Strategi Pemasaran Peniaga Roti…

roti sedap

Dalam bisnes, strategi pemasaran amat penting. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi persaingan, strategi pemasaran yang betul akan membawa perniagaan kita lebih terkehadapan (betul ke perkataan ni?) berbanding dengan pesaing lain. Apatah lagi dalam suasana ketidaktentuan ekonomi sekarang ini, strategi pemasaran akan memberi impak samada bisnes kita itu akan kekal kukuh ataupun sebaliknya.

Saya tertarik dengan strategi pemasaran yang dilakukan oleh seorang peniaga roti ini. Saya tak tahu namanya dan nama syarikatnya tetapi beliau dikenali dengan nama timangan ‘abang roti sedap’. Kisah inipun datangnya dari isteri saya yang merupakan pelanggan tetap beliau. Yang pasti beliau menghasilkan rotinya sendiri dan memasarkannya sendiri. Inilah yang saya nak ceritakan…

Saya difahamkan, selain mempunyai kedai rotinya sendiri, abang Roti Sedap ni selalu sewa tapak gerai di ruangan lobi di bangunan-bangunan pejabat korporat dan juga kerajaan. Antara yang saya tahu ialah di Dataran Maybank, Plaza Pantai dan Menara TM. Lokasi lain saya tak pasti pula tetapi tentu ada.

Jadi di situlah beliau memasarkan roti buatannya. Adatlah, kalau dah sedap tentu orang cari lagi. Masalahnya, tapak sewa gerai itu bukannya selalu ada… mungkin 2-3 hari dalam sebulan. Jadi bagi mengatasi masalah ini, abang Roti Sedap ini ambil nombor telefon semua pelanggannya, termasuklah isteri saya yang bertugas di Menara TM!

Dengan senarai nombor telefon pelanggan yang banyak ini, mudahlah abang Roti Sedap ini hantar SMS kepada mereka agar buat tempahan roti mereka. Begini kandungan SMS yang isteri saya terima…

“Aslkm! Roti Sedap akn di hntr ke Mnr TM, P. Pntai, Dtr Mybnk, Mnr Mybnk pd KHAMIS 12.02.09 pkl 10 pg. Psns blh dibuat mllui sms slwt-lwtnya SELASA pkl 10.30pm. Nytakn nama anda, jns roti (R. biasa, R. nestum, r. cheese, r. bluberi - RM3 satu), r. kek RM3.50, r. hotdog r.kismis (3 utk RM5.00). Tksih”.

Pada hari yang ditetapkan, beliau akan tiba di lokasi berkenaan dengan van yang sarat dengan roti tempahan pelanggannya. Biasanya beliau akan bawa stok lebih kerana selalu terjadi pelanggan bawa rakan-rakan mereka bersama ketika mengambil roti tempahan mereka itu. Bertambah lagi pelanggan abang Roti Sedap ni!

Itulah habuan dan faedahnyanya jika menggunakan akal. Taktik atau strategi pemasaran abang Roti Sedap ni mudah sahaja tetapi berkesan! Manfaatkan teknologi yang ada. Selepas SMS, mungkin abang ni boleh gunakan email pula selepas ini…

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Resolusi Kongres Ekonomi Islam

Resolusi Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)

(Berikut adalah resolusi - hasil daripada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3), yang berlangsung dari 12 - 15 Januari 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur)

TEMA: MENGGERAK POTENSI MEMPERKASA EKONOMI UMMAH

“Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Al-Nahl:97)

“… betapa pentingnya di saat ini untuk ummah bersatu dalam pemikiran, bersatu dalam pendekatan, bersatu dalam tindakan; betapa perlunya ummah berkata sepakat dalam niat dan hasrat membina ummah yang lebih kuat, membangunkan ummah yang lebih berjaya.” Titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah.

“… apa juga yang diperbincangkan dan apa juga rumusan yang dicapai tidak mungkin dapat dilaksanakan dan jauh sekali dari dapat dipenuhi jika umat Islam tidak kembali bersatu dalam satu ukhuwah perjuangan untuk mempertahankan maruah bangsa dan kehormatan negara. Berpeganglah kepada tali persaudaraan sebangsa – seagama, dan amalkan semangat biduk berlalu kiambang bertaut. Umat Islam di negara ini jangan sampai mengalami nasib menang sorak kampung tergadai, berdagang di bumi sendiri kerana dagang lalu ditanak, akhirnya itik kehausan di air dan ayam kebuluran di kepuk.” Titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah.

“… jika peranan Kerajaan begitu penting kepada ummah, maka amatlah penting pula bagi ummah mempunyai sebuah Kerajaan yang kukuh lagi stabil, ditadbir urus secara cekap – secara bijak; Kerajaan yang memiliki latar belakang, pemahaman dan simpati yang tinggi terhadap keperluan ummah supaya dapat memberi tumpuan kepada usaha-usaha membawa kemakmuran kepada ummah.” Titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah.

Dengan limpah perkenan dan petunjuk Allah Tuhan Yang Maha Rahman, KEI-3 telah terlaksana dengan jaya. Kongres kali ini dihadiri oleh seramai 686 orang peserta (termasuk para pemerhati dari negara-negara jiran: Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste serta mahasiswa dari pelbagai negara dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) terdiri daripada pelbagai golongan dan sektor - agamawan, usahawan, ahli akademik, ahli politik, pentadbir, tokoh korporat, pemimpin badan bukan Kerajaan (NGO), pemimpin pelajar dan lain-lain. Selama empat hari Kongres telah membahas sejumlah 3 kertas status, 34 kertas kerja utama dan 26 kertas kerja iringan turut diedarkan. Dengan demikian, suara Kongres adalah suara kesepakatan dan kebulatan tekad umat untuk berjuang mencapai kualiti hidup yang selayaknya, mencipta kemakmuran ekonomi dengan keberkatan yang membawa kebahagiaan abadi duniawi-ukhrawi. Aspirasi dan semangat yang menjiwai Kongres bertolak dari premis dasar bahawa:

a. Islam adalah al-din iaitu agama wahyu yang serba lengkap meliputi garis-garis besar tata hidup berwawasan mahaluas (ganda): kesejahteraan duniawi (fi al-dunya hasanah) dan kebahagiaan ukhrawi (fi al-akhirati hasanah). Hakikat tersebut membawa implikasi bahawa segala dasar, sistem, amalan, kegiatan dan perlakuan dalam segala bidang kehidupan termasuk ekonomi harus sentiasa dan selamanya berpaksikan akidah, berdasarkan syari`at dan berpandukan nilai-nilai akhlak Islamiah;

b. Kaum Muslimin adalah umat pembawa misi rahmat sejagat (rahmatan li al-`alamin). Untuk itu mereka dituntut agar tampil sebagai umat contoh iaitu umat mithali dengan segala ciri keunggulan peribadi, prestasi dan kualiti yang mencerminkan keunggulan misi yang dibawanya. Demikianlah pesan yang terungkap dalam surah Ali `Imran: 110 tentang umat terbaik dan terunggul. Idealisme khayra ummatin inilah yang harus digilap dan dihayati ciri-cirinya sebagai umat penyumbang nilai-nilai kemakrufan termasuk kemakrufan ekonomi, umat pencegah kemungkaran termasuk kemungkaran ekonomi dan umat yang beriman serta komited terhadap agama;

c. Ekonomi dunia yang berasaskan sistem kapitalis ketika ini sedang ditimpa krisis berat yang kesan peritnya dirasai oleh seluruh warga dunia termasuk umat Islam. Krisis global ini seharusnya disikapi dan ditangani secara bijaksana dan mencari hikmah di sebalik musibah. Umat Islam harus mampu merubah kesempitan menjadi kesempatan. Mungkin sekarang adalah masa paling strategik untuk mengenengahkan sistem perekonomian Islam sebagai satu-satunya alternatif dengan keyakinan bahawa prinsip dan nilai dasar ekonomi Islam sememangnya lebih unggul dan tahan uji sepanjang zaman;

d. Tahap pencapaian umat Islam di Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk di bidang ekonomi walaupun mengalami kemajuan berbanding pada ketika negara mencapai kemerdekaan, namun rata-rata masih sangat memprihatinkan terutamanya jika dilihat dari segi urutan kedudukan mereka yang masih jauh di belakang umat lain. Adalah amat malang andainya umat Islam gagal merapatkan jurang pencapaian yang semakin melebar terutama apabila dilakukan perkiraan kejadian ketirisan ekonomi dan pemilikan ekuiti dalam sektor korporat. Jika amalan ini menjadi norma, dasar yang digubal untuk membela ummah tidak membawa erti bila berlaku kegelinciran di peringkat perlaksanaan yang pastinya merugikan ummah, seperti diperingatkan melalui pepatah Melayu, ibarat memagar kelapa condong; pohonnya tumbuh di kebun kita, buahnya jatuh ke kebun orang;

e. Fenomena bahawa masih berlakunya jurang pencapaian semakin luas di antara umat Islam yang kaya dengan yang miskin, di antara umat Islam yang berada di bandar dengan di luar dan di pinggir bandar, di antara umat Islam yang berilmu dengan yang kurang berilmu, hingga meletakkan umat Islam sesama sendiri berada pada dua hujung pola yang semakin berjauhan. Ia akan bertambah buruk apabila umat Islam yang telah mencapai kejayaan dan memiliki kekayaan bersifat tamak – bersikap haloba, tidak mempunyai keinsafan memenuhi tanggungjawab fardu kifayah untuk membantu masyarakat yang masih tertinggal. Jurang yang berlaku disebabkan faktor-faktor geografi, pemilikan kekayaan, penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran, juga kelainan pendekatan politik harus dirapatkan dan ummah yang belum begitu kuat pada hari ini, tidak dapat lari dari memerlukan peranan penting Kerajaan dalam menggubal dasar yang pragmatik disusuli dengan susunan strategi syarikat dan korporat Muslim secara yang berhikmah melalui langkah perlaksanaan yang berkesan;

Menyedari hakikat-hakikat tersebut, maka Kongres Ekonomi Islam Ketiga telah mencapai kesepakatan meluluskan resolusi-resolusi berikut:

DASAR-DASAR ASAS KE ARAH PEMBANGUNAN UMMAH

1. Menyokong komitmen Kerajaan melalui Ucap Utama Y.A.B Timbalan Perdana Menteri, di Majlis Perasmian Pembukaan Kongres:

a) untuk terus melaksana, mengukuh dan memperluaskan program ekonomi dan kewangan berasaskan Islam di negara ini;

b) memberi perhatian utama kepada sektor ijtima‘iy, seperti zakat, waqaf, sadaqah jariah dan semua anjuran Islam di sektor ini, dalam sistem ekonomi Islam serta kesediaan Kerajaan menyokong dan memperkasa institusi-institusi berkaitan, selaras dengan strategi untuk muncul sebagai kekuatan baru umat Islam;

c) mewujudkan institusi kewangan Islam yang mendukung konsep ‘Mesra Usahawan’ (enterpreneur friendly) yang berperanan untuk membela dan membantu usahawan Muslim;

d) mewujud dan memperkukuh ‘Jaringan Usahawan Muslim’ bagi pemerkasaan perniagaan sesama umat Islam untuk memantapkan pemadanan (matching) berhubung dengan pengaliran modal (dapat menarik dana Islam dari luar negara) dan sumber daya insani (sekaligus langkah proaktif mengeksport pakar-pakar profesional Muslim tempatan dalam pelbagai bidang ke luar negara dapat dilaksanakan);

e) memperkenalkan Konsep ‘Peluang Hingga Berjaya’ kepada usahawan tulen dan gigih termasuk mereka yang menghadapi masalah kewangan akibat faktor luar kawalan. Langkah ini adalah selaras dengan prinsip Islam yang memasukkan al-gharimin dalam asnaf penerima zakat;

2. Menjunjung titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di dalam Majlis Penutup KEI-3 supaya resolusi Kongres dipersembahkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu untuk makluman. Walaubagaimanapun, Kongres dengan rendah hati mohon perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, sebagai ketua agama dan pelindung Islam dan ummah, supaya resolusi-resolusi KEI-3 ini bukan sahaja untuk disembah maklum, tetapi diperkenankan sebagai suatu persetujuan atau keputusan yang harus dilaksanakan;

3. Memandangkan bahawa aspek Capacity Building dan Sumber Daya Insani (Human Capital) adalah kritikal dalam keseluruhan strategi pembangunan ummah di pelbagai peringkat, sama ada melibatkan sektor awam, swasta mahupun sosial, maka Kerajaan digesa agar memberikan perhatian yang serius terhadap aspek ini dalam semua bidang khususnya kewangan, keusahawanan serta sains dan teknologi. Penekanan haruslah dimulai di peringkat pendidikan rendah, dengan menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi membiayai program-program yang berkaitan. Pelaksanaannya hendaklah mengambilkira matlamat nasional supaya corak dan pembahagian gunatenaga mencerminkan peratusan/komposisi penduduk Islam dalam negara.

4. Kerajaan hendaklah terus mempertingkatkan usaha menggubal dasar-dasar ekonomi yang berteraskan Islam, selaras dengan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Negara. Sehubungan dengan itu, adalah disarankan agar diwujudkan satu set terma rujukan ekonomi Islam yang diperaku dan disepakati dari perspektif syarak bagi tujuan pelaksanaan program-program pembangunan ekonomi Islam di negara ini bagi memastikan semua program yang diperkenalkan benar-benar dapat menepati tujuan dan mencapai manfaat yang optimum;

5. Kerajaan hendaklah menetapkan sasaran pencapaian penguasaan ekonomi bagi umat Islam di negara ini sama ada pemilikan aset kewangan (ekuiti) mahupun aset bukan kewangan khususnya hartanah komersial berasaskan peratusan (komposisi) penduduk Islam dalam negara;

6. Meminta Kerajaan memastikan para perancang dan pelaksana dasar-dasar pembangunan negara amnya dan ummah khasnya, hendaklah benar-benar memahami hasrat asal sesuatu dasar, pelan dan program yang dirancang bagi menggelakkan kemungkinan berlakunya dikemudian hari sebarang ketirisan atau penyelewengan berpunca daripada pertukaran pegawai-pegawai yang diberi tanggungjawab melaksanakannya;

7. Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Selain itu, bahasa Melayu juga termasuk dalam rumpun bahasa-bahasa Islam. Dalam sejarah pertumbuhannya bahasa Melayu telah dipilih menjadi bahasa pengantar pengembangan agama Islam di Kepulauan Melayu. Untuk memungkinkannya memainkan peranan tersebut, bahasa Melayu telah diperkaya dengan sejumlah kata-kata dari bahasa Arab (al-Quran, al-Sunnah dan karya ulama). Dengan demikian, bahasa Melayu mampu mengungkapkan pandangan sarwa (worldview) Islam dan segala konsep Islam lainnya dengan tepat. Kerana itu pendaulatan bahasa Melayu dalam segala bidang adalah suatu aspirasi nasional, suatu tuntutan perlembagaan dan suatu hak ketamadunan. Selaras dengan fakta tersebut, pihak kerajaan hendaklah memastikan sektor ekonomi turut bertanggungjawab memikul amanah pendaulatan bahasa Melayu dengan memastikan pemakaiannya dalam semua kegiatan perekonomian, terutama dalam urusan-urusan rasmi;

8. Perlunya dilancar dan digerakkan ‘Jihad Bisnes’ di kalangan umat Islam untuk memperkasa ekonomi ummah di peringkat nasional, serantau dan seluruh dunia melalui usaha penggalakan keusahawanan (enterprenuership) dan keusahawanan dalaman (intraprenuership). Sehubungan dengan itu, sumber daya insani yang membuat keputusan untuk terlibat dalam dunia keusahawanan sama ada melalui pendekatan intraprenuership mahupun entreprenuership wajar mempersiapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan ciri-ciri keusahawanan seperti yang dituntut oleh Islam agar hasrat melahirkan usahawan berjiwa Islam seterusnya Jihad Bisnes dapat direalisasikan;

PERANAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN

9. Menjadikan semua Agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta semua Syarikat Tersenarai (PLC) milik GLC, sebagai teras utama bersifat amanah. Kesemua Agensi dan Syarikat tersebut perlu mematuhi sistem perekonomian dan perniagaan mengikut syariat Islam.

10. Kerajaan mestilah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators – KPI’s) yang baru kepada Agensi Kerajaan dan GLC untuk memperkasa usahawan Muslim termasuk Usahawan Muslim dalam kategori Industri Kecil dan Sederhana serta memperkukuh jaringan sesama mereka, dan mewujudkan ‘supply and marketing chain’ yang kukuh dan kemas; seterusnya menggesa Agensi Kerajaan dan GLC memberi keutamaan kepada profesional Muslim yang berkeupayaan dalam pemberian (perolehan) kerja-kerja profesional yang akan dilaksanakan;

11. Kerajaan hendaklah menggerakkan pelaksanaan wakaf korporat oleh Badan Amanah Kerajaan dan GLC tersebut selaras dengan konsep Penanggungjawaban Sosial kepada umat (bagi tujuan ini pengalaman Johor Corporation boleh dijadikan model);

12. Halal Industry Development Corporation (HDC) Perlu memberi perhatian yang lebih serius terhadap aspek pematuhan audit Syariah berhubung dengan pensijilan halal termasuk mensyaratkan personel Muslim ditempatkan di premis pengeluaran majikan bukan Islam yang mendapat pensijilan halal;

MEMPERKUKUH SISTEM KEWANGAN ISLAM DAN PERDAGANGAN

13. Malaysia hendaklah terus menjadi penggerak utama Economic Chapter Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) agar dapat memberi aliran pelaburan dan perdagangan tanpa halangan dan sekatan antara 57 negara Islam;

14. Kerajaan hendaklah menyegerakan kajian secara serius pelaksanaan penggunaan dinar emas sebagai mengganti penggunaan ‘fiat money’ dan menstruktur semula sistem pengurusan kewangan berasaskan syariah bagi mengelakkan permasalahan yang timbul akibat penggunaan matawang yang tidak berasaskan emas;

15. Pihak Kerajaan perlu menyemak semula fungsi Perbankan Islam di negara ini agar peranannya lebih bersifat mesra usahawan daripada hanya mengutamakan keuntungan semata-mata seterusnya dapat merealisasikan hasrat memperkasa usahawan Muslim;

16. Menyokong hasrat Bank Negara Malaysia (BNM):

a) mengukuh dan mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam sektor perbankan dan kewangan Islam serantau dan di peringkat antarabangsa;

b) Mewujudkan pelan strategik untuk memastikan semua perbankan Islam di Malaysia bebas sepenuhnya daripada mengadaptasi amalan perbankan konvensional;

c) Menyegerakan langkah integrasi Sistem Kewangan dan Perbankan Islam di kalangan negara-negara umat Islam peringkat serantau dan global;

Dalam melaksanakan tindakan-tindakan di atas, BNM hendaklah merangka Petunjuk Prestasi Utama (KPI’s) yang khusus bertujuan memastikan penyertaan Ummah di semua peringkat pekerjaan dan sektor perniagaan supaya selaras dengan matlamat akhir nasional bagi mencerminkan penyertaan Muslim selaras dengan komposisi penduduk Muslim dalam negara.

17. Menubuhkan Bank/Tabung Wakaf bagi memenuhi keperluan pengembangan dan pembangunan ekonomi ummah, sebagai melengkapi peranan institusi-institusi sedia ada seperti Yayasan Wakaf dan lain-lain, dengan tumpuan kepada pengupayaan potensi Wakaf meliputi skim-skim wakaf tunai untuk pelbagai tujuan, wakaf saham dan instrumen-instrumen kewangan dengan mengambilkira konsep Al-Qardhul Hassan; berorientasikan ‘Mesra Usahawan’; dan berfungsi sebagai institusi penabungan dan pembiayaan pendidikan di pelbagai peringkat dan bidang pengajian;

MEMPERGIAT PROGRAM PENYELIDIKAN EKONOMI ISLAM

18. Sebuah Institut Penyelidikan Ekonomi Islam (IPES) hendaklah ditubuhkan yang berperanan untuk membuat kajian yang bersifat makro dan mikro khususnya bertujuan membangunkan sistem ekonomi, bisnes dan keusahawanan berasaskan Syarak. Bagi merealisasikannya, YaPEIM boleh mengambil inisiatif utama dengan kerjasama beberapa agensi Kerajaan yang lain khasnya Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM);

19. Bagi memastikan semua aktiviti penyelidikan ekonomi Islam berjalan secara terancang, pihak Kerajaan dipohon menyediakan sejumlah geran yang sesuai serta disalurkan kepada IPES. Seterusnya IPES diberi tanggungjawab untuk bekerjsama dengan IPTA/IPTS mahupun individu-individu tertentu bagi menjalankan kajian-kajian yang dikenalpasti;

MEMPERKASA INSTITUSI ZAKAT, WAKAF DAN PENGGEMBLENGAN DANA MUSLIM

20. Kerajaan perlu mengambil langkah memperkasa sistem pengurusan zakat bagi memastikan kaedah pungutan yang lebih berkesan dan kaedah pengagihan yang lebih saksama dan dinamik dengan mewujudkan suatu mekanisme penyelarasan zakat di peringkat nasional;

21. Kerajaan perlu mengambilkira sepenuhnya agenda zakat di dalam setiap langkah membuat reformasi percukaian, bagi mengoptimum manfaat kepada pembayar zakat dan mempertingkatkan usaha memperkasa institusi zakat;

22. Kerajaan wajar memastikan syarikat/institusi korporat dalam pelbagai industri, meliputi GLC dan syarikat milik individu menyegerakan pelaksanaan tanggungjawab kefardhuan berzakat;

23. Agensi-agensi penggembleng dana Muslim khasnya Tabung Haji dan PNB diakui telah mencapai satu tahap kejayaan yang membanggakan. Dengan itu, Kerajaan perlu mempertingkatkan lagi sokongannya kepada semua agensi ini dan institusi seumpamanya supaya sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi ummah dapat dilipatgandakan lagi;

24. Menubuhkan Perbadanan Pembangunan Wakaf bagi tujuan untuk memberi tumpuan dalam membangun hartanah wakaf secara yang lebih optimum bagi mencapai objektif pemerkasaan ekonomi ummah.

MENGGALAKKAN KEUSAHAWANAN MUSLIM

25. Mencadangkan Penubuhan Majlis Perundingan PKS Muslim bagi memberi ruang penyertaan kepada wakil daripada semua sektor (Kerajaan/swasta/sosial) dalam usaha menggerak potensi dan memperkasa ekonomi ummah khususnya di kalangan PKS Muslim;

26. Perlunya ditubuhkan Islamic Business School dengan mengambilkira pengalaman institusi seumpamanya di peringkat antarabangsa dengan pelaksanaannya menggunapakai set piawaian Islam dalam usaha menambah dan memperkasa usahawan Muslim;

27. Mempergiatkan lagi usaha menubuhkan Pertubuhan Perniagaan mengikut jenis perniagaan yang dilaksanakan oleh usahawan Muslim yang bertujuan selain mengukuhkan jaringan sesama mereka, langkah-langkah lain yang boleh dilaksanakan termasuk latihan, penempatan dan perantisan. Bagi tujuan membantu keperluan modal kepada peniaga berkaitan, institusi yang berkaitan wajar berperanan bagi menjayakan usaha untuk memperkasa usahawan Muslim di bidang berkaitan;

28. Perlunya diwujudkan pusat sehenti usahawan (entrepreneur one stop centre) bagi mengoptimumkan usaha pengkomersilan hasil penyelidikan dan pembangunan oleh usahawan Muslim dengan memberi keutamaan kepada pembangunan dan penyelidikan asas dalam sains dan teknologi terkini yang lebih didorong oleh pasaran dan memenuhi keperluan ummah. Pusat sehenti ini perlu menjadi pangkalan data dan memantau semua aktiviti. Pusat sehenti ini perlu dilaksanakan melalui kerjasama strategik di antara agensi Kerajaan berkaitan yang menyediakan kemudahan kewangan untuk agensi yang terlibat dalam industri yang berkaitan, institusi penyelidikan dan badan keusahawanan Muslim;

29. Kerajaan hendaklah menyediakan insentif termasuk berbentuk kewangan kepada para penyelidik Muslim sebagai galakan untuk mengkomersilkan produk sendiri;

30. Hendaklah dimantapkan kegiatan rantaian pengkomersilan hasil penyelidikan bagi tujuan mengenalpasti masalah, jurang dan keperluan penyelidik, institusi penyelidikan termasuk universiti dan industri dalam rantaian R-D-C-E (Penyelidikan-Pembangunan-Pengkomersilan-Keusahawanan);

31. Hendaklah diwujudkan Portal Niaga Muslim sebagai ‘media baru’ yang boleh dijadikan ‘hub’ bagi memasarkan produk dan usaha niaga masyarakat Islam bagi seluruh warga Muslim di ASEAN dan negara-negara di bawah OIC. Bagi tujuan merealisasikan Portal yang boleh menjadi ‘search engine optimization’ ini, program/produk seperti Hub Halal, MIHAS dan sebagainya mesti diterjemah dalam bentuk yang ‘virtual’ dan mampu mendepani gelombang baru;

MEMBANGUN SUMBER DAYA INSANI MELALUI PENDIDIKAN

32. Menyokong usaha yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dalam memantapkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui pendidikan nasional dan pengajian agama meliputi program perantis usahawan dan usahawan muda;

33. Penelitian hendaklah dibuat terhadap kurikulum pelajaran untuk menyemai semangat dan menanam ilmu berasaskan prinsip-prinsip dan nilai-nilai keusahawanan seperti termaktub dalam al-Quran dan Al-Sunnah dengan mengambilkira nilai-nilai keteladanan daripada Sirah Rasulullah s.a.w dan Sahabat serta nilai-nilai keusahawanan dalam tradisi budaya warisan;

34. Kerajaan hendaklah segera mengambil langkah menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Islam di rantau ini dan dunia umumnya. Atas dasar itu, kerajaan hendaklah memperbanyakkan lagi sekolah agama berasrama penuh di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia di negara ini;

PERANAN MEDIA DALAM MENYOKONG PEMBANGUNAN UMMAH

35. Hendaklah diwujudkan Majlis Media Muslim Malaysia sebagai platform kesepakatan di antara pengamal media dan kalangan Badan Bukan Kerajaan Islam yang ada. Pewujudan majlis ini diharap mampu menjadi catalyst kepada usaha pembugaran imej dan usaha ekonomi dan mencari ‘best market practices’ dalam menampilkan imej dan produk Islam yang mampu menjangkau ke pasaran antarabangsa;

36. Media Akar Umbi (termasuk institusi masjid) hendaklah digunakan sebagai ‘platform ekonomi’ dengan menjadi community media yang berperanan melaksanakan ‘business matchmaking’ dan networking. Pada masa yang sama, perlu diperkukuhkan kesedaran ‘keusahawanan dan kepenggunaan’ sekaligus memperluaskan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ilmu, pembangunan budaya dan pembangunan ekonomi;

37. Media hendaklah menjadi Wahana Penggerak ‘Gerak Rasa Keusahawanan’ dan kefahaman sebenar terhadap Sistem Ekonomi Islam dalam menonjolkan cita dan gerak rasa keusahawanan serta mesti bijaksana dalam melakukan pertimbangan untuk menampilkan ‘imej keusahawanan’ yang ingin diketengahkan;

38. Bagi melengkapi usaha-usaha yang telah dipelopori oleh Media Elektronik dan Penyiaran (JAKIM) dan Radio IKIM, dicadangkan supaya satu saluran televisyen khas diwujudkan bagi tujuan menyebarkan informasi berkaitan dengan ekonomi Islam dan pembangunan ummah;

MEMANTAPKAN STRATEGI PELAKSANAAN RESOLUSI KEI-3

39. Sebuah Majlis Perundingan Ekonomi Islam hendaklah ditubuhkan di Jabatan Perdana Menteri untuk bertindak sebagai forum khusus mengkaji, membincang, memutus atau memperakukan isu-isu utama dasar dan pelaksanaan berkaitan ekonomi Islam serta pembangunan ummah di negara ini. Adalah dicadangkan forum berkenaan dipengerusikan oleh Y.A.B Perdana Menteri dan diurusetiakan bersama oleh EPU, JAKIM dan YaPEIM;

40. Menerima sebulat suara dan mendukung penuh semua penegasan serta syor yang dibuat oleh Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dalam Ucap Utamanya yang membuat penegasan agar syor dan cadangan yang dikemukakan termasuk resolusi KEI-3 ini diberi perhatian oleh semua kementerian dan agensi berkaitan di peringkat Pusat seperti Kementerian Kewangan, EPU dan JAKIM serta masing – masing mengambil langkah proaktif bagi menjayakannya. Dalam masa yang sama kesediaan institusi seperti YaPEIM, Dewan Perniagaan Islam dan institusi lain yang bersesuaian bersama-sama menjayakan hasrat murni ini amat dihargai dan dialu-alukan;

41. Menyarankan agar Kerajaan menubuhkan sebuah Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang akan menjadi rujukan kepada semua urusan berkaitan dengan Islam di peringkat Persekutuan dan bagi tujuan menerus, melicin dan mempergiatkan usaha penyelarasan dan pentadbiran hal-ehwal agama dan kegiatan ekonomi umat Islam di Malaysia. Dengan demikian, perkara-perkara yang berkaitan dengan penyeragaman undang-undang yang berkaitan dan penyelarasan pentadbiran bagi semua urusan dapat diatasi atas ehsan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu;

42. Untuk memastikan semua resolusi KEI-3 terus dianalisis dan dipantau secara berkala dan mencapai matlamat pembangunan ummah, adalah penting Kerajaan menimbang supaya satu sekretariat tetap dikenalpasti bagi mengambil tanggungjawab tersebut. Bagi tujuan ini, YaPEIM yang diberi kepercayaan sebagai Penganjur Utama KEI-3 mungkin menjadi agensi yang sesuai sebagai penyelaras pelaksanaan resolusi KEI-3 dengan kerjasama agensi Kerajaan yang berkenaan terutama EPU dan JAKIM. Bagi tujuan ini Jawatankuasa Pemantau Resolusi yang dibentuk oleh Jawatankuasa Induk KEI-3 akan berperanan dan bertanggungjawab sepenuhnya memantau perkembangan pelaksanaan resolusi yang diputuskan.

43. Menggesa semua pihak yang terlibat dengan pengumpulan dan penyebaran maklumat berkaitan pembangunan ekonomi Bumiputera/Islam hendaklah mengadakan program dokumentasi secara sistematik termasuk mengambil inisiatif untuk mengesan dan mendokumentasikan secara lengkap bahan-bahan Kongres Ekonomi Bumiputera dan Kongres Ekonomi Islam yang terdahulu supaya dokumen penting dan bersejarah ini dapat menjadi sebahagian dari khazanah intelek ummah agar menjadi rujukan generasi akan datang. Sehubungan dengan ini, JAKIM dengan sokongan dan kerjasama agensi-agensi Kerajaan lain seperti Arkib Negara, Perpustakaan Negara serta agensi-agensi lain di peringkat negeri mestilah mengambil tanggungjawab utama.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

ciri-ciri keusahawanan

KEUSAHAWANAN sudah lama wujud sebagai satu pilihan kerjaya. Kebanyakan orang bagaimanapun lupa akan hakikat ini kerana mereka sentiasa menganggap bahawa kerjaya hanya melibatkan pekerjaan yang ada majikan yang memberi gaji. Keusahawanan tidak melibatkan majikan yang memberi gaji, tetapi usahawan bekerja sendiri dan menjadi majikan kepada dirinya. Walaupun begitu keusahawanan tetap menjadi satu bidang kerjaya yang diceburi sejak dahulu lagi. Corak pembentukan sejarah negara kita telah menyebabkan berlakunya pengasingan dalam pemilihan kerjaya mengikut golongan etnik. Sehingga lebih kurang 30 tahun yang lalu, keusahawanan bukan merupakan satu pilihan kerjaya bagi kaum Bumiputera yang merupakan majoriti golongan etnik. Jika adapun kaum Bumiputera yang memilih keusahawanan sebagai kerjaya, hanya dalam bentuk kecil-kecilan ataupun kerana terpaksa disebabkan kurang kelayakan untuk mendapat kerja lain.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 1970 telah memberi kesedaran dan peluang kepada golongan Bumiputera khususnya untuk menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya. Berikutan itu, berbagai langkah telah diperkenalkan untuk menggalakkan keusahawanan kepada golongan Bumiputera. Penekanan oleh Kerajaan dalam pembangunan usahawan menjadi lebih ketara dengan tertubuhnya Kementerian Pembangunan Usahawan pada 8 Mei 1995.

Wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 juga menjurus kepada dasar-dasar Kerajaan untuk terus menggerakkan negara kearah perindustrian dan perdagangan. Dasar-dasar ini dengan secara langsung telah meningkatkan lagi peluang-peluang keusahawanan dan melahirkan ramai usahawan dari pelbagai kaum.

Tiga atau empat dekad yang lalu, kerjaya sebagai usahawan bukan merupakan pilihan bagi kebanyakan orang. Ini kerana peluang-peluang perniagaan tidak begitu menyerlah dan banyak pekerjaan lain yang lebih mudah didapati. Kebanyakan berpendapat bahawa keusahawananadalah sesuatu yang sukar dan ianya merupakan satu kerjaya yang tidak terjamin berbanding jika bekerja makan gaji, lebih-lebih lagi bekerja dengan Kerajaan. Malahan tidak salah jika dikatakan bahawa golongan Bumiputera yang menceburi diri dalam bidang keusahawanan adalah kerana terpaksa disebabkan oleh kegagalan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lain. Mereka yang menjadi ‘usahawan terpaksa’ ini selalunya tidak begitu bersedia dari segi kemahiran terutamanya untuk mengharungi cabaran dan dugaan dunia perniagaan.

Mereka biasanya belajar melalui kesilapan dan pengalaman. Jika mereka lambat belajar dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya keusahawanan, maka sukar bagi mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya. Bagaimanapun, perubahan dan kemajuan dalam pembangunan ekonomi negara, terutamanya pada dua dekad kebelakangan ini telah melahirkan banyak peluang-peluang perniagaan. Pusat-pusat pengajian tinggi juga mula menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan. Perkembangan sebegini menyebabkan lebih ramai orang, terutamanya kaum Bumiputera yang mula memahami dan meminati bidang perniagaan dan keusahawanan. Dengan itu kita dapati bahawa lebih ramai yang secara sedar dan sukarela memilih keusahawanan sebagai kerjaya mereka. Mereka mula melihat keusahawanan sebagai sumber rezeki yang lebih meyakinkan.

Memandangkan ramai yang menjadi usahawan atas pilihan sendiri, kita menjangkakan bahawa mereka tentunya telah bersedia untuk berjaya sebagai usahawan. Namun begitu kita dapati ramai juga yang gagal dalam perniagaan yang diceburi. Melihat kepada kegagalan yang berlaku kepada sebilangan usahawan, kita tertanya apakah keusahawanan merupakan satu kerjaya yang selamat? Untuk membuat kesimpulan kita perlu melihat secara terperinci apakah pula ciri -ciri keusahawanan, faktor persekitaran luaran dan proses kreativiti.

Ciri-Ciri Keusahawanan

Untuk menjadi usahawan yang cemerlang, seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan beberapa ciri tertentu. Ciri utama ialah memastikan mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang bidang perniagaan yang diceburi. Ini bermakna usahawan perlu berusaha mendapatkan semua maklumat yang perlu mengenai perniagaan yang menjadi pilihan mereka. Pemilihan bidang perniagaan tidak boleh dilakukan secara ikut-ikutan sahaja, iaitu mengikuti perniagaan orang lain yang berjaya tanpa mengetahui selok-belok bidang tersebut. Kejayaan orang lain dalam sesuatu bidang perniagaan tidak bererti kita juga akan berjaya dalam bidang yang sama. Kita perlu tahu beberapa perkara asas tentang bidang perniagaan yang dipilih seperti berikut:

  • Maklumat mengenai produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan.
  • Maklumat pasaran yang disasarkan.
  • Maklumat mengenai persaingan.
  • Maklumat mengenai bekalan dan pengeluaran.
  • Struktur kos, penetapan harga dan kadar keuntungan.
  • Kelakuan-kelakuan tertentu dalam industri yang diceburi.

Kebanyakkan para pengkaji bersetuju keberkesanan aktiviti usahawan adalah dengan mencari dan mengambil inisiatif. Golongan ini sanggup meletakkan diri mereka sebagai orang yang bertanggungjawab di dalam sesuatu operasi tidak kira sama ada berjaya atau gagal. Usahawan adalah seorang yang bertanggungjawab terhadap apa yang akan berlaku. Mereka mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah dimana tidak ada pemimpin lain yang sanggup mengambilnya.

Kejayaan sesuatu usaha bergantung kepada komitmen usahawan tersebut. Komitmen membantu usahawan untuk mengatasi ancaman dan rintangan di dalam perniagaan. Komitmen usahawan terhadap idea dan pelaburan mereka menentukan kejayaan pelaburan yang mereka usahakan.

Fokus usahawan dan mula merebut peluang tidak bergantung kepada kajian, struktur atau strategi. Mereka bermula dengan peluang yang ada dan membiarkan kefahaman mereka menjadi panduan ke atas isu-isu yang penting. Usahawan mempunyai kebijaksanaan di dalam mencari peluang yang ada. Di dalam mencari peluang perniagaan baru, usahawan melihat peristiwa atau kejadian sama seperti orang lain, tetapi hasilnya atau penilaian terhadap peristiwa tersebut adalah berlainan. Usahawan bukan sahaja berkebolehan mencari peluang yang ada tetapi mempunyai kebolehan untuk meraih peluang tersebut.

Usahawan bukanlah seorang yang sanggup mengambil risiko secara membabi buta; segala risiko yang bakal dihadapi telah diambil kira. Apabila seorang usahawan melibatkan diri didalam sesuatu pelaburan, semua perkiraan telah diambil kira demi untuk mengelakkan usahawan tersebut menanggung risiko yang tidak sepatutnya. Usahawan mempunyai keyakinan diri yang tinggi di atas kebolehan mereka untuk mencapai kejayaan. Kecenderungan ini membuatkan mereka bersikap optimistik terhadap kejayaan yang akan mereka kecapi dan sikap ini berdasarkan kepada keadaan sebenar. Dengan mempunyai keyakinan dan optimistik yang tinggi, tidak hairanlah banyak usahawan yang pernah gagal berkali-kali akhirnya menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Kreatif dan inovatif adalah perkara utama yang perlu ada pada setiap usahawan untuk memperolehi kelebihan persaingan di dalam pelaburan mereka. Melalui fikiran yang kreatif, inovatif dan daya imaginasi, usahawan boleh menghasilkan produk yang khusus dan perkhidmatan kepada para pengguna. Kreativiti boleh dipelajari.

Usahawan suka mengetahui bagaimana prestasi mereka dan sering kali cuba memperbaikinya. Mereka aktif mencari dan menggunakan maklumbalas yang diterima sebagai cara untuk memperbaiki prestasi mereka. Dari maklumbalas, usahawan boleh mempelajari dari kesilapan yang telah mereka lakukan.

Kejayaan merupakan motivasi utama untuk seseorang usahawan. Apabila usahawan memulakan sesuatu, beliau mempunyai semangat untuk menyelesaikannya, mengunggulinya dan mengejar serta mencapai cita-cita yang mencabar. Satu fahaman yang sering disalah ertikan mengenai usahawan adalah “wang menjadi satu keinginan yang kuat”. Kepada usahawan, wang hanya sekadar menunjukkan kejayaan yang mereka kecapi dan wang bukan merupakan pemacu motivasi kepada usahawan. Usahawan tahu apa yang ingin mereka capai. Mereka mempunyai visi atau konsep untuk firma mereka. Tidak semua usahawan mempunyai visi diawal perbukaan firma mereka. Di kebanyakkan kes, visi dibangunkan setelah usahawan mula menyedari apa yang telah berlaku kepada firma tersebut.

Membina perniagaan dari permulaan bukannya perkara yang mudah. Oleh itu, usahawan berkebolehan memilih dan mengumpul para pekerja seperti yang dikehendaki untuk menjayakan tugas tersebut. Usahawan berkebolehan untuk mengurus sumber mereka secara berkesan untuk menukarkan visi menjadi realiti.

Usahawan percaya kejayaan atau kegagalan sesuatu usaha adalah bergantung kepada diri mereka sendiri. Kemajuan dan kemunduran berada di dalam kawalan dan pengaruh mereka sendiri, dan mereka boleh mempengaruhi akibat yang akan berlaku hasil dari tindakan yang mereka lakukan. Usahawan tidak mudah kecewa, putus asa dan sedih apabila mengalami kegagalan. Mereka belajar dari kegagalan. Pada waktu yang sukar, mereka masih lagi mencari peluang yang ada. Kebanyakkan usahawan percaya mereka lebih banyak belajar dari kegagalan berbanding dengan kejayaan.

Usahawan adalah lebih bersemangat berbanding dengan kebanyakkan orang. Usahawan perlu lebih bertenaga untuk membolehkan mereka menanggung beban yang besar dan tekanan yang akan mereka hadapi. Tenaga tersebut merupakan faktor utama untuk membolehkan mereka memulakan perniagaan. Usahawan yang berjaya selalunya mempunyai standard (kualiti) yang tinggi, bersemangat untuk membantu syarikat berkembang dan membangun.

Usahawan adalah seorang yang berdikari. Mereka suka menyelesaikan sesuatu tugas mengikut cara mereka. Ini tidak bermakna usahawan mesti membuat semua keputusan. Mereka mahu mempunyai kuasa (hak) untuk membuat keputusan yang penting.Usahawan tidak tegas terhadap perniagaan (pelaburan) mereka. Mereka amat fleksibel dan berkebolehan untuk menukar cara mereka mengikut kehendak pelanggan dan suasana perniagaan. Dengan ekonomi dunia yang sering berubah, sikap tegas(ketegasan) seringkali membawa kepada kegagalan.

Untuk membuat keputusan sebelum menceburi diri dalam bidang perniagaan tertentu, bakal usahawan seharusnya membuat kajian dan penilaian tentang perniagaan yang dicadangkan. Rancangan perniagaan yang melibatkan semua maklumat yang telah disebutkan hendaklah disediakan untuk menilai daya maju perniagaan tersebut. Sebahagian daripada penyediaan rancangan perniagaan sebaiknya merangkumi analisis SWOT (Strengths, Weaknesses, Opportunities and Threats) yang melihat kepada faktor-faktor kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang terdapat dalam perniagaan tersebut. Analisis SWOT akan membantu bakal usahawan menilai kesemua aspek yang akan menghasilkan keputusan yang lebih bijak.

Selain dari pengetahuan yang mendalam tentang bidang perniagaan yang dipilih, usahawan juga perlu mempunyai beberapa ciri peribadi yang merupakan ciri-ciri utama keusahawanan. Kita tidak nampak bagaimana seseorang usahawan akan berjaya tanpa ciri-ciri seperti berikut:

  • Komitmen yang tinggi dan sanggup bekerja kuat.
  • Jujur dan ikhlas.
  • Berdaya kreatif.
  • Mahir berkomunikasi.
  • Berani menanggung risiko.
  • Bijak membuat penilaian dan keputusan.

Ramai yang telah menerokai bidang keusahawanan, ada yang sudah berjaya dan tidak kurang juga yang menemui kegagalan. Jika terdapat dua orang yang menceburi perniagaan yang sama, tidak semestinya mereka mendapat keputusan yang sama. Kajian menunjukkan terdapat beberapa faktor utama yang membawa kejayaan atau kegagalan seseorang dalam bidang keusahawanan. Di antara faktor kejayaan ialah:

  • Pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi.
  • Keinginan yang kuat untuk berjaya.
  • Berdisiplin dalam menguruskan perniagaan.
  • Memberi tumpuan dalam perniagaan.
  • Mempunyai pasukan pengurusan yang cekap.
  • Membentuk jaringan perniagaan yang luas.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang gagal dalam perniagaan, ada kalanya kegagalan itu disebabkan faktor-faktor yang di luar kawalan usahawan seperti krisis matawang pada tahun 1997. Bagaimanapun, antara punca-punca kegagalan di dalam kawalan usahawan yang telah dikenalpasti adalah:

  • Kurang memahami bidang perniagaan yang diceburi.
  • Terlalu cepat mempelbagaikan perniagaan.
  • Terlalu bergantung kepada satu atau dua pelanggan.
  • Mempunyai pasukan pengurusan yang lemah.
  • Tidak dapat bersaing kerana kos yang tinggi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments