Kraf Malaysia di London


ANEKA produk kraf yang bakal dipamerkan di Harrods.

MALAYSIA kaya dengan pelbagai hasil kraf bermutu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Tidak kira kraf hasil rimba, tekstil, seramik mahupun logam, kebanyakannya ditampilkan dalam pelbagai rekaan dan bentuk menarik yang mampu memikat pelanggan antarabangsa.

Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) bersama agensinya, Kraftangan Malaysia mengambil inisiatif untuk memperkenalkan produk kraf tempatan di London dengan mengadakan Promosi Kraf Malaysia.

Memartabat produk tempatan


BUSANA yang diperbuat daripada songket dan batik sering dianggap hanya sesuai digayakan pada majlis tertentu khususnya songket bersesuaian dengan fungsinya yang sinonim dengan pemakaian golongan bangsawan satu ketika dulu. Bagaimanapun, zaman berubah menyaksikan dua fabrik mewah itu digunakan dengan meluas oleh orang kebanyakan kerana kebangkitan cita rasa dalam penataan fesyen.

Sehubungan itu, ramai pereka fesyen mula menggunakan songket dan sutera dalam hasil perekaan mereka dan fenomena itu disambut baik penggemar fesyen tempatan. Lebih membanggakan kepelbagaian songket dan sutera terutama batik turut dilihat pada perhiasan dekorasi untuk kediaman dan cenderahati.

Sehubungan itu, dalam usaha memperluaskan lagi pasaran kraf Malaysia ke pasaran antarabangsa, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) bersama agensinya, Kraftangan Malaysia mengadakan Promosi Kraf Malaysia di gedung beli-belah Harrods, London bermula 23 Februari hingga 28 Mac ini.


Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebanyak 3,173 unit produk kraf tempatan bakal dipamerkan di gedung beli-belah itu sempena promosi yang dilakukan merangkumi empat cabang kraf utama iaitu hasil rimba, tekstil, seramik dan logam.

“Promosi ini juga membabitkan 66 usahawan kraf tempatan iaitu 23 daripada bidang kraf hasil rimba, tekstil (17), logam (10) dan masing-masing lapan daripada bidang fesyen serta seramik. Dengan adanya promosi kraf besar-besaran di Harrods, kita berharap usaha ini bukan saja memperluaskan ruang lingkup pasaran yang biasanya sekitar Asia Tenggara saja, tetapi juga akan dapat mendedahkan hasil kraf tempatan yang unik kepada masyarakat di Eropah.

“Promosi ini bukan saja memaparkan budaya dalam konteks tenunan songket dan batik semata-mata, tetapi pereka fesyen yang terbabit juga dapat menimba ilmu apabila mereka akan turut didedahkan dengan suasana persekitaran antarabangsa pada promosi berkenaan,” katanya pada sidang media selepas pratonton sempena Majlis Pelancaran Promosi Kraf Malaysia di Harrods London, di Kompleks Kraf, baru-baru ini.

Mohd Shafie berkata, promosi yang akan dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah itu membabitkan ruang pameran seluas 900 kaki persegi yang akan menempatkan produk kraf termasuk tekstil.

PERSEMBAHAN kebudayaan antara yang bakal dipertontonkan di London.
Katanya, promosi kraf sebegitu diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengusaha kraf tempatan pada peringkat antarabangsa berikutan pasaran luas di London yang menjadi tumpuan penduduk dunia.

“Mereka yang terbabit dalam industri ini perlu meningkatkan usaha bukan saja dari segi mutu dan harga, bahkan juga dari segi corak dan perekaan kraf kerana untuk kekal di pasaran antarabangsa, kita perlu sentiasa memperbaharui corak rekaan,” katanya

Pada acara pratonton Promosi Kraf yang akan diadakan di London itu, lebih 40 persalinan busana daripada Yayasan Tengku Nur Zahirah, Butik Kirana, Galeri Seri Endon, Kraftangan Malaysia dan IKartini diperagakan kepada pengunjung yang hadir.

Busana seperti gaun labuh dan persalinan ala kebaya yang diberi sentuhan kontemporari kelihatan cukup menarik lebih-lebih lagi pereka terbabit mengetengahkan motif tempatan seperti orkid dan rama-rama, manakala fabrik songket dalam warna terang juga memukau pandangan lantaran keunikan tenunan bahan berkenaan. Tidak mustahil diandaikan songket boleh menembusi pasaran dunia keunikan fabrik itu yang sangat halus serta berseni cara pembuatannya. Usaha KPKKW itu pastinya membuka peluang luas kepada pengusaha produk kraf dan mereka yang terbabit dalam industri ini untuk mengembangkan lagi cabang perniagaan mereka ke peringkat global dengan syarat sentiasa mempertingkat mutu dan idea terhadap produk yang dikeluarkan. Selain pameran fesyen dan jualan produk, pengunjung Harrods juga berpeluang untuk mencuba kegiatan demonstrasi mewarna dan mencanting batik bertujuan untuk memberi lebih kefahaman mengenai proses pembuatan batik Malaysia yang unik dan berseni.

Promosi itu berlangsung selama sebulan dan selepas sebulan, produk berkenaan akan ditempatkan di Harrods selama enam bulan

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: