Penternak gigih warga emas
KEGIGIHAN sepasang suami dan isteri warga emas menternak kambing dan lembu wajar menjadi contoh kepada semua orang.Bayangkan dalam usia emas, Abd. Ghafar Endol, 70, dan isterinya, Khariah Abd. Majid, 60, masih gigih bekerja.Mungkin bagi kebanyakan orang, dalam usia sebegini, mereka patut berehat di rumah bersama anak menantu dan cucu tanpa perlu bekerja.Namun, disebabkan sudah biasa membanting tulang dan mengeluarkan peluh untuk meraih rezeki, faktor umur tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk menjalankan ternakan kambing dan lembu secara fidlot."Bukan tak mahu rehat tetapi dah biasa kerja. Lagi pun, kerja ini tidaklah susah sangat berbanding bisnes katering yang kami lakukan sebelum ini," kata Abd. Ghafar ketika ditemui Kosmo! di kawasan ternakannya di Kampung Bukit Genting, Jerantut, Pahang.
Menurutnya, kerja-kerja mereka banyak dibantu oleh menantunya, Aslansharudin Mohd Daud, 30, dan seorang anak saudaranya."Kerja-kerja pengurusan di pejabat pula banyak dibantu oleh seorang anak perempuan pak cik. Sungguhpun begitu, setiap hari, kami turun ke kandang untuk melihat apa yang patut,'' tambahnya sambil memberi makan sekumpulan kambing daripada baka Boer yang diternaknya.Bukan calang-calang baka ternakan yang dipelihara oleh Abd. Ghafar kerana kesemuanya baka terbaik dari Australia. Selain kambing Boer, dia juga menternak kambing daripada baka Jamnapari, Farell serta bebiri manakala baka lembu yang dipeliharanya ialah Brahman dan Charolais.
Kambing Boer yang diimportnya untuk tujuan baka mempunyai surat beranak yang dikeluarkan oleh Boer Goat Breeder's Association.Menurutnya, dia memilih untuk menjayakan sektor penternakan kerana 'tidak larat' lagi untuk menjalankan bisnes katering yang telah diceburinya selama 20 tahun.
|
|
"Bila dah semakin tua, pak cik rasa penat nak buat katering. Tetapi dengan rezeki itulah, dah tiga kali pak cik ke Mekah," katanya yang merupakan bekas peneroka Felda.
Mendapat idea untuk menternak kambing dan lembu daripada seorang rakan, Abd. Ghafar kemudiannya bekerjasama dengan rakan perniagaan dari Perak, Kelantan dan Terengganu.
Katanya, kerjasama itu penting untuk membawa masuk haiwan ternakan dari Australia.
"Dengan adanya rakan perniagaan, kami boleh membeli sejumlah haiwan ternakan dalam kuantiti yang banyak. Ini lebih menjimatkan kerana apabila sampai di Pelabuhan Klang, kami akan agih-agihkan lembu yang baru tiba mengikut bilangan tempahan masing-masing.
"Kalau nak tempah sendiri, kosnya lebih mahal,'' ujarnya sambil memberitahu beliau memulakan projek itu kira-kira dua hari sebelum bulan puasa tahun lalu.
"Pak cik mula bela sebanyak 215 ekor ternakan yang sudah cukup umur. Selepas menempuh perjalanan selama tiga bulan 10 hari dari Australia, pak cik pelihara untuk tempoh dua bulan. Dalam tempoh itu, apa yang pak cik lakukan ialah menggemukkan lembu-lembu tersebut. Apabila cukup gemuk, pak cik jual untuk akikah dan korban.
|
|
"Biasanya, hari pertama sampai ke sini, berat seekor lembu ialah kira-kira 270 kilogram dan selepas dua bulan, beratnya boleh mencecah 293 kilogram,'' ujarnya sambil menyatakan kos makan sehari untuk seekor lembu ialah RM2.65 sen.
Menurutnya, makanan yang diberi untuk menggemukkan lembu ialah dedak, batang pisang, rumput Napier, daun sawit dan kacang soya.
"Mengenai kambing pula, kami membawa masuk haiwan itu dari Australia dengan pesawat kargo dan mengambilnya di LCCT Kargo, Sepang,'' katanya.Selain itu, katanya, tempahan akan dibuat setiap dua kali dalam setahun iaitu 30 ekor bagi setiap tempahan. Kesemuanya untuk tujuan akikah, korban dan baka.
"Tahun lalu, kami dapat jual kira-kira 200 ekor ternakan. Paling banyak laku ketika musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha,'' katanya.Bapa kepada tujuh orang anak itu berharap dapat menambah keluasan tanah bagi tujuan mengembangkan lagi ternakan yang ada.
"Tanah ini tak luas, cuma satu ekar sahaja. Pak cik tengah mohon tanah rezab di belakang kandang kambing untuk meluaskan lagi kawasan ternakan,'' ujarnya.
Sementara itu, Khariah berkata, kambing yang diternak diberi makan palet manakala kos ubat-ubatan pula mencecah RM1,000 sebulan."Peruntukan untuk ubat-ubatan agak besar kerana kambing terdedah kepada banyak risiko penyakit seperti kurap, kembung perut, puru, selesema, bisul, batu karang dan sakit mata.Selain menjual ternakan dan baka, pasangan suami dan isteri itu juga menjual baja tahi kambing pada harga RM10 sekilogram.Mengenai hasil jualan pula, dalam tempoh lapan bulan pertama, syarikat D NA Maju Ternak yang dimiliki mengaut pendapatan kasar sebanyak RM118,000 daripada jualan ternakan, jualan baja dan jualan makanan ternakan (palet)."Baja dan palet banyak dibeli oleh penduduk kampung. Ia sekadar menambah jualan sedia ada,'' katanya yang bercadang untuk menternak kerbau dan ikan dalam kolam dalam masa terdekat ini.
0 comments:
Post a Comment