Dilema usahawan Bumiputera selepas MECD

ALKISAH tidak berapa lama dahulu timbul hasrat hendak menubuhkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Objektifnya adalah untuk membantu usahawan Bumiputera berdaya saing, berdikari, mapan dan produktif serta membangunkan industri kecil dan sederhana yang berdaya tahan.

Maka timbullah Strategi MPPB 2 yang mengandungi pelaksanaan mekanisme pemantauan dan penilaian yang lebih berkesan, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera dan dewan perniagaan, pengukuhan peranan agensi amanah, syarikat milik kerajaan (GLC) dan koperasi, pelaksanaan inisiatif sektor awam, pelaksanaan inisiatif sektor swasta serta pewujudan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

Inisiatif kerajaan dan swasta ini dilaksanakan melalui 13 Kluster iaitu Kluster: Bangunan dan Pembinaan, ICT dan Telekomunikasi, Niagatani, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan dan Sumber Manusia, Pertahanan dan Aeroangkasa, Pengangkutan dan Logistik, Bioteknologi dan Biofarmasi, Industri Automotif, Perjalanan dan Pelancongan, Minyak, Gas dan Petrokimia, Dagangan Pengedaran, Elektrik dan Elektronik. Kesemua kluster itu diketuai oleh orang-orang kuat kerajaan dan 'kapten industri'.

Arakian antara kluster itu, hanya satu sahaja yang nampak menonjol iaitu Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia (SKLKSM) untuk ILKS Bumiputera (ILKSB) yang didokong panglima hebat. Difahamkan Kementerian Kewangan sempat menyediakan geran kepada semua ILKSB itu dan tercapailah objektif sebenar SKLKSM BCIC-2. Ia bukan hanya melahirkan champion tetapi juga ramai anak didik yang jadi usahawan.

Maka dipendekkan cerita, ketika skim yang bagus itu berjalan hingga ke Sabah dan Sarawak, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dibubarkan, jabatan-jabatan di bawah MECD dipecahkan kepada lapan kementerian dengan jaminan diberikan tentang kelangsungan dasar-dasar membantu pembangunan usahawan Bumiputera.

Tidak hairanlah kalau pertukaran pegawai yang sudah biasa dengan sesuatu tugas itu berlaku dan timbullah keadaan yang mana mereka yang tidak biasa dengan sesuatu tugas itu mencorakkan tugas dengan cara berlainan.

Kini, unit yang mengawasi MPPB ini telah dikecilkan kepada sub-unit dan Badan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) yang fungsinya memberi fokus kepada pembangunan usahawan Bumiputera yang telah dimansuhkan hingga membuatkan tiada badan memberikan tumpuan kepada pembangunan usahawan Bumiputera. Sedihnya, kelam kabut semua kluster dan panglima yang hebat juga pening kepala.

Persoalannya, apa sudah jadi dengan dasar yang cantik diuar-uarkan dahulu? Cerita lama masih belum selesai, timbul pula isu baru. Lebih malang, pegawai baru yang mungkin generasi XY yang tidak faham asal usul cerita berani mempersoalkan keputusan kerajaan. Agenda Bumiputera yang tersurat dan tersirat langsung tidak difahami. Namun kesannya sudah pasti usahawan Melayu yang benar-benar berdaya saing dan tulen itu bakal berkubur jika semangat panglima sebagai usahawan tidak berkobar!

Itu belum lagi dikaji apakah yang sudah terjadi kepada kluster-kluster lain yang kononnya hendak dijuarakan? Kononnya ramai juga yang sudah kecewa tetapi sudah dilamar oleh syarikat luar negara. Sayang sekali, apabila orang luar menghidu potensi besar usahawan Melayu, dasar di Malaysia serba tidak kena! Sampai bila?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Pengukir perahu tambang


UKIRAN SENI... Mohammad Julaihi dibantu isterinya, Hamsiah Kadir menyiapkan ukiran perahu tambang di Tebingan Kuching, Sarawak. – utusan/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN



KUCHING 8 Jan. – Berbekalkan tekad menceburi bidang baru dan kesungguhan untuk menjayakannya, sepasang suami isteri dari Kampung Bintawa Tengah di sini, kini mula dikenali ramai menerusi ukiran yang mereka usahakan.Pasangan berkenaan menjadikan ukiran perahu tambang Sarawak sebagai kraf tangan untuk ditawarkan kepada para pelanggan dan ternyata pilihan mereka itu tidak sia-sia.

Meskipun baru berjinak-jinak dengan bidang ukiran perahu tambang Sarawak itu sejak setahun lalu, usaha mereka membuahkan hasil apabila hiasan tersebut mendapat perhatian pelancong domestik dan antarabangsa.Pada mulanya bidang tersebut hanya dijadikan sebagai kerjaya sambilan bagi mengisi masa lapang tetapi melihatkan ukiran tersebut berpotensi, mereka mula mengusahakannya secara sepenuh masa.Apatah lagi kedua-dua pasangan tersebut kini mempunyai ruang untuk memasarkan produk itu dengan menyewa premis yang disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Tebingan Kampung Gersik yang bertentangan Tebingan Kuching, tengah bandar raya ini.

“Kemahiran membuat ukiran perahu tambang ini saya pelajari daripada seorang kawan dengan sokongan suami yang turut mahir menghasilkan seni ukir.“Pada mulanya agak sukar mempelajari ukiran ini kerana ia memerlukan ketelitian, kehalusan dan memakan masa untuk menghasilkannya tetapi berkat keazaman dan kesabaran akhirnya saya mampu membuatnya malah mula menyukai bidang ini,” kata Hamsiah Kadir, 35, kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.Hamsiah dibantu oleh suaminya, Mohammad Julaihi, 39, yang masih bekerja dengan sebuah syarikat sebelum berhenti pada Februari ini.Menurut Hamsiah, sebuah ukiran perahu tambang memerlukan tiga hingga empat hari untuk disiapkan.“Pada mulanya saya akan membuat badan perahu termasuk mengukir bentuk dalaman seperti perahu tambang sebenar dan kemudiannya dipasang bumbung.

“Kerja-kerja di peringkat ini perlu dilakukan dengan teliti kerana jika tidak, ia akan menyebabkan keseluruhan perahu tambang akan rosak kerana ia membabitkan kerja-kerja melekat dengan gam,” ujarnya.Bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan perahu tambang Sarawak ini adalah buluh, kayu, papan lapis, gam, pisau pemotong serta cat semburan.

Hamsiah berkata, apabila sudah siap badan perahu dan bumbungnya, maka kerja-kerja mengecat akan dilakukan mengikut warna seperti perahu tambang sebenar yang beroperasi di Sungai Sarawak.Sementara itu menurut Mohammad, mereka telah menghasilkan kira-kira 50 hingga 60 perahu tambang dalam pelbagai saiz sejak setahun lalu.Menurutnya, ekoran ukiran yang unik dan menarik, hasil tangan mereka berdua itu telah diberi peluang untuk mengikuti promosi kraf tangan di Tebingan Kuching pada Julai lalu.“Perahu tambang ini dijual mengikut saiz dengan yang paling kecil pada harga RM25, sederhana (RM120 - RM150) manakala yang besar dan berkotak kaca dijual pada harga RM180 hingga RM200,” katanya.Mohammad memberitahu, mereka sangat berharap ukiran perahu tambang akan menjadi antara ikon untuk Sarawak dan terkenal ke peringkat antarabangsa.

Katanya, dia dan isterinya berusaha meningkatkan hasil dan kualiti ukiran perahu tambang itu dan akan mengikuti promosi kraf tangan di Kuala Lumpur dan lokasi lain di dalam dan luar negara.

“Saya bercadang untuk meningkatkan lagi kualiti pembuatan ukiran perahu tambang ini dengan menggunakan kayu belian sebagai badan utama dan memasukkan lagi elemen menarik terhadap hiasan ini.“Saya mahu ukiran perahu tambang ini tahan dan lasak supaya dapat memasuki pasaran antarabangsa,” ujarnya.Jelasnya, sebelum ini beliau mempelajari kemahiran seni ukir di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Jitra, Kedah.Mohammad memberitahu, ukiran perahu tambang seumpama itu belum lagi dihasilkan oleh mana-mana pihak kecuali ukiran jenis tebuk daripada sebatang kayu namun ia tidak begitu menampakkan ciri-ciri sebenar perahu tambang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Industri tani jadi 'mesin wang'

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi."Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori," katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn. Bhd. pada tahun 1996.Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu berkata, beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn. Bhd. dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

''Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan 3.0 tan kerepek ubi kayu sehari.Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersial di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya, potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

"Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata, pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.Menurutnya, ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.Mahathir hari ini berkata, kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu."Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing," katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal, Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya.Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim berkata, pada 2008 Malaysia terpaksa mengimport daging lembu sebanyak 103 ribu tan berjumlah RM883.9 juta sementara daging kambing pula 18 ribu tan bernilai RM188 juta.Menurut beliau Sarawak dan Sabah berpotensi untuk dijadikan pusat ternakan lembu dan kambing secara komersial kerana Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia mengiktiraf Pulau Borneo sebagai pulau bebas penyakit kuku dan mulut haiwan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

2010 - harapan rakyat Malaysia..




PADA tahun 2010 genap dua tahun Hamidah Mohamad Tahir, 54, berniaga aksesori dan pakaian di tapak lot KL Bazar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. Biarpun diusahakan secara kecil-kecilan, ia cukup bermakna buat Hamidah kerana hasil jualan itulah yang menjadi sumber pendapatan buat dirinya sekeluarga.Setiap hari sekitar pukul 9 pagi, Hamidah dan pembantunya mula sibuk memulakan operasi. Koleksi pakaian yang diimport dari negara seberang disusun cantik. Gelang tangan kristal yang dibeli dari Sabah pula diatur kemas dalam kotak.

"Bagi saya, 2009 merupakan tahun yang paling 'sakit' buat golongan peniaga kecil. Kami terpaksa berhadapan dengan kegawatan ekonomi."Sedih dibuatnya. Stok barangan melimpah dan memenuhi segenap ruang kedai. Tetapi pelanggan yang datang membeli belum cukup untuk balik modal apatah lagi hendak untung. Pendapatan cuma cukup untuk melangsaikan wang pekerja, bil dan sewa kedai," luah Hamidah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Hamidah tidak menyangka dia dihimpit keperitan sebaik 2009 membuka tirai. Anak kelahiran Gombak, Selangor itu menyangka dia dapat membawa pulangan modal dan keuntungan memberangsangkan seperti tahun 2008.


RAKYAT diseru menyokong program 1Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua dari kanan).


Sebaliknya, dia terpaksa meningkatkan usaha jualan ke sana ke mari dan tidak boleh bergantung pada jualan di kedai semata-mata. Inisiatif itu perlu dilakukan supaya dia tidak terus mengalami kerugian."Peniaga kecil seperti kami memang terasa kesannya. Pelanggan mula berjimat-cermat sehingga sanggup membeli produk tiruan yang harganya lebih murah. Perlu diingat, peniaga besar ada aset, pelabur dan wang sokongan sekiranya mengalami kerugian.

"Tetapi bagi peniaga kecil, kami kena usaha dan kerja kuat. Untuk mendapatkan pinjaman bank agak sukar kerana kami perlu sediakan banyak dokumen dan penjamin. Persoalannya, siapa yang sudi menjadi penjamin?" luah Hamidah dalam nada sedih apabila ramai peniaga kecil terpaksa meminjam daripada ceti haram.Hamidah menyatakan pada tahun 2008, dia mampu mengaut keuntungan bulanan antara RM5,000 hingga RM8,000 ke atas. Namun pada tahun 2009, untuk mendapatkan hasil jualan sebanyak RM3,000 pun cukup memeritkan.

Justeru, dia cukup berharap kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk meringankan beban peniaga-peniaga kecil. Misalnya, kerajaan perlu telus dengan mengumumkan keadaan ekonomi dari semasa ke semasa. Jadi, golongan peniaga dapat bersiap sedia dari segi tempahan produk, pekerja dan fasiliti yang lain.Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu turut menyarankan supaya kerajaan dan pihak berkuasa buka mata terhadap para peniaga warga asing.

Periuk nasi

Kehadiran kelompok tersebut bagaikan menutup periuk nasi peniaga kecil warga tempatan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melariskan produk. Walaupun terpaksa menyewa tapak jualan yang mencecah RM4,000 sebulan ia langsung tidak menjadi masalah.Ini kerana gerai jualan mereka tidak putus-putus dikunjungi pengunjung yang ingin mendapatkan barangan murah biarpun ia produk tiruan. Hasilnya, mereka mampu memperoleh hasil jualan yang berlipat ganda."Peniaga tempatan sukar buat begitu kerana ia akan menyebabkan kami mengalami kerugian besar. Peniaga asing boleh menjual murah kerana mereka membeli produk-produk tersebut di negara sendiri pada harga yang lebih murah.

"Misalnya, mereka boleh mendapatkan gelang tangan daripada pengilang pada harga RM2 dan menjualnya pada harga RM5 di sini. Pengilang pula menjual kepada kami pada harga mencecah RM5. Sebab itu kami terpaksa jual sekitar RM7 hingga RM10," kata Hamidah yang benar-benar berharap kerajaan melakukan sesuatu bagi menangani masalah tersebut.

Hamidah sempat menyatakan tinggal sedekad saja lagi negara untuk mencapai Wawasan 2020. Jadi, beliau berharap pihak kerajaan sudah bersedia dengan pendekatan dan strategi yang boleh memantapkan ekonomi negara.

Cabaran ekonomi

Sebagai contoh, menawarkan beberapa program yang boleh memantapkan perniagaan usahawan kecil agar dapat berdaya saing dengan usahawan besar dalam mempertingkatkan ekonomi negara menjelang tahun 2020.Hari ini kita sudah memasuki tirai tahun 2010. Ini bermakna tinggal sedekad saja lagi untuk Malaysia melangkah ke Wawasan 2020 yang telah dibentangkan oleh Tun Mahathir Mohammad pada Mesyuarat Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991.

Barangkali segelintir pihak sudah lupa tentang Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri dan maju menjelang tahun 2020.Kemajuan yang dimaksudkan meliputi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan. Dalam menentukan kejayaan misi tersebut, terdapat sembilan cabaran yang perlu diharungi. Namun secara rumusannya kesemua cabaran itu lebih tertumpu pada bidang ekonomi dan hubungan perkauman.Dalam cabaran kelapan, tertera iltizam berkaitan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Maksudnya, masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama. Wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.


JIKA apa yang dirancang berjalan lancar bukanlah sesuatu yang mustahil pendapatan rakyat Malaysia menyamai pendapatan penduduk Singapura. - Gambar hiasan


"Keadilan ekonomi yang dimaksudkan ialah keadaan ekonomi sesebuah negara yang tidak dimonopoli oleh satu-satu bangsa atau golongan sahaja."Contoh yang paling hampir apabila wujudnya tanggapan kaum Cina lebih tertumpu dalam bidang perniagaan. Manakala orang Melayu pula hanya menjadi kakitangan kerajaan. Persepsi itu harus diubah kerana pastinya terdapat dalam kalangan orang Cina yang ingin menjadi kakitangan kerajaan, begitu juga dengan orang Melayu yang mahu menjadi ahli perniagaan berjaya."Mengapa aspek ekonomi perlu dititikberatkan? Sebabnya, peranan ekonomi biasanya menjadi faktor utama yang digunakan dalam menentukan status sesebuah negara sama ada membangun atau maju," ujar Pensyarah Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah.

Misalnya faktor pendapatan per kapita, Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tahap industrialisasi seringkali dijadikan asas penilaian. Faktor-faktor lain seperti Indeks Pembangunan Manusia yang menggabungkan aspek ekonomi, pendapatan negara, indeks jangka hayat dan pendidikan juga digunakan.

Pada dasarnya negara maju mempunyai Indeks Pembangunan Manusia yang sangat tinggi. Sebagai contoh, kadar pendapatan per kapita rakyat Malaysia hari ini sekitar RM21,500 setahun. Kadar itu sangat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pendapatan per kapita rakyat Singapura iaitu sekitar RM106,000 setahun.Tambah Haim, membandingkan Malaysia dengan Singapura mungkin tidak begitu sesuai kerana republik itu mempunyai empat juta penduduk sahaja. Oleh itu, perbandingan terbaik untuk Malaysia barangkali ialah Korea Selatan dan Taiwan. Pada era 70-an, kedua-dua negara itu lebih mundur berbanding Malaysia.

Namun kini, penduduk negara tersebut telah mencatat pendapatan tiga kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan rakyat Malaysia. Inilah cabaran yang harus dilunaskan oleh kerajaan dan rakyat.

Adakah Malaysia mempunyai masa untuk mencapai Wawasan 2020? Haim menyifatkan ia bergantung kepada kerjasama daripada semua pihak. Melihat situasi Malaysia pada hari ini sudah tergambar kesukaran untuk merealisasikan misi tersebut seandainya tiada sebarang perubahan terutama dalam model ekonomi negara.


MEMBANGKITKAN isu perkauman yang mencetuskan kemarahan kaum lain hanya merugikan negara.


Jelas Haim, satu model ekonomi baru yang terancang wajar digubal. Rakyat di segenap lapisan masyarakat perlu memahami inti pati model ekonomi baru itu dan tahu apakah peranan mereka. Usaha mencapai negara maju bukan terletak di bahu kerajaan sahaja, tetapi perlu turut disertai oleh pihak swasta dan rakyat.

Tetapkan objektif.Justeru, dalam tempoh sepuluh tahun terakhir kerajaan perlu membahagikan beberapa fasa perancangan. Tetapkan objektif, strategi, program dan bajet secara terperinci.

"Selain itu, kita perlu mengenal pasti PetunjukPrestasi Utama (KPI) bagi memastikan setiap yang dirancang mencapai sasarannya. Sasaran mencapai kadar pertumbuhan KDNK 5.5 peratus setahun atau lebih tinggi bermula dari 2011 sehingga 2020 mampu membantu negara menjadi negara maju pada tahun 2020," ulas Haim.

Haim juga berharap Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang akan dibentangkan tidak lama lagi mampu menjadi memangkin persekitaran ekonomi yang mesra sektor perkhidmatan selain menitikberatkan aspek inovasi dan nilai tambah sektor pembuatan sedia ada.

Usaha mewujudkan aspek servitization produk juga harus digembleng secara terancang. Ini kerana sektor pembuatan dan komoditi masih mampu menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sekiranya semua dapat direalisasikan, maka adalah tidak mustahil rakyat Malaysia menjadi kaya empat kali ganda. Pendapatan kita juga setaraf dengan pendapatan rakyat Singapura, Korea dan Taiwan yang pada satu ketika dahulu sama taraf dengan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi, Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Fatimah Daud menjelaskan, apabila ekonomi negara maju dan meningkat, rakyat akan gembira menjalani kehidupan yang stabil. Secara tidak langsung Wawasan 2020 dapat dicapai dengan sempurna.

Dengan itu tercapailah hasrat mantan Perdana Menteri keempat, Tun Mahathir Mohamad agar Malaysia menjadi sebuah negara industri dan benar-benar maju menjelang tahun 2020 mengikut acuan kita sendiri.

Daripada sembilan cabaran mencapai Wawasan 2020, cabaran terbesar yang perlu diatasi ialah cabaran sosial, psikologi, budaya dan politik. Maka, rakyat Malaysia harus berganding bahu dan elakkan daripada membangkitkan isu perkauman yang boleh mencetuskan kemarahan dan perbalahan antara kaum."Insiden ini perlu dielakkan sama sekali. Bayangkan apabila rakyat hidup dalam keadaan kucar-kacir dan bergaduh, bagaimana kita hendak bekerja dalam memantapkan aspek ekonomi negara?

"Kesannya, kita mengalami masalah untuk menukar status negara kepada negara maju menjelang tahun 2020," ujar Fatimah yang menyarankan masyarakat tempatan menyokong program 1Malaysia yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Bionic hasilkan cuka tempatan


NIK NOR ZAINAL menunjukkan sebahagian produk syarikatnya di Bangi baru-baru ini.

BANGI - Pasaran tempatan sebelum ini dibanjiri oleh produk cuka sintetik yang diragui kandungan dan proses pembuatannya.

Menyedari kebimbangan tersebut, syarikat bioteknologi tempatan, Bionic Solutions Sdn. Bhd. menawarkan cuka buah-buahan yang mendapat pengesahan halal.

Pengurus Besarnya, Nik Nor Zainal Abidin Mohd. Kamaludin berkata, pihaknya menghasilkan produk cuka buah-buahan dengan tiga perasa iaitu nipah, nenas dan mangga."Produk Cider Vinegar yang mula dipasarkan sejak akhir tahun lalu bukan sahaja menyediakan pilihan produk halal kepada pengguna tetapi ia adalah alternatif untuk produk-produk cuka berasaskan asid sintetik dalam pasaran tempatan."Alternatif ini penting kerana terdapat peningkatan kesedaran pengguna terhadap cuka gantian tiruan," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Jelas Nik Nor Zainal, Cider Vinegar juga bertindak sebagai produk penjagaan kesihatan kerana ia boleh diminum bagi tujuan menyahkan kandungan bahan toksik dalam badan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Syamille Agro Farm buka restoran daging


MOHD. Zainuri di hadapan restorannya, The Butcher @ Syamille di USJ 21, Subang Jaya.

HIDANGAN seperti stik dan daging panggang merupakan antara masakan barat yang popular dan sangat digemari oleh semua lapisan masyarakat. Sesekali mengubah selera, pilihan menu seumpama itu pastinya menawarkan kelainan daripada hidangan nasi berlauk yang menjadi santapan rutin bagi rakyat negara ini.

Bayangkan betapa enaknya menikmati kepingan daging yang telah diperap dengan ramuan istimewa dan dipanggang secara rata sebelum dihidangkan bersama kelazatan sos.

Ia pasti akan membuka selera sesiapa sahaja apatah lagi jika penyediaannya menggunakan daging segar yang dapat memberi lebih kepuasan dalam setiap kunyahan.Di sana sini terdapat banyak premis makanan ala barat yang menghidang menu ini dengan pelbagai pendekatan jualan seperti konsep koboi, kafe moden dan tidak kurang juga restoran mewah serta eksklusif.Selain keselesaan, pelaksanaan cara tersebut sebenarnya bertujuan untuk memberi pengalaman terbaik kepada para pelanggan ketika menjamu selera seiring dengan konsep makanan yang dihidangkan.Mencari kelainan, restoran The Butcher @ Syamille yang terletak di USJ 21, Subang Jaya telah tampil dengan konsep yang cukup unik dan menarik iaitu menerusi kedai jualan daging segar.

Mungkin jarang didengar, namun bagi pemilik restoran, Mohd. Zainuri Mohd. Idrus, beliau mempunyai penjelasan tersendiri mengapa mengetengahkan konsep berkenaan.Ketika premis tersebut dibuka pada bulan Jun lalu, ia pada asalnya memang digunakan untuk tujuan aktiviti jualan produk daging segar.Ini kerana Mohd. Zainuri yang mempunyai ladang ternakan sendiri berhasrat menjadikan kedai itu sebagai pusat jualan untuk produk daging lembu dan kambingnya.''Semasa majlis pelancaran premis ini, ramai di antara pengunjung memuji keenakan makanan yang dihidangkan.

''Sejak itu, pelanggan-pelangan yang datang membeli daging di kedai ini pasti akan meminta kami memasakannya sekali,'' katanya ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.

Penerimaan baik itu telah memberi idea kepada beliau untuk menjadikan kedai tersebut sebagai restoran jualan makanan berasaskan daging.

Konsep yang dipilih sememangnya unik kerana jarang kita temui perusahaan daging diusahakan secara kitaran lengkap.Ia bermula dengan proses pembiakbakaan, menternak, pengeluaran makanan ternakan dan baja kompos, memproses serta menjual daging segar dan akhir sekali disediakan sebagai hidangan.Kesemua bahan mentah daging kambing dan lembu diperolehi secara terus dari ladang ternakannya sendiri, Syamille Agro Farm & Resort yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar.Beliau tidak menjual haiwan ternakan tersebut sama ada secara hidup atau pun telah diproses kepada pemborong kerana semuanya digunakan untuk keperluan kedainya.Bagi memenuhi keperluan sumber yang semakin meningkat, beliau kini telah memulakan projek ternakan di tanah seluas 50 ekar di Perlis selain bercadang membuka beberapa lagi ladang di Pahang dan Negeri Sembilan.Melihat kepada perkidmatan yang ditawarkan di restorannya, ia amat berbeza daripada premis makanan barat lain kerana menonjolkan pelbagai keunikan.

''Dekorasi restoran ini ditampilkan dalam bentuk santai dan ringkas untuk memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman seperti berada di rumah.''Selain itu, kesemua menu di sini disediakan secara sihat dan semulajadi tanpa penggunaan bahan penambah perisa, garam atau pun minyak''Pelanggan juga boleh menentukan sendiri berat daging yang ingin dipesan berdasarkan bajet dan banyak mana mereka mahu makan,'' jelas bapa kepada seorang anak itu.

Bagi pelanggan yang datang secara berkumpulan, terdapat beberapa pakej disediakan untuk kuantiti hidangan yang bersesuaian.Restoran berkenaan mempunyai kaedah penyediaan makanan tersendiri dengan penelitian kualiti maksimum agar semua pelanggan dapat menikmati hidangan daging segar.Memandangkan pada asalnya restoran itu merupakan tempat memproses daging, ia telah dilengkapi dengan peralatan seperti bilik sejuk beku, bilik dingin, mesin memproses dan mesin vakum.Semua daging mentah yang baru tiba akan menjalani proses kematangan selama lebih kurang 21 hari untuk membuang tisu, darah dan lemak yang mengandungi kolestrol.Sepanjang aktiviti itu, daging akan disimpan di dalam pembalut nilon yang telah melalui proses vakum terlebih dahulu.Selepas itu, barulah daging-daging itu sedia untuk dijual secara mentah atau dimasak mengikut menu yang diinginkan pelanggan.

''Kita juga ada menjual daging yang telah siap diperap dengan ramuan khas di dalam pembalut nilon.''Untuk menyediakan hidangan itu di rumah, pengguna hanya perlu merendam daging bersama pembalut nilon di dalam air mendidih untuk jangka masa tertentu bergantung tahap masak yang diinginkan,'' katanya.Antara menu yang ditawarkan adalah daging lembu jenis Wa'gyu atau Angus dan kambing yang dimasak secara BBQ, panggang, goreng serta gril.

Sebagai penambah perisa, masakan itu akan dihidangkan bersama tiga jenis pilihan sos iaitu sos lada hitam, sos coklat dan sos cendawan putih.Selain itu, terdapat juga beberapa menu tambahan seperti ikan yellow panggang, jejari kentang, kentang putar, piza, pasta, coleslaw dan juga kebab.Lebih menarik, pelanggan yang makan di restoran boleh memesan apa sahaja minuman panas atau sejuk secara percuma.Penerimaan positif terhadap restoran itu telah mendorong bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu untuk membuka cawangan The Butcher @ Syamille di Ampang selain sebuah lagi cawangan di Subang Jaya yang sedang dalam perancangan.

Di samping itu, beliau turut menerima pelawaan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membuka cawangan restoran itu di sebuah lokasi di Serdang.

Dari segi tenaga kerja, setakat ini beliau mempunyai empat orang chef yang akan membantu operasi di cawangan USJ dan juga Ampang.

Restoran berkenaan dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga lewat malam.

Bagi memperkembangkan produk makanannya, beliau turut mengambil inisiatif membuat jualan secara dapur bergerak atau katering untuk majlis organisasi dan parti keluarga.

Bagi tujuan sama, beliau juga kini membuka tawaran mengkomersialkan restoran tersebut kepada pengusaha bumiputera yang berminat.Pada peringkat awal, tumpuan lebih diberikan kepada pengusaha yang ingin melaksanakannya di sekitar kawasan Lembah Klang.Ia melibatkan pelaburan antara RM100,000 hingga RM500,000 bergantung kepada saiz dan bentuk kedai serta produk yang ingin dijual.Mereka yang berminat boleh menghubungi Hiruddin di talian 012-3351010 atau Mustafa di 012-9111777.Maklumat lanjut mengenai restoran tersebut boleh diperolehi menerusi laman web www.thebutchersyamille.webs.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Pengusaha tembikar pertahan warisan keluarga


V.N. Ramadass (kanan) dan anaknya, R. Velavar menunjukkan pasu yang telah siap dibentuk sebelum melalui proses pembakaran.

PERUBAHAN pesat teknologi serta cara hidup masyarakat terutamanya di negara ini dilihat telah menghakis sedikit demi sedikit budaya serta amalan tradisi yang diwarisi turun-temurun yang ada kalanya merujuk kepada identiti kepada sesuatu bangsa.

Ini kerana, perubahan tersebut telah membawa satu peralihan yang besar kepada amalan seharian masyarakat yang moden lebih kepada mengikut acuan Barat bukannya budaya masyarakat sendiri.

Bagaimanapun, perubahan cara hidup masyarakat sedikit pun tidak mempengaruhi serta mengubah pemikiran serta pegangan seorang pengusaha tembikar tradisional masyarakat India, V.N. Ramadass, 60.

Beliau setia meneruskan tradisi pembuatan kraf tangan India berusia ribuan tahun yang diusahakan keluarganya lebih 60 tahun lalu.

Sejarah tembikar India merupakan antara yang tertua di dunia dan dikesan bermula pada zaman Mehrgarh kira-kira 7,000 hingga 2,500 tahun Sebelum Masihi yang turut dikenali sebagai seramik neolitik dan kalkolitik.

Penemuan tersebut ditemui di beberapa kawasan tapak arkeologi purba di Lembah Indus yang merupakan pusat tamadun dunia dan kawasan tersebut kini dikenali sebagai Balochistan, Pakistan.Bagi Ramadass, pembuatan barangan tembikar itu merupakan satu idea serta kreativiti tradisional yang perlu dipertahankan supaya tidak ditelan zaman terutamanya kepada generasi muda ketika ini.Menyingkap sejarah pembabitannya dalam industri itu, Ramadass memberitahu beliau telah mewarisi seni serta teknik pembuatan tembikar sejak berusia 12 tahun daripada bapanya yang merupakan seorang imigran dari India.

Menurut beliau, bapanya, Vengadasalam, datang ke negara ini pada tahun 1946 iaitu selepas perang dunia kedua dan mengusahakan perusahaan tembikar secara kecil-kecilan di Batu 2, Jalan Keretapi Lama, Kuala Selangor untuk dijual dari rumah ke rumah pada waktu itu.

Ketika itu katanya, pembuatan tembikar hanya menumpukan barangan dapur antaranya belanga, labu air, bekas makanan termasuklah beberapa barangan upacara keagamaan seperti pelita dan sebagainya dan dihasilkan menerusi teknik tradisional iaitu tangan serta alat yang dikenali sebagai 'pemutar' yang digerakkan menggunakan tenaga manusia.

Pemutar atau spinner itu merupakan alat berbentuk bulat dengan permukaan rata yang dihasilkan sama ada daripada kayu atau batu serta dipusing bagi memudahkan membentuk tanah liat dalam bentuk-bentuk tertentu.Namun, pembuatan barangan tembikar berkenaan telah banyak berubah mengikut peredaran zaman bukan hanya dari segi cara pembuatan yang menggunakan bantuan teknologi moden tetapi juga produk tembikar yang dihasilkan.

"Ketika ini saya hasil lebih daripada 20 produk dan ada di antaranya saya cipta sendiri termasuklah reka bentuk bagi memenuhi keperluan semasa pelanggan seperti bekas air dengan pili, tuku serbaguna dan sebagainya," katanya.Dalam pada itu, produk tembikar yang diusahakan oleh Ramadass juga menyerapkan beberapa elemen alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan menjalar, bunga, daun-daun serta motif binatang.Kesemua elemen berkenaan menurut Ramadass, telah digunapakai sejak ribuan tahun dahulu manakala ada corak direka semula dengan menerapkan unsur-unsur moden seperti garisan serta bentuk geometri.

Untuk membuat tembikar yang berkualiti tinggi, Ramadass menggunakan hanya tanah liat yang bermutu yang dikenali sebagai 'ballclay' yang dicampur dengan pasir pada kadar yang tertentu sebelum dikeringkan kira-kira dua hari sebelum dibakar pada suhu yang bersesuaian.

Melalui proses berkenaan, ia dapat menghasilkan barangan tembikar yang lebih kuat serta tahan lama kepada suhu, haba dan sesuai untuk tujuan masakan.Kesemua bahan mentah itu (tanah liat dan pasir) diperoleh dari kawasan Bestari Jaya, Kuala Selangor, yang dikatakan mempunyai sumber-sumber tersebut yang bermutu tinggi.Malah, menurutnya lagi industri itu turut memberikan pendapatan yang lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit sekiranya dilaksanakan secara betul serta bersungguh-sungguh.Dari segi permintaan, Ramadass memberitahu, beliau banyak menerima tempahan dari dalam negara termasuklah pelancong-pelancong asing yang datang melawat Selangor.

Ini kerana, pusat perusahaannya itu sebenarnya telah disenaraikan dalam peta pelancongan Selangor dan menerima ramai kedatangan para pelancong setiap tahun.

Selain menumpukan kepada industri pembuatan tembikar, Ramadass turut menawarkan program latihan kepada individu serta organisasi yang berminat untuk mempelajari teknik tersebut menerusi sokongan serta kerjasama yang diterima daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Selangor.

Katanya, program latihan itu akan mendedahkan para peserta mempelajari semua aspek dan teknik pembuatan tembikar daripada asas sehingga kepada proses-proses yang terlibat dalam penghasilan barangan itu.Malah, mereka yang berminat untuk menyertai program latihan itu boleh berbuat demikian sama datang sendiri ke pusat perusahaan tembikarnya atau menghubungi talian 03-32891054 untuk maklumat lanjut.Ditanya mengenai perancangan masa depan perusahaan itu, Ramadass memberitahu, beliau akan tetapkan meneruskan tradisi itu selagi beliau masih berdaya bagi memastikan budaya tradisi masyarakat tidak terhapus begitu sahaja.

Malah hasratnya itu dilaksanakannya apabila beliau memperturunkan segala kemahiran dan bakatnya kepada anak lelakinya, R. Velavar, 30, yang kini banyak membantu beliau dalam menguruskan perusahaan kraf tangan itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments