Kreativiti produk Sentuhan
Bagaimanakah Community_Work membantu wanita penghidap HIV dan ibu-ibu tunggal meneruskan kehidupan?
DI butik Sentuhan, sabun-sabun yang dijual dibungkus cukup kreatif. Menggunakan anyaman daun buluh pelbagai warna, seri outlet Sentuhan terserlah dengan hiasan seni lukisan di dinding, model patung yang memperagakan pakaian dan beg corak batik serta beberapa produk kecantikan.
"Sebenarnya kami melakukan aktiviti komersial di samping membantu ibu-ibu tunggal melibatkan diri dalam perniagaan. Kami tidak mahu sekadar 'menyuap' mereka tetapi mengajar bagaimana untuk 'hidup' dan boleh memimpin diri sendiri," kata Joe yang menamakan aktiviti tersebut sebagai Community_Work.
Menerusi Community_Work, Joe atau nama sebenarnya Rosli Sidek, berkata, pihaknya membimbing ibu-ibu tunggal bagi membentuk gelombang positif dalam hidup mereka.
Terletak di Lebuh Armenian, Georgetown, Community_Work diperkenalkan sejak Julai 2006 menerusi pembukaan outlet Sentuhan."Asalnya ia bermula untuk membantu ibu tunggal penghidap HIV/AIDS," katanya merujuk kepada ahli kumpulan yang terdiri daripada empat orang.Tidak lama selepas tampil dengan komuniti itu, dia bertemu dengan seorang ibu tunggal dari Sarawak yang mahir dalam kerja-kerja menganyam."Terlintas di fikiran untuk memulakan Sentuhan iaitu menjual produk unik dan berkualiti dalam pembungkusan kreatif. Pada masa itu, saya mengenali Tanamera, jenama produk sabun dan beberapa produk kecantikan lain," jelas Joe.
Menariknya tentang sabun Tanamera, kata Joe, ia hanya dijual di beberapa lokasi, salah satunya di pasar lambak Penang Street pada hari Ahad minggu terakhir setiap bulan.
|
|
Katanya, sabun itu terbahagi kepada empat dengan fungsi berbeza mengikut tema warna iaitu hitam, hijau, perang dan putih.
"Sabun berwarna hitam untuk kulit bermasalah kerana ia mempunyai agen ubat, hijau pula untuk antiseptik, melembut, melicin dan awet muda. Manakala yang perang sesuai untuk penyakit kulit ekzema, selain menyeimbangkan ton dan melicinkan kulit," katanya.Menurutnya, sabun berwarna putih menjadi pilihan ramai kerana ia membantu awet muda secara menyeluruh, melembut dan tinggi kandungan protein. Setiap buku sabun itu dijual dari harga RM6 dan ke atas.
Meskipun setiap anyaman yang dilakukan oleh ibu-ibu tunggal itu agak ringkas, namun ia memerlukan ketelitian.
Bagi menyerlahkan lagi keunikan setiap anyaman, Joe memberitahu, dia menggunakan tona yang berbeza bagi satu produk."Dengan ini, kita dapat menghasilkan anyaman yang menarik," katanya yang mengakui seorang boleh menyiapkan kira-kira 60 anyaman dalam sebulan.Bagaimanapun, Sentuhan bukan hanya tertumpu kepada produk sabun dan aspek pembungkusan anyaman, tetapi ia juga mempromosikan pakaian dan aksesori yang dijahit dengan kain batik, seni lukisan dan apa sahaja produk kreatif.
Joe dibantu oleh tenaga kerja yang terdiri daripada antaranya seorang wanita Jepun, India dan seorang kanak-kanak lelaki Melayu yang baru berusia 11 tahun.Walaupun polisi Community_Work berubah daripada membantu wanita penghidap HIV/AIDS kepada ibu tunggal dan mereka yang memerlukan, Joe memberitahu, niat untuk membantu sentiasa segar dalam dirinya dan ahli.Jelasnya, dia sedih melihat orang susah dan kerana itu, dia sanggup membimbing mereka demi hidup yang terjamin. Sikap dan semangat tersebut, kata Joe, mungkin diwarisi daripada arwah ayahnya.
Bekas pengurus acara yang dahulunya banyak mengendalikan persembahan dan pertunjukan fesyen, peragaan, kebudayaan dan sebagainya itu berkata, beliau masih membuka ruang kepada mereka yang teraniaya tetapi kreatif untuk menyertai mereka.
0 comments:
Post a Comment