Sejarah Menarik -

| at 5:11 AM
| at 4:42 AM
CUKAI perkhidmatan dan barangan (GST) tidak dibentangkan bagi bacaan kedua pada sidang Parlimen kali ini. Kerajaan ada alasan kukuh apabila mengambil keputusan itu bagi membolehkan penelitian terperinci dilakukan, termasuk mendapat pandangan dan maklum balas segenap lapisan rakyat sebelum dikuatkuasakan. Walaupun pembangkang mendakwa penangguhan itu disebabkan desakan mereka banyak pihak sebelum ini pun sudah meminta masa untuk menelitinya.
Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) misalnya, meminta lebih banyak masa supaya kerajaan dapat memperjelaskan beberapa perkara yang masih keliru. FMM juga mengemukakan beberapa cadangan dan menyuarakan kebimbangan terhadap sistem cukai GST ini dan meminta kerajaan mengkaji pandangan itu terlebih dulu sebelum GST dilaksanakan. Pandangan FMM ini penting kerana mereka adalah golongan yang mengeluarkan barang yang akan dibeli pengguna, tentunya mereka ingin tahu pada peringkat pengeluaran yang mana satu harga barang itu perlu ditambah cukai. Memandangkan struktur percukaian itu sangat kompleks dan meluas, wajar bagi kerajaan mengambil masa secukupnya untuk menggubal rang undang-undang itu supaya menjadi akta yang sempurna dan tidak membebankan rakyat. Jika akta GST dikuatkuasakan dengan pelbagai kelonggaran, itu bukan saja menunjukkan kelemahan, malah sekali lagi dijadikan modal politik. Apa yang penting, kerajaan perlu memberi penjelasan seluas-luas mengenai GST sebelum melaksanakannya. Paparkan angka, contoh dan pengalaman negara lain, kesan dan sumbangannya serta keseluruhan struktur pelaksanaan sistem percukaian itu supaya rakyat memahaminya. Justeru, proses mengumpul maklum balas daripada semua lapisan dan sumber perlu dilakukan secara menyeluruh. Maklum balas peringkat paling bawah pada akar umbi pun perlu diambil kira dalam merumuskan rang undang-undang itu. Mungkin kerajaan boleh menggunakan kaedah atau sistem pengumpulan maklumat ketika menggariskan kandungan dasar Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian. Yang lebih rencam membabitkan tugas menyediakan kandungan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) atau meminjam idea ketika menggubal strategi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Walaupun GST tidak sama dengan tiga aspek transformasi dalam pentadbiran dan pengurusan jentera kerajaan itu yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana sekretariat memperoleh makluman balas rakyat. Tidak keterlaluan jika satu ‘makmal GST’ digerakkan segera supaya hasil kajian lebih tepat, menyeluruh dan wajar. Sebagai jentera yang melalui proses transformasi besar-besaran, kerajaan tidak wajar dituduh gagal dalam pelaksanaan GST. Akta ini jangan dianggap remeh atau sulit sehingga tiada keseimbangan. Ia mampu disedia dan dikuatkuasakan dengan jaya jika tidak mengetepikan semangat, kepentingan dan tuntutan rakyat segenap peringkat. Ambil iktibar GST dari negara yang sudah melaksanakannya dan menjadi kelebihan kepada Malaysia untuk menguatkuasakan akta itu tanpa perlu mengulangi kesilapan atau kegagalan di negara lain.
| at 4:34 AM
SHAH ALAM 18 Mac 2010: Elemen keusahawanan yang diterapkan dalam setiap program pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) memberi gambaran jelas kepada pelajar mengenai bidang itu dan mampu dioptimumkan untuk aktiviti lebih menguntungkan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata memasukkan elemen berkenaan dalam pengajian adalah nilai ditambah yang perlu direbut supaya mereka berpengetahuan dan mampu mencipta peluang pekerjaan sebaik menamatkan pengajian. Beliau berkata, IPT tidak perlu ada kursus baru untuk tujuan itu, sebaliknya dengan hanya memasukkan elemen keusahawanan, ia dapat meningkatkan pengetahuan pelajar selain merapatkan jurang antara akademik dan industri. “Kita mahu pelajar bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik kerana tuntutan industri ini memerlukan graduan lebih berdaya saing serta mampu mengoptimumkan keupayaan menjadi usahawan berjaya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan, Ekspo Kerjaya (Cairex) HEP 2010 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.
Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Majikan sekarang kata Mohamed Khaled tidak melihat pencapaian akademik graduan semata-mata, kemampuan mereka berdikari menjadi nilai ditambah kepada syarikat. Katanya, graduan perlu sedia berhadapan cabaran dan sedia menerima perubahan mengikut kehendak pasaran. “Elemen seperti keusahawanan, kemahiran berkomunikasi, keupayaan berfikir secara kritis, kemampuan menyelesaikan masalah, keserasian kerja berpasukan, semangat kerja berorganisasi perlu diterapkan melalui program akademik dan kokurikulum,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, usaha UiTM yang akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Keusahawan dalam tempoh terdekat membantu matlamat kerajaan melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran tinggi melalui penerapan nilai keusahawanan. “Walaupun kita sedia maklum, bukan semua graduan akan menjadi usahawan, namun nilai keusahawanan seperti mempunyai daya saing yang tinggi dan bersedia menghadapi risiko boleh meningkatkan keupayaan mereka untuk lebih berdaya saing,” katanya.
| at 6:59 PM
PUTRAJAYA 9 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mewujudkan satu mekanisme bagi membolehkan usahawan tempatan yang berjaya menjadi pensyarah sambilan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak lama lagi.Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mekanisme itu penting bagi memastikan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) tenaga pengajar itu selari dengan kehendak universiti dan industri.Beliau berkata, langkah berkenaan dilakukan kerana hampir semua pensyarah yang mengajar subjek keusahawanan di IPTA kini tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang usahawan.
''Walaupun cadangan itu belum pernah dilaksanakan di IPTA, beberapa buah universiti di negara-negara Barat telah membuktikan bahawa lebih mudah usahawan mengajar pelajar keusahawanan.''Ini kerana pengetahuan keusahawanan bukan hanya berasaskan teori tetapi juga pengalaman usahawan mengurus perniagaan mereka dan soal bimbingan selepas keluar daripada universiti," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan Persatuan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung ACCCIM, Datuk David Chua.
Sehubungan itu, Saifuddin memberitahu, kementerian kini dalam proses menyiapkan kertas kerja mengenai cadangan itu sebelum dilaksanakan.''Jika sempat kita mungkin akan melaksanakannya pada sesi pengajian akademik bulan Julai ini di IPTA yang telah mempunyai kursus keusahawanan sebagai projek perintis.''IPTA tersebut adalah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.Ditanya mengenai kadar bayaran kepada tenaga pengajar itu, beliau berkata, adalah lebih baik jika pihak industri dapat mengutamakan tanggungjawab sosial korporat mereka.''Lagipun, tempoh masa pengajaran mereka hanyalah beberapa jam dalam seminggu dan saya yakin ia tidak akan menjejaskan operasi perniagaan mereka," katanya
| at 6:24 AM
| at 6:21 AM
![]() |
slim |
Slim merupakan bilionair pertama dari negara membangun yang berjaya 'mengalahkan' bilionair dari Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah.
Kedudukannya itu sekali gus meletakkan pengasas Microsoft, Bill Gates di tempat kedua manakala pelabur terkenal dari AS, Warren Buffett di tangga ketiga.
Slim berusia 70 tahun dan merupakan anak kepada seorang imigran Lebanon yang bekerja sebagai penjaga kedai.
Kejatuhan kedudukan Gates dan Buffett banyak dipengaruhi oleh kemelesetan ekonomi AS, di samping aktiviti kebajikan atau derma yang mereka lakukan.
Perniagaan konglomerat Slim meliputi perniagaan runcit, telekomunikasi, pengilangan dan hartanah.
Lelaki itu dikenali kerana sikapnya yang tidak memakai sut mahal dan jarang menggunakan komputer.
Sebaliknya, beliau lebih gemar menulis menggunakan buku nota.
Di negara Asia Tenggara, Malaysia mendahului jumlah bilionair dengan sembilan orang.
Ia diikuti oleh tujuh orang dari Indonesia dan empat orang warga Singapura.
Tan Sri Robert Kuok, 86, yang mempunyai kekayaan sebanyak AS$14.5 bilion (RM48.13 bilion) berada di tempat 33. Beliau mengalahkan George Soros yang berada di kedudukan 35 bersama pengasas Microsoft, Paul Allen dengan kekayaan AS$13.5 bilion atau (RM44.8 bilion).
Tokoh perniagaan dari Malaysia, Ananda Krishnan, 71, berada di tempat 89 dengan kekayaan AS$7.6 bilion (RM25 bilion).
Pemilik syarikat I0I Berhad, Tan Sri Lee Shin Cheng, 70, dengan kekayaan berjumlah AS$4.4 bilion (RM14.6 bilion) menduduki tempat ke-189.
Selain itu, pengasas bersama Hong Leong Bank, Tan Sri Quek Leng Chan, 69, dan pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow, 80, menduduki tempat ke-277 dengan memiliki kekayaan sebanyak AS$3.4 bilion (RM11.2 bilion).
Pengasas syarikat hartanah YTL, Tan Sri Yeoh Tiong Lay, 72, dan keluarganya mempunyai kekayaan sebanyak AS$2.3 bilion (RM7.63 bilion) menduduki tempat ke-421.
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menduduki tempat ke-655 dengan kekayaan AS$1.5 bilion (RM4.97 bilion).
Tan Sri Vincent Tan berada di tempat 828 dengan kekayaan AS$1.2 bilion (RM3.98 bilion).
Pengasas syarikat pembalakan, Rimbunan Hijau Group, Tan Sri Tiong Hiew King yang berusia 75 tahun berada di tempat 937 dengan kekayaan sebanyak AS$1 bilion (RM3.3 bilion).
Meneliti senarai 20 bilionair teratas, anak pengasas syarikat Reliance Industries dari India, Mukesh Ambani yang berusia 52 tahun menduduki tempat keempat dengan harta sebanyak AS$29 bilion (RM96.2 bilion).
Kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal Al-Saud boleh dikatakan sebagai orang Islam paling kaya di dunia dengan harta sebanyak AS$19.4 bilion (RM64.3 bilion) dengan menduduki tempat ke-19.
Pengasas bersama enjin carian Google, Sergey Brin, 36, menduduki tempat ke-24 dengan kekayaan AS$17.5 bilion (RM58 bilion).
Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang dikaitkan dengan skandal melibatkan beberapa wanita memiliki kekayaan sebanyak AS$9 bilion (RM29.8 bilion) berada di tempat ke-74.
Anak kelahiran Itali yang juga seorang pereka fesyen terkenal, Giorgio Armani, berada di tempat 144 dengan kekayaan sebanyak AS$5.3 bilion (AS$17.5 bilion).
Rakan kepada Sergey Brin iaitu Larry Page, 37, yang berada di kedudukan 24 dengan kekayaan sebanyak AS$17.5 bilion (RM58.12 bilion).
Pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich, 43, pula disenarai di tempat ke-50 dengan harta sebanyak AS$11.2 bilion (RM37.2 bilion).
Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg yang baru berusia 25 menduduki tempat ke-212 dengan kekayaan sebanyak AS$4 bilion (RM13.2 bilion).
Pembikin filem mega seperti George Lucas, 65, dan Steven Spielberg pula berkongsi kedudukan sama iaitu di tangga 316 dengan kekayaan AS$3 bilion (RM9.95 bilion).
Sementara itu, hartawan hartanah terkenal AS, Donald Trump, berada di tempat 488 dengan kekayaan AS$2 bilion (RM6.6 bilion)| at 3:58 AM
Beberapa produk keluaran tempatan berjaya menembusi pasaran luar negara dengan nilai pesanan bernilai RM6.62 juta di samping beberapa produk lagi masih di peringkat perbincangan.
“Antara produk berkenaan ialah keropok lekor, sardin dan roselle,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera pada majlis Pelancaran Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Paisley Consulting Sdn Bhd di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini (1 Mac).
Dato’ Mohamed berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras kerajaan negeri bersama YPU yang menyertai Pameran Gulfood di Dubai World Trade Centre yang disertai 3,521 syarikat dari 81 negara pada 21 hingga 24 Februari lalu.
“Kita membawa lima syarikat tempatan iaitu Syarikat Sinku Industri Sdn Bhd (produk keropok), Pertima Terengganu Sdn Bhd (sardin), Koperasi Tani Lembah Bidong (Kotani) (roselle), Madura Sdn Bhd (minuman karbonat – kopi Tongkat Ali) dan Cakna Sdn Bhd (TNypa- air nira),” katanya.
Katanya, Kotani yang mengeluarkan produk Roselle menerima paling banyak pertanyaan dan hasil 25 rundingan yang dibuat dengan syarikat luar negara yang berminat, tiga syarikat masing-masing satu dari Dubai, Jordan dan Sudan akan membuat urusniaga dengan nilai RM3.5 juta.
“Manakala Syarikat Pertima milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya menerima tempahan pelbagai produk berasaskan sardin bernilai RM2 juta,” katanya.
Katanya, Sinku Industries yang membawa produk keopok lekor juga berjaya menarik minat empat syarikat dua daripadanya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu syarikat Indonesia dan satu syarikat dari Malaysia yang beroperasi di luar negara dengan nilai tempahan RM1.12 juta.
“Dua syarikat lagi iaitu Madura dan Cakna yang mengusaha kopi Tongkat Ali dan air nira nipah sedang membuat rundingan dengan syarikat dari India dan UAE dan kita percaya mereka akan membuat tempahan minuman tersebut,” katanya.
Dato’ Mohamed melahirkan rasa gembira kerana sepanjang penyertai pameran tersebut produk dari Terengganu telah menerima 537 pertanyaan perniagaan dan sebahagiannya terus membuat tempahan untuk pasaran di negara masing-masing.
“Hasil lawatan itu juga, sebuah syarikat Tranding House yang berpejabat di Dubai iaitu Diamond Consoludated akan datang ke Terengganu pada 4 Mac depan bagi mengenal pasti produk keluaran kita untuk pasaran di Dubai,” katanya.
Dato’ Mohamed menambah, SUT merupakan satu platform terbaik kerana ia memberi laluan kepada usahawan berkomunikasi dan menjalinkan hubungan lebih akrab menerusi beberapa program keusahawanan.
“SUT akan terus diberi penekanan khusus dalam hala tuju keusahawanan menjelang 2013 menerusi YPU yang melaksanakan program 4P (pembiayaan, promosi, penyediaan infrastruktur dan peningkatan kemahiran),” katanya.
Katanya, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membangun sebagai salah satu destinasi perniagaan yang menarik dan para usahawan harus mengambil peluang menjalankan perniagaan.
Dato’ Mohamed kemudiannya menyaksikan MOU antara YPU bersama tiga agensi yang boleh dan mampu mengerak dan memberi sinar baru dalam dunia usahawan.
Antaranya ialah UMT untuk bekerjasama dalam pembangunan perniagaan serta melahirkan usahawan siswazah, PUNB untuk membangunkan industri peruncitan yang mampu meningkatkan perniagaan dan Paisley Consulting dalam pelaksanaan program latihan, pembungkusan dan penjanamaan produk serta sebagai agen perunding dan agen pemasaran.
Dato’ Mohamed seterusnya melancarkan produk baru Shirah B’Lux, syarikat Bumiputra pertama di negara ini yang menternak, memproses serta menjual produk kesihatan dan makanan segera berasaskan belut.