Membekalkan bakat terbaik untuk negara

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) amat berharap satu hari nanti, dasar mewajibkan pelajar mengikuti latihan industri seperti yang ada sekarang diiringi dengan dasar mewajibkan industri menyediakan tempat latihan untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seperti di negara maju. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) misalnya boleh menerajui usaha ini sebelum diperluas kepada industri lain.

Seiring dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dasar mahupun penganjuran program kebolehdapatan dan kebolehpasaran graduan adalah selari dengan pendekatan kerajaan untuk mendahulukan rakyat. Bagi 2009 saja, seramai 30,290 orang atau 43.3 peratus daripada graduan IPT menyertai sektor swasta, sekali gus menjadikan sektor terbabit sebagai penerima terbesar bakat IPT dalam negara. Perkembangan ini pastinya seiring dengan harapan Perdana Menteri melihat sektor swasta menjadi peneraju utama ekonomi negara selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE).

Isu kebolehdapatan pekerjaan (graduate employment) di kalangan graduan adalah satu cabaran yang diberi perhatian berat oleh kerajaan dan kementerian khususnya. Setiap tahun dianggarkan 200,000 daripada keseluruhan 923,000 pelajar di pelbagai peringkat pengajian dan bidang dari IPT seluruh negara akan menamatkan pengajian mereka.

Daripada jumlah itu, 72,000 atau 36 peratus adalah graduan lelaki dan 128,000 pula atau 64 peratus, graduan perempuan. Kita juga memiliki statistik bahawa 418,000 rakyat Malaysia yang menganggur pada 2009 dan daripada jumlah itu, seramai 41,514 atau 9.93 peratus adalah graduan baru dan 22,640 atau 5.14 peratus terdiri daripada graduan yang memiliki ijazah pertama.

Perkembangan ini juga memperkukuhkan iltizam kementerian untuk meneruskan penganjuran Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan atau K3G kelima baru-baru ini. Karnival yang dilaksanakan sejak 2006 itu adalah antara usaha kementerian membantu graduan mendapat maklumat mengenai kerjaya dan keusahawanan di bawah satu bumbung.

Untuk Karnival K3G tahun ini, sebanyak hampir 500 syarikat daripada pelbagai agensi kerajaan, GLC, MNC, dan PKS turut terbabit dengan lebih 15,800 jawatan kosong ditawarkan. Apa yang menarik, ada empat syarikat mengeluarkan surat tawaran kerja serta-merta kepada seramai 23 graduan pada majlis pelancaran 15 Mei lalu.
Tidak dapat dinafikan bahawa persaingan untuk mendapat pekerjaan di kalangan graduan hari ini semakin sengit dan kompetitif. Maka untuk berdepan dengan soal ini, kementerian mengambil langkah memastikan setiap graduan memiliki kebolehpasaran (graduate employability) yang tinggi.

Matlamat kebolehpasaran ini meliputi usaha bagi membina upaya graduan agar berjaya untuk mendapat pekerjaan, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kerjaya mereka, sekali gus memiliki nilai dan ciri-ciri yang dikehendaki industri, sejajar dengan keperluan abad ke-21.

Bagi memantap dan meningkatkan keberkesanan usaha ini secara strategik, kementerian melancarkan Dasar Latihan Industri dan Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT baru-baru ini. Melalui Dasar Latihan Industri IPT, ia mewajibkan pelajar menghadiri latihan industri sebelum mereka menamatkan pengajian bagi memberi pendedahan dan membiasakan diri mereka ke alam pekerjaan.

Selain itu, Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT pula bertujuan melahirkan usahawan atau graduan yang bekerja sendiri. Kewujudan usahawan di kalangan graduan yang berilmu dan berkemahiran tinggi ini pastinya menyumbang kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Melalui Unit Keusahawanan di kementerian dan di IPT sendiri, sistem pengajian tinggi kini dinilai semula bagi menggalakkan kewujudan usahawan daripada kalangan graduan. Di sini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meluluskan peruntukan RM20 juta bagi pembangunan keusahawanan di IPT.

KPT mengakui, cabaran melahirkan usahawan graduan ini adalah tinggi. Pada 2009, misalnya hanya 1.5 peratus graduan mengambil laluan kerjaya sebagai usahawan berbanding dengan United Kingdom yang mencatatkan seramai 13 peratus.

Dasar keusahawanan ini juga meliputi usaha untuk menerap nilai, budaya dan pemikiran usahawan seperti inovatif, kemampuan menyelesaikan masalah, berdaya maju, berdaya tahan, berdaya saing dan semangat kerja berpasukan di kalangan graduan. Dengan memiliki ciri-ciri ini, diharapkan graduan walaupun sebagai pekerja, akan mampu menjayakan syarikat untuk berdepan sebarang cabaran dan persaingan, seterusnya membolehkan syarikat terus kekal dan maju.

Saya percaya bahawa KPT sudah menyediakan landasan tepat untuk menguruskan isu kebolehdapatan dan kebolehpasaran graduan. Malah dalam hal ini, pihak kementerian menetapkan masa selama setahun sebagai tempoh penyerapan bagi graduan memperoleh pekerjaan selepas tamat belajar.

Dengan mengambil kira tempoh penyerapan ini, Kajian Pengesanan Graduan yang dibuat kementerian pada 2009 menunjukkan dalam tempoh tiga bulan selepas menamatkan pengajian, seramai 81,744 atau 52.7 peratus graduan mendapat pekerjaan berbanding 41,514 atau 26.7 peratus graduan baru yang masih belum bekerja.

Daripada kajian itu juga, menunjukkan berlakunya penurunan jumlah pengangguran dalam masa setahun selepas menamatkan pengajian bagi graduan di negara kita. Di negara lain seperti Australia, tempoh penyerapan kerja graduan mereka memakan masa sehingga dua tahun.

Saya percaya, melalui program seumpama ini, rata-rata graduan akan mendapat manfaat terutama dalam situasi persaingan mendapatkan pekerjaan yang semakin sengit dan kompetitif masa kini. Ia juga sekali gus akan menerus dan mengekalkan peranan IPT untuk membekalkan bakat terbaik bagi kepentingan strategik negara terutama untuk mencapai matlamat ekonomi negara berstatus maju berteraskan MBE.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Inovatif ekonomi Islam

''Seseorang yang kreatif dan berinovasi mampu menjulang bukan sahaja dirinya, malah organisasi yang diterajuinya untuk melonjak sekali gus menggapai apa jua impian dan cita-cita."

Itu yang sering diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baik dalam apa jua lapangan sejak setahun ini.Begitu juga dengan sistem ekonomi Islam yang perlu diberi nafas baru secara lebih inovatif sebagai salah satu petunjuk kebangkitan Islam di mata dunia Barat.

Dalam memperkasa ummah melalui mobilasi dan inovasi, masyarakat Islam perlu membuat inovasi yang telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW untuk disesuaikan dengan fitrah sebagai orang Islam.Semasa majlis pelancaran Persidangan Forum Ekonomi Islam Dunia Kali Keenam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, Najib turut menekankan keperluan negara-negara Islam untuk mewujudkan model baru ekonomi yang lebih terangkum, progresif dan praktikal dalam aspek formula dan pelaksanaannya bagi memenuhi keperluan penduduk Islam dunia.

Penolong Setiausaha Biro Korporat Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Mohd. Roslan Mohd. Saludin berpendapat, sistem perbankan Islam yang telah diterajui Malaysia merupakan salah satu contoh inovasi dalam sistem kewangan Islam.Terbukti, sistem perbankan Islam kini berkembang pesat dalam dunia kewangan antarabangsa yang sebelum ini tidak diiktiraf oleh bank dunia.''Sistem perbankan Islam merupakan salah satu cara inovatif sistem ekonomi Islam yang berjaya sehingga diakui oleh sistem perbankan dunia.''Berikutan itu, sistem perbankan dunia kini terpaksa turut serta untuk tidak ketinggalan dalam pemodenan sektor kewangan, lebih-lebih lagi apabila berlaku keruntuhan sistem kewangan antarabangsa sehingga menyebabkan bank-bank di Eropah dan Amerika Syarikat tersungkur akibat ketandusan nilai- nilai kemanusiaan dalam sistem sedia ada," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.Selain sistem perbankan Islam yang diangkat martabatnya, Mohd. Roslan menarik perhatian satu lagi konsep ekonomi Islam yang belum diterokai sepenuhnya iaitu Waqaf.Menurutnya, sistem Waqaf merupakan institusi asas yang telah membina ketamadunan Islam yang wajar diberi pengupayaan dalam menangani isu semasa pada hari ini.Mungkin bagi sesetengah orang, sistem itu telah wujud sebagaimana konsep yayasan yang telah diwujudkan seperti Yayasan Microsoft. Bagaimanapun, Mohd. Roslan juga memberitahu, yayasan tersebut pada asalnya dibangunkan mengikut konsep Waqaf yang dinafikan definisi asalnya.''Adakah institusi ini menyokong kewujudan kesivilan Islam sebenar? Walaupun konsep asalnya juga memberi sumbangan, namun elemen- elemen lain tidak digarapkan sepenuhnya.

''Dalam konsep Waqaf, tidak ada elemen pilih kasih tetapi elemen ini tidak dipraktikkan dalam penubuhan yayasan mereka. Mereka memilih bulu.''Islam tidak diajar sebegini. Apabila diwaqafkan sesuatu harta, ia mestilah digunakan untuk kegunaan yang disyaratkan iaitu tidak memilih bulu. Inilah kemanisan Islam dalam pembangunan sosial yang masih belum diterokai," jelasnya.Bagaimanapun, penganalisis politik itu berpendapat, sistem Waqaf perlu diinovasikan supaya ia tidak terbatas kepada golongan atau tujuan tertentu sahaja, sebagaimana yang dibelenggu dalam pemikiran masyarakat Islam hari ini.

''Masyarakat Islam selalu menganggap konsep Waqaf hanya digunakan jika ada antara kita meninggal dunia yang akan mewaqafkan tanah mereka untuk dibangunkan masjid dan sebagainya.''Sebenarnya konsep tersebut boleh diperluaskan, iaitu tidak hanya untuk dibangunkan sebuah masjid, tetapi ia perlu dilihat mengikut keperluan setempat yang lebih memerlukan," kata mantan Felo Pusat Syariah Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu.Bagaimanapun, dalam usaha mencapai pembangunan inovasi ekonomi Islam, tidak dapat tidak ia harus bermula dengan kekuatan ikatan perpaduan ummah yang menjadi tonggak segala kejayaan.

Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara makmur dan sejahtera, keperluan perpaduan antara kaum menjadi tulang belakang bagi melicinkan usaha lain seperti pembangunan sosial, ekonomi serta pendidikan.Malaysia dikatakan sudah berjaya memberi sumbangan dalam sektor perbankan Islam, bagaimanapun, usaha ke arah mencari kemajuan lain tidak boleh terhenti di situ sahaja.Selain perbankan Islam dan Waqaf, beberapa bentuk ekonomi Islam lain juga perlu diinovatifkan seperti Baitulmal dan Baitulhikmah.Mohd Roslan menambah, negara perlu kekalkan kekuatan perpaduan ini agar dapat menjadi contoh sebagai satu elemen kekuatan negara Islam," jelasnya.Beliau menegaskan, pada masa ini perpaduan amat penting dalam menggerakkan jentera pentadbiran kerajaan bagi memenuhi semua aspek kehidupan.Menurutnya, sikap toleransi yang perlu ditunjukkan oleh umat Islam ialah saling memaafkan dan mengasihani sesama kita.

"Sikap inilah yang ingin dibangkitkan oleh kerajaan Malaysia sekarang mengenai keperluan untuk saling bergantung antara negara-negara di dunia. Ini kerana tidak ada negara yang mampu berdiri dengan sendiri dalam semua perkara.''Pertimbangan inilah yang diambil kira yang akhirnya memerlukan kita saling memaafkan jika berlaku pergeseran dan memahami perasaan orang lain dalam konteks hubungan sesama manusia," katanya.Sebagai kesimpulannya, Islam sebenarnya melengkapi semua aspek kehidupan sama ada ekonomi, politik atau sosial.Sumbangan ketamadunan Islam juga bukan sekadar mitos, bahkan satu realiti. Cuma sumbangannya tidak mahu diakui dan disangkal kesyumulan Islam oleh dunia barat, malah lebih teruk lagi barat melabelkan umat Islam sebagai pengganas.Dalam soal ini, masyarakat Islam perlu membuktikan melalui pelaksanaan semua ajaran Islam dengan cara lebih kreatif dan inovatif agar dunia Barat dapat 'ditundukkan' dan tidak terus memburukkan Islam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Rozita kongsi semangat dengan anak


Dua beranak yang sama-sama berkebolehan dalam dunia perniagaan.


SEJAK disahkan mengandung kira-kira 26 tahun yang lalu, Rozita Ibrahim, pengasas Sendayu Tinggi Corporation sudah merangka kehidupan zuriat sulungnya untuk masa depan.

Beliau bertekad, anaknya itu tidak akan mewarisi kehidupan serba kekurangan yang dilaluinya sejak kecil.

Rozita bukan sekadar berangan-angan, demi anak tersebut dia meniti langkah demi langkah bangun cabaran pahit getir dalam kehidupan supaya anak-anaknya kelak tahu erti dan menghargai kehidupan sebenar.

Kini Rozita boleh berbangga dengan anak sulungnya, Noorhayati Kamarzan, 26, yang berjaya memahami maksud dan pengharapan sebenar si ibu terhadap anak."Ketika mengandungkan Yati (panggilan buat anak sulung) saya sedang bekerja sebagai pegawai hartanah.

"Saya memang letakkan cita-cita saya pada nama anak, Noorhayati yang bermaksud 'cahaya hidupku'. Alhamdulillah Yati seorang anak yang bijak dan matang sebelum usianya," cerita Rozita membuka bicara tentang anak sulungnya yang kini menyandang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) di Sendayu Tinggi Corporation.Kini, Noorhayati bukan sahaja mewarisi kecantikan wajah ibunya, malah dia kini menerajui syarikat yang diasaskan Rozita.Pun begitu, Noorhayati yang telah diasuh ibunya agar tidak bermegah dengan kedudukannya, mengakui tidak selesa dengan perkataan 'menerajui' syarikat sebagaimana yang penulis ungkapkan.

Kata ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia setahun lapan bulan itu, dia sering menganggap dirinya sebagai 'pekerja' ibunya.Budaya itulah juga yang diterapkan si ibu dengan niat agar anak-anak tidak mudah lupa diri, bersikap sombong dan bangga dengan kemewahan yang dikecapi."Bukan untuk menidakkan kenyataan, tapi saya mahu setiap anak saya lebih menghargai kehidupan dan bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada keluarga ini.

"Sebenarnya, Yati memang banyak menolong saya sejak dari usianya lima tahun. Pada saat saya sedang bertarung mencari rezeki untuk kehidupan, Yati yang menjaga adik-adik termasuk seorang adiknya yang cacat sewaktu saya keluar mencari rezeki."Malah ketika Yati berusia 14 tahun dia sudah mula membantu saya berniaga di kedai runcit dan di pasar malam," imbas Rozita tentang anak sulungnya itu.Selain Noorhayati, Rozita mempunyai tujuh lagi anak termasuk anak keduanya Nur Aini yang meninggal dunia kerana lemas pada usianya 11 tahun.Anak ketiga, Aliff Syukri kini telah berkahwin, seterusnya Aiman Hazeem, 14, yang sedang mengikuti pengajian tahfiz di Kuala Lumpur, Nur Azizah, 13, Nur Ain Sufiah, 4, dan Maryam Nur Amani, 2 bulan.

Cabaran mendidik jiwa anak

Rozita mengakui berasa puas menjadi seorang ibu. Tidak rugi bersengkang mata agar anak-anak dapat dididik menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain.

"Kata-kata Rasulullah SAW saya pegang dalam mendidik anak-anak. Saya amat takut anak-anak menjadi pemalas dan tak tahu agama. Saya terapkan setiap anak mesti bangun solat subuh dan tidak boleh tidur semula selagi belum pukul 11 pagi, itu penting untuk minda dan otak yang cergas," katanya.Untuk Noorhayati pula, Rozita mahukan dia menjadi majikan yang prihatin dan memahami jiwa pekerja sebelum betul-betul bersedia memikul tanggung jawab besar.Jujur Rozita mengakui, anak sulongnya itu tidak terus diberi jawatan seperti sekarang sebaliknya dia bermula sebagai tukang sapu di pejabatnya dengan dengan gaji sebanyak RM350 sebulan.Bukan bertujuan merendahkan si anak tapi semata-mata untuk mempersiapkan minda anak agar tahu yang dia adalah seorang pekerja bukannya majikan.

"Sebenarnya untuk mendidik anak pertama dan kedua memang mudah kerana mereka membesar dalam keadaan saya susah.

"Tapi lebih mencabar untuk mendidik anak-anak kecil kerana mereka lahir dikelilingi kemewahan. Depan saya memang mereka ambil makanan sendiri, tapi di belakang semuanya pembantu rumah yang uruskan, itu yang saya takut sebenarnya," katanya yang sejak setahun lalu menukar imej dengan mengenakan purdah.Namun khusus untuk fotografi sempena Hari Ibu ini, Rozita bersedia untuk membukanya seketika."Saya berpurdah sebagai satu hijrah peribadi di samping mahu mengelakkan fitnah. Saya sedar apabila saya tampil sebegitu ada cerita-cerita negatif yang mengatakan muka saya rosak, cucuk botox dan sebagainya. Terserahlah pada anggapan mereka selagi sayu tahu niat saya," katanya..

Pandangan anak terhadap ibu

Bagi Noorhayati pula, dia memang mengagumi ibunya luaran dan dalaman selain memandangnya sebagai seorang ibu yang mempunyai pakej lengkap."Jika seorang ibu yang tidak mempunyai visi dan misi untuk anak dia hanya tahu melahirkan dan membesarkan tanpa meletakkan satu sasaran kepada anak-anak mereka."Sebab itu sampai satu peringkat umur, anak-anak dilepaskan kerana ibu mereka yakin yang mereka boleh membuat keputusan sendiri, padahal sebenarnya ibu perlu membimbing anak sampai bila-bila."Pada saya pula, ketika berusia 11 tahun saya tidak begitu bersifat feminin, tapi ibu mengajar saya agar hargai diri sebagai perempuan dan perlu menjaga tingkah laku sebagai perempuan. Dia memang tegas dan setiap inci kehidupan saya diatur dengan sebaiknya agar saya dapat jadi seorang wanita yang berdikari dan berjaya.

"Mak juga sering mengingatkan bahawa setinggi mana pun taraf seorang perempuan, dia perlu tahu asas dan tanggung jawab sebagai isteri, anak dan ibu," jelas ibu kepada Noor Uzma Raisah ini penuh bersemangat.Noorhayati juga kagum dengan pendekatan ibunya mendidik anak di mana ibunya akan bercakap secara terus terang tanpa berkias." Sebagai wanita, mak berpesan kekuatan mental adalah yang paling utama."Mak juga sering mengingatkan saya bahawa hidup ini akan lebih gembira jika kita berpegang kepada cara Islam dan ajaran Rasulullah."Saya percaya apabila asas agama kuat maka ikatan kekeluargaan juga akan kuat secara tidak langsung," ungkap Noorhayati.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Wang Tidak Masuk Jika Bisnes Anda 'Offline"

FACEBOOK, blog, muat turun lagu, memasuki "chat rooms" di Internet memang menjadi kegemaran remaja ini, tiada bezanya dengan anak muda lain.Adly Mukhtar banyak mencuri masa daripada setiap kesempatan yang ada untuk ke kafe siber, melayari Internet kerana di rumahnya tiada kemudahan itu.Tapi boraknya di Internet bukan bualan kosong. Adly seronok meneroka dunia. Beliau mencari sesuatu yang bermakna setelah menyedari minatnya melayari Internet boleh membawa keuntungan pada dirinya.Adly terpikat membaca kejayaan Irfan Khairi, pakar perniagaan Internet yang menjadi jutawan pada usia 25 tahun.Irfan pernah dipetik sebagai berkata "cara paling mudah untuk berjaya di Internet ialah dengan mengikut jejak langkah mereka yang berjaya".Itu jugalah yang diikuti Adly, "Saya terfikir, kalau dia boleh berjaya kenapa saya tidak?" kata Adly memulakan bicara.

BERMULA DENGAN RM300

Adly mula menjana pendapatan di Internet pada usia 16 tahun, ketika masih di tingkatan 4 lagi. Setahun selepas itu, beliau melancarkan produk digital yang diberi nama "101 Tip Adsense Terbongkar" dan menjana pendapatan RM10,000. Produk itu berupa e-buku bagi usahawan Internet yang berharga RM20 satu. Ia menerangkan 101 teknik bagaimana untuk memaksimum atau menggandakan pendapatan Google Adsense.

"Saya pinjam duit kawan sebanyak RM300 untuk memulakan projek ini," kata Adly.

Selepas SPM, dia melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan komputer, namum nekad berhenti untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan Internet yang dijalankan dan berjanji pada dirinya untuk terus menimba ilmu bagi kemajuan diri dan masa depannya.Pada ketika itu, beliau sudah memiliki komputer sendiri yang dibelikan ibunya untuk pengajian di universiti.Bersama seorang rakan kampung di Kota Bharu, Kelantan, Mohd Zhafran Mohd Ghani, beliau menubuhkan syarikat penyelesaian Internet Flarebiz Network dua tahun lepas.

Mohd Zhafran yang meminati apa saja berkaitan dengan reka bentuk dan pembinaan laman web, menjana pendapatan di Internet dengan membuat servis reka bentuk laman web mini atau mini sites dan e-cover di pasaran domestik dan luar negeri.

TARIK MINAT USAHAWAN

ONLINE... Adly Mukhtar mengendalikan seminar mengenai sistem kedai online - Niagakit - yang dibangunkan dengan rakan kongsinya.

Model perniagaan Flarebiz Network lebih kepada perkhidmatan dan penghasilan produk digital seperti e-book dan servis khas untuk usahawan yang mahu memperbaiki perniagaan mereka menggunakan kuasa Internet.Bagi tujuan meluaskan jaringan rakan dari kalangan mereka yang berminat berniaga menerusi Internet, mengumpulkan pakar dan sebagainya, Flarebiz Network mengasaskan e-majalah atau Majalah Internet Malaysia untuk mempromosi pemasaran Internet.

Mereka mahu menyedarkan pengguna tentang potensi untuk menjana wang di Internet dengan berusaha menyatukan semua usahawan pemasaran Internet tempatan menulis artikel mengenai bidang perniagaan ini.E-majalah yang boleh dimuat turun secara percuma itu diperkenal dengan tujuan mendidik pengguna Internet mengenai potensi Internet sebagai medium atau media baru untuk menjana pendapatan.Adly berkata majalah itu mengandungi artikel-artikel menarik, termasuk ilustrasi kartun yang mendidik pembaca dengan cara dan teknik yang betul untuk menjadikan Internet sebagai sumber pendapatan tanpa melibatkan perkara seperti sistem MLM atau pemasaran multi peringkat, sistem piramid, skim pelaburan Internet, HYIP atau program keuntungan tinggi, sistem derma duit dan tukaran wang asing secara online.

Setakat ini IM dimuat turun oleh kira-kira 20,000 orang.

KE KUALA LUMPUR

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mendapat sokongan ibu bapanya walaupun berhenti belajar dalam usia muda tetapi mereka tahu anak mereka mempunyai kecenderungan yang bukan sia-sia.Bapanya seorang ustaz lulusan Universiti Al-Azhar meninggal dunia tahun lepas, tetapi sempat melihat kejayaan Adly melalui bidang yang diceburinya.

Walaupun bisnes Internet boleh berpangkalan di mana-mana, keadaan sekeliling memaksa Adly membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka pejabat Flarebiz Network yang kini mempunyai enam lagi petugas terdiri daripada anak-anak muda berusia dalam lingkungan 20-an.Selepas IM berjaya menarik perhatian ramai usahawan, Adly dan rakan kongsinya mahu mencipta sesuatu yang signifikan terutama dalam Bahasa Melayu untuk manfaat usahawan tempatan membawa perniagaan mereka maju setapak lagi.

Mereka bangunkan sistem kedai online - Niagakit - yang dicipta setelah mengenal pasti kelebihan dan kekurangan perisian shopping cart antarabangsa yang tidak sesuai dengan keperluan urus niaga tempatan."Kami guna Bahasa Melayu untuk kemudahan peniaga kecil dan peniaga konvensional dengan mengajak mereka daripada berniaga offline kepada online," katanya.Niagakit, menurutnya, memudahkan usahawan menggunakan medium yang mereka selesa, tidak rumit dan memenuhi keperluan asas mereka.Adly berbangga kerana kini ramai yang berjaya memanfaatkan sistem yang diperkenal beliau kerana masalah biasa yang dihadapi kebanyakan mereka ialah tidak tahu membina laman web dan kurang mahir dengan perkara teknikal untuk menjual produk di Internet .

PRODUK MALAYSIA

"Niagakit merupakan sistem kedai online khas untuk rakyat Malaysia," dan menurut Adly, beliau dan rakan kongsinya faham apa yang diperlukan oleh seseorang itu untuk menjual produk secara online.

"Dalam dunia perniagaan Internet kini anda memerlukan sebuah sistem kedai online yang benar-benar mantap dan menyediakan pelbagai fungsi menarik yang akan memudahkan kerja seseorang."Seseorang itu boleh melakukan semuanya sendiri bermula dengan menyenaraikan produk sehinggalah memproses tempahan tanpa menghadapi sebarang masalah, dan tanpa perlu membazir wang dan masa untuk sistem memilih kedai online yang selaras dengan kehendak pasaran tempatan," katanya.Sistem ini ditawarkan pada harga RM1,000 tetapi Adly dan rakan kongsi turut menganjurkan bengkel atau seminar mini, mengajar secara mendalam selok belok sistem ini dan perniagaan Internet. Caj yang dikenakan untuk bengkel separuh hari hanya RM10.

"Baru-baru ini semasa saya mengadakan seminar di Johor Bahru, orang Singapura pun turut hadir," katanya bangga.

LAMAN WEB MINI

Flarebiz Network juga mencipta laman web mini, khas untuk menjual produk fizikal atau digital.

Untuk mempromosi produk mereka, Flarebiz Network mengadakan bengkel membina laman web mini yang memberikan panduan kepada peserta bagaimana untuk membina web mini dalam masa yang singkat tanpa perlu mengetahui perkara teknikal, yang sukar.

Biasa yang hadir ialah usahawan muda dan usahawan wanita yang mahu bekerja dari rumah, menjual tudung, pakaian, barang antik dan sebagainya.Kebanyakan yang menggunakan sistem kedai online ini, menurut Adly ialah golongan berusia 25-40 tahun."Kebanyakan mereka bermula dengan bisnes konvensional. Kami ada pangkalan peminat dan yang berjaya akan berkongsi cerita di facebook, dari situ kaki turut memantau perkembangan perniagaan mereka."Saya sendiri belajar dan mendapatkan informasi (selain buku) daripada rakan pakar-pakar bisnes ini melalui jaringan Internet juga, berkongsi pengalaman, menggunakan konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya," katanya.Kini menurut Adly, Flarebiz Network menjana pendapatan dalam lingkungan lima angka setiap bulan dan beliau mengambil gaji sebanyak RM5,000 sebulan.

CABARAN YANG DIHADAPI

Dalam setiap perniagaan sudah tentu ada jatuh bangunnya. Bagi Adly pengalaman pahit beliau ialah, bila pelaburannya mula-mula datang ke Kuala Lumpur membeli mesin mencetak t-shirt berharga RM10,000 daripada seorang kawan, terbengkalai begitu saja.

"Ketika itu saya anggap dunia perniagaan ini kejam, tapi dari situ saya belajar daripada kesilapan."Saya bangkit semula atas sokongan rakan-rakan dan pakar, seperti seorang usahawan IT di Kelantan. Kebanyakan mereka saya kenali melalui jaringan di Internet," katanya.Adly sedar dalan perniagaan Internet dan perkembangan di dalam Internet itu sendiri membuatkan dia tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dibangunkan.Adly juga percaya budaya membeli-belah secara online yang menjadi trend di banyak negara akan menjadi amalan di negara ini suatu hari nanti.

Maka itu beliau agresif menjaja Niagakit, mengadakan seminar mengenai penggunaannya dan memberi penerangan kepada usahawan lain.Beliau memegang kata-kata pengasas Microsoft dan hartawan Bill Gates: "Dalam abad 21 ini kalau bisnes tiada dalam online, ia bukan bisnes."-

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Interaktif dengan LectureMAKER




BAYANGKAN kaedah pembelajaran konvensional menggunakan papan putih atau buku-buku teks mengalami transformasi dengan penggunaan komputer melalui sistem e-pembelajaran.

Kaedah e-pembelajaran itu tentu bakal memudahkan lagi pelajar khususnya di sekolah kerana tidak perlu lagi memikul lambakan buku teks yang berat sehingga membebankan mereka.

Senario tersebut mungkin agak ke hadapan untuk difikirkan tetapi tidak mustahil menjadi kenyataan pada satu hari nanti dengan teknologi dan perisian terkini.Kaedah e-pembelajaran yang mengetengahkan elemen seperti interaktif, multimedia, kesan bunyi dan banyak lagi dijangka mampu membuka mata serta menambah minat pelajar apabila mengikuti pembelajaran di kelas.Bahkan, pada hari ini transformasi tersebut sudah mula kelihatan apabila sesetengah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menggunakan perisian pengarangan kandungan untuk mengajar di dalam kuliah mereka.

Bagaimanapun, perbelanjaan tinggi diperlukan untuk membangunkan kandungan e-pembelajaran tersebut kerana mesti melantik syarikat tertentu bagi menghasilkan produk berkualiti.

Namun begitu, ia bakal berubah apabila Telekom Smart School Sdn. Bhd. (TSS) memperkenalkan perisian pengarangan kandungan multimedia LectureMAKER untuk memenuhi permintaan segmen pasaran pendidikan.

Bina kandungan sendiri

Perisian yang dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Korea, Daulsoft Co. Ltd. itu dijangka mampu dapat merevolusikan sistem pendidikan di negara ini apabila tenaga pengajar atau pun sesiapa sahaja mampu membangunkan kandungan e-pembelajaran mereka sendiri.


PERISIAN pengarangan multimedia, LectureMAKER dijangka merancakkan pembangunan e-pembelajaran dalam pendidikan negara.



FAZLUR RAHMAN menunjukkan perisian LectureMAKER pada pelancaran produk itu baru-baru ini.


LectureMAKER tidak sukar untuk dikendalikan kerana mereka yang sudah biasa dengan aplikasi Microsoft PowerPoint dapat menggunakannya dengan baik memandangkan antara muka perisian itu mesra pengguna.

Anda boleh memasukkan teks dan grafik pada bahan pembelajaran mereka dengan mudah, malah perisian itu turut dilengkapi ciri-ciri tambahan komponen multimedia termasuk merakam, menyunting video, menambah audio dan sebagainya.

Dengan adanya komponen multimedia itu, pengguna terutama tenaga pengajar dapat membangunkan satu kandungan e-pembelajaran interaktif untuk pelajar-pelajar mereka.

Perisian tersebut juga didatangkan dengan beberapa contoh templat reka bentuk bentangan untuk digunakan dalam pembangunan kandungan e-pembelajaran mengikut kreativiti pengguna.Bahan-bahan multimedia lain seperti fail Macromedia Flash, bahasa penanda hiperteks (HTML), Microsoft PowerPoint, imej dan banyak lagi juga boleh dimasukkan untuk memastikan bahan yang lebih interaktif dapat disediakan.

Bagi tenaga pengajar pula aplikasi menyunting untuk mereka grafik sesuai bagi membuat graf, formula, kotak teks, jadual, bentuk, karakter istimewa disediakan berbanding menggunakan imej sebelum ini.


PENGGUNAAN perisian LectureMAKER mudah dan mampu menjimatkan kos.


Mudah digunakan

Pengerusi TSS, Fazlur Rahman Zainuddin berkata, perisian pengarangan e-pembelajaran, LectureMAKER merupakan kelengkapan terbaik dan mudah digunakan oleh sesiapa sahaja.

"Ia disasarkan kepada para guru, pensyarah, pelatih dan komuniti akademik untuk menghasilkan bahan pengajaran yang dinamik, malah membenarkan pengguna melakukan suntingan terus terhadap bahan tersebut.

"Saya berharap lebih banyak e-kandungan akan dihasilkan oleh golongan pengajar lantas mengembangkan lagi industri pembelajaran secara talian," katanya.

Fazlur Rahman menambah, LectureMAKER merupakan penyelesaian lengkap bukan sahaja untuk menghasilkan kandungan e-pembelajaran tetapi dapat menyunting fail media.Ujarnya lagi, perisian itu dilengkapi dengan ciri-ciri pengarangan dan penyuntingan multimedia terkini bagi membolehkan tenaga pengajar membangunkan kerja kursus lebih berkesan.

"Tenaga pengajar boleh menggunakan multimedia, penilaian, kandungan boleh ubah dan navigasi berangkai dalam pembangunan e-pembelajaran mereka."Bahan-bahannya tidak terhad kepada teks dan grafik sahaja, malah pengguna boleh menghasilkan kandungan yang kaya dengan multimedia," katanya lagi.Tambah Fazlur Rahman lagi, ini termasuk penggunaan video, mikrofon dan kamera web.

Katanya, ia merupakan kelengkapan terbaik dan mudah digunakan untuk pengguna yang ingin menghasilkan e-kandungan mereka sendiri."Pembangunan e-pembelajaran yang dihasilkan melalui LectureMAKER juga boleh digabungkan dalam Learning Management System (LMS) sekali gus membolehkan kandungan itu dikongsi dengan lebih ramai tenaga pengajar serta pelajar."Ia juga dapat menerapkan nilai berkongsi dan mendatangkan faedah dalam penerbitan kandungan dalam sektor pendidikan," ujarnya lagi.

LectureMAKER bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan tenaga pengajar tetapi juga para pelajar. Mereka boleh menggunakan perisian itu bagi menunjukkan kreativiti dan kemahiran pembentangan melalui penghasilan multimedia menarik.


E-PEMBELAJARAN dapat menambahkan minat dan fokus pelajar di dalam kelas.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSS, Zainudin Ismail memberitahu, kemunculan LectureMAKER mampu mengurangkan perbelanjaan kepada organisasi mahupun sektor pendidikan negara."Pengguna hari ini ingin menghasilkan kandungan dengan kadar segera tetapi secara kos efektif."Menyerahkan pembangunan kandungan kepada pihak luar mungkin mahal dan tidak praktikal buat tenaga pengajar yang perlu menghasilkannya untuk kerja kursus seharian mereka. Maka LectureMAKER adalah pilihan terbaik," ujarnya.

Katanya lagi, TSS juga menawarkan beberapa skim dan promosi kepada pihak yang berminat mendapatkan perisian tersebut.LectureMAKER kini ditawarkan pada harga RM2,160 hingga RM3,600.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Usahawan Kreatif - Kit jenazah Dunia Kifayah.


JASRI (tengah) dan barisan pengurusan Dunia Kifayah memperkenalkan kit lengkap pengurusan jenazah.


DALAM mengharungi kehidupan seharian kita tidak dapat menduga apa yang akan berlaku pada masa hadapan termasuklah soal kematian.Kematian akan datang tanpa memberi sebarang amaran sehingga kebiasaannya membuatkan kita tidak bersedia dan sukar mencari barangan pengurusan jenazah pada saat-saat akhir.

Menyedari kepentingan itu, sebuah syarikat bumiputera Dunia Kifayah yang ditubuhkan pada September 2009 membangunkan kit lengkap pengurusan jenazah bertujuan untuk memudahkan umat Islam dalam menguruskan jenazah dengan lebih seragam, tertib dan sistematik.Pengurus Besar Dunia Kifayah, Jasri Jamil, berkata, pengenalan produk keluaran syarikatnya diharap dapat membantu umat Islam memenuhi keperluan dan penyeragaman pengurusan jenazah sebagai satu tuntutan fardu kifayah.


ANTARA peralatan yang terdapat dalam kit lengkap pengurusan jenazah keluaran Dunia Kifayah.


"Produk ini juga dikeluarkan agar dapat memupuk kesedaran khususnya di kalangan generasi muda. Asalkan kit pengurusan jenazah ini ada sesiapa sahaja berupaya untuk menguruskan jenazah tidak kira di mana mereka berada.

"Melalui produk ini, umat Islam dapat mengelak kelewatan untuk menguruskan jenazah kerana tidak mempunyai bekalan mencukupi apabila berlakunya kematian," katanya.

Kit lengkap pengurusan jenazah yang diperkenalkan Dunia Kifayah mengandungi 20 peralatan utama meliputi peralatan dan bahan asas untuk pengurusan jenazah seorang Islam.

Ujar Jasri, peralatan tersebut merangkumi tiga helai kain kapan, kain kemban, tudung, baju, kain murung (enam set), sarung bantal (empat helai), tali (lima helai), kapas dua gulung, air mawar, akar sintok, putik kapas (15 batang), celak, kapur barus, minyak atar, sabun, serbuk cendana, apron plastik, plastik sampah, sarung tangan getah dan topeng muka.Katanya, produk itu merupakan kit pengurusan jenazah yang paling lengkap boleh didapati di pasaran. Jasri menegaskan produk kelengkapan itu diperkenalkan bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan kerana jika diamati tuntutan fardu kifayah sebelum ini sering dipandang ringan oleh masyarakat Islam walaupun ia perkara wajib.

Katanya, melalui pengalaman sendiri, memang sukar mencari kelengkapan kerana tidak semua kedai menjualnya dan perkara itu merupakan salah satu faktor kit lengkap pengurusan jenazah dibangunkan syarikatnya.


PERALATAN pengurusan jenazah yang lengkap mempercepatkan urusan pengebumian dijalankan. - Gambar hiasan


"Produk kit pengurusan jenazah ini telah dipasarkan sekitar Johor dan kami menyasarkan untuk memperluas lagi pasaran sehingga seluruh negara."Kita juga sedang dalam perancangan untuk memasarkan produk ini ke luar negara seperti di Indonesia, Singapura dan Brunei," katanya lagi.

Tanah perkuburan Kifayah

Menyentuh mengenai perancangan jangka pendek, Jasri menambah, syarikatnya sedang dalam proses membangunkan kit kelengkapan jemaah haji dan umrah."Kita ingin memudahkan lagi bakal-bakal jemaah haji dan mereka yang ingin mengerjakan umrah," ujarnya.Dalam pada itu, syarikat Dunia Kifayah juga bercadang untuk mempunyai van jenazah dilengkapi dengan pemandu yang akan membantu menyediakan peralatan memandikan dan pengebumian jenazah.

Jasri menambah, perancangan jangka panjang pula mewujudkan panel pengurus jenazah di setiap negara yang mempunyai rakyat beragama Islam."Kita juga bercadang untuk mempunyai tanah perkuburan Kifayah yang diuruskan sepenuhnya oleh Dunia Kifayah. Ia lengkap dengan segala infrastruktur seperti surau, pejabat urusan Kifayah, tapak letak kereta dan khidmat buggy.


AKAR sintok antara peralatan yang tidak mudah dibeli di pasar raya.


"Tanah perkuburan ini nanti akan dikawal 24 jam oleh pengawal keselamatan dan hanya boleh dimasuki oleh ahli keluarga yang berdaftar sahaja. Apabila ia menjadi realiti kelak, kami berharap tanah perkuburan Kifayah akan menjadi tanda aras untuk diikuti oleh pengurusan tanah-tanah perkuburan lain di seluruh negara," ujar Jasri lagi.

Tambahnya, apa yang ingin diketengahkan lebih kepada usaha untuk menjadikan tanah perkuburan sebagai mesra masyarakat dan persekitaran

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

IPT turut berperanan menjayakan MEB

PERANAN institusi pengajian tinggi (IPT) kini tidak lagi hanya dilihat sebagai sebuah 'menara gading' yang hanya menumpukan kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta menumpukan usaha dalam pencarian ilmu kepada para pelajarnya. IPT kini seharusnya bergerak seiring dengan hasrat kerajaan melaksanakan dasar Model Ekonomi Baru (MEB) bagi menuju sebuah negara berpendapatan tinggi. IPT juga perlu menjadi pemangkin atau pelopor utama untuk menjayakan ekonomi yang berasaskan kepada pengetahuan melalui sistem inovasi negara.

Saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pengajian Tinggi dan MEB anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) supaya IPT di negara ini meningkatkan pengkomersialan kajian dan pembangunan (R&D) serta mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak industri bagi membantu menjayakan MEB merupakan satu cabaran kepada semua IPT untuk melaksanakan dan merealisasikan hasrat murni kerajaan melalui MEB.

Selanjutnya, beliau berkata seperti mana di dalam laporan akhbar, usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan boleh ditingkatkan melalui daya keusahawanan dengan mewujudkan anak-anak syarikat universiti, selain pemindahan teknologi dan pelaburan pihak industri dalam projek R&D.

Tegasnya lagi, R&D yang dihasilkan oleh IPT mestilah berinovasi tinggi, mempunyai nilai kepada masyarakat dan boleh dikomersialkan. Ia bukanlah bertujuan sebagai penulisan ilmiah atau untuk dimasukkan ke dalam jurnal berimpak tinggi semata-mata. Beliau juga menyarankan supaya IPT berperanan melahirkan graduan berkualiti untuk memenuhi permintaan pasaran kerja.

Langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengiktiraf IPT yang memenuhi lapan kriteria yang ditetapkan untuk menjadi Universiti Penyelidikan (kuantiti dan kualiti penyelidik, kuantiti dan kualiti penyelidikan, kuantiti dan kualiti pasca siswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah, rangkaian serta pautan dan kemudahan sokongan) serta menganjurkan ekspo-ekspo atau seminar berkaitan penyelidikan, kreativiti dan inovasi termasuk memberi pengiktirafan kepada para penyelidik dan IPT merupakan usaha serius pihak kerajaan khasnya KPT untuk menjadikan IPT sebagai pelopor sistem inovasi negara.

Tindakan proaktif pihak IPT seperti menubuhkan anak-anak syarikat universiti, mewujudkan pusat-pusat kecemerlangan universiti, mengadakan unit atau jabatan hubungan industri dan ada IPT yang mengambil kira elemen hasil penyelidikan sebagai salah satu daripada kriteria untuk kenaikan pangkat dapat menyuburkan lagi budaya R&D di kalangan staf IPT terutamanya golongan akademik.

Di samping itu, hubungan erat dan kerjasama yang baik antara pihak IPT dan industri melalui pemindahan teknologi dan pengetahuan dapat dimanfaatkan secara bersama melalui 'situasi menang-menang'. Kepakaran yang dimiliki oleh para penyelidik dapat digunakan untuk membantu pihak industri mencipta satu produk baru atau memberi elemen penambahbaikan kepada produk sedia ada dan pihak industri pula dapat menyalurkan dana atau sumber kewangan bagi membiayai R&D tersebut.

Hasil penyelidikan dalam bidang-bidang seperti biosains dan biotekonologi, teknologi maklumat dan komunikasi, sains fizikal dan kejuruteraan serta sains kesihatan dan bersekutu yang baik bukan sahaja dapat memberi faedah kepada masyarakat tetapi juga kepada negara apabila ia berjaya dikomersialkan.

Usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak IPT dengan sokongan kerajaan khasnya KPT dapat membantu pihak kerajaan mencapai matlamat dasar MEB untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Ia akan dapat mengurangkan penggantungan negara kepada pelaburan modal asing (FDI) di dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Betulkan niat bekerja

BERDASARKAN jumlah tangkapan pemberi rasuah melibatkan pekerja sektor awam mahupun swasta yang semakin meningkat, golongan pekerja diseru membuat pertimbangan seribu kali sebelum melakukan jenayah keji itu. Ini kerana menurut perangkaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 524 tangkapan kerana kesalahan rasuah telah dilakukan antara tahun 2005 hingga 2009. Manakala untuk tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 142 tangkapan telah dilakukan dan sebanyak 51 pertuduhan telah dikemukakan ke muka pengadilan.

Bagi mengelak trend peningkatan jenayah rasuah yang merugikan bangsa dan negara daripada berterusan, golongan pekerja disaran mengaplikasikan konsep bekerja sebagai ibadah ketika menjalankan tugasan harian mereka. Ini boleh dilakukan dengan membetulkan niat dan matlamat bekerja.

Dalam Islam, setiap amalan dinilai berdasarkan niat, jika ia benar semata-mata mencari reda Allah SWT, nescaya ia dianggap ibadah dan berupaya untuk mengelak seseorang daripada melakukan perbuatan hina seperti menerima dan memberi rasuah. Begitu juga niat yang betul akan menyumbang kepada perolehan rezeki yang halal dan diberkati.

Selain itu, pekerjaan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan oleh syariat. Tidak kira sama ada bergaji tinggi ataupun rendah, yang penting pekerjaan yang halal lebih mulia daripada perbuatan meminta-minta. Kenyataan ini pernah disebut oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud "Perbuatan seseorang pergi ke hutan menebang kayu, mengikat dan memikul di bahu kemudian dibawa ke pasar untuk dijual adalah lebih baik daripada meminta-minta kerana belum tentu kita diberi ataupun tidak." Justeru itu, tiada guna berpendapatan tinggi dan hidup mewah jika apa yang dilakukan boleh merosakkan agama dan keharmonian negara.

Begitu pula pekerjaan yang diharamkan agama seperti bekerja di rumah urut sambil melacurkan diri, bekerja di kelab malam yang dikelilingi maksiat dan arak juga pusat-pusat perjudian seperti kedai menjual nombor ekor dan lain-lain wajib dijauhi. Ini kerana perbuatan tersebut menyumbang masalah sosial dalam masyarakat, selain dilaknat oleh Allah SWT. Bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah sedangkan Allah SWT hanya menerima yang baik sahaja. Malah penglibatan orang Islam dalam jual beli riba dan apa sahaja bidang perniagaan yang memudaratkan seperti pengedaran dadah dan pil-pil khayal turut diharamkan.

Perlu juga diingat dalam melaksanakan apa jua pekerjaan, kewajipan melaksanakan ibadah adalah asas yang sama sekali tidak boleh diabaikan. Sibuk mana pun kita menguruskan perniagaan mahupun kerja-kerja di pejabat, sembahyang tidak patut ditinggalkan. Ia merupakan kewajipan utama yang pertama kali akan dipersoalkan di hari kemudian. Akibat diabaikan kerja-kerja yang lain kemungkinan akan terbengkalai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Amalan bermesyuarat sehingga mengorbankan sembahyang fardu sebagai contohnya patut dihindari sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki dan gaji yang diperoleh setiap bulan.

Dalam kesibukan bekerja juga, seseorang tidak patut mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan rumah tangga. Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk makan bersama seisi keluarga dan bercuti bersama anak-anak. Pasangan suami isteri yang bekerja juga perlu memperuntukkan masa bersama sambil berbincang untuk menyelesaikan masalah anak-anak dan rumah tangga. Jika tidak, anak-anak terutamanya akan merasa bosan dan tidak seronok berada di rumah lalu keluar bergaul dengan rakan-rakan yang kemungkinan menyumbang perlakuan tidak bermoral dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

Isteri yang keluar bekerja pula perlu mendapat restu daripada suami. Di samping itu, pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang dibenarkan oleh syariat dan jangan sampai mengganggu tugas hakiki seperti mengurus rumah tangga dan mendidik anak-anak. Elakkan daripada menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada pembantu rumah, kerana dikhuatiri akan menjejaskan kerukunan rumah tangga. Isteri yang keluar bekerja juga perlu mengelak fitnah dengan tidak melampau-lampau dalam berhias dan berpakaian. Ini bagi mengelak hubungan terlarang di pejabat yang banyak terjadi akhir-akhir ini.

Sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan juga semestinya dilakukan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Untuk itu perbuatan curi tulang dan makan gaji buta hendaklah dijauhi. Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksudnya "Sesungguhnya Allah suka jika seseorang itu bekerja, maka ia bekerja dengan tekun." (Riwayat al-Baihaqi).

Sebagai pekerja dalam perkhidmatan awam pula, nilai-nilai murni dalam Tonggak 12 yang diperkenalkan oleh kerajaan cukup lengkap untuk menjadi panduan dan pedoman ke arah menjadi pekerja yang berintegriti. Nilai-nilai yang baik seperti menghargai masa, ketekunan membawa kejayaan, keseronokan bekerja, kemuliaan, kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berkhidmat, keutamaan kesabaran, peningkatan bakat serta nikmat mencipta hendaklah sentiasa tersemat dalam hati sanubari.

Ingatlah kerja ikhlas yang dilakukan semata-mata untuk mencari rezeki halal menjadi penyebab kepada keberkatan hidup. Mungkin gaji yang diperoleh sedikit tetapi jika diberkati, pasti akan mencukupi. Sedarlah juga setiap wang ringgit yang diperoleh akan dipersoalkan sumber dan cara bagaimana ia dibelanjakan. Di samping itu, perbuatan memburuk-burukkan rakan sepejabat dan saling dengki mendengki satu sama lain untuk tujuan kenaikan pangkat misalnya tidak bertepatan dengan konsep bekerja sebagai ibadah. Ini kerana selain bekerja untuk menyara kehidupan di dunia, sebagai orang Islam kita juga bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT di hari akhirat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Dusun Buku jadi tumpuan


Ruangan membaca kanak-kanak yang selesa dan membolehkan mereka membaca dengan santai di Dusun Buku milik Mokhtar Yusof di Kampung dusun, Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 3 Mei - Lazimnya apabila berada di tengah-tengah bandar amat sukar dan mustahil untuk menemui dusun apatah lagi dengan keadaan tanah yang kebanyakannya telah dibangunkan dengan deretan rumah dan premis perniagaan.Namun, jika ke Kuala Ibai dekat sini, pastinya mata kita akan terpaku memandang sebuah papan tanda di Kampung Dusun yang menunjukkan arah ke sebuah 'dusun'.

Bukan dusun buah langsat atau dokong apatah lagi durian, namun bagi mereka yang pertama kali melalui jalan tersebut pastinya tertanya-tanya melihat papan tanda tersebut yang tertulis ' Dusun Buku'.

Penulis juga ingin tahu apabila melihat papan tanda tersebut dan tidak teragak-agak untuk menyusuri arah papan tanda itu yang membawa kepada sebuah jalan tidak bertar, sempit namun teduh ditutupi pohon buah-buahan di sekelilingnya.Namun semua itu pasti berbaloi apabila tiba di sebuah rumah yang tertera di pintu pagarnya 'Dusun Buku' kerana nyata kediaman tersebut berbeza daripada rumah-rumah lain.Apa yang membezakan rumah tersebut adalah ia dipenuhi dengan ribuan bahan bacaan dari buku cerita kanak-kanak sehinggalah ke ensiklopedia.

Menurut pemilik Dusun Buku itu, Mokhtar Yusof atau lebih senang disapa dengan panggilan Cikgu Mokhtar, Dusun Buku tersebut merupakan ilhamnya memandangkan dia mempunyai banyak koleksi buku untuk dikongsi.Katanya yang juga merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Undang dekat sini, setakat ini terdapat kira-kira 5,000 buah buku pelbagai koleksi dimilikinya yang dikumpul sejak 40 tahun lalu."Saya memang gemar membaca buku dan membelinya sendiri namun akibat terlalu banyak jumlah buku berkenaan menyebabkan tiada ruang untuk menyimpan buku-buku ini.

"Apabila menyuarakan masalah ini, saya mendapat sokongan daripada isteri dan anak-anak untuk membuka perpustakaan kecil di rumah dan turut dibuka kepada orang ramai," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.Katanya, dengan menggunakan modal sendiri sebanyak RM70,000, konsep Dusun Buku ini dibina lebih santai daripada perpustakaan biasa kerana pengunjung boleh membaca dalam keadaan selesa dan tidak terikat dengan pelbagai peraturan.Tambahnya, tiada bayaran yang dikenakan untuk membaca di Dusun Buku namun setakat ini dia masih belum bercadang untuk meminjamkan koleksi buku yang ada kepada orang ramai kerana bimbang ia akan hilang."Ketika zaman persekolahan dulu tidak ramai pelajar yang mahu ke perpustakaan kerana terikat dengan pelbagai peraturan seperti perlu kekalkan suasana sentiasa senyap dan tidak boleh mengadakan perbincangan kerana bimbang mengganggu rakan-rakan yang lain.

"Jadi di Dusun Buku, kanak-kanak mahupun dewasa boleh membaca secara santai bersama rakan-rakan mereka selama mana mereka mahu namun tidak boleh membawa pulang ke rumah," jelasnya.Ditanya tentang koleksi-koleksi menarik yang terdapat di Dusun Buku, jelas bapa kepada lapan orang anak ini, dia mempunyai pelbagai koleksi buku-buku lama termasuk dari luar negara.Jelasnya, dia turut mendapat sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam), Yayasan Islam Terengganu (YIT), Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu dan Utusan Malaysia.Bagaimanapun, katanya, antara koleksi-koleksi yang paling disayanginya adalah buku pemberian anak-anaknya serta buku pertama yang dibeli ketika berusia 18 tahun."Dulu waktu remaja saya sanggup bekerja sambilan di sebuah kedai buku dan saya tidak mengambil gaji namun saya mahu ia ditukarkan dengan buku dan buku pertama saya beli bertajuk Ayer Mata Jatoh ke Lumpur tulisan Arman Sani berharga RM2.60 ketika itu dan masih ada sehingga kini."Selain itu setiap kali tiba Hari Guru, Hari Bapa dan Hari Buku pastinya anak-anak akan menghadiahkan saya buku setiap orang dan buku-buku tersebut pasti menjadi antara buku yang perlu dibaca jika pengunjung datang ke sini," jelasnya.

Tambahnya, dia merancang untuk menambah koleksi pelbagai buku di Dusun Buku tersebut agar menarik lebih ramai pengunjung terutamanya di kalangan kanak-kanak."Saya amat berharap Dusun Buku ini dapat menjadi tempat lepak berilmiah di kalangan kanak-kanak agar masa terluang dapat diisi dengan aktiviti berfaedah," jelasnya.Begitulah impian Cikgu Mokhtar yang tidak pernah berputus asa menyampaikan dan berkongsi ilmu yang ada padanya seperti riwayat hadith dari Abu 'Atikah Al Bashri, dari Anas bin Malik iaitu 'tuntutlah ilmu sekalipun sampai ke negeri China' kerana menuntut ilmu itu fardu atas setiap Muslim.Hanya dengan membaca kita mampu menjelajah seluruh dunia tanpa perlu mengeluarkan wang ringgit yang besar dan masa yang banyak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Internet, televisyen 'musuh' buku - Ungku Aziz

KUALA LUMPUR 3 Mei - Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz menganggap Internet dan televisyen merupakan 'musuh' kepada buku kerana menghakis budaya membaca di kalangan masyarakat seperti yang berlaku di Malaysia ketika ini.Menurut tokoh akademik itu, penggunaan yang meluas kedua-dua medium itu kini membentuk masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada Internet dan televisyen untuk mendapatkan maklumat sekali gus meminggirkan kandungan sesebuah buku."Ia menjadi semakin parah apabila sesuatu pengetahuan itu tiada di Internet, maka ia akan diabaikan begitu sahaja dan sangat merugikan masyarakat," katanya.Beliau berkata demikian semasa sesi menandatangani autograf buku mengenainya bertajuk The Renaissance Man di kedai buku Kinokuniya (Malaysia) Sdn. Bhd. di Suria KLCC hari ini.Buku tersebut berkisar tentang pengalaman beliau sepanjang perkhidmatannya di Universiti Malaya (UM).

Kandungan buku itu disumbangkan oleh beberapa penulis antaranya bekas Naib Canselor UM, Datuk Dr. Hashim Yaacob; Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid; Prof. Emeritus Dr. K. T. Joseph; Prof. Dr. Azizah Hamzah selain Ungku Abdul Aziz sendiri.Mengulas lanjut, kata Ungku Abdul Aziz, budaya membaca buku di Malaysia agak rendah berbanding negara-negara luar khususnya penduduk di Eropah yang menjadikannya satu amalan."Mereka (penduduk Eropah) membaca buku di mana-mana sahaja walaupun masa terluang hanya 15 minit sedangkan negara mereka mempunyai kemudahan Internet yang baik ," katanya.Tambahnya, masalah kurang membaca buku bukan sahaja berlaku kepada golongan remaja, malah kepada golongan korporat dan golongan berpendidikan tinggi yang suka menghabiskan masa lapang dengan bermain golf atau melayari Internet tanpa henti.

Beliau menolak dakwaan bahawa harga buku yang tinggi menjadi punca masyarakat Malaysia tidak membeli buku."Kini sudah ada kemudahan meminjam buku di perpustakaan yang menyediakan pelbagai genre bacaan kepada pembaca, ia bukan masalah,'' jelasnya.

Tambah beliau lagi, dengan membaca buku, seseorang akan mempunyai minda yang terbuka dan berupaya bercakap mengenai pelbagai perkara."Ia berbeza dengan mereka yang tidak membaca buku kerana tidak mengetahui banyak perkara," jelasnya.Beliau turut mengesyorkan penulis tempatan supaya membanyakkan penghasilan buku dengan penulisan yang menarik dan sedikit kontroversi agar menarik minat pembaca.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Jom pakat pakai chery ..


WAjah baru kenderaan penumpang yang semakin diterima di pasaran tempatan.


CHERY Alado Automobile Sdn. Bhd., mula memasuki segmen model kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan memperkenalkan Chery Easter.

Dengan penekanan kepada aspek keselesaan pelanggan, model baru ini sesuai untuk pelanggan yang berorientasikan keluarga.

Ia sesuai dimiliki oleh mereka yang inginkan kehidupan ringkas tetapi mementing gaya hidup kekeluargaan.

Sebab itu matlamatnya ialah menjadikan Chery Easter sebagai pilihan terbaik bagi semua kelas masyarakat yang inginkan kenderaan untuk keluarga tetapi pada masa sama berpersonaliti.

Lagi pula Chery Easter yang memiliki pelbagai fungsi dan gaya adalah pilihan terbaik untuk beriadah dan kegunaan harian.Yang paling penting ia memenuhi keperluan keluarga, pengembaraan dan komersial.Ketua Pegawai Eksekutif Chery Alado, Meng Tao berkata, selepas kejayaan melancarkan Easter 2.4 liter dan Tiggo, pihaknya membuka tirai untuk memperkenalkan model kelima Chery dalam pasaran automotif Malaysia iaitu Easter 2.0 Liter.

"MPV Easter 2.0L adalah pilihan terbaik kepada pelanggan kerana ia MPV yang dipertingkatkan cirinya seperti Chery Acteco 2.0L yang memberikan kuasa dengan penggunaan minyak yang lebih baik," katanya.Bagi Chery Alado Automobile, tahun 2009 walaupun dilanda pelbagai masalah kewangan tetapi ia merupakan tahun yang baik untuk mereka.

Ini kerana Chery meneruskan peningkatan yang komprehensif dan kompetitif melalui promosi yang berterusan.Tahun ini, Chery menggunakan sepenuhnya krisis kewangan dengan mencari pelbagai pilihan bermula daripada pengurusan, jualan dan pemasaran dengan melaksanakan strategi 'jenama, kualiti, servis' di seluruh negara.Selain itu mereka juga akan mempromosikan pencapaian setakat ini iaitu Chery di tangga ke-10 bagi kategori kenderaan penumpang bukan nasional dalam pasaran automotif Malaysia.Tao berkata, sokongan kerajaan dan masyarakat, membolehkan mereka terus memperkenalkan model baru untuk pasaran negara ini.

Malah katanya, ia juga lambang kerjasama erat antara Malaysia dan China dalam ekonomi dan perdagangan terutama dalam industri automotif.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Ubah cara berniaga

Ada sesuatu yang tidak kena apabila pelabur dan peniaga masih mengharapkan kos buruh yang rendah sedangkan kos sara hidup pekerja di negara ini semakin tinggi. Oleh sebab kos buruh yang rendah, majikan lebih berminat mengambil pekerja asing berbanding pekerja tempatan sendiri. Ketidakseimbangan ekonomi ini merencatkan agenda negara yang direncanakan melalui Model Ekonomi Baru (MEB).Kos sara hidup yang tinggi dan tidak bertepatan dengan gaji yang diperoleh menjejaskan kehidupan seharian pekerja tempatan. Selaras dengan itu, Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan kajian menyeluruh mengenai gaji minimum untuk para pekerja terutamanya yang terlibat dengan sektor industri bakal dijalankan.

Sebelum itu, Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan kenaikan gaji pengawal keselamatan yang rata-rata berpendapatan di antara RM500-RM700 sebulan pada masa kini. Dengan gaji yang sebegitu rendah berbanding dengan keperluan semasa, pengumuman tersebut sudah tentu menceriakan para pengawal keselamatan yang kebanyakannya merupakan pesara polis dan tentera.Namun demikian, ada desakan agar kenaikan gaji pengawal keselamatan ditangguhkan buat sementara waktu kerana majikan masih belum bersedia untuk menyerap kenaikan kos ini.Inilah satu perkara yang cukup sensitif tidak kiralah kepada para pekerja meskipun kepada majikan. Di mana-mana sahaja di dunia ini, isu gaji merupakan isu yang sering diperjuangkan di kalangan para pekerja. Isu gaji jugalah menyebabkan ramai tenaga mahir dan kurang mahir tempatan mencari peluang pekerjaan di luar negara.Umpamanya ramai doktor yang bekerja di luar negara seperti Singapura dan United Kingdom kerana mendambakan ganjaran yang cukup lumayan. Ramai yang bermastautin di luar negara semata-mata terpesona dengan gaji yang lebih menarik.

Inilah dilema yang mesti ditangani segera jika kita benar-benar ingin berdaya saing di pentas antarabangsa. Negara memerlukan tenaga mahir dan bukannya lambakan para pekerja asing yang rata-ratanya sanggup bergaji murah.Hujahnya cukup mudah. Malaysia tidak lagi berdaya saing dari segi kos buruh yang rendah. Banyak negara lain yang boleh menawarkan kos buruh yang rendah.Ambil contoh negara China, boleh dikatakan banyak barangan yang dipasarkan di seluruh dunia seperti pakaian diperbuat dari China. Adakah kita masih lagi ingin bersaing dengan cara yang sama sedangkan sememangnya diketahui kita akan kalah sebelum bertanding?Natijahnya, cara berniaga perlu diubah. Tidak boleh lagi menggunakan cara yang sama.

Oleh itu, para majikan mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan kebajikan para pekerja tempatan diutamakan. Kalau setiap tahun mereka mampu mengumumkan keuntungan berjuta-juta ringgit bahkan ada yang sampai berbilion ringgit, apalah sangat jika keuntungan ini disalurkan kepada kebajikan para pekerja.Perlu dingat, para pekerjalah yang selama ini menyumbang keuntungan kepada syarikat. Di negara Jepun, para pekerjanya cukup setia dengan majikannya. Jasa yang disumbangkan oleh majikan kepada mereka dibalas dengan budaya kerja yang hebat. Ini kerana kebajikan para pekerja dijaga dengan baik.Gaji mestilah setimpal dengan kerja yang dilakukan dan juga kos sara hidup semasa.Apabila kebajikan pekerja dijaga dan dihargai, produktiviti mereka juga akan semakin meningkat. Bukan itu sahaja, suasana kerja juga akan lebih kondusif dan seterusnya para pekerja akan termotivasi untuk bekerja secara ikhlas dan jujur bagi memastikan misi dan visi syarikat dapat dicapai.

Tidakkah ini akan memberi kesan yang amat baik kepada syarikat? Sayangnya, masih ada majikan yang mengutamakan keuntungan semata-mata dan tidak nampak tentang kepentingan menjaga kebajikan para pekerja.Ketamakan sebeginilah yang akhirnya memberi kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara.Selain gaji dan kebajikan pekerja, produktiviti juga akan meningkat jika gejala rasuah dapat ditangani di kalangan ahli perniagaan. Statistik untuk empat bulan pertama tahun ini menunjukkan golongan kedua tertinggi ditangkap atas kesalahan memberi rasuah adalah kes menggajikan pendatang asing.Sekali lagi kita dapat lihat tentang budaya perniagaan yang tidak sihat di negara kita. Sudahlah tidak mengutamakan pekerja tempatan, sanggup pula menawarkan rasuah kepada pegawai kerajaan.

Jangan menyalahkan penguat kuasa atau pegawai kerajaan jika punca rasuah bukannya datang dari mereka. Rasuah tidak akan sesekali berlaku jika tiada pihak yang memberi.Justeru, sokongan penuh mesti diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berusaha bersungguh-sungguh membanteras gejala rasuah.Kempen membanteras rasuah dan penerangan jelas yang bakal diberikan kepada golongan peniaga mampu mengurangkan gejala jijik ini ke tahap terendah. Jika ini dapat dicapai, suasana perniagaan akan lebih berintegriti dan seterusnya kualiti dan produktiviti akan berjaya dilonjakkan pada tahap tertinggi.Budaya perniagaan yang bersih tanpa penyelewengan, penipuan dan rasuah akan menjadikan suasana ekonomi negara yang lebih mapan untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Perkasa sokong MEB bersyarat.


Ibrahim Ali menyampaikan ucap utama pada majlis perasmian Bengkel Agenda Melayu dalam Model Ekonomi Baru di Memorial Tun Hussien Onn, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 2 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mahu keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara dibuat mengikut nisbah penduduk berdasarkan kaum sebagai salah satu prasyarat organisasi itu menyokong Model Ekonomi Baru (MEB).Naib Presiden Perkasa, Dr. Zubir Harun berkata, sekiranya keadilan sosial dijadikan landasan kepada pengagihan kekayaan negara, maka kadar pemilikan ekuiti dan aset mesti diagihkan mengikut komposisi penduduk berdasarkan kaum di negara ini.

"Sehubungan itu, kaum bumiputera wajib mendapat 67 peratus kekayaan negara sementara 33 peratus pula dikhususkan untuk bukan bumiputera.

"Kita mengambil ketetapan seperti itu untuk dinilai dan dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada dasar dalam MEB," katanya kepada Utusan Malaysia pada Bengkel MEB anjuran Perkasa di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memperkasakan Masyarakat Perindustrian dan Perdagangan Bumiputera (MPPB), organisasi tersebut turut mencadangkan beberapa langkah seperti berikut:

1. MEB mesti memastikan sokongan kerajaan secara berterusan kepada MPPB.

2. Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu ditingkatkan dengan meletakkannya di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Mara dinaik taraf menjadi Menteri yang mempunyai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membangunkan usahawan Melayu.

3. Agenda pembangunan ekonomi Melayu wajib dijadikan sebagai NKRA di setiap kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

4. Peranan agensi pembangunan bumiputera seperti Mara, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta GLC berkaitan perlu diperluas dan diperkukuhkan.

5. PNB harus menceburi bidang baru melalui pembangunan 'venture capital' dan keusahawanan.

6. Peranan Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) perlu dimaksimumkan.

7. Menggunakan pendekatan korporat besar seperti PNB, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Felda untuk bekerjasama bagi melaksanakan projek besar dan penting tanpa zmelibatkan kewangan kerajaan tanpa melibatkan kewangan kerajaan bagi membantu bumiputera.

8. Syarikat GLC perlu memasukkan pembangunan usahawan Melayu sebagai NKRA dan salah satu tanggungjawab ketua pegawai eksekutifnya dalam penilaian prestasi dan pelantikan.

9. dan, proses pembangunan usahawan Melayu berorientasikan global perlu digandakan.

Seramai 150 peserta bengkel yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta ahli pakar ekonomi dan akademik hadir membincangkan pelbagai cadangan bagi memantapkan MEB sebelum dilaksanakan kerajaan.Perbincangan itu antara lain melibatkan aspek modal insan, kontraktor Melayu, pasaran saham dan bioteknologi.Kesemua resolusi perbincangan akan dikemuka dan diperbahaskan pada Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang dijangka dihadiri Perdana Menteri pada hujung bulan ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments