Aziah Jasmin perunding imej


AZIAH sentiasa positif dalam kariernya.

MEMILIKI personaliti menarik dengan bakat komunikasi meyakinkan merupakan suatu bonus kepada bekas pengacara TV3, Aziah Jasmin Azizul. Selepas meninggalkan stesen televisyen swasta itu dan sebuah lagi syarikat komunikasi, si cantik manis bersuara lunak dan berperwatakan manja ini tidak menoleh ke belakang lagi.“Saya ingin melakukan sesuatu yang saya suka dengan sepenuh hati,” ujarnya dengan penuh yakin.

Pertemuan di Star Studio miliknya yang terletak di Kota Damansara pada suatu petang menyingkap diri sebenar Aziah yang berasal dari Ipoh, Perak ini.Wanita berusia 36 tahun ini memiliki Star Studio sejak lima tahun yang lalu. Selain mempunyai salun kecantikan, syarikat ini juga mengendalikan seminar dan bengkel rundingan imej serta program pembangunan kendiri.

Aziah mengakui, ilmu yang diperoleh sepanjang menyertai dunia kewartawanan selama tujuh tahun banyak membantunya dalam mengendalikan perniagaannya kini. Menurutnya lagi, beliau sendiri yang bertindak sebagai konduktor dalam setiap bengkel dan seminar yang dikendalikan Star Studio.Antara klien syarikatnya terdiri daripada beberapa institusi korporat ternama, hotel, perbankan, agensi antarabangsa termasuk agensi kerajaan.“Dalam setiap latihan yang saya berikan, modulnya merangkumi penampilan diri, komunikasi dan juga etika,” ujarnya sambil mengakui minatnya dalam bidang kecantikan dan penampilan telah berputik sejak remaja lagi.

Menjelaskan lebih lanjut kata Aziah, dari segi penampilan diri aspek solekan, cara berpakaian, berjalan, berdiri dan duduk diutamakan. Manakala dari segi komunikasi beliau akan memberi tip mengenai kemahiran persembahan, pengucapan awam dan juga kemahiran bertulis. Dalam aspek etika pula, ia merangkumi etika perniagaan, cara pembawakan diri ketika menghadiri majlis secara formal dan juga sosial.Sebagai nilai tambah terhadap perniagaan yang dijalankan, Star Studio kata Aziah, juga bersedia mengikut modul yang diingini pelanggan. Katanya, beliau sedar dalam perniagaan perkara utama adalah kepuasan pelanggan dan kerana itu beliau sendiri tidak kekok untuk melakukan ubah suai asalkan ia menepati kehendak mereka.

“Ada juga pelanggan individu yang datang bertemu saya untuk mengubah imejnya. Saya akan mencuba sebaik mungkin, mengubahnya sedikit demi sedikit sampailah pelanggan tadi berpuas hati,” katanya.Bercerita mengenai minatnya dalam bidang kecantikan, Aziah berkata, beliau telah memiliki sijil dalam bidang itu sejak berusia 17 tahun lagi.“Saya ambil kursus mengenai kecantikan sewaktu lepas SPM,” katanya.Selepas meninggalkan TV3, Aziah turut mengikuti pengajian diploma dengan Persekutuan Estetisian Antarabangsa (IFA) dan Pakar Kecantikan World Master pada 2003. Selain itu, beliau juga memiliki diploma dalam dandanan rambut dari salun terkemuka A Cut Above pada 2005.Menurut Aziah, ketika baru mengendalikan perniagaan sendiri beliau agak kekok juga terutama ketika memberi perkhidmatan kecantikan kepada pelanggan. Namun perkara itu dapat diatasi melalui pengalaman yang ditimba sedikit demi sedikit.

Ditanya sama ada beliau ingin melakukan kemunculan semula dalam bidang pengacaraan, dengan jujur wanita yang sudah mendirikan rumah tangga dengan Azlan Shah Jafril pada 2006 ini mengakui dirinya cukup selesa dengan kehidupannya kini. Jika tiada urusan perniagaan, masanya banyak dihabiskan bersama keluarga ataupun melakukan riadah seperti bermain tenis, yoga dan menyertai kelas wusyu.“Sekarang saya sudah ada banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga. Rasa-rasanya lebih baik saya terus begini.“Ada juga saya terima tawaran, tapi biarlah saya tumpukan pada perniagaan ini sahaja. Cuma, sesekali ada juga saya muncul sebagai pengacara untuk majlis-majlis tertentu yang dianjurkan oleh pelanggan Star Studio,” ujarnya.Tambah Aziah lagi, beliau kini sedang menyiapkan sebuah buku mengenai etika dan imej kendiri yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.Mengakhiri perbualan petang itu, Aziah berkata, pegangan hidupnya kini adalah mencapai keseimbangan dan melakukan ibadat sebanyak termampu untuk bekalan dunia dan akhirat.Star Studio terletak di No 5-1, Jalan PJU5/10, Dataran Sunway, Kota Damansara. Aziah boleh dihubungi di talian 03-61408701 atau aziahjasmin@yahoo.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: