Dulu hobi kini jadi bisnes


Mohd. Toff memberi makanan kepada kambing biri-birinya di Kampung Wak Salam, selepas waktu kerja, baru-baru ini.

MERSING 17 Jun - Daging kambing memang enak dimakan apatah lagi jika dipanggang.Atas alasan itulah kini ramai yang menjadikan daging panggang sebagai hidangan utama ketika menganjurkan satu-satu majlis keramaian.Namun untuk menjadi penternak kambing bukanlah satu kerja mudah kerana memerlukan minat dan pengetahuan.

Apa pun, bagi seorang pegawai polis, Asisten Supritendan Mohd. Toff Maaroff, 50, walaupun setiap hari terpaksa bergelumang dengan kes-kes jenayah dan juga kerenah orang ramai, minat terhadap kambing tidak menghalang beliau menceburi penternakan tersebut.Katanya, selain minat yang mendalam, potensi besar bidang berkenaan menjadikan dia teruja untuk mengusahakan penternakan kambing secara serius.Malah, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing itu juga sanggup menghabiskan masa, tenaga serta wang ringgit untuk menceburi bidang yang amat diminatinya itu.Sejak dimulakan pada 1 Januari 2008, Mohd. Toff kini memelihara 40 ekor kambing daripada jenis Jamnapari dan Boer yang dibelinya dari Batu Pahat.Pada mulanya beliau memelihara kambing itu sebagai aktiviti sampingan pada masa lapang dan musim cuti, namun kini Mohd. Toff akan 'menjenguk' kambing peliharaannya setiap hari selepas waktu kerja."Apa yang penting kita mesti bijak membahagikan masa antara kerja dan hobi. Asalkan hobi itu tidak mengganggu tugas sebagai seorang pegawai polis, saya akan lakukan dengan baik" katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.Pada mulanya, beliau hanya memelihara dua ekor kambing sahaja tetapi lama-kelamaan bilangannya bertambah dan terus menjadi minat untuk meneruskan bidang berkenaan.

Beliau mengakui ternakan kambing tidak 'cerewet' atau memilih makanan dengan setiap hari diberi rumput, daun-daun kayu, kerepek ubi, palet atau nasi.Mohd.Toff yang mula berkhidmat sebagai anggota polis sejak 1 Mei 1977 memberitahu, sebelum ini banyak kambingnya telah disembelih untuk disedekah dan dijadikan korban pada Hari Raya Haji dan kegunaan sendiri."Saya tidak lupa untuk memberi suntikan antibakteria dalam dua hari sekali."Kambing-kambing ini juga akan dibiarkan 'bermain-main' di sekitar ladang setiap petang," katanya.Ladang seluas 0.8 hektar di Kampung Wak Salam dekat sini akan dikunjunginya setiap petang dan hujung minggu bagi memastikan kambing-kambing peliharaannya dalam keadaan selamat dan selesa.Mohd. Toff yang berasal dari Segamat turut berharap dapat meningkatkan jumlah ternakannya kepada 200 ekor pada masa akan datang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: