Disiplin diri petua jadi ahli perniagaan dihormati
PASTI ramai mencemburui Pengarah Urusan JW World, Juzairiah Wazir. Angka usianya baru 34 tahun tetapi pada tahap itu beliau mampu membuka syarikat sendiri selain menguruskan beberapa buah anak syarikat. Beliau membuktikan kesungguhan serta usaha tanpa penat lelah, menjadi kunci dirinya berjaya, walaupun tidak memiliki segulung ijazah.
Tanpa malu, beliau mengakui tidak memiliki sebarang pendedahan dalam dunia perniagaan, sebaliknya memberanikan diri melangkah ke dunia korporat sekali gus bersaing dengan rakan seperjuangan yang mana 80 peratus daripadanya terdiri di kalangan lelaki.
“JW World mengabadikan gabungan nama saya dan ayah. Syarikat ini mengusahakan pelbagai jenis perniagaan, termasuklah penubuhan anak-anak syarikat berkonsep makanan dan minuman,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Antara anak syarikat ialah JW Food & Beverages Sdn Bhd yang ditubuhkan bagi menyahut seruan kerajaan mengkomersialkan produk makanan dan minuman berstatus halal ke peringkat global.
Beliau mengambil langkah komprehensif, melalui pengeluaran produk halal berasaskan herba habbatus sauda di bawah rangkaian jenama Silver Alam. Kelebihan ramuan jintan hitam, diketahui mempunyai pelbagai khasiat selain langkah alternatif ke arah kehidupan semula jadi yang bukan saja bersih dan suci, malah memberi faedah kepada kesihatan fizikal serta mental.
Selaras hasrat berkongsi keunikan produk habbatus sauda dan membantu golongan menjana pendapatan lebih mantap, JW Food & Beverages Sdn Bhd turut mengalu-alukan usahawan dan bakal usahawan berminat, berkongsi keuntungan dengan menjadi pengedar seterusnya mengembangkan perniagaan melalui program keusahawanan anjuran syarikat.
“Program keusahawanan ini antara lain memberi pendedahan serta bimbingan kepada usahawan yang baru berjinak di arena perniagaan mahupun yang berpengalaman, berkongsi manfaat dan keunikan produk.
“Rangka promosi menyeluruh dan pelan terperinci pemasaran jangka panjang, disusun atur bagi memasarkan jenama ini bukan saja di peringkat nasional, tetapi peringkat global. Produk dan program keusahawanan anjuran syarikat menarik minat Biro Wanita Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) bekerjasama melalui program Cipta Jaya Insan (CJI),” katanya yang turut terbabit dalam sektor pembinaan.
Mengulas mengenai keberaniannya menubuhkan beberapa anak syarikat, termasuk cabang perniagaan yang berbeza antara satu sama lain, Juzairiah berkata, berkecimpung dalam dunia korporat memerlukan beliau bijak dan pantas menentukan projek diingini dan diutamakan.
“Kadangkala saya menyifatkan diri sebagai orang tengah. Tetapi sebagai orang tengah, kita perlu bijak memainkan peranan supaya tetap memperoleh keuntungan. Saya tidak katakan ia senang, kesukaran dan risiko ditipu tetap ada, tetapi kita perlu bijak memilih pelanggan dan syarikat yang ingin kita bekerjasama. Sekiranya ada keperluan, saya akan selidik atau menyiasat syarikat atau pelanggan yang baru kita kenali kerana selalunya sesuatu projek yang kita jalankan membabitkan kos jutaan ringgit. Kalau tertipu bukankah kita akan menanggung rugi,” katanya berterus-terang.
Begitupun, Juzairiah selalu melihat kerugian dan kegagalan mempunyai hikmah di sebaliknya. Sekiranya gagal mendapat sesuatu projek diingini, beliau berfikir, sudah pasti ada hikmah di sebaliknya.
Menyingkap semangatnya itu, Juzairiah berkata, kekuatan dirinya terbina, kesan hatinya luka, dirobek kenangan silam.
“Kadangkala saya melihat apa yang saya ada hari ini, adalah hadiah Allah kepada insan kerdil seperti saya yang sudah melalui kepayahan hidup sebelum ini. Antara percaya atau tidak, saya menyifatkan pembinaan syarikat ini hasil cabaran mentua dan tuah saya berkenalan dengan seorang rakan,” katanya yang enggan mendedahkan kisah sebenar untuk dikongsi bersama pembaca.
Secara ringkas, Juzairiah berkata, sebelum membabitkan diri dalam bidang perniagaan, selepas tamat pengajian sekolah beliau bekerja sektor perbankan dan bukanlah terdiri daripada anak atau isteri orang kaya raya seperti mana telahan ramai pihak.
Memiliki dua orang cahaya mata, Juzairiah memikirkan untuk berhenti kerja dan berniaga secara kecil-kecilan saja bagi menampung hidup. Sayangnya, kebahagiaan yang yang dibina bersama suami, putus di tengah jalan.
Beliau yang terkapai-kapai sendirian, melalui kepayahan hidup yang hampir memusnahkan impiannya bergelar insan berguna dan mampu berbakti kepada dua orang tuanya.
Dalam melalui zaman dukanya itu, hanya Allah tempat mengadu nasib. Beliau berkenalan dengan seorang teman yang memperkenalkannya dengan seorang Datuk yang seterusnya menawarkan jawatan Pengarah Urusan kepada sebuah syarikat milik Datuk itu.
Bertitik tolak daripada itu beliau semakin ramai kenalan dalam bidang perniagaan dan sedikit demi sedikit beliau juga ingin bergelar sebagai ahli perniagaan dan tidak berputus asa belajar dan berusaha lantas akhirnya berjaya membina JW World sejak dua tahun lalu.
Matang dengan dugaan hidup
“KADANGKALA kita perlukan ‘sesuatu’ untuk berubah kepada kehidupan yang lebih baik. Dulu, saya bukan saja seorang pemalu tetapi merendah diri dan tidak tahu memandu. Tetapi itu cerita suram lalu, hari ini saya selesa dengan keadaan diri dan teruja untuk memajukan syarikat,” katanya.
Juzairiah berkata, beliau kini ingin lebih fokus pada perniagaan selain gembira dengan tanggungjawab serta cabaran untuk memperbaiki kelemahan dan menonjolkan kelebihan diri.
Katanya beliau yakin dengan dugaan yang Allah berikan adil kepada setiap umat-Nya.
“Saya percaya Tuhan itu adil, setiap yang mengalami kesusahan, pasti ada kesenangan. Setiap yang dijatuhkan mesti ada sebab dan hikmahnya. Sebagai insan kerdil kita harus akur dan sebaiknya cuba meningkatkan diri setiap masa. Harapan saya semoga perniagaan yang sedang saya usahakan akan maju hingga ke peringkat global. Saya mahu dikenali sebagai seorang usahawan wanita berjaya dan menjadi contoh kepada yang lain,” katanya.
Aktif membabitkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan badan amal, anak-anak HIV, ibu tunggal, penduduk miskin dan sekolah-sekolah tahfiz, katanya sepanjang terbabit dalam kerja kebajikan, antara kenangan tidak dapat dilupakan ialah mengenai adik angkatnya yang menghidap HIV/ Aids.
“Adik angkat saya itu ingin melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki yang berhati mulia. Pernikahan ini dijalankan di pejabat kadi Majlis Agama Islam Selangor, namun ketika itu, adik angkat saya tidak mahu menjalankan upacara itu selagi saya tiada bersama untuk memberi restu perkahwinannya. Dalam kejadian lain, saya juga ada memberi bantuan kenderaan kepada seorang wanita warga emas, kerana tidak sampai hati melihat beliau perlu menunggu bas atau meredah hujan ketika menaiki motosikal ke tempat kerja. Bantuan itu memberi semangat untuk wanita ini berusaha lebih gigih hingga mampu membeli kereta sendiri,” katanya.
Kejayaan diraih pada usia muda serta kegigihannya menjadi inspirasi pihak tertentu, malah turut berbangga apabila baru-baru ini dilantik sebagai Ahli Jawatan Kuasa Perdasama Biro Wanita (Nasional) dan AJK Oil & Gas Nasional.
Sikap suka berdamping dengan masyarakat serta memahami kehidupan insan lain, membuatkan beliau kini lebih matang dalam hidup.
Ketika ini, antara program kebajikan yang dijalankan adalah usaha sama dengan tahfiz dalam mengumpul dana bagi pembinaan sebuah bangunan tahfiz di Kelantan.
Selain itu, program Cipta Jaya Insan (CJI) dilancarkan dengan usahasama Biro Wanita Perdasama bagi membantu golongan wanita terutama ibu-ibu tunggal untuk mencari rezeki di samping memberi tunjuk ajar selok belok perniagaan serta membina keyakinan setiap peserta.
“Saya mahu orang Melayu Bumiputera kita sentiasa menetapkan hati untuk berjaya, namun kejayaan yang bagaimana, untuk siapa dan mengapa harus berjaya adalah nilai-nilai yang diterapkan dalam pengisian program CJI agar peserta mendapat input yang positif demi kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.
INFO : Juzairiah Wazir
0 comments:
Post a Comment