Kedai bundle bawa rezeki tukang kasut


Rasli Ishak tekun membaiki kasut para pelanggan dari jenis jenama yang bermutu di kedainya.

KEDAI bundle, satu istilah yang agak eksklusif di rantau ini dan ia mempunyai pengikutnya tersendiri.Kedai berkenaan kebiasaannya menjual barangan terpakai yang jarang didapati dan berjenama seperti kemeja-T dan kasut.

Antara barangan bundle yang paling popular ialah kasut. Kebiasaannya ia barangan yang berjenama, edisi eksklusif, dan dijual pada harga yang murah berbanding harga asal. Namun kadang-kadang kasut seumpama datang dalam saiz yang tertentu sahaja.Di sinilah perkhidmatan Rasli Ishak mendapat permintaan ramai.Lelaki berusia 60 tahun ini yang juga dikenali sebagai Pak Rasli, adalah tukang kasut di Pasar Jerteh, Besut, Terengganu dengan sejumlah pelanggan setia.

Pelanggan akan membayar jumlah yang minimum kepada beliau untuk membaiki bahagian kasut yang koyak dan berlubang dan beliau tidak sedikit pun berasa kecewa.

Selepas kerja membaiki itu siap, kasut berkenaan akan kelihatan seolah-olah kasut baru.

Kerjaya warisan bapa

Rasli memulakan kerjanya sebagai tukang kasut di bandar Jerteh sejak tahun 1971. Ketika ditemui di kedainya yang berukuran 3 x 4 meter di Blok B, Pasar Tambahan Jerteh, Pak Rasli berkata, kemahiran menjahit barangan kulit terutama kasut dipelajari daripada ayahnya Ishak Awang, 85, yang juga seorang pereka kasut di Istana Nilam Puri, Kelantan pada satu ketika dahulu.

"Pada mulanya susah bagi saya untuk mengikuti kemahiran menjahit barangan kulit ini kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi, namun dorongan dan tunjuk ajar ayah membolehkan saya akhirnya mencari rezeki dengan kerja ini," katanya.Menurut Rasli yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan, dengan bermodalkan RM800, beliau memulakan perniagaan membaiki kasut dan barangan kulit selepas beberapa tahun berguru dengan bapanya.Pada awal kedainya dibuka, Rasli terpaksa menumpang untuk mencari tempat berniaga di celah-celah ruang pasar lama yang tidak selesa dan kurang mendapat sambutan pelanggan.

Beliau mendapat ruang khas bagi membuka sebuah kedai menjahit kasut di bandar Jerteh beberapa tahun setelah memulakan perniagaannya di bandar itu.

"Ayah berikan saya peralatan untuk membaiki kasut iaitu 'tapak tiga'. Tapak tiga yang ayah beri masih saya guna sehingga hari ini," katanya.Berkat usaha tanpa mengenal lelah dalam bidang yang diceburinya, Rasli mampu membesarkan lapan anak sehinggalah mereka kini dewasa.Sejak menularnya trend membeli barangan bundle di daerah Besut, beliau berkata rezekinya juga semakin bertambah."Sekarang ramai yang suka membeli kasut berjenama daripada penjual bundle dan mereka akan pasti mencari saya untuk menjahit kasut maupun beg-beg kulit yang dibeli sekiranya terdapat yang terkoyak sedikit.

Mementingkan kualiti kerja

"Saya mementingkan kualiti kerja dan terpaksa berhati-hati apabila menjahit kerana kadang-kadang kasut yang dibawa pelanggan adalah berjenama dan ada sesetengah menjualnya kembali setelah dibaiki dengan harga yang lebih tinggi berbanding yang dibeli," jelasnya lagi.

Begitulah juga dengan beg kulit yang dibawa untuk dibaiki kadang-kadang bernilai tinggi yang antaranya berharga RM500 hingga RM1,000 setiap satu.Rasli dan isterinya, Rohani Sidek, 48, seorang penjahit pakaian turut kesal kerana tidak ramai anak muda yang ingin menceburi bidang menjahit kasut sepertinya.Namun begitu, di sebalik kejayaan yang dicipta, Rasli juga mengakui seperti perniagaan lain beliau juga tidak lekang dengan masalah terutama ketika tiba musim tengkujuh."Setiap hujung tahun apabila tiba musim banjir perniagaan saya turut merosot kerana pada musim sebegini ramai tidak gemar memakai kasut malah lebih gemar memakai selipar," jelasnya.

Katanya, beliau melihat generasi muda kini semakin kurang dan tidak berminat membaiki kasut."Kalau industri tradisional lain seperti pengeluaran makanan, membuat perabot termasuk bahan kraf tangan telah diambil alih oleh mesin rekaan teknologi moden tetapi kerjaya menjahit kasut masih dilakukan secara lama tidak mampu ditukar ganti seperti yang saya lakukan ini," katanya.Rasli bersyukur kerana dengan tiadanya alatan dan mesin moden menjahit kasut, kerjaya menjahit kasut secara manual ini terus hidup dan tidak terjejas.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Tunjuk berani demi kerja – Maznah


MAZNAH HAMID

CUKUP sukar sekali untuk menemubual ‘wanita waja’, Datuk Maznah Hamid yang merupakan usahawan perniagaan kawalan keselamatan bukan hanya terkenal di Malaysia tetapi juga di luar negara.Beliau sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan perniagaan selain turut aktif dalam dunia politik.

Oleh sebab itu, tidak menghairankan, beberapa kali temu bual terpaksa ditunda.Setelah puas menunggu, akhir anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, itu berjaya memperuntukan masa selama dua jam untuk berkongsi kisah peribadinya baru-baru ini.Soalan pertama yang diajukan kepada beliau ketika temubual itu adalah gelaran wanita besi. Secara berseloroh, Maznah menjawab;

“Ramai orang geram dengan saya. Semuanya gara-gara imej berani, tegas dan kebal yang jelas tertonjol pada imej penampilan saya. Tetapi, orang tidak tahu bahawa saya terpaksa mengekal imej dan watak itu demi kerja.“Kalau saya tidak berani dan tegas, saya akan dipijak-pijak, malah, kebanyakan pekerja saya adalah lelaki, bagi menimbulkan rasa hormat, saya perlu dominan,’’ katanya.Namun beliau juga bimbang gelaran itu akan menyebabkan masyarakat umum beranggapan beliau seorang queen control terhadap suaminya, Datuk Shaheen Mirza.

‘‘Tanggapan (queen control) itu tidak benar sama sekali, hakikatnya, kami adalah rakan kongsi dalam perniagaan yang saling melengkapi,’’ ujarnya.Menurut Maznah yang gembira dengan kejayaan semasanya berkata, apa yang diraih kini adalah hasil kerja keras dan usaha yang bersungguh-sungguh.Maznah berkata, beliau berasal keluarga miskin dan dibesarkan oleh nenek sejak berusia lima tahun selepas berlaku perpecahan keluarga.Katanya, dia merupakan kanak-kanak yang kesepian, tetapi kekurangan itu menjadi satu rahmat kerana faktor itu menyebabkan beliau berusaha keras untuk menjadi insan berjaya.Maznah menyifatkan dirinya bukanlah pelajar pintar ketika di sekolah, tetapi amat meminati bahasa Inggeris sehingga meneruskan pengajiannya ke kolej.

Selepas menamatkan pengajian, Maznah bekerja sebagai guru bahasa persendirian atau penterjemah bahasa di pejabat kedutaan asing di Kuala Lumpur selama dua tahun.Selain pejabat kedutaan, Maznah pernah menjadi guru bahasa persendirian di syarikat-syarikat multinasional.

Pendedahan dengan kehidupan ‘orang kaya’ sewaktu bekerja mendorong Maznah untuk turut mencari petua untuk berjaya seperti mereka.Malah, ramai orang kenamaan yang menasihatkan beliau supaya menceburi bidang perniagaan yang beliau mempunyai kekuatan atau belum diterokai oleh orang lain.‘‘Oleh sebab, hampir setiap hari saya berkunjung ke rumah kedutaan asing dan mendapati mereka mempunyai rumah pengawal, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi.‘’Jadi, saya berasa mereka (orang kenamaan) adalah merupakan golongan sasaran penting untuk mendapatkan khidmat perniagaan itu. Jadi, saya pun berfikir untuk mencuba perniagaan kawalan keselamatan,’’ ujarnya.Berbekal duit poket dan simpanan hasil mengajar di rumah duta dan orang kenamaan sebanyak RM5,000, Maznah dan suami telah mengambil alih sebuah syarikat keselamatan pada tahun 1980 dengan menamakannya Securiforce Sdn. Bhd.

Pada waktu itu, Maznah memulakan perniagaan dengan lima pengawal keselamatan dan lima pelanggan terdiri daripada orang kenamaan.‘’Waktu itu, saya sudah kahwin, duit tidak ada dan gagal mendapat pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan. Jadi, kami terpaksa menjual rumah dan menyewa rumah di kawasan setinggan tanpa bekalan elektrik selama dua tahun,’’ kata beliau.Rahmat dari kesusahan itu, Maznah mendapat kekuatan diri untuk berusaha dengan lebih gigih bersama-sama suaminya.Katanya, universiti terbaik dalam kehidupan adalah kepahitan dan kesusahan yang menjadikan diri seseorang lebih kreatif, inovatif, kebal dan bijaksana.

Menurut Maznah, beliau dan suami menderita kesusahan hampir 10 tahun untuk memastikan perniagaan kawalan keselamatan berkembang.‘’Saya sendiri pernah menjadi pengawal keselamatan di sebuah pasar raya menggantikan pekerja yang pulang ke kampung kerana bercuti Hari Raya Aidilfitri. Manakala suami saya pula tugas rondaan keselamatan di rumah orang kenamaan.‘‘ Tidak siapa pun tahu ketika itu, saya adalah pemilik syarikat kawalan keselamatan,’’ jelas beliau.Katanya, pelbagai pengalaman yang ditempuh sejak awal hingga akhir menyebabkan pihaknya berjaya mengadakan sistem keselamatan yang canggih dan menyeluruh pada waktu ini.Maznah berkata, pihaknya turut pernah melibatkan diri dalam perniagaan jualan langsung dan juga pelbagai produk, untuk mendapat modal pusingan.Beliau yang mendapat pengiktirafan pertama iaitu Anugerah Usahawan Cemerlang pada 1990 berkata, seseorang usahawan perlu mempunyai pelbagai kemahiran dan pelbagai bakat.

Pada malam penyampaian anugerah itulah Maznah buat pertama kali mendapat gelaran ‘wanita besi’ yang diberikan oleh pengacara majlis pada waktu itu.Kini, Securiforce mempunyai 65 cawangan di seluruh negara dengan 5,000 kakitangan, 4,000 daripadanya merupakan pengawal keselamatan.Syarikat itu kini telah menembusi lebih 10 buah negara.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments