Inovatif ekonomi Islam
''Seseorang yang kreatif dan berinovasi mampu menjulang bukan sahaja dirinya, malah organisasi yang diterajuinya untuk melonjak sekali gus menggapai apa jua impian dan cita-cita."
Itu yang sering diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baik dalam apa jua lapangan sejak setahun ini.Begitu juga dengan sistem ekonomi Islam yang perlu diberi nafas baru secara lebih inovatif sebagai salah satu petunjuk kebangkitan Islam di mata dunia Barat.
Dalam memperkasa ummah melalui mobilasi dan inovasi, masyarakat Islam perlu membuat inovasi yang telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW untuk disesuaikan dengan fitrah sebagai orang Islam.Semasa majlis pelancaran Persidangan Forum Ekonomi Islam Dunia Kali Keenam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, Najib turut menekankan keperluan negara-negara Islam untuk mewujudkan model baru ekonomi yang lebih terangkum, progresif dan praktikal dalam aspek formula dan pelaksanaannya bagi memenuhi keperluan penduduk Islam dunia.
Penolong Setiausaha Biro Korporat Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Mohd. Roslan Mohd. Saludin berpendapat, sistem perbankan Islam yang telah diterajui Malaysia merupakan salah satu contoh inovasi dalam sistem kewangan Islam.Terbukti, sistem perbankan Islam kini berkembang pesat dalam dunia kewangan antarabangsa yang sebelum ini tidak diiktiraf oleh bank dunia.''Sistem perbankan Islam merupakan salah satu cara inovatif sistem ekonomi Islam yang berjaya sehingga diakui oleh sistem perbankan dunia.''Berikutan itu, sistem perbankan dunia kini terpaksa turut serta untuk tidak ketinggalan dalam pemodenan sektor kewangan, lebih-lebih lagi apabila berlaku keruntuhan sistem kewangan antarabangsa sehingga menyebabkan bank-bank di Eropah dan Amerika Syarikat tersungkur akibat ketandusan nilai- nilai kemanusiaan dalam sistem sedia ada," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.Selain sistem perbankan Islam yang diangkat martabatnya, Mohd. Roslan menarik perhatian satu lagi konsep ekonomi Islam yang belum diterokai sepenuhnya iaitu Waqaf.Menurutnya, sistem Waqaf merupakan institusi asas yang telah membina ketamadunan Islam yang wajar diberi pengupayaan dalam menangani isu semasa pada hari ini.Mungkin bagi sesetengah orang, sistem itu telah wujud sebagaimana konsep yayasan yang telah diwujudkan seperti Yayasan Microsoft. Bagaimanapun, Mohd. Roslan juga memberitahu, yayasan tersebut pada asalnya dibangunkan mengikut konsep Waqaf yang dinafikan definisi asalnya.''Adakah institusi ini menyokong kewujudan kesivilan Islam sebenar? Walaupun konsep asalnya juga memberi sumbangan, namun elemen- elemen lain tidak digarapkan sepenuhnya.
''Dalam konsep Waqaf, tidak ada elemen pilih kasih tetapi elemen ini tidak dipraktikkan dalam penubuhan yayasan mereka. Mereka memilih bulu.''Islam tidak diajar sebegini. Apabila diwaqafkan sesuatu harta, ia mestilah digunakan untuk kegunaan yang disyaratkan iaitu tidak memilih bulu. Inilah kemanisan Islam dalam pembangunan sosial yang masih belum diterokai," jelasnya.Bagaimanapun, penganalisis politik itu berpendapat, sistem Waqaf perlu diinovasikan supaya ia tidak terbatas kepada golongan atau tujuan tertentu sahaja, sebagaimana yang dibelenggu dalam pemikiran masyarakat Islam hari ini.
''Masyarakat Islam selalu menganggap konsep Waqaf hanya digunakan jika ada antara kita meninggal dunia yang akan mewaqafkan tanah mereka untuk dibangunkan masjid dan sebagainya.''Sebenarnya konsep tersebut boleh diperluaskan, iaitu tidak hanya untuk dibangunkan sebuah masjid, tetapi ia perlu dilihat mengikut keperluan setempat yang lebih memerlukan," kata mantan Felo Pusat Syariah Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu.Bagaimanapun, dalam usaha mencapai pembangunan inovasi ekonomi Islam, tidak dapat tidak ia harus bermula dengan kekuatan ikatan perpaduan ummah yang menjadi tonggak segala kejayaan.
Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara makmur dan sejahtera, keperluan perpaduan antara kaum menjadi tulang belakang bagi melicinkan usaha lain seperti pembangunan sosial, ekonomi serta pendidikan.Malaysia dikatakan sudah berjaya memberi sumbangan dalam sektor perbankan Islam, bagaimanapun, usaha ke arah mencari kemajuan lain tidak boleh terhenti di situ sahaja.Selain perbankan Islam dan Waqaf, beberapa bentuk ekonomi Islam lain juga perlu diinovatifkan seperti Baitulmal dan Baitulhikmah.Mohd Roslan menambah, negara perlu kekalkan kekuatan perpaduan ini agar dapat menjadi contoh sebagai satu elemen kekuatan negara Islam," jelasnya.Beliau menegaskan, pada masa ini perpaduan amat penting dalam menggerakkan jentera pentadbiran kerajaan bagi memenuhi semua aspek kehidupan.Menurutnya, sikap toleransi yang perlu ditunjukkan oleh umat Islam ialah saling memaafkan dan mengasihani sesama kita.
"Sikap inilah yang ingin dibangkitkan oleh kerajaan Malaysia sekarang mengenai keperluan untuk saling bergantung antara negara-negara di dunia. Ini kerana tidak ada negara yang mampu berdiri dengan sendiri dalam semua perkara.''Pertimbangan inilah yang diambil kira yang akhirnya memerlukan kita saling memaafkan jika berlaku pergeseran dan memahami perasaan orang lain dalam konteks hubungan sesama manusia," katanya.Sebagai kesimpulannya, Islam sebenarnya melengkapi semua aspek kehidupan sama ada ekonomi, politik atau sosial.Sumbangan ketamadunan Islam juga bukan sekadar mitos, bahkan satu realiti. Cuma sumbangannya tidak mahu diakui dan disangkal kesyumulan Islam oleh dunia barat, malah lebih teruk lagi barat melabelkan umat Islam sebagai pengganas.Dalam soal ini, masyarakat Islam perlu membuktikan melalui pelaksanaan semua ajaran Islam dengan cara lebih kreatif dan inovatif agar dunia Barat dapat 'ditundukkan' dan tidak terus memburukkan Islam.
0 comments:
Post a Comment