Perniagaan Memerlukan Pemasaran
Mengurus perniagaan memerlukan tahap kefahaman yang mencukupi. Tidak kira sama ada seseorang itu usahawan atau pengurus professional, kejayaan perniagaan yang diurusnya bergantung kepada tahap kefahamannya mengenai perniagaan.
Satu perkara asas mengenai perniagaan yang perlu difahami ialah Kitaran Perniagaan. Dengan memahami Kitaran Perniagaan, kita dapat melihat bagaimana sesuatu perniagaan itu bergerak dan menjana aliran tunai. Dalam perniagaan, aliran tunai adalah perkara paling penting dan kedudukan aliran tunai yang sihat akan menjamin perkembangan dan pertumbuhan perniagaan.
Secara ringkasnya Kitaran Perniagaan boleh ditunjukkan seperti Rajah 1 berikut:
Rajah di atas menunjukkan bahawa perniagaan memerlukan modal wang untuk pembelian stok barangan atau bahan mentah yang mungkin perlu ditambah nilai melalui proses tertentu bagi menyediakan sesuatu produk atau keluaran. Bagi mendapat balik modal wang yang dibelanjakan, produk atau perkhidmatan yang dihasilkan perlu dijual di pasaran. Jika produk yang terhasil gagal dijual, kitaran perniagaan tidak akan lengkap dan ini menjejaskan aliran tunai perniagaan tersebut. Tanpa aliran tunai yang positif, perniagaan tidak mempunyai peluang untuk terus bertahan.
Penjualan produk atau perkhidmatan adalah satu perkara penting bagi operasi perniagaan. Untuk memastikan jualan dapat dilaksanakan ditahap paling tinggi, kefahaman tentang pemasaran dikalangan usahawan atau pihak pengurusan amat perlu. Kita telah melihat banyak perniagaan gagal kerana kelemahan dari segi pemasaran. Ramai usahawan mampu menghasilkan produk atau perkhidmatan yang baik dan berkualiti tetapi perniagaan mereka masih gagal kerana tidak dapat memasarkan produk seperti diharapkan. Oleh itu, setiap rancangan perniagaan harus memberi penekanan kepada aspek pemasaran.
Masih ramai yang memahami pemasaran sebagai hanya penjualan dan pengiklanan. Pemasaran sebenarnya adalah lebih dari itu. Kotler & Armstrong dalam Principles of Marketing menulis “Konsep pemasaran mengatakan bahawa pencapaian matlamat organisasi bergantung kepada usaha menentukan keperluan dan kehendak pasaran sasar dan memberi kepuasan yang dikehendaki dengan lebih efektif dan efisien daripada pesaing”. Konsep jualan berbeza dari konsep pemasaran di mana konsep jualan bermula dari kilang sementara konsep pemasaran bermula dengan pasaran. Perbezaan kedua konsep ini di tunjukkan seperti Rajah 2 berikut:
Konsep jualan tidak sesuai dalam pasaran di mana pelanggan yang berkuasa. Oleh kerana pemasaran berkait dengan kepuasan pelanggan, ia melibatkan produk, pembungkusan, promosi, harga dan pasaran. Maka tumpuan keatas faktor-faktor ini penting untuk menghasilkan pemasaran bersepadu yang boleh meningkatkan jualan. Kombinasi produk yang baik, pembungkusan yang menarik serta harga yang kompetitif hanya akan berkesan sekiranya ia memenuhi kehendak pasaran sasar.
Dalam keadaan pasaran yang semakin bersaing dan lebih terbuka, adalah wajar kaedah pemasaran memfokus kepada segmen pasaran dan produk diguna pakai. Syarikat perniagaan mungkin perlu mengenalpasti pasaran nich sebagai tumpuan. Memfokus kepada produk juga penting kerana apabila pasaran menjadi semakin besar, pengkhususan produk akan memberi kelebihan. Adalah lebih mudah memberi tumpuan kepada produk yang khusus daripada cuba mempelbagai produk dalam suasana pasaran yang luas. Dari masa kemasa, banyak perniagaan gagal apabila hilang fokus terhadap perniagaan asasnya.
Pengkhususan produk akan memastikan kualiti yang tinggi. Namun begitu, dalam keadaan di mana teknologi semakin memudahkan proses-proses pembuatan, kualiti produk yang tinggi mudah ditandingi oleh para pesaing. Oleh itu, kualiti yang tinggi harus pula ditawarkan pada harga yang lebih rendah dari pesaing.
Satu lagi aspek pemasaran yang harus diberi perhatian kini ialah konsep jenama (brand). Ada jenama yang besar dan terkenal diseluruh dunia dan ada juga jenama-jenama kecil yang khusus dan bertumpu kepada pasaran tertentu. Bagi perniagaan yang sukar menandingi jenama besar, strategi yang sesuai ialah membina jenama khusus untuk pasaran tertentu.
Pemasaran adalah penting untuk pertumbuhan perniagaan. Perniagaan yang tidak memberi tumpuan kepada pemasaran akan gagal dalam jangka terdekat kerana jualan akan terjejas dan kitaran perniagaan juga akan terjejas. Untuk memastikan pemasaran lebih berkesan, pengurusan tertinggi syarikat hendaklah melibatkan diri secara langsung dalam proses pemasaran. Pemasaran adalah terlalu penting untuk diserahkan hanya kepada pengurus pemasaran dan jabatan pemasaran. Ketua-ketua eksekutif syarikat mesti memahami konsep pemasaran secara mendalam di samping memahami bidang kewangan, pengeluaran, pengurusan dan sebagainya.
0 comments:
Post a Comment