Usahawan bumiputera usah terlalu harapkan bantuan


Nasir... Peniaga wajar berpegang kepada prinsip yang betul.

KUALA LUMPUR 29 Mei - Usahawan bumiputera digesa supaya lebih bersiap siaga dalam menghadapi perubahan landskap perniagaan pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Datuk Nasir Ahmad berkata, apa yang paling penting kepada mereka adalah persediaan daripada segi pengetahuan untuk bersaing dengan pihak lain.

''Mekipun terdapat kemajuan atau perubahan positif bagi usahawan bumiputera, tetapi ia masih berada pada kadar perlahan berbanding kaum lain di negara ini.

''Sebarang perubahan merupakan proses yang besar tetapi dengan galakkan, keyakinan dan kepercayaan ia mampu dicapai,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.Tambah Nasir, usahawan bumiputera perlu mempunyai sikap berani dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan semata-mata.''Selain itu, pendapat yang mengatakan usahawan Bumiputera perlu mengubah budaya perniagaan mereka merupakan sesuatu yang subjektif kerana tidak semestinya sesuatu bangsa atau kaum yang berjaya dalam perniagaan menggunakan cara yang betul.

''Apa yang penting bagi setiap usahawan atau peniaga adalah berpegang kepada prinsip yang betul dan ikhlas dalam menjalankan perniagaan,'' jelasnya.Nasir juga berkata, penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini diharap mampu menjadi penyelaras bagi memenuhi agenda nasional.''Ia perlu menjadi pusat sehenti yang bertindak membantu semua agensi yang terlibat dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan jayanya,'' katanya.Beliau menambah, Teraju perlu lebih berani dan agresif dalam menjalankan tanggungjawab kerana ramai yang berpendapat kewujudan unit tersebut masih belum dirasai.

''Pada saya Teraju tidak boleh gagal kerana PKS bergantung kepada mereka untuk terus berdaya saing pada masa hadapan.

''Apa yang penting bagi Teraju sekarang adalah menjelaskan kepada semua mengenai misi dan visi mereka dan perlu lebih cekap dalam menangani segala isu yang berkaitan PKS terutama membabitkan usahawan bumiputera,'' katanya.Teraju ditubuhkan untuk menerajui, menyelaras serta memacu penyertaan bumiputera melalui pelbagai inisiatif baru dan sedia ada.

Unit itu juga akan memastikan keberhasilannya dalam jangka masa pantas meliputi tindakan efektif yang boleh meraih kejayaan.Ini termasuk mengkaji sama ada terdapat pertindihan dengan pelbagai badan dan institusi masa kini serta melihat keberkesanan program yang sedang dilaksanakan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: