Usahawan jadi pensyarah IPTA

PUTRAJAYA 9 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mewujudkan satu mekanisme bagi membolehkan usahawan tempatan yang berjaya menjadi pensyarah sambilan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak lama lagi.Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mekanisme itu penting bagi memastikan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) tenaga pengajar itu selari dengan kehendak universiti dan industri.Beliau berkata, langkah berkenaan dilakukan kerana hampir semua pensyarah yang mengajar subjek keusahawanan di IPTA kini tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang usahawan.

''Walaupun cadangan itu belum pernah dilaksanakan di IPTA, beberapa buah universiti di negara-negara Barat telah membuktikan bahawa lebih mudah usahawan mengajar pelajar keusahawanan.''Ini kerana pengetahuan keusahawanan bukan hanya berasaskan teori tetapi juga pengalaman usahawan mengurus perniagaan mereka dan soal bimbingan selepas keluar daripada universiti," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan Persatuan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung ACCCIM, Datuk David Chua.

Sehubungan itu, Saifuddin memberitahu, kementerian kini dalam proses menyiapkan kertas kerja mengenai cadangan itu sebelum dilaksanakan.''Jika sempat kita mungkin akan melaksanakannya pada sesi pengajian akademik bulan Julai ini di IPTA yang telah mempunyai kursus keusahawanan sebagai projek perintis.''IPTA tersebut adalah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.Ditanya mengenai kadar bayaran kepada tenaga pengajar itu, beliau berkata, adalah lebih baik jika pihak industri dapat mengutamakan tanggungjawab sosial korporat mereka.''Lagipun, tempoh masa pengajaran mereka hanyalah beberapa jam dalam seminggu dan saya yakin ia tidak akan menjejaskan operasi perniagaan mereka," katanya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Melayu boleh maju dalam perniagaan

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary


KUNTA Kinte dah cerita macam mana ramai tauke Cina dan India jadi kaya raya pasal lesen, subsidi dan monopoli yang dibagi oleh kerajaan. Ada yang perniagaan mereka dah nak lingkup tapi hidup balik dan jadi gergasi selepas dibagi kontrak dan talian hayat oleh kerajaan.

Minggu ini Kunta Kinte nak cerita sikit pasal seorang tauke Melayu yang berjaya. Nama dia Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Ramai orang kenal dia sebagai pengasas pertubuhan kebajikan Yayasan Al-Bukhary, atau dengar nama dia bila dia dah jadi tauke bangsa Melayu nombor satu di negara kita.Jadi tak hairanlah kalau ramai yang tuduh atau sangka dia tauke payung terjun, tauke kroni dan proksi. Kunta Kinte pun tak salahkan mereka sebab baru dalam masa lebih kurang 10 tahun ini nama dia disebut-sebut sebagai usahawan Bumiputera yang berjaya. Yang ramai orang tak tahu, dia ni dah cukup lama berniaga. Bila Kunta Kinte kenal dia masa bersekolah di Alor Star pada tahun 1960-an, dia sudah mula berniaga. Mula-mula dia tolong ayah dia berniaga kerbau, lembu dan emak dia tanam sayur.

Mereka beli kerbau dan lembu daripada orang kampung, digemukkan dan dijual. Antara kampung yang dia jelajah cari kerbau lembu adalah kampung Kunta Kinte.

Sebab dia tolong ayah dia berniaga, dia tak boleh masuk sekolah sepenuh masa. Jadi dia masuk Sekolah Saint Michael Independent, belajar sebelah petang. Sebelah pagi jaga kerbau lembu, sebelah petang belajar. Itu pun sampai tingkatan lima saja dan tak sempat ambil peperiksaan.

Dia mula berniaga sendiri pada awal tahun 1970-an bila perniagaan kerbau lembu ayah dia jahanam akibat wabak penyakit kaki dan mulut. Waktu itu, penyakit kaki dan mulut dipanggil penyakit hawar. Habis kerbau, lembu dan kambing mati dijangkitinya.
"Syed Mokhtar tidak malu dan segan mengakui diri dia sebagai keluaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun dia sendiri mula berniaga dengan gigih lama sebelum DEB bertapak. Jadi tak betullah fitnah Bumiputera tak pandai berniaga atau semua usahawan Melayu yang berjaya adalah usahawan kroni, payung terjun dan proksi"

Perniagaan kerbau lembu babitkan pengangkutan dari Selatan Thai sampai ke Kuala Lumpur. Jadi Syed Mokhtar belajar serba sikit mengenai pengangkutan. Bila dia ambil alih perniagaan ayahnya, tindakan pertama yang dia buat adalah mohon lesen lori.

Dia dapat empat Lesen Kelas A dan minta pinjaman Mara. Dia dapat RM110,000 yang cukup untuk beli dua buah lori Mercedes 911LS. Seorang tauke Cina minta beli baki dua permit itu. Syed Mokhtar kata terima kasih dan dia serahkan dua lesen yang tak dipakainya itu kepada Mara.

Dia bagi nama syarikat lorinya Syarikat Kenderaan Sentosa, ambil sempena nama Hotel Sentosa di Jalan Raja Laut tempat dia tinggal bila berurusan di Kuala Lumpur. Syarikat itu ada sampai hari ini dengan lebih 40 buah lori.

Daripada perniagaan kerbau lembu kepada pengangkutan lori dia berkembang ke dalam bidang hartanah dengan bantuan Lembaga Kemajuan Bandar (Uda), perniagaan beras dengan dua rakan kongsi bangsa Cina, kontrak pembekalan kerajaan, mengimport dan membungkus susu dari New Zealand, perkapalan, pembuatan dan perbankan.

Hari ini, Syed Mokhtar ada lebih 10 buah syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia dengan kakitangan lebih 30,000 orang. Tahun ini, dia disenarai oleh majalah Malaysian Business sebagai orang ketujuh terkaya di Malaysia dengan aset bernilai RM6 bilion daripada 40 yang disenaraikan.

Syed Mokhtar tidak malu dan segan mengakui diri dia sebagai keluaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun dia sendiri mula berniaga dengan gigih lama sebelum DEB bertapak. Jadi tak betullah fitnah bahawa Bumiputera tak pandai berniaga atau semua usahawan Melayu yang berjaya adalah usahawan kroni, payung terjun dan proksi.

Cuma kita orang Melayu tidak cukup hormat kepada kebolehan anak bangsa kita sendiri. Kita mudah makan fitnah dan dakyah orang yang tak suka bangsa kita maju. Jadi kita kena ubah sikap negatif ini kalau mahu bangsa kita maju

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Carlos Slim terkaya di dunia


slim

NEW YORK - Buat kali ketiga dalam tempoh tiga tahun, dunia mempunyai seorang lelaki paling kaya yang baru apabila majalah Forbes mengeluarkan senarai itu bagi tahun 2010, kelmarin.Taikun telekomunikasi dari Mexico, Carlos Slim merupakan bilionair paling kaya dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$53.5 bilion (RM177.5 bilion).

Slim merupakan bilionair pertama dari negara membangun yang berjaya 'mengalahkan' bilionair dari Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah.

Kedudukannya itu sekali gus meletakkan pengasas Microsoft, Bill Gates di tempat kedua manakala pelabur terkenal dari AS, Warren Buffett di tangga ketiga.

Slim berusia 70 tahun dan merupakan anak kepada seorang imigran Lebanon yang bekerja sebagai penjaga kedai.

Kejatuhan kedudukan Gates dan Buffett banyak dipengaruhi oleh kemelesetan ekonomi AS, di samping aktiviti kebajikan atau derma yang mereka lakukan.

Perniagaan konglomerat Slim meliputi perniagaan runcit, telekomunikasi, pengilangan dan hartanah.

Lelaki itu dikenali kerana sikapnya yang tidak memakai sut mahal dan jarang menggunakan komputer.

Sebaliknya, beliau lebih gemar menulis menggunakan buku nota.

Di negara Asia Tenggara, Malaysia mendahului jumlah bilionair dengan sembilan orang.

Ia diikuti oleh tujuh orang dari Indonesia dan empat orang warga Singapura.

Tan Sri Robert Kuok, 86, yang mempunyai kekayaan sebanyak AS$14.5 bilion (RM48.13 bilion) berada di tempat 33. Beliau mengalahkan George Soros yang berada di kedudukan 35 bersama pengasas Microsoft, Paul Allen dengan kekayaan AS$13.5 bilion atau (RM44.8 bilion).

Tokoh perniagaan dari Malaysia, Ananda Krishnan, 71, berada di tempat 89 dengan kekayaan AS$7.6 bilion (RM25 bilion).

Pemilik syarikat I0I Berhad, Tan Sri Lee Shin Cheng, 70, dengan kekayaan berjumlah AS$4.4 bilion (RM14.6 bilion) menduduki tempat ke-189.

Selain itu, pengasas bersama Hong Leong Bank, Tan Sri Quek Leng Chan, 69, dan pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow, 80, menduduki tempat ke-277 dengan memiliki kekayaan sebanyak AS$3.4 bilion (RM11.2 bilion).

Pengasas syarikat hartanah YTL, Tan Sri Yeoh Tiong Lay, 72, dan keluarganya mempunyai kekayaan sebanyak AS$2.3 bilion (RM7.63 bilion) menduduki tempat ke-421.

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menduduki tempat ke-655 dengan kekayaan AS$1.5 bilion (RM4.97 bilion).

Tan Sri Vincent Tan berada di tempat 828 dengan kekayaan AS$1.2 bilion (RM3.98 bilion).

Pengasas syarikat pembalakan, Rimbunan Hijau Group, Tan Sri Tiong Hiew King yang berusia 75 tahun berada di tempat 937 dengan kekayaan sebanyak AS$1 bilion (RM3.3 bilion).

Meneliti senarai 20 bilionair teratas, anak pengasas syarikat Reliance Industries dari India, Mukesh Ambani yang berusia 52 tahun menduduki tempat keempat dengan harta sebanyak AS$29 bilion (RM96.2 bilion).

Kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal Al-Saud boleh dikatakan sebagai orang Islam paling kaya di dunia dengan harta sebanyak AS$19.4 bilion (RM64.3 bilion) dengan menduduki tempat ke-19.

Pengasas bersama enjin carian Google, Sergey Brin, 36, menduduki tempat ke-24 dengan kekayaan AS$17.5 bilion (RM58 bilion).

Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang dikaitkan dengan skandal melibatkan beberapa wanita memiliki kekayaan sebanyak AS$9 bilion (RM29.8 bilion) berada di tempat ke-74.

Anak kelahiran Itali yang juga seorang pereka fesyen terkenal, Giorgio Armani, berada di tempat 144 dengan kekayaan sebanyak AS$5.3 bilion (AS$17.5 bilion).

Rakan kepada Sergey Brin iaitu Larry Page, 37, yang berada di kedudukan 24 dengan kekayaan sebanyak AS$17.5 bilion (RM58.12 bilion).

Pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich, 43, pula disenarai di tempat ke-50 dengan harta sebanyak AS$11.2 bilion (RM37.2 bilion).

Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg yang baru berusia 25 menduduki tempat ke-212 dengan kekayaan sebanyak AS$4 bilion (RM13.2 bilion).

Pembikin filem mega seperti George Lucas, 65, dan Steven Spielberg pula berkongsi kedudukan sama iaitu di tangga 316 dengan kekayaan AS$3 bilion (RM9.95 bilion).

Sementara itu, hartawan hartanah terkenal AS, Donald Trump, berada di tempat 488 dengan kekayaan AS$2 bilion (RM6.6 bilion)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Produk Tempatan Tembusi Pasaran Luar Negara

Beberapa produk keluaran tempatan berjaya menembusi pasaran luar negara dengan nilai pesanan bernilai RM6.62 juta di samping beberapa produk lagi masih di peringkat perbincangan.

“Antara produk berkenaan ialah keropok lekor, sardin dan roselle,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera pada majlis Pelancaran Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Paisley Consulting Sdn Bhd di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini (1 Mac).

Dato’ Mohamed berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras kerajaan negeri bersama YPU yang menyertai Pameran Gulfood di Dubai World Trade Centre yang disertai 3,521 syarikat dari 81 negara pada 21 hingga 24 Februari lalu.

“Kita membawa lima syarikat tempatan iaitu Syarikat Sinku Industri Sdn Bhd (produk keropok), Pertima Terengganu Sdn Bhd (sardin), Koperasi Tani Lembah Bidong (Kotani) (roselle), Madura Sdn Bhd (minuman karbonat – kopi Tongkat Ali) dan Cakna Sdn Bhd (TNypa- air nira),” katanya.

Katanya, Kotani yang mengeluarkan produk Roselle menerima paling banyak pertanyaan dan hasil 25 rundingan yang dibuat dengan syarikat luar negara yang berminat, tiga syarikat masing-masing satu dari Dubai, Jordan dan Sudan akan membuat urusniaga dengan nilai RM3.5 juta.

“Manakala Syarikat Pertima milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya menerima tempahan pelbagai produk berasaskan sardin bernilai RM2 juta,” katanya.

Katanya, Sinku Industries yang membawa produk keopok lekor juga berjaya menarik minat empat syarikat dua daripadanya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu syarikat Indonesia dan satu syarikat dari Malaysia yang beroperasi di luar negara dengan nilai tempahan RM1.12 juta.

“Dua syarikat lagi iaitu Madura dan Cakna yang mengusaha kopi Tongkat Ali dan air nira nipah sedang membuat rundingan dengan syarikat dari India dan UAE dan kita percaya mereka akan membuat tempahan minuman tersebut,” katanya.

Dato’ Mohamed melahirkan rasa gembira kerana sepanjang penyertai pameran tersebut produk dari Terengganu telah menerima 537 pertanyaan perniagaan dan sebahagiannya terus membuat tempahan untuk pasaran di negara masing-masing.

“Hasil lawatan itu juga, sebuah syarikat Tranding House yang berpejabat di Dubai iaitu Diamond Consoludated akan datang ke Terengganu pada 4 Mac depan bagi mengenal pasti produk keluaran kita untuk pasaran di Dubai,” katanya.

Dato’ Mohamed menambah, SUT merupakan satu platform terbaik kerana ia memberi laluan kepada usahawan berkomunikasi dan menjalinkan hubungan lebih akrab menerusi beberapa program keusahawanan.

“SUT akan terus diberi penekanan khusus dalam hala tuju keusahawanan menjelang 2013 menerusi YPU yang melaksanakan program 4P (pembiayaan, promosi, penyediaan infrastruktur dan peningkatan kemahiran),” katanya.

Katanya, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membangun sebagai salah satu destinasi perniagaan yang menarik dan para usahawan harus mengambil peluang menjalankan perniagaan.

Dato’ Mohamed kemudiannya menyaksikan MOU antara YPU bersama tiga agensi yang boleh dan mampu mengerak dan memberi sinar baru dalam dunia usahawan.

Antaranya ialah UMT untuk bekerjasama dalam pembangunan perniagaan serta melahirkan usahawan siswazah, PUNB untuk membangunkan industri peruncitan yang mampu meningkatkan perniagaan dan Paisley Consulting dalam pelaksanaan program latihan, pembungkusan dan penjanamaan produk serta sebagai agen perunding dan agen pemasaran.

Dato’ Mohamed seterusnya melancarkan produk baru Shirah B’Lux, syarikat Bumiputra pertama di negara ini yang menternak, memproses serta menjual produk kesihatan dan makanan segera berasaskan belut.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Butik dua dalam satu


Suasana santai dan tenang menjadi pilihan pelanggan semasa membeli-belah dan makan.

SEPOTONG kek lobak merah yang dihidangkan kepada penulis semasa berkunjung ke Luv Sierra Boutique Cafe baru-baru ini begitu lazat dirasakan. Tidak pernah penulis menikmati kek sesedap ini.

Kek yang lembut, tidak kering, dicampurkan dengan kacang walnut pasti memenuhi selera semua.

Berkongsi rahsia dengan pemilik butik dua dalam satu ini, Afidah Mohd Saad, berkata semua menu yang ada di kedainya dibuat sama seperti apa yang hendak dimakan sendiri di rumah.

Berpegang kepada tag line, Home Made with Love, katanya, ini bagi mengekalkan kelazatan setiap jenis makanan.''Pelanggan yang pernah merasai makanan yang dijual di sini pasti akan datang semula. Sebab itu kami menggunakan resipi yang asal dan tidak dikurangkan mana-mana bahan bagi mengekalkan rasanya.''Terdapat pilihan makanan untuk makan tengah hari seperti nasi beriani, nasi lemak, mee kari, lasagne, roti bakar dan piza mini. Saya akan memperkenalkan beberapa jenis makanan daripada semasa ke semasa seperti laksa dan nasi tomato.

''Bagi yang inginkan jenis makanan yang lebih ringan atau mereka yang sukakan makanan manis boleh menikmati pelbagai jenis kek cawan dan kek coklat yang menjadi keistimewaan kami dan brownies. Di sini juga terdapat biskut dan coklat yang dibuat sendiri seperti biskut samprit,'' kata Afidah semasa ditemui di butik kafenya yang terletak di The Sphere, Bangsar South, Kerinci, Kuala Lumpur baru-baru ini.Beliau yang memilih konsep butik kafe yang semakin popular di Kuala Lumpur ini menambah, beliau merancang untuk menyediakan menu untuk sarapan pagi tidak lama lagi.Menurut Afidah lagi, Luv Sierra Boutique Cafe ini yang mula dibuka pada bulan Disember tahun 2008 merupakan sebagai tanda sokongan kepada anak gadisnya, Syaira Sajali yang begitu meminati bidang perniagaan butik dan makanan.

Syaira yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam diberi tanggungjawab bagi menguruskan butik kafe itu sepenuhnya manakala Afidah akan bertindak sebagai penasihat.

Bersesuaian dengan konsep butik kafe, Luv Sierra Boutique Cafe turut menghimpunkan koleksi baju kasual dan formal untuk wanita, lelaki, kanak-kanak, beg tangan, kasut, tali leher, aksesori dan sebagainya pada harga yang amat berpatutan.Persekitaran yang selesa, tenang, tidak bising dan sibuk membuatkan pelanggan santai menikmati makanan sambil membeli-belah di sini lebih-lebih lagi mereka yang datang sekeluarga.Mereka boleh membeli barangan yang diperlukan sambil makan di sini tanpa perlu mencari restoran lain.Beliau berkata, oleh kerana lokasi ini masih baru, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada kakitangan pejabat yang berada di persekitaran.Terdapat pelanggan yang akan menghadiri majlis dan tidak sempat membeli baju yang hendak dipakai ke majlis akan terus ke butik kafe ini. Ini menjimatkan masa dan lebih memudahkan mereka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Hari Setiausaha


Kerjaya sebagai setiausaha kini semakin dipandang tinggi.- Gambar hiasan


BOS, pukul 10 ada temu janji dengan klien A, pukul 12 makan tengahari dengan klien B, 2 petang pembentangan kertas cadangan dengan klien C, 4 petang melawat tapak projek…" Pasti anda tahu, dialog sebegini milik siapa!

Setiausaha bukan sahaja jawatan yang pada dasar melakukan tugas menjaga rutin ketuanya sehari suntuk. Sepadan dengan nama, ia menuntut kesetiaan, kerajinan dan pelbagai lagi faktor lain.

Kata orang, kejayaan seseorang ketua juga berkait rapat dengan keserasiannya berganding bahu bersama setiausaha.

Lantas April diangkat menjadi bulan setiausaha sebagai mengenang jasa kakitangan yang satu ini. Lazimnya setiausaha dibawa ke majlis makan malam sambil berhibur dengan penyanyi terkenal.

Kini, menghargai setiausaha yang sinonim dengan kaum Hawa, majalah WANITA terbitan Utusan Karya Sdn Bhd menganjurkan hari WANITA Bersama Setiausaha.Dengan tagline Menjana Kerjaya Berhemah, Berjiwa Cemerlang, ia menjanjikan sambutan Hari Setiausaha yang lain daripada yang lain.

"Bukan hiburan semata, sebaliknya setiausaha yang hadir ke majlis WANITA Bersama Setiausaha ini akan menerima pelbagai lagi ilmu baru bagi memantapkan kerjaya dan diri," kata Pengarang WANITA, Normala Hamzah.Menurut Normala, sehari bersama panel-panel terkenal iaitu Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Datuk Paduka Toh Puan Seri Diraja Noor Aini; Datuk Dr. Norashikin Mokhtar dan Datuk Dr. Fadzilah Mohd Ali, peserta akan disajikan dengan topik menarik.

Antaranya, Integriti dan Budaya Kerja, Menjadi Setiausaha yang Dikagumi, Sayangi Diri Anda dan siri motivasi berguna.

Tidak ketinggalan, peserta berpeluang mempelajari ilmu pertahanan diri dan keselamatan di tempat kerja melalui demonstrasi yang bakal dilakukan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Berani Guard Sdn Bhd, Saliza Abdullah.Ikuti tip gaya hidup sihat dari Pakar Nutrisi, Unit Perhubungan Korporat dan Kesihatan, Kumpulan Produk Nestle Sdn Bhd, Nurul Ilani Ahmad.Peserta juga pasti teruja dengan pertunjukan fesyen oleh Butik Jarumas, demonstrasi solekan serta dandanan oleh pakar kosmetik jenama terkenal, Nouvelles Visages dan penampilan istimewa Rosyam Noor.Dengan hanya RM 200 untuk seorang, WANITA Bersama Setiausaha yang dianjurkan bersama rakan stratagik Alfio Raldo dan Nestle Nesvita, Berani Guard dengan Penaja Utamanya Nouvelle Vasages memberikan peserta minum pagi, makan tengahari, minum petang dan langganan WANITA selama tiga bulan, percuma! Tidak ketinggalan cabutan bertuah dan hadiah misteri.

"WANITA berharap mereka yang bergelar setiausaha akan turut serta dalam seminar ini yang pastinya akan mendapat banyak manfaat yang boleh dipraktikkan dalam kerja mereka.

"Pendaftaran berkumpulan melebihi 5 orang akan diberi potongan harga istimewa," tambah Normala.Bakal diadakan pada Sabtu, 10 April, bertempat di Prince Ballroom, Prince Hotel & Residence Kuala Lumpur, inilah masanya untuk menghargai setiausaha yang sentiasa setia dan berusaha.Keterangan lanjut atau pendaftaran sila hubungi Iskandar di talian 03-89262999 atau 013-3451945 atau redaksi Wanita sambungan 476/471/479.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Enaknya ubi rebus, lempeng Chamek


Orang ramai menjamu selera di Restoran Chamek Kopitiam di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang.

ENTAH mengapa, tiba-tiba sahaja timbul keinginan menjamah ubi kayu rebus dan lempeng. Tanpa berlengah, penulis terus mencari juadah itu di sekitar Johor Bahru namun hampa.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, seorang rakan mencadangkan agar ke Kopitiam Chamek yang terletak di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang.

Sebaik melangkah masuk, suasana terasa santai melihat gambar pemandangan Chamek iaitu nama kampung yang terletak di Paloh menghiasi dinding kopitiam itu.

Meja dan kerusinya pula semuanya diperbuat daripada kayu yang kelihatan antik dan indah seni buatannya.Beralih kepada menunya, apa yang dihidangkan memang di luar jangkaan dan persembahan dua juadah itu pasti membuka selera sesiapa sahaja yang memandangnya.Cukup hanya sepinggan kecil ubi kayu rebus dan lempeng panas yang dicicah dengan sambal tumis dan ikan kering masin.Dilengkapkan pula dengan secangkir kopi panas pekat, apa lagi yang perlu diperkatakan sehingga menu lain seolah-olah tidak lagi menjadi tumpuan.

Harganya juga berpatutan apabila setiap juadah itu cuma RM2.50 dan jurugambar Raja Jaafar Ali tampak berselera menjamah menu yang disajikan.Memang sedap dan cukup menyelerakan hingga tidak sedar waktu berlalu pantas dan pinggan kami licin di atas meja.Sebenarnya, bukan sahaja ubi kayu rebus dan lempeng yang terdapat di Kopitiam Chamek.Pelengkap hidangan, terdapat aneka jenis minuman termasuk bacau iaitu bandung cincau bersoda dan kopi kampung yang dikisar.

Menurut Pengarah Urusannya, Shahren Sadli, terdapat 20 menu lain yang turut menjadi pilihan pelanggan antaranya roti Pattaya, roti bakar rangup, mi kari Melayu, nasi goreng nanas dan set makan tengah hari asam pedas ikan pari."Kami mahu memberi perkhidmatan yang terbaik dan mampu memenuhi selera pelanggan yang datang menjamu di Kopitiam Chamek."Waktu puncak iaitu tengah hari merupakan masa yang cukup sibuk apabila pelanggan terdiri daripada pelbagai kaum dan mereka yang bekerja di sekitar Pasir Gudang," katanya.Shahren memberitahu, Kopitiam Chamek amat mementingkan kualiti makanan. Sebuah syarikat konsultan chef yang terdiri daripada tukang masak berpengalaman luas dan bertanggungjawab dalam menyediakan menu harian melengkapi penampilan kopitiam itu.

Mengulas perancangan lanjut, anak muda lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Sains Malaysia itu berkata, sebagai tambah nilai, sebanyak 13 menu makanan Barat akan diperkenalkan mulai bulan depan."Pengenalan menu baru ini merupakan usaha kami menjadi peneraju dalam perniagaan kopitiam di negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan memiliki sebanyak 15 cawangan lagi.

"Malah, keyakinan kami amat tinggi kerana menjadi pengusaha tunggal kopitiam milik penuh bumiputera yang menjalankan operasi secara halal dan tidak mengundang keraguan kepada masyarakat Islam," katanya.Bagi yang ingin mencuba, Kopitiam Chamek dibuka dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.Selain Pasir Gudang, kopitiam itu turut memiliki cawangan di Bandar Baru Uda, Bandar Seri Alam, Setia Tropika dan Pelabuhan Johor, semuanya terletak di Johor selain Taman TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments