari luar negara.Jelasnya, dia turut mendapat sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam), Yayasan Islam Terengganu (YIT), Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu dan Utusan Malaysia.Bagaimanapun, katanya, antara koleksi-koleksi yang paling disayanginya adalah buku pemberian anak-anaknya serta buku pertama yang dibeli ketika berusia 18 tahun."Dulu waktu remaja saya sanggup bekerja sambilan di sebuah kedai buku dan saya tidak mengambil gaji namun saya mahu ia ditukarkan dengan buku dan buku pertama saya beli bertajuk Ayer Mata Jatoh ke Lumpur tulisan Arman Sani berharga RM2.60 ketika itu dan masih ada sehingga kini."Selain itu setiap kali tiba Hari Guru, Hari Bapa dan Hari Buku pastinya anak-anak akan menghadiahkan saya buku setiap orang dan buku-buku tersebut pasti menjadi antara buku yang perlu dibaca jika pengunjung datang ke sini," jelasnya.
Tambahnya, dia merancang untuk menambah koleksi pelbagai buku di Dusun Buku tersebut agar menarik lebih ramai pengunjung terutamanya di kalangan kanak-kanak."Saya amat berharap Dusun Buku ini dapat menjadi tempat lepak berilmiah di kalangan kanak-kanak agar masa terluang dapat diisi dengan aktiviti berfaedah," jelasnya.Begitulah impian Cikgu Mokhtar yang tidak pernah berputus asa menyampaikan dan berkongsi ilmu yang ada padanya seperti riwayat hadith dari Abu 'Atikah Al Bashri, dari Anas bin Malik iaitu 'tuntutlah ilmu sekalipun sampai ke negeri China' kerana menuntut ilmu itu fardu atas setiap Muslim.Hanya dengan membaca kita mampu menjelajah seluruh dunia tanpa perlu mengeluarkan wang ringgit yang besar dan masa yang banyak.
0 comments:
Post a Comment