Sulaman jana pendapatan




Kemahiran turun-temurun beri pulangan lumayan

SENI jahitan sulaman antara warisan masyarakat Melayu yang masih kekal sehingga kini. Bagaimanapun, tidak ramai yang mempunyai kemahiran menghasilkannya, terutama jika dilakukan secara manual. Kecanggihan teknologi hari ini membolehkan sulaman dihasilkan lebih pantas dan kemas menggunakan mesin jahit.

Lantas, di mana-mana sekarang ini kita boleh melihat hasil kreativiti penggemar bidang ini dipamer dan dijual. Rekaannya banyak memikat hati, manakala harganya juga berpatutan.

Warisan nenek

PENGGEMAR sulaman lazimnya dapat dibahagikan kepada dua kelompok iaitu separuh masa atau sampingan dan sepenuh masa. Mereka yang terbabit secara sampingan ini selalunya memiliki banyak masa lapang dan ingin mencari sumber pendapatan tambahan. Bagi yang melakukannya secara sepenuh masa, mereka melihat bidang ini sebagai satu kerjaya yang boleh memberi pulangan lumayan, jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Ada juga yang melakukannya kerana ingin memastikan warisan ini terus mekar dan bertahan lama.

Antara wanita yang memilih untuk melakukan aktiviti ini secara sepenuh masa adalah Diana Abdul Hamid, dari Taman Bukit Rambai, Melaka. Pemegang Diploma Pengajian Bank, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih menghasilkan produk jahitan kreatif dengan menggunakan jenama Ummi Kreatif Jaya.

Produk yang dihasilkannya berasaskan seni tampal, cantum, sulam dan `quilting' iaitu sejenis jahitan menggunakan bahan daripada benang tangsi. Lebih menarik, beliau menggunakan imej flora dan fauna serta berkonsepkan batik tempatan.

Menyingkap sejarah pembabitannya, ibu kepada empat anak itu berkata, minatnya dalam bidang jahitan berputik selepas tertarik dengan kerja tangan arwah neneknya, Tajsiah Sadin, yang menghasilkan selimut serta sarung bantal menggunakan kain perca.

Ia terus berkembang mekar selepas melihat ibunya, Norlia Md Ali, tidak menang tangan menerima tempahan menjahit baju kurung daripada sanak-saudara mereka serta penduduk sekitar Kampung Chincin, Jasin. Tidak ketinggalan dorongan suaminya, Ramlee Ibrahim.

DIANA menunjukkan cara menjahit jahitan kreatif pada kain kusyen.

Bermula saat itu, iaitu lebih tujuh tahun lalu, beliau melakukan kerja tangan berkenaan di rumah, sebelum mengembangkannya termasuk menjadikan jirannya sebagai ahli kumpulan. Mulai detik itu iaitu pada Disember 2003, wujudlah Ummi Kreatif Jaya.

Dalam usaha memastikan usaha itu terus berkembang, Diana mengikuti kelas jahitan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan syarikat Epal, selain menghadiri kursus asas perniagaan serta perakaunan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Selepas berjaya menimba banyak ilmu, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan terus bekerja bersungguh-sungguh menghasilkan produk jahitan kreatif halus. Pada peringkat awal memang saya menggunakan tangan, namun selepas mendapat suntikan kewangan, saya berjaya membeli sebuah mesin jahit berkomputer berharga RM1,800 dan mesin jahit tepi bernilai RM2,000.

"Bagaimanapun saya masih mengekalkan jahitan kreatif seni tampal, cantum, sulam dan `quilting' berkonsepkan bunga-bungaan, flora dan fauna serta berimejkan batik tempatan yang dibeli dari Terengganu dan Sarawak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Rambai, Melaka, baru-baru ini.

Diana berkata, pada awal pembabitannya, beliau hanya menumpukan penghasilan seni jahitan kreatif pada sarung bantal, kusyen, kopiah, selimut, permaidani dan cadar yang sesuai bagi keperluan hiasan dan kegunaan sesebuah keluarga.

Namun, katanya, selepas enam tahun membabitkan diri, kini beliau berupaya melangkah lebih jauh dengan penghasilan ciptaan sendiri yang lebih kreatif menerusi beg sejadah, telekung dan tudung.

Beliau berkata ramai pelanggan yang berbangga dengan ciptaan beg sejadahnya kerana berimejkan kain batik tempatan di samping inginkan kain telekung dicipta anak tempatan berbanding diimport dari negara jiran seperti Indonesia.

Beg sejadah yang diciptanya itu mempunyai kemudahan sejadah pada bahagian dalam, manakala luarnya hamparan kain batik dihiasi dengan jahitan tampal, sulam, cantum atau quilting berwajahkan bunga-bungaan yang berseni, indah dan menawan.

Apabila dilipat ia boleh diisi dengan kain telekung dan dilengkapi pula dengan dua tangkai sebagai kemudahan pemiliknya membimbit atau menyangkutnya di bahu untuk di bawa ke mana-mana terutama ke surau atau masjid.

Harga bagi sebuah beg sejadah dijual antara RM40 hingga RM90, telekong sulaman (ekskusif) adalah RM100 hingga RM140 sementara telekung renda RM50 hingga RM100.

"Semua harga yang ditetapkan adalah bergantung kepada saiz serta jahitan kreatif yang dicipta. Selain beg sejadah dan telekung, pelanggan boleh menambah set kelengkapan dengan membeli tasbih mutiara dan kristal iaitu produk baru dihasilkannya.

"Batu mutiara dan kristal terbabit bukan saja boleh digunakan sebagai tasbih 33 atau 99 untuk berwirid, malah sebagai hiasan wanita seperti rantai dan gelang tangan. Alhamdulillah produk yang saya cipta dan ilhamkan serta didaftarkan melalui Ummi Kreatif Jaya ini semakin mendapat sambutan baik.

"Usaha yang saya lakukan ini sebenarnya adalah sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahu supaya wanita Melayu menceburi bidang perniagaan, sekali gus menjadi usahawan berjaya serta berdaya saing," katanya

Diana berkata, selain untuk menjana pendapatan belajar menjahit tampal, cantum dan sulam juga mampu mengeratkan hubungan kasih sayang dalam keluarga kerana isteri boleh menghasilkan jahitan kreatif sebagai bantal, kain kusyen, selimut dan cadar yang digunakan bersama oleh seisi keluarga.

"Pada masa lapang atau tidak bersekolah, saya turut mengajar empat anak saya menjahit dan saya bersyukur mereka turut gembira dan ia amat berguna sebagai mewarisi ilmu keluarga kami," katanya sambil berharap usahanya itu akan diteruskan mereka selepas ini agar tradisi itu tidak pupus.

INFO: Diana Abdul Hamid

  • Umur: 44 tahun.

  • Taraf pendidikan: Diploma Pengajian Bank, UiTM

  • Nama perniagaan : Ummi Kreatif Jaya.

  • Jenis Perniagaan : Membuat dan menjual barangan seni jahitan kreatif.

  • Tarikh mula perniagaan: Disember 2003.

  • Pengalaman kerja: Siswazah Khidmat Sambilan (1986-1991), Jabatan Pengangkutan Jalan, Perbendaharaan Negeri Melaka, Pejabat Kewangan Negeri Melaka, Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka, Majlis Daerah Jasin, Setiausaha Pengeluaran Toyodempa (m) Sdn Bhd dan Penolong Pegawai Tadbir Pusat Zakat Melaka.

  • Kursus: Kelas Jahitan Kemas dan Kraftangan Epal, Kursus Asas Perniagaan dan Perakaunan, Mara.

  • Anugerah: Pemenang Pertama Karangan Kreatif, Pusat Latihan Kraftangan Epal (2005).

  • Aktiviti: Penceramah Jahitan Kreatif anjuran Kemas.

  • Terkini: Menerima surat pelawaan dari pihak Profesional & Tecnical Acedamy sebagai panel membangunkan standard kemahiran pekerjaan kebangsaan seni jahitan kreatif.

  • Telefon: Ummi Kreatif Jaya boleh dihubungi di talian 019-6267665 atau menghantar e-mel pada alamat diana_abdulhamid@yahoo.com
    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Kraf Malaysia di London


    ANEKA produk kraf yang bakal dipamerkan di Harrods.

    MALAYSIA kaya dengan pelbagai hasil kraf bermutu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Tidak kira kraf hasil rimba, tekstil, seramik mahupun logam, kebanyakannya ditampilkan dalam pelbagai rekaan dan bentuk menarik yang mampu memikat pelanggan antarabangsa.

    Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) bersama agensinya, Kraftangan Malaysia mengambil inisiatif untuk memperkenalkan produk kraf tempatan di London dengan mengadakan Promosi Kraf Malaysia.

    Memartabat produk tempatan


    BUSANA yang diperbuat daripada songket dan batik sering dianggap hanya sesuai digayakan pada majlis tertentu khususnya songket bersesuaian dengan fungsinya yang sinonim dengan pemakaian golongan bangsawan satu ketika dulu. Bagaimanapun, zaman berubah menyaksikan dua fabrik mewah itu digunakan dengan meluas oleh orang kebanyakan kerana kebangkitan cita rasa dalam penataan fesyen.

    Sehubungan itu, ramai pereka fesyen mula menggunakan songket dan sutera dalam hasil perekaan mereka dan fenomena itu disambut baik penggemar fesyen tempatan. Lebih membanggakan kepelbagaian songket dan sutera terutama batik turut dilihat pada perhiasan dekorasi untuk kediaman dan cenderahati.

    Sehubungan itu, dalam usaha memperluaskan lagi pasaran kraf Malaysia ke pasaran antarabangsa, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) bersama agensinya, Kraftangan Malaysia mengadakan Promosi Kraf Malaysia di gedung beli-belah Harrods, London bermula 23 Februari hingga 28 Mac ini.


    Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebanyak 3,173 unit produk kraf tempatan bakal dipamerkan di gedung beli-belah itu sempena promosi yang dilakukan merangkumi empat cabang kraf utama iaitu hasil rimba, tekstil, seramik dan logam.

    “Promosi ini juga membabitkan 66 usahawan kraf tempatan iaitu 23 daripada bidang kraf hasil rimba, tekstil (17), logam (10) dan masing-masing lapan daripada bidang fesyen serta seramik. Dengan adanya promosi kraf besar-besaran di Harrods, kita berharap usaha ini bukan saja memperluaskan ruang lingkup pasaran yang biasanya sekitar Asia Tenggara saja, tetapi juga akan dapat mendedahkan hasil kraf tempatan yang unik kepada masyarakat di Eropah.

    “Promosi ini bukan saja memaparkan budaya dalam konteks tenunan songket dan batik semata-mata, tetapi pereka fesyen yang terbabit juga dapat menimba ilmu apabila mereka akan turut didedahkan dengan suasana persekitaran antarabangsa pada promosi berkenaan,” katanya pada sidang media selepas pratonton sempena Majlis Pelancaran Promosi Kraf Malaysia di Harrods London, di Kompleks Kraf, baru-baru ini.

    Mohd Shafie berkata, promosi yang akan dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah itu membabitkan ruang pameran seluas 900 kaki persegi yang akan menempatkan produk kraf termasuk tekstil.

    PERSEMBAHAN kebudayaan antara yang bakal dipertontonkan di London.
    Katanya, promosi kraf sebegitu diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengusaha kraf tempatan pada peringkat antarabangsa berikutan pasaran luas di London yang menjadi tumpuan penduduk dunia.

    “Mereka yang terbabit dalam industri ini perlu meningkatkan usaha bukan saja dari segi mutu dan harga, bahkan juga dari segi corak dan perekaan kraf kerana untuk kekal di pasaran antarabangsa, kita perlu sentiasa memperbaharui corak rekaan,” katanya

    Pada acara pratonton Promosi Kraf yang akan diadakan di London itu, lebih 40 persalinan busana daripada Yayasan Tengku Nur Zahirah, Butik Kirana, Galeri Seri Endon, Kraftangan Malaysia dan IKartini diperagakan kepada pengunjung yang hadir.

    Busana seperti gaun labuh dan persalinan ala kebaya yang diberi sentuhan kontemporari kelihatan cukup menarik lebih-lebih lagi pereka terbabit mengetengahkan motif tempatan seperti orkid dan rama-rama, manakala fabrik songket dalam warna terang juga memukau pandangan lantaran keunikan tenunan bahan berkenaan. Tidak mustahil diandaikan songket boleh menembusi pasaran dunia keunikan fabrik itu yang sangat halus serta berseni cara pembuatannya. Usaha KPKKW itu pastinya membuka peluang luas kepada pengusaha produk kraf dan mereka yang terbabit dalam industri ini untuk mengembangkan lagi cabang perniagaan mereka ke peringkat global dengan syarat sentiasa mempertingkat mutu dan idea terhadap produk yang dikeluarkan. Selain pameran fesyen dan jualan produk, pengunjung Harrods juga berpeluang untuk mencuba kegiatan demonstrasi mewarna dan mencanting batik bertujuan untuk memberi lebih kefahaman mengenai proses pembuatan batik Malaysia yang unik dan berseni.

    Promosi itu berlangsung selama sebulan dan selepas sebulan, produk berkenaan akan ditempatkan di Harrods selama enam bulan

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Pewaris baru raja automotif


    SM NASARUDIN


    TIADA yang tidak mengenali Kumpulan Naza, bahkan ia sering dikaitkan sebagai lambang kejayaan bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Bermula sebagai pembekal kereta melalui Permit Import (AP), Naza yang ditubuhkan pada tahun 1975 pesat berkembang di bawah peneraju utama Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin sehingga meliputi sektor hartanah dan perhotelan. Kumpulan Naza juga merupakan pengimport dan pengedar utama kenderaan jenama mewah seperti Ferrari, Peugeot dan Brabus.

    Namun kematian beliau yang terkenal sebagai raja automotif pada 2 Mei tahun lalu menimbulkan tanda tanya terhadap masa depan Kumpulan Naza terhadap keupayaannya mengekalkan legasi yang ditinggalkan terutamanya ketika kemelut ekonomi semasa dan terdapat dakwaan berlakunya pertikaian dalam keluarga merebut empayar perniagaan yang bernilai berbilion ringgit.

    ‘‘Tidak benar dakwaan berlakunya perebutan kuasa...Kami juga mempunyai kedudukan kewangan yang mantap,’’ kata pewaris baru Kumpulan Naza, SM Nasarudin, 26, anak kedua Nasimuddin. Beliau menafikan syarikat itu dirundung masalah tetapi sebaliknya bersedia melangkah ke hadapan untuk merealisasikan impian arwah bapanya menghasilkan kereta buatan tempatan sepenuhnya.

    Dalam temu bual bersama-sama wartawan Utusan Malaysia, MOWARDI MAHMUD, AINUL ASNIERA AHSAN dan SARAH NADLIN ROHIM, Nasarudin memperkatakan pengalaman beliau menguruskannya dan rancangan masa depan..

    UTUSAN: Apa perasaan saudara sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Kumpulan Naza?

    NASARUDIN : Secara jujurnya ia merupakan satu penghormatan kepada saya kerana dipilih meneraju syarikat ini. Saya mempunyai empat orang adik beradik, keluarga dan pakcik di belakang saya. Cabaran utama yang saya hadapi ketika mula-mula menerajui Kumpulan Naza adalah untuk meyakinkan kepada orang ramai kerana saya masih terlalu muda untuk mengetuai sebuah syarikat yang besar, tetapi orang di sekeliling saya sangat professional.

    Bagaimana saudara melihat persepsi orang ramai terhadap anda ketika mula-mula menerajui syarikat?

    Semasa arwah bapa (Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin) pergi ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan (penyakit), saya dilantik sebagai pemangku Pengarah Urusan. Kakitangan syarikat sudah mengetahui yang saya bakal mengambil alih jawatan tersebut. Tetapi orang ramai selalu memberitahu saya sama ada saya seorang yang bertuah atau kurang bernasib baik untuk menerima jawatan ini. Saya mungkin kurang bernasib baik kerana pada usia yang muda saya terpaksa mengetuai syarikat besar yang mempunyai lebih 4,000 pekerja. Saya juga mungkin bertuah kerana mempunyai peluang meneraju syarikat yang besar. Saya mengambil cabaran itu dan menyukainya.

    Jadi saudara sudah sememangnya bersedia untuk menerima tanggungjawab itu sejak awal lagi?

    Saya telah bekerja dengan arwah bapa sejak empat tahun lalu selepas menamatkan pengajian, jadi sehingga satu tahap, saya sudah mengetahui lebih awal bakal mengambil alih. Namun ia (pengalaman baru) tidak sama seperti pengalaman yang saya lalui sebelum ini. Saya tahu ia adalah tanggungjawab yang besar, tetapi saya sudah bersedia memikul amanah berat ini.

    Bagaimanakah cara arwah Tan Sri Nasimuddin menguruskan Kumpulan Naza?

    Arwah mengurus sendiri. Beliau mempunyai orang yang dipercayai untuk membawa misi syarikat. Beliau juga sangat tegas dan sentiasa memastikan setiap orang yang dipilih boleh melaksanakan kerja mereka. Bapa saya seorang yang tenang dalam keadaan yang mencabar, tetapi beliau mempunyai kelebihan dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.

    Bagaimana saudara membandingkan cara pengurusan arwah Tan Sri Nasimuddin dengan saudara sendiri?

    Saya juga merupakan seorang yang tenang dan saya akan mencontohi arwah tetapi pada masa yang sama, saya juga mempunyai cara tersendiri. Saya sangat bersyukur telah menghabiskan empat tahun bersama arwah untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dalam mengemudi Kumpulan Naza.

    Tidakkah tanggungjawab yang dipikul sekarang terlalu besar buat saudara?

    Ya, betul. Ia adalah tanggungjawab yang besar. Saya tahu orang ramai sedang memerhatikan saya kerana usia saya masih muda dan mengetuai syarikat yang besar. Banyak jangkaan yang perlu saya penuhi. Malah, sekarang ini sebahagian besar masa muda saya juga terpaksa dikorbankan.

    Apakah persepsi rakan niaga Kumpulan Naza, khususnya pihak asing?

    Saya bertuah kerana kebanyakan mereka telah mengenali dan pernah berurus niaga dengan saya sejak arwah bapa masih hidup. Arwah bapa juga telah mengajar saya dengan baik sekali.

    Terdapat dakwaan mengatakan berlakunya perselisihan faham dalam keluarga tentang pemilihan saudara?

    Tidak sama sekali. Pendapat kami (anggota keluarga lain) mungkin berbeza tetapi pada masa yang sama kami mempunyai visi dan objektif sama untuk memajukan syarikat. Saya mempercayai mereka (adik beradik lain) untuk menguruskan portfolio masing-masing.

    Di kalangan lima beradik, kenapa saudara menjadi pilihan untuk menerajui Kumpulan Naza?

    Ia merupakan keputusan dan pilihan arwah bapa dan kami adik beradik menerima keputusan tersebut.

    Boleh saudara nyatakan portfolio mereka?

    SM Faisal, 30, (abang sulung) menjaga perniagaan permotoran, SM Faliq, 24, menguruskan hartanah, Nur Diana, 28, memegang portfolio makanan dan Nur Nadia, 23, pula menguruskan perniagaan perhotelan.

    Apakah falsafah perniagaan saudara?

    Saya percaya kepada pengurusan secara makro yang mana kita perlu tahu selok-belok perniagaan. Saya kini mula mengatur strategi perniagaan jangka panjang dan mahu memastikan kakitangan berkualiti.

    Setakat ini, apakah fokus utama saudara?

    Fokus utama adalah pembangunan modal insan untuk menjadikan Kumpulan Naza sebagai syarikat terulung di Malaysia. Kami mahu menarik lepasan universiti untuk bersama syarikat.

    Seperti yang dikatakan mengemudi syarikat besar bukan mudah, jadi bagaimana saudara memperuntukkan masa menguruskannya?

    Selepas mengambil alih syarikat sejak Mei tahun lalu, setiap dua minggu dalam sebulan saya akan ke luar negara untuk berjumpa pelanggan dan rakan strategik. Cuma mulai awal tahun ini, saya memperuntukkan lebih masa di dalam syarikat sehingga kadang-kadang menghabiskan masa sehingga pukul 3 hingga 4 pagi di pejabat. Saya terpaksa mengorbankan masa bersama-sama kawan-kawan dan keluarga.

    Apakah yang dirancang saudara bagi memastikan empayar perniagaan ini bertahan untuk generasi akan datang?

    Saya berkesempatan menemui peneraju pengurusan Kumpulan Jardine Matheson (Kumpulan berpengaruh di Asia) dan bertanya bagaimana keluarga mereka melakukannya dan kami (Kumpulan Naza) akan meletakkan struktur yang baik bagi memastikan perniagaan ini dapat dikekalkan.

    Apakah keputusan yang terbesar pernah saudara ambil setakat ini?

    Keputusan terbesar adalah menerima tanggungjawab mengetuai Kumpulan Naza kerana dengan usia masih muda saya terpaksa mengorbankan beberapa perkara.

    Sebelum ini Tan Sri Nasimuddin banyak mempengaruhi keputusan saudara. Jadi sekarang siapa pula?

    Setiap keputusan di buat oleh saya sendiri berdasarkan nasihat yang pernah diberikan oleh arwah bapa dengan memastikan keputusan tersebut bukan kerana terpaksa tetapi setelah menilai setiap aspek yang diperlukan.

    Apakah bentuk legasi yang saudara harapkan bagi Kumpulan Naza?

    Sebagai orang yang terlibat dalam industri automotif, saya ingin capai apa yang diinginkan oleh arwah bapa. Kami ingin menjadi syarikat automotif terbaik kerana kepelbagaian perniagaan dan akan terus berkembang.

    Setakat ini adakah perubahan yang telah saudara lakukan?

    Buat masa ini tiada sebarang perubahan, kami masih meneruskan misi syarikat.

    Adakah anda berpuas hati dengan pencapaian semasa Kumpulan Naza?

    Masih belum berpuas hati kerana impian saya adalah tinggi tetapi kami sedang bergerak ke hadapan.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Penternak gigih warga emas


    ABD. GHAFAR menunjukkan lembu-lembu ternakannya yang sedia untuk dijual.


    KEGIGIHAN sepasang suami dan isteri warga emas menternak kambing dan lembu wajar menjadi contoh kepada semua orang.Bayangkan dalam usia emas, Abd. Ghafar Endol, 70, dan isterinya, Khariah Abd. Majid, 60, masih gigih bekerja.Mungkin bagi kebanyakan orang, dalam usia sebegini, mereka patut berehat di rumah bersama anak menantu dan cucu tanpa perlu bekerja.Namun, disebabkan sudah biasa membanting tulang dan mengeluarkan peluh untuk meraih rezeki, faktor umur tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk menjalankan ternakan kambing dan lembu secara fidlot."Bukan tak mahu rehat tetapi dah biasa kerja. Lagi pun, kerja ini tidaklah susah sangat berbanding bisnes katering yang kami lakukan sebelum ini," kata Abd. Ghafar ketika ditemui Kosmo! di kawasan ternakannya di Kampung Bukit Genting, Jerantut, Pahang.

    Menurutnya, kerja-kerja mereka banyak dibantu oleh menantunya, Aslansharudin Mohd Daud, 30, dan seorang anak saudaranya."Kerja-kerja pengurusan di pejabat pula banyak dibantu oleh seorang anak perempuan pak cik. Sungguhpun begitu, setiap hari, kami turun ke kandang untuk melihat apa yang patut,'' tambahnya sambil memberi makan sekumpulan kambing daripada baka Boer yang diternaknya.Bukan calang-calang baka ternakan yang dipelihara oleh Abd. Ghafar kerana kesemuanya baka terbaik dari Australia. Selain kambing Boer, dia juga menternak kambing daripada baka Jamnapari, Farell serta bebiri manakala baka lembu yang dipeliharanya ialah Brahman dan Charolais.

    Kambing Boer yang diimportnya untuk tujuan baka mempunyai surat beranak yang dikeluarkan oleh Boer Goat Breeder's Association.Menurutnya, dia memilih untuk menjayakan sektor penternakan kerana 'tidak larat' lagi untuk menjalankan bisnes katering yang telah diceburinya selama 20 tahun.


    PASANGAN warga emas yang mengusahakan ternakan secara fidlot berharap dapat meluaskan kawasan ternakan yang sedia ada.


    "Bila dah semakin tua, pak cik rasa penat nak buat katering. Tetapi dengan rezeki itulah, dah tiga kali pak cik ke Mekah," katanya yang merupakan bekas peneroka Felda.

    Mendapat idea untuk menternak kambing dan lembu daripada seorang rakan, Abd. Ghafar kemudiannya bekerjasama dengan rakan perniagaan dari Perak, Kelantan dan Terengganu.

    Katanya, kerjasama itu penting untuk membawa masuk haiwan ternakan dari Australia.

    "Dengan adanya rakan perniagaan, kami boleh membeli sejumlah haiwan ternakan dalam kuantiti yang banyak. Ini lebih menjimatkan kerana apabila sampai di Pelabuhan Klang, kami akan agih-agihkan lembu yang baru tiba mengikut bilangan tempahan masing-masing.

    "Kalau nak tempah sendiri, kosnya lebih mahal,'' ujarnya sambil memberitahu beliau memulakan projek itu kira-kira dua hari sebelum bulan puasa tahun lalu.

    "Pak cik mula bela sebanyak 215 ekor ternakan yang sudah cukup umur. Selepas menempuh perjalanan selama tiga bulan 10 hari dari Australia, pak cik pelihara untuk tempoh dua bulan. Dalam tempoh itu, apa yang pak cik lakukan ialah menggemukkan lembu-lembu tersebut. Apabila cukup gemuk, pak cik jual untuk akikah dan korban.


    KESEMUA kambing yang dipelihara dibawa masuk dari Australia.


    "Biasanya, hari pertama sampai ke sini, berat seekor lembu ialah kira-kira 270 kilogram dan selepas dua bulan, beratnya boleh mencecah 293 kilogram,'' ujarnya sambil menyatakan kos makan sehari untuk seekor lembu ialah RM2.65 sen.

    Menurutnya, makanan yang diberi untuk menggemukkan lembu ialah dedak, batang pisang, rumput Napier, daun sawit dan kacang soya.

    "Mengenai kambing pula, kami membawa masuk haiwan itu dari Australia dengan pesawat kargo dan mengambilnya di LCCT Kargo, Sepang,'' katanya.Selain itu, katanya, tempahan akan dibuat setiap dua kali dalam setahun iaitu 30 ekor bagi setiap tempahan. Kesemuanya untuk tujuan akikah, korban dan baka.

    "Tahun lalu, kami dapat jual kira-kira 200 ekor ternakan. Paling banyak laku ketika musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha,'' katanya.Bapa kepada tujuh orang anak itu berharap dapat menambah keluasan tanah bagi tujuan mengembangkan lagi ternakan yang ada.

    "Tanah ini tak luas, cuma satu ekar sahaja. Pak cik tengah mohon tanah rezab di belakang kandang kambing untuk meluaskan lagi kawasan ternakan,'' ujarnya.

    Sementara itu, Khariah berkata, kambing yang diternak diberi makan palet manakala kos ubat-ubatan pula mencecah RM1,000 sebulan."Peruntukan untuk ubat-ubatan agak besar kerana kambing terdedah kepada banyak risiko penyakit seperti kurap, kembung perut, puru, selesema, bisul, batu karang dan sakit mata.Selain menjual ternakan dan baka, pasangan suami dan isteri itu juga menjual baja tahi kambing pada harga RM10 sekilogram.Mengenai hasil jualan pula, dalam tempoh lapan bulan pertama, syarikat D NA Maju Ternak yang dimiliki mengaut pendapatan kasar sebanyak RM118,000 daripada jualan ternakan, jualan baja dan jualan makanan ternakan (palet)."Baja dan palet banyak dibeli oleh penduduk kampung. Ia sekadar menambah jualan sedia ada,'' katanya yang bercadang untuk menternak kerbau dan ikan dalam kolam dalam masa terdekat ini.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Kreativiti produk Sentuhan

    Bagaimanakah Community_Work membantu wanita penghidap HIV dan ibu-ibu tunggal meneruskan kehidupan?


    JOE menunjukkan sabun-sabun daripada jenama Tanamera yang akan dibungkus dengan kreatif.


    DI butik Sentuhan, sabun-sabun yang dijual dibungkus cukup kreatif. Menggunakan anyaman daun buluh pelbagai warna, seri outlet Sentuhan terserlah dengan hiasan seni lukisan di dinding, model patung yang memperagakan pakaian dan beg corak batik serta beberapa produk kecantikan.

    "Sebenarnya kami melakukan aktiviti komersial di samping membantu ibu-ibu tunggal melibatkan diri dalam perniagaan. Kami tidak mahu sekadar 'menyuap' mereka tetapi mengajar bagaimana untuk 'hidup' dan boleh memimpin diri sendiri," kata Joe yang menamakan aktiviti tersebut sebagai Community_Work.

    Menerusi Community_Work, Joe atau nama sebenarnya Rosli Sidek, berkata, pihaknya membimbing ibu-ibu tunggal bagi membentuk gelombang positif dalam hidup mereka.

    Terletak di Lebuh Armenian, Georgetown, Community_Work diperkenalkan sejak Julai 2006 menerusi pembukaan outlet Sentuhan."Asalnya ia bermula untuk membantu ibu tunggal penghidap HIV/AIDS," katanya merujuk kepada ahli kumpulan yang terdiri daripada empat orang.Tidak lama selepas tampil dengan komuniti itu, dia bertemu dengan seorang ibu tunggal dari Sarawak yang mahir dalam kerja-kerja menganyam."Terlintas di fikiran untuk memulakan Sentuhan iaitu menjual produk unik dan berkualiti dalam pembungkusan kreatif. Pada masa itu, saya mengenali Tanamera, jenama produk sabun dan beberapa produk kecantikan lain," jelas Joe.

    Menariknya tentang sabun Tanamera, kata Joe, ia hanya dijual di beberapa lokasi, salah satunya di pasar lambak Penang Street pada hari Ahad minggu terakhir setiap bulan.


    KOTAK anyaman ini dihasilkan oleh penghidap HIV dan ibu-ibu tunggal menerusi projek Community_Work.


    Katanya, sabun itu terbahagi kepada empat dengan fungsi berbeza mengikut tema warna iaitu hitam, hijau, perang dan putih.

    "Sabun berwarna hitam untuk kulit bermasalah kerana ia mempunyai agen ubat, hijau pula untuk antiseptik, melembut, melicin dan awet muda. Manakala yang perang sesuai untuk penyakit kulit ekzema, selain menyeimbangkan ton dan melicinkan kulit," katanya.Menurutnya, sabun berwarna putih menjadi pilihan ramai kerana ia membantu awet muda secara menyeluruh, melembut dan tinggi kandungan protein. Setiap buku sabun itu dijual dari harga RM6 dan ke atas.

    Meskipun setiap anyaman yang dilakukan oleh ibu-ibu tunggal itu agak ringkas, namun ia memerlukan ketelitian.

    Bagi menyerlahkan lagi keunikan setiap anyaman, Joe memberitahu, dia menggunakan tona yang berbeza bagi satu produk."Dengan ini, kita dapat menghasilkan anyaman yang menarik," katanya yang mengakui seorang boleh menyiapkan kira-kira 60 anyaman dalam sebulan.Bagaimanapun, Sentuhan bukan hanya tertumpu kepada produk sabun dan aspek pembungkusan anyaman, tetapi ia juga mempromosikan pakaian dan aksesori yang dijahit dengan kain batik, seni lukisan dan apa sahaja produk kreatif.

    Joe dibantu oleh tenaga kerja yang terdiri daripada antaranya seorang wanita Jepun, India dan seorang kanak-kanak lelaki Melayu yang baru berusia 11 tahun.Walaupun polisi Community_Work berubah daripada membantu wanita penghidap HIV/AIDS kepada ibu tunggal dan mereka yang memerlukan, Joe memberitahu, niat untuk membantu sentiasa segar dalam dirinya dan ahli.Jelasnya, dia sedih melihat orang susah dan kerana itu, dia sanggup membimbing mereka demi hidup yang terjamin. Sikap dan semangat tersebut, kata Joe, mungkin diwarisi daripada arwah ayahnya.

    Bekas pengurus acara yang dahulunya banyak mengendalikan persembahan dan pertunjukan fesyen, peragaan, kebudayaan dan sebagainya itu berkata, beliau masih membuka ruang kepada mereka yang teraniaya tetapi kreatif untuk menyertai mereka.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Usahawan sayur fertigasi


    AMMAR bangga dan yakin dengan hasil cili padi semerah yang diusahakan di Mambau, Negeri Sembilan.

    Walaupun tidak mempunyai latarbelakang yang formal dalam bidang pertanian tetapi tindakan Ammar Abdul Aziz, 35, untuk menjadi usahawan tani sedikit sebanyak dapat menepis anggapan masyarakat terhadap bidang pertanian.

    Mendapat ijazah pertama di Hawaii dan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi di London, United Kingdom (UK), Ammar mula mengusahakan ladang sayurnya secara sepenuh masa sejak 2005 di atas tanah milik keluarga seluas empat ekar di Kampung Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan.

    Menceritakan pahit getir bergelumang dalam bidang pertanian khususnya penanaman sayur secara konvensional selama tiga tahun, Ammar berkata, mereka yang mahu bergiat dalam bidang ini perlu mempunyai semangat yang kuat.

    "Dalam tempoh dua tahun ini dua kali saya terasa amat putus asa dan berfikir untuk mengalah dan meninggalkan segalanya.

    "Tetapi pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian banyak memberikan khidmat nasihat dan galakan kepada saya sehingga saya ke peringkat sekarang," katanya semasa ditemui di ladangnya di Mambau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

    Ammar melahirkan rasa terharu dengan agensi kerajaan yang banyak memberikan galakan walaupun beliau mengalami pelbagai masalah ketika itu.Biarpun pernah menjawat jawatan glamor dan selesa iaitu pengurus dana, Ammar tidak menyesal meninggalkan semuanya untuk berbakti pada tanah.Galakkan dan sokongan daripada ahli keluarga terutama ibu dan ayah sentiasa menjadi pendorong untuk terus berjaya.Setelah berjaya mengharungi pahit mung dalam bidang pertanian, kini beliau yang telah menyewa empat ekar lagi tanah di sebelah tanahnya menanam tanaman berpara seperti kacang panjang, bendi, timun, cili dan cili padi.

    Bermula dengan menanam sayur-sayuran secara konvensional, kini Ammar mula menanam cili merah secara fertigasi tertutup sementara cili padi secara terbuka.Mengaplikasikan kepakarannya dalam strategi kewangan dalam pertanian, Ammar banyak mengumpul data-data hasil ladangnya."Data yang saya dapati saya bandingkan dengan data daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Jabatan Pertanian.Jika terdapat perbezaan ketara, saya akan cuba mencari puncanya.

    "Setiap pagi saya akan meninjau kebun dan melihat apa yang tidak kena sama ada serangga, virus atau bakteria," katanya.Ammar akan mengumpul semua data sama ada serangga hidup atau bahagian pokok yang diserang untuk dikaji sama ada di MARDI, Jabatan Pertanian atau institut pengajian tinggi tempatan.Dengan cara ini, Ammar dapat mengetahui lebih lanjut mengenai makhluk perosak serta racun perosak yang sesuai digunakan.Memegang pepatah Inggeris, 'tidak mengumpulkan telur dalam satu bakul,' Ammar mengusahakan pelbagai jenis tanaman sebagai persediaan jika sesuatu berlaku pada satu-satu tanamannya.

    Ini juga merupakan satu langkah supaya pendapatannya berterusan sementara menunggu tanaman lain mengeluarkan hasil."Saya 'melayan' kebun sayur saya sama seperti bisnes-bisnes lain dengan strategi yang sama."Bagi saya pertanian adalah satu perniagaan," katanya yang memulakan pertanian menggunakan modal daripada simpanannya sendiri.Baginya setiap tanaman mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri misalnya bendi dikatakan tanaman paling mudah ditanam tetapi harganya pula agak murah.

    Cili merah dan cili padi yang mempunyai harga yang tinggi tetapi penjagaannya agak sukar dan memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi tujuan memetik.Ammar juga menjalankan strategi merekodkan dan mengumpul semua harga sayuran di pasaran bagi membolehkannya memantau harga di masa akan datang."Mainan harga sudah menjadi asam garam hidup sehingga saya mengambil inisiatif memantau dan merekodkan harga sayuran setiap hari.

    "Ini bagi memastikan saya boleh mendapatkan tanda aras harga setiap sayuran dan boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan," katanya yang bercita-cita membesarkan lagi ladang sayurnya.

    Selepas menjalani pelbagai 'kisah pahit' dalam pertanian, kini Ammar melibatkan diri dalam fertigasi pokok cili.Menjalankan trial and error dalam pertanian selama dua tahun menjadikan Ammar lebih matang dalam mengharungi industri tanaman.Beliau yang amat peka dengan apa yang berlaku di ladangnya tidak pernah memohon mana-mana pinjaman selama membuka ladang sayur-sayuran."Sejak awal saya mengeluarkan wang poket sendiri untuk menguruskan ladang ini dan saya masih belum menganggap diri saya berjaya."Saya berharap suatu hari nanti, pekebun sayur akan dapat hidup mewah dengan hasil jualan sayur mereka," katanya.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments


    Zainal Azman Abu Kassim menunjukkan produk yang dihasilkan oleh kebanyakan usahawan tempatan dan dipasarkan oleh Herba Plaza.

    Memandangkan negara mempunyai khazanah kepelbagaian biologi flora dan fauna antara terkaya di dunia, sudah semestinya ia boleh menjana kekayaan dalam konteks pengeluaran hasil untuk dimanfaatkan.

    Antara contoh terbaik dalam khazanah hutan adalah tanaman herba di mana kajian menunjukkan warisan nenek moyang ini kaya dengan ciri-ciri farmaseutikal.

    Justeru Perbadanan Herba Malaysia (MHC) ditubuhkan pada 2001 sebagai sebuah anak syarikat penuh Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT) memainkan peranan penting untuk memanfaatkan kekayaan tersebut.Pengurus Besar Kumpulan MHC, Zainal Azman Abu kasim berkata, pada peringkat awal pihaknya menjalankan aktiviti untuk kajian industri kerana pada masa itu tidak terdapat satu badan yang khusus bagi menguruskan mengenai herba."Industri herba boleh dilihat sebagai memberikan sumbangan besar kepada negara memandangkan pada tahun 2001 saja ia menyumbang sebanyak RM2 bilion kepada ekonomi negara."Dan dalam masa lapan tahun saja, sumbangan industri itu telah meningkat empat kali ganda atau RM8 bilion," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Industri herba kini boleh dikatakan mengalami proses evolusi daripada industri kecil-kecilan di belakang rumah kepada bernilai bilion ringgit.Kini pelbagai produk herba seperti tongkat ali dan kacip fatimah sedang berkembang dengan menjadi asas dalam makanan tambahan, kosmetik, minyak pati dan farmaseutikal.Produk herba, jelas Zainal Azman bukan saja memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara tetapi juga peluang perniagaan kepada usahawan baru.Bagi menjayakannya, kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi industri pertanian semasa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebanyak RM11.4 bilion dalam industri asas tani untuk bangunkan industri moden, dinamik dan kompetitif.

    MHC juga turut menyokong menjalankan aktiviti herba misalnya pada 2007 telah menjalankan program pusat pengumpulan dan pemasaran produk herba dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).Menerusi program berkenaan, MHC akan memilih 150 buah syarikat bumiputera bagi dibangunkan dan dipromosi di Herbal Plaza, Medan Tuanku, Kuala Lumpur."Herbal Plaza bertindak sebagai pusat sehenti bagi mengumpul, mempamer, memasarkan dan menjual produk herba."Sejak beroperasi Herbal Plaza mendapat sambutan yang amat menggalakkan sama ada dari dalam atau luar negara," katanya.MHC merancang untuk meluaskan lagi pasaran produk herba bumiputera menerusi pengkomersialan Herbal Shoppe sebagai cabang pemasaran dengan MeCD di lokasi terpilih seperti kompleks membeli belah dan kawasan yang menjadi tumpuan ramai.

    Zainal Azman menambah dijangka menjelang akhir tahun ini terdapat lima buah Herbal Shoppe akan diwujudkan di Lembah Klang.

    "Sebelum ini usahawan Bumiputera banyak berniaga di kiosk dan inilah masanya mereka beralih kepada industri yang lebih profesional."Di negara ini terdapat lebih kurang 1,800 usahawan yang terlibat dalam industri herba melibatkan menanam, memproses, formulasi dan pemasaran," katanya.Dari jumlah berkenaan, 30 peratus bergiat dengan agresif dalam pemasaran herba dan MHC memilih 150 daripada syarikat berkenaan untuk bekerjasama dengan MECD.

    Jumlah yang dipilih perlu menepati kriteria yang ditetapkan seperti Bumiputera, mempunyai produk sendiri, mendapat kelulusan Biro Farmaseutikal dan Kawalan Mutu Makanan, mempunyai program latihan terancang dan berkeupayaan meluaskan perniagaan mereka.

    Sehingga ini kebanyakan pengusaha mendapatkan formulasi produk daripada agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), SIRIM, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan institut pengajian tinggi (IPT) di mana ada permintaan yang sesuai dengan agensi dan syarikat.

    Zainal Azman berkata, di sini agensi berkenaan akan menyebarkan penemuan terbaru kepada usahawan untuk dikomersialkan.Buat masa sekarang terdapat lebih 300 produk daripada 150 syarikat dipasarkan di Herbal Plaza.MHC dan MECD membantu pasaran dengan melabur dalam iklan atau semasa pameran, program yang dianjurkan oleh kerajaan.Semasa pameran herba, usahawan terpilih akan diberikan subsidi bagi mempamerkan produk mereka tetapi ramai yang tidak mengambil kesempatan yang diberikan.Pameran luar negara pula boleh didapati daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) tetapi kurang mendapat sambutan.

    "Produk herba kesihatan seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing mempunyai peminat tersendiri dan dilihat akan berkembang maju."Produk herba yang mendapat sentuhan kajian saintifik mendapat sambutan yang amat menggalakkan," katanya.Universiti tempatan juga semakin agresif menjalankan pelbagai kajian berkaitan herba, misalnya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menemui sebatian dalam kaduk yang dapat mengawal obesiti dan dijangka akan berada di pasaran tidak lama lagi.

    Taman Teknologi Malaysia (TPM) menerusi TPM Bioteknologi menyewakan kilangnya yang bertaraf GMP (Amalan Pengilangan Baik) kepada pengusaha bagi menghasilkan produk herba bermutu tinggi.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    Empayar kopi tradisi Anggerek


    Gandum antara bahan yang diadunkan bersama biji kopi dalam proses menghasilkan serbuk kopi campuran.

    MASYARAKAT di mana-mana sahaja di seluruh pelosok dunia pastinya mengenali dan sedia maklum dengan kenakan serta kelazatan rasa minuman yang dikenali sebagai kopi.

    Lihat sahaja di negara kita, penghasilan pelbagai produk minuman berasaskan kopi serta kemunculan restoran berkonsepkan kopitiam sudah semakin berkembang dengan pesat.Perluasan 'empayar' kopi tersebut adalah disebabkan oleh penerimaan menggalakkan dari ahli masyarakat yang sering menjadikannya sebagai minuman harian.Selain itu, penggemar kopi juga kini turut ditawarkan dengan pelbagai lagi khasiat tambahan menerusi campuran beberapa bahan seperti ginseng dan juga herba.

    Di sebalik kemunculan pelbagai jenama kopi di pasaran, kita tentunya pernah menyedari satu jenama tempatan yang dikenali sebagai Kopi Anggerek.Mungkin ramai yang tidak mengetahui, rumusan kopi tradisi tersebut sebenarnya telah dihasilkan secara turun-temurun sejak 30 tahun lalu oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di kilangnya yang terletak di Kanchong Darat, Banting, Selangor.

    Ketika awal penubuhannya pada tahun 1973, kilang kopi FAMA hanya berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan biji kopi dalam usaha membantu penanam kopi di kawasan Kuala Langat memasarkan hasil tanaman mereka.Ketika itu, daerah tersebut merupakan kawasan pengeluaran biji kopi jenis Liberica yang terbesar di Malaysia dengan keluasan tanaman sekitar 6,800 hektar.

    Selepas beberapa tahun menjalankan kerja-kerja tersebut, bermula awal tahun 80-an, FAMA akhirnya mengambil keputusan untuk memulakan aktiviti pemprosesan serbuk kopi campuran di bawah penjenamaan Anggerek.Menurut Pengurus Pembangunan Industri Asas Tani FAMA bagi komoditi kopi, Abd. Moeen Abd. Wahid, kilang tersebut menjalankan semua peringkat penghasilan kopi campuran berkenaan bermula dari pengumpulan biji kopi, penggredan, pemprosesan, pembungkusan dan juga pemasaran."Kopi campuran mendapat sambutan yang baik daripada penggemarnya kerana ia mempunyai formulasi campuran khas yang memberi kelazatan kepada rasanya."Ia berbeza dengan kopi asli yang mempunyai rasa pahit kerana dihasilkan daripada secara 100 peratus biji kopi tanpa sebarang campuran,'' katanya ketika di temui di kilang tersebut baru-baru ini.

    Menarik mengenai kopi campuran Anggerek, ia dihasilkan daripada rumusan 60 hingga 70 peratus kandungan serbuk kopi yang dicampurkan dengan bahan-bahan seperti gandum, soya, gula, marjerin, garam dan bijan bagi menambah cita rasanya.Proses penghasilannya melibatkan kerja memanggang biji kopi di dalam ketuhar khas selama lebih kurang 20 minit pada suhu 160 hingga 200 darjah Celsius sebelum dicampurkan dengan bahan-bahan tersebut.Adunan itu kemudiannya akan dikacau secara berterusan di dalam kuali pembakar yang menggunakan minyak tanah atau diesel selama 20 minit untuk memastikannya sebati sebelum menghasilkan asap yang banyak setelah benar-benar masak.Selepas itu, adunan berkenaan akan dituang ke dalam dulang besar untuk dikering dan disejukkan menggunakan kipas angin selama 15 minit sambil digaul secara perlahan-lahan.

    Setelah sejuk, adunan yang akan membentuk ketulan-ketulan besar dan keras akan dimasukkan ke dalam mesin khas yang dikenali sebagai 'mesin pecah' sebanyak dua pusingan untuk menghasilkan serbuk kasar.Seterusnya, ia akan dikisar dengan mesin khas untuk menghasilkan serbuk kopi campuran yang halus sebelum dihantar ke peringkat akhir iaitu pembungkusan.

    Kopi campuran itu akan dipaketkan ke dalam empat variasi bungkusan iaitu 80 gram, 200 gram, 300 gram dan juga di dalam tin seberat 320 gram.Menurut Abd. Moeen, setiap proses penghasilan kopi campuran tersebut biasanya akan melibatkan adunan bahan seberat 96 kilogram (kg) dan hasil akhir selepas dikisar mempunyai berat lebih kurang 76 kg.Bukan setakat itu, FAMA turut menghasilkan beberapa lagi produk kopi lain seperti Kopi Roast & Ground iaitu serbuk kopi asli untuk kegunaan restoran selain kopi pra campuran tiga dalam satu dan tiga dalam satu tongkat ali.Kopi pra campuran tersebut dihasilkan melalui gabungan serbuk kopi sebanyak 30 peratus bersama bahan-bahan lain seperti gula dan creamer serta tongkat ali di dalam mesin pengadun.

    Adunan itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam mesin pembungkus untuk dihasilkan dalam paket-paket kecil seberat 25 gram setiap satu.Apa yang menarik, kesemua produk kopi tersebut menggunakan paket pembungkus aluminium kedap udara bagi tujuan mengekalkan kualiti serbuk kopi supaya tahan lama dan tidak mengeras.

    Jika dilihat dari proses penghasilannya pula, kilang terbabit menggunakan mesin semi manual yang perlu dibantu oleh tenaga manusia."Ia secara tidak langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat yang juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial FAMA."Setakat ini, kita mempunyai lebih kurang 15 orang kakitangan yang membantu menjalankan kerja-kerja bermula dari proses membakar biji kopi hinggalah ke peringkat pembungkusan.

    "Selain itu, dengan cara tradisional ini juga, ia akan dapat mengekalkan identiti proses menghasilkan kopi sejak turun-temurun,'' jelasnya.Dari segi bekalan biji kopi, pihak FAMA mengimport biji kopi jenis Robusta dan Arabica dari Indonesia kerana penanaman di negara ini tidak mampu menampung keperluan kilang.Bagi menggalakkan perkembangan pasaran kopi secara lebih agresif, FAMA turut membuka peluang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang berminat untuk terlibat secara langsung dalam bidang tersebut.

    Pelaksanaan usaha itu adalah sebagai inisiatif untuk membantu usahawan IKS yang kurang berkemampuan dari segi modal."Syarikat tersebut akan mendapat bantuan dari segi pemprosesan bahan mentah dan juga penggunaan mesin dengan upah yang minimum.

    "Apa yang menarik, mereka juga berpeluang untuk memilih penjenamaan produk kopi mereka sama ada untuk mengekalkan nama Anggerek atau memilih jenama mereka sendiri,'' katanya.

    Bantuan lain yang akan diberi adalah seperti khidmat nasihat dari segi kewangan dan pasaran, nasihat rekaan pembungkusan serta saluran khidmat mendapatkan geran tertentu daripada pihak berkaitan.Kesemua produk kopi FAMA kini telah dipasarkan secara meluas di seluruh negara di mana Sabah dan Sarawak menguasai pasaran sebanyak 80 peratus.Pasarannya turut diperluaskan ke luar negara seperti China dan juga negara-negara Timur Tengah.Melihat kepada perkembangan itu, FAMA sedang dalam proses perancangan untuk memperkembangkan produknya seperti kopi dengan campuran sarang burung, kopi cappuccino, teh uncang selain mewujudkan rangkaian kopitiam sendiri berjenama Anggerek.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    30 sertai bengkel usahawan fertigasi


    ABDUL Shukor Abdul Jabbar (depan, empat dari kiri) bersama jawatankuasa penganjur dan peserta Bengkel Usahawan Fertigasi Mega-Utusan Malaysia di Kajang, semalam.


    BANGI 13 Feb. - Bengkel Usahawan Fertigasi Mega-Utusan Malaysia yang berlangsung hari ini mendapat sambutan hangat daripada golongan usahawan muda.

    Program yang dianjurkan dengan kerjasama Agro Bank dan May Consult itu memberi pendedahan kepada para usahawan muda yang berminat untuk menceburi bidang pertanian.Pengurus Pusat Latihan Agro Bank (Abadi), Abdul Shukor Abdul Jabbar berkata, menerusi bengkel itu, pelbagai maklumat dapat diperoleh oleh para peserta berkaitan fertigasi.

    "Ramai yang berminat untuk menceburi bidang ini tetapi tidak tahu selok-belok. Menerusi bengkel ini mereka berpeluang mengetahui teknik untuk bergelar usahawan fertigasi," katanya pada majlis pelancaran bengkel tersebut di sini hari ini.

    Bengkel selama tiga hari itu akan membincangkan antaranya pengenalan teknologi fertigasi, sistem pengairan fertigasi, penanaman secara fertigasi, kawalan musuh tanaman dan latihan perniagaan.Tambah Abdul Shukor, selain teori, para peserta juga berpeluang menjalani latihan praktikal yang disediakan pada hari terakhir bengkel."Selain teori, mereka turut didedahkan dengan latihan amali di Tapak Projek, Kampong Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan," jelasnya.

    Seramai 30 peserta dipilih menyertai bengkel itu dan dikenakan bayaran RM150 meliputi penginapan, makan minum, pengangkutan di tapak amali dan sijil penyertaan.Tambah beliau, pihaknya bersama Mega-Utusan Malaysia akan mengadakan beberapa lagi siri bengkel seumpama itu kerana penyertaan yang diterima amat memberangsangkan.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    cartoon business

    The image “http://www.on.ec.gc.ca/skywatchers/ontario/wx_office_tour/images/weather_office_outside_e.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

    http://www.givememyremote.com/remote/wp-content/uploads/2006/06/Office_cartoon_small_455.jpg

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments