Persediaan menghadiri temuduga

SENARIO dunia pekerjaan hari ini jauh berbeza berbanding dua atau tiga dekad lalu. Kini persaingan mendapatkan pekerjaan cukup hebat. Malah setiap tahun, terlalu ramai graduan keluar dari pelbagai institusi pendidikan tinggi.Mereka tentunya mahukan kerjaya setimpal dengan diploma atau ijazah yang diperoleh. Malangnya persaingan tinggi memungkinkan ramai yang menganggur.Apa pun, masalah graduan menganggur tidak seharusnya menjadi isu jika tidak terlalu memilih kerja selepas berjaya melepasi sesi temuduga yang dijalankan.

Kegagalan dalam temuduga pula mungkin disebabkan mereka gagal memberi jawapan yang sewajarnya yang berpunca daripada tiada persiapan rapi untuk meyakinkan panel penemuduga.

Ketua Kaunselor Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Norazman Amat berkata, antara kelemahan calon-calon yang dikesan semasa sesi temuduga ialah masalah komunikasi, surat permohonan atau resume (profil keterangan diri) yang tidak menarik dan tidak lengkap serta kurang keyakinan diri.

Kata beliau, ada calon yang datang dengan diploma atau ijazah dalam bidang tertentu. Tetapi apabila ditemuduga mereka gagal menjawab setiap pertanyaan, tergagap-gagap dan tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang disoal."Mereka masih gagal untuk meningkatkan keyakinan penemuduga kerana tidak mampu atau kurang kebolehan untuk berkomunikasi dengan baik."Penampilan diri dan perwatakan mereka juga tidak dapat meyakinkan penemuduga bahawa mereka adalah pekerja yang layak untuk menjawat jawatan yang ditawarkan," katanya ketika ditemui selepas Program Mock Temuduga di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program anjuran Unit Psikologi Kaunseling dan Kerjaya dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM itu bertujuan memberi latihan dan pengalaman langsung kepada graduan USIM dalam proses temuduga kerja.

Katanya, ada calon datang dengan segulung diploma dan ijazah yang tidak ada pada calon lain.

"Sayangnya apabila sesi soal jawab, calon gagal untuk berkomunikasi dengan baik. Gagal menunjukkan kredibiliti dan kesungguhan kepada penemuduga," katanya.Kata beliau, graduan perlu membuat kajian terperinci tentang jawatan yang ditawarkan.Selain itu katanya, graduan itu perlu mempersiapkan diri dalam pelbagai aspek sebelum hadir ke temuduga."Kadang-kadang graduan gemar memberi jawapan yang meleret-leret dan tidak relevan dengan soalan yang ditanya. Perkara ini perlu diperbaiki sebelum menghadiri temuduga."Semua perkara dinilai secara terperinci termasuk gaya dan lenggok bahasa serta gerak badan ketika temuduga sedang berlangsung," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Usahawan bumiputera usah terlalu harapkan bantuan


Nasir... Peniaga wajar berpegang kepada prinsip yang betul.

KUALA LUMPUR 29 Mei - Usahawan bumiputera digesa supaya lebih bersiap siaga dalam menghadapi perubahan landskap perniagaan pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Datuk Nasir Ahmad berkata, apa yang paling penting kepada mereka adalah persediaan daripada segi pengetahuan untuk bersaing dengan pihak lain.

''Mekipun terdapat kemajuan atau perubahan positif bagi usahawan bumiputera, tetapi ia masih berada pada kadar perlahan berbanding kaum lain di negara ini.

''Sebarang perubahan merupakan proses yang besar tetapi dengan galakkan, keyakinan dan kepercayaan ia mampu dicapai,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.Tambah Nasir, usahawan bumiputera perlu mempunyai sikap berani dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan semata-mata.''Selain itu, pendapat yang mengatakan usahawan Bumiputera perlu mengubah budaya perniagaan mereka merupakan sesuatu yang subjektif kerana tidak semestinya sesuatu bangsa atau kaum yang berjaya dalam perniagaan menggunakan cara yang betul.

''Apa yang penting bagi setiap usahawan atau peniaga adalah berpegang kepada prinsip yang betul dan ikhlas dalam menjalankan perniagaan,'' jelasnya.Nasir juga berkata, penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini diharap mampu menjadi penyelaras bagi memenuhi agenda nasional.''Ia perlu menjadi pusat sehenti yang bertindak membantu semua agensi yang terlibat dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan jayanya,'' katanya.Beliau menambah, Teraju perlu lebih berani dan agresif dalam menjalankan tanggungjawab kerana ramai yang berpendapat kewujudan unit tersebut masih belum dirasai.

''Pada saya Teraju tidak boleh gagal kerana PKS bergantung kepada mereka untuk terus berdaya saing pada masa hadapan.

''Apa yang penting bagi Teraju sekarang adalah menjelaskan kepada semua mengenai misi dan visi mereka dan perlu lebih cekap dalam menangani segala isu yang berkaitan PKS terutama membabitkan usahawan bumiputera,'' katanya.Teraju ditubuhkan untuk menerajui, menyelaras serta memacu penyertaan bumiputera melalui pelbagai inisiatif baru dan sedia ada.

Unit itu juga akan memastikan keberhasilannya dalam jangka masa pantas meliputi tindakan efektif yang boleh meraih kejayaan.Ini termasuk mengkaji sama ada terdapat pertindihan dengan pelbagai badan dan institusi masa kini serta melihat keberkesanan program yang sedang dilaksanakan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Bekas jurutera jual serunding


Azliya Jamil sentiasa berbincang bersama Shahizam abu bakar bagi meningkatkan lagi mutu serta pemasaran serunding mereka.

PADA awalnya untuk bergelar usahawan serunding memang perit. Pelbagai pahit maung terpaksa dihadapi. Walaupun perit setiap usaha tidak terhenti dan dari sehari ke sehari serunding yang dihasilkan dijaga kualitinya.

Semangat untuk menjadi seorang usahawan berjaya sentiasa ada dalam jiwanya meskipun di awal perniagaan produk yang dihasilkan pernah dipulangkan kembali kerana didakwa tidak tahan lama.

Tetapi semua itu tidak melemahkan semangat pasangan suami isteri Azliya Jamil, 44 dan Shahizam Abu Bakar, 41 untuk meneruskan minat mereka meskipun mereka terpaksa melepaskan pekerjaan tetap dengan gaji lumayan.

Shahizam merupakan lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari University of Manchester, United Kingdom dan pernah bekerja sebagai jurutera dan pengurus di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka Malaysia selama 13 tahun.

Isterinya Azliya juga merupakan lulusan ijazah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari UMIST, United Kingdom dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di salah sebuah universiti tempatan selama tujuh tahun.

Mereka bermula dengan modal RM300 untuk membeli bahan mentah dan sebiji kuali bagi memulakan perniagaan serunding daging dan mulanya dijual hanya kepada saudara mara sahaja lima tahun lalu.

"Alhamdulillah sambutan terhadap serunding kami amat menggalakkan dan mendapat galakkan untuk terus di pasarkan di kedai-kedai berdekatan dan sambutan sangat memberangsangkan," ujar Azliya ketika ditemui di Parit Besar Mukim 2, Bagan Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Melihat kepada produknya yang berpotensi untuk pergi lebih jauh, pasangan berkenaan telah membuka peluang perniagaan kepada saudara mara yang berminat untuk melabur dalam perniagaan serunding tersebut."Kami mula mengumpul dana melalui pelaburan saudara mara, duit jualan serunding serta hasil perniagaan sajian makanan memasak nasi briyani untuk majlis kahwin," tambah Azliya.Dengan dana yang terkumpul itu mereka membina sebuah bengkel berukuran 320 kaki persegi (RM15,000), membeli mesin pengacau (RM6,000) dan ketuhar pengering terpakai (RM500).Kemudian mereka telah mendaftar sebagai sebuah syarikat dan mengambil enam pekerja untuk meningkatkan pengeluaran dan menghantar serunding ke kedai-kedai berhampiran, pasar mini dan restoran di Johor.

Menurut Azliya, pada tahun 2007 mereka mula mendapat perhatian daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang kemudian membantu menaik taraf bengkel dengan peruntukan sebanyak RM35,000.Bantuan lain termasuk mesin seperti industrial oven, sealer juga peti sejuk bernilai RM10,000.Demi meningkatkan lagi pengeluaran untuk pasaran luar Johor mereka telah memperkenalkan serunding ayam pula atas permintaan ramai.

Perniagaan yang diusahakan dari sehari ke sehari mendapat permintaan amat menggalakkan dan untuk itu mereka telah menubuhkan sebuah syarikat yang kini dikenali sebagai Pristine Quality Sdn Bhd.Paling membanggakan produk mereka mendapat sijil Halal dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor."JPV telah memberi lagi bantuan sebanyak RM10,000 bagi meningkatkan mutu pembungkusan kepada kotak dimana konsep dan reka bentuk di buat sendiri oleh kami,'' jelasnya bangga.

Bermula dari situ pada tahun 2009 mereka mula menyertai secara agresif ekspo seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) serta Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas).

Serunding mereka juga mula menembusi pasaran Sabah dan Sarawak melalui agen-agen dan pemborong.

JPV juga telah memberi lagi bantuan sebanyak RM40,000 dalam bentuk mesin seperti pengacau serunding, pemotong bawang , pengisar cili , pengisar berkelajuan tinggi , meja keluli tahan karat alat penimbang digital.Mereka juga mula menerima tempahan daripada syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan untuk tujuan cenderahati dan bungkusan hadiah.Pada masa sama, syarikat terbabit juga mendapat permintaan dari masyarakat Cina untuk menghasilkan serunding kambing yang diedarkan oleh sebuah syarikat Cina tempatan.

Azliya menambah melalui MIHAS mereka mendapat kontrak membekal serunding daging kepada vendor Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga mendapat peluang menembusi produk ke Brunei yan g kini dalam perbincangan dengan sebuah syarikat pengedar di sana,

Kini mereka dalam usaha mencari modal dan tapak baru untuk membina kilang berukuran 100 x 40 kaki persegi bagi mencapai sasaran untuk membina kilang bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP).Selain itu mereka sedang berusaha untuk memperoleh pengiktirafan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) yang merupakan antara kriteria untuk memudahkan produk menembusi pasaran antarabangsa.Produk yang diusahakan iaitu serunding daging ayam, kambing dibungkus dengan berat 50 gram dan 80 gram iaitu dalam dua kotak berlainan juga boleh membungkus mengikut permintaan pelanggan seperti bungkusan untuk majlis kahwin atau bundle bagi pengedar dan pemborong.

Serunding seberat RM50 gram dijual dengan harga runcit RM5 dan RM 8 untuk bungkusan seberat 80 gram.

Bagaimanapun tambah Azliya pemborong akan mendapat harga borong iaitu 30 peratus hingga 40 peratus diskaun mengikut kuantiti yang diminta.Menurut Azliya lagi, keunikan produknya ialah ia tahan selama setahun, kering dan tidak berminyak tapi kekal rasa enak rendang Johor. yang telah dimasak kering menjadi serunding.Azliya menambah, jika dahulu mereka memperoleh pendapatan dua angka, kini ia mencecah kepada tiga angka dalam tempoh tiga tahun beroperasi sebagai syarikat sendirian berhad.Keuntungan yang dirai tambahnya dijadikan modal balik untuk pembangunan produk dan promosi.Tahun ini mereka mensasarkan jualan mampu mencecah RM500,000 dalam tempoh empar tahun berikut dan RM1 juta pada tahun 2018 apabila mempunyai kilang bertaraf GMP kelak.

Menjadi harapan Azliya dan suami agar dengan kebolehan dan pengalaman sebagai jurutera mereka dapat membina sebuah syarikat industri makanan yang berdaya saing dan berinovatif. Daripada sebuah syarikat kecil-kecilan kepada sebuah syarikat yang boleh dijadikan contoh kepada usahawan lain.Secara tidak langsung katanya dengan adanya perusahaan ini di Bagan, Batu Pahat, ia akan memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat disini dari segi peluang pekerjaan .dan kebajikan.Menurut Azliya, serunding keluaran mereka dilabelkan sebagai House of Serunding dan mempunyai Sijil Halal dengan sasaran pemasarannya adalah pasaran tempatan dan luar.Buat masa ini katanya mereka mampu menghasilkan 1 tan serunding bersamaan 800 kilogram (kg) serunding sebulan.

Bagi mereka, pengorbanan melepaskan jawatan pensyarah yang disandang selama tujuh tahun dan sebagai jurutera selama 13 tahun berbaloi dengan pendapatan yang mereka raih hasil usaha sendiri."Kejayaan kami kerana kami berkongsi minat yang sama untuk berniaga dan mempunyai pendapatan hasil usaha sendiri berbanding makan gaji dan kami berasa puas apabila produk yang kami hasilkan mendapat sambutan memberangsangkan,'' jelas Azliyah.Ibu kepada dua orang anak Muhammad Shahid, 15 dan Muhammad Shafiq, 17 ini berharap agar perniagaan serunding resepi tradisional yang diusahakan bersama suami akan menjadi perniagaan keluarga dan dipasarkan ke pasaran global satu hari nanti.Dengan prinsip tidak mahu makan gaji dan mahu berusaha sendiri, Azliyah dan Shahizam berjaya merealisasikan impian mereka dan tidak berasa rugi meninggalkan gaji lumayan demi untuk menjadi usahawan serunding.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Bagaimana Membina Empayar Perniagaan?


Apabila menyebut tentang empayar, kita membayangkan satu pembentukan kuasa yang besar merangkumi jajahan dan taklukan. Ia juga adalah sesuatu yang boleh berlaku dalam perniagaan malah telah banyak syarikat membentuk empayar perniagaan yang menakluki jajahan tertentu dalam ertikata penjajahan pasaran.

Tapi ini bukan kisah cerita-ceritut atau sembang artikel yang semudah kata. Ia melibatkan perancangan, strategi, usaha, politik dan keberanian. Angan dan sembang akan membuatkan topik ini menjadi hanya sebuah lagi cerita kartun untuk menyedapkan telinga yang mendengar dan mata yang membaca. Jadi apakah sebenarnya kaedah membina empayar perniagaan yang berkesan?

Kelemahan kita orang Asia khususnya adalah memandang barat sebagai sumber maklumat dan rujukan ultra tanpa melihat potensi yang sedia ada dalam diri dan bangsa. Hari ini orang Amerika kata saya ada formula itu dan ini dan kita begitu mudah terpengaruh dan melabur tanpa usul periksa. Kerana itu juga kita percaya dengan sejarah bahawa orang putih datang
ke Tanah Melayu untuk perdagangan rempah. Rempah apalah yang orang putih makan sangat berbanding kita? Kerana itu minda kita senang dijajah.

Itulah sebenarnya kunci membina empayar iaitu menakluk dan menjajah minda. Saya mengkaji orang putih tentang apa yang dilakukan dan bukan apa yang dicakapkan. Ini adalah kerana bangsa yang berjiwa 'tauke' ini akan sentiasa mengajar kita menjadi bagaimana untuk menjadi pelanggan mereka dan bukannya menjadi usahawan.

Dahulu apabila kita melihat baju 'Made in Usa' atau 'made in' mana-mana negara Eropah, terpelancut didalam benak kita tentang produk yang berkualiti. Berbeza dengan 'Made in Malaysia' yang dipandang 2nd class. Maka jadilah orang kita mengikut cakap seniman Aziz Satar dalam fielm seniman Bujang Lapuk,"2nd class separuh bayaran". Tanpa disedari, minda kita telah dijajah untuk membayar lebih kepada mereka yang sebenarnya kilang barangan mereka itu adalah di Malaysia juga. Kita pula berlaku tidak adil kepada barangan orang kita tanpa banyak mengkaji ada yang berkualiti malah lebih baik daripada mereka.

Baiklah. Sekarang kita tahu, bangsa kita selama ini adalah bangsa yang dijajah pemikiran dan anda mungkin telah memahami apa yang cuba saya sampaikan. Sekarang anda fikir, bolehkah anda menjajah minda orang putih ini kembali sepertimana mereka menjajah minda kita dalam segala segi sejak berkurun lamanya?

Jawapannya tidak semudah itu. Peperangan membina empayar perniagaan dunia harus berubah mengikut masa dan zaman. Dahulu orang kita kurang pendidikan, maka menjajah minda adalah teknik yang praktikal dan mudah dilakukan untuk membina empayar perniagaan. Berbeza dengan sekarang yang mana ramai sudah pergi ke sekolah dan pandai. Kini ia masih lagi berkisar tentang penjajahan minda tetapi dengan pendekatan dan teknik
yang berbeza.

China adalah contoh terbaik sebuah negara yang begitu pantas menjajah ekonomi dunia dengan menundukkan gergasi ekonomi barat dalam tempoh tidak sampai 10 tahun. Penjajahan China terhadap ekonomi dunia bukanlah satu perkara mudah yang boleh dibalas kembali oleh barat. Mereka memperbaiki teknologi mengejar kualiti barat dalam tempoh setiap saat dan sentiasa memberikan harga yang terendah di dunia.

Bagi orang islam, anda pasti ada mendengar bahawa di akhir zaman maka akan wujud banyak pasar yang besar dan itu kita boleh lihat dengan kewujudan hypermart yang memonopoli perdagangan runcit. Adakah mereka ini menjual barangan berkualiti dan tahan lama? Jawapannya tidak kerana mereka hanya menjual barangan yang MURAH dan murah itulah yang menjadi kaedah dalam menjajah psikologi pelanggan.

Kegagalan ramai peniaga berkembang ialah mereka tidak cuba mempastikan sentiasa ada transaksi dan cuba menawarkan harga yang sentiasa membuat pelanggan berfikir berkali-kali dan akhirnya tidak membeli. Kita perlu ingat, jika kita tidak membeli idea dan kelentong orang putih, mereka tidak akan dapat menguasai Tanah Melayu. Mereka berjaya menjual teori dan idea mereka. Sekiranya kita tidak menyukarkan idea dan barangan kita dibeli, bagaimana pelanggan boleh mengenali kita, dan bagaimana dapat kita menjajah pasaran?

Perniagaan adalah satu perkara yang melibatkan masa untuk terbina. Barangsiapa yang mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dalam perniagaan tanpa mengambilkira soal pokok perniagaan itu sendiri, maka sudah pasti mereka akan kecundang. Usahlah lagi membuang masa untuk memikirkan tentang membentuk empayar.

Cuma kalau ditanya kepada saya adakah kita masih perlu bertungkus-lumus untuk membina ekonomi jikalau sudah dilihat bahawa dunia kini berada di akhir zaman? Bukankah elok kita fokus kepada memperbetulkan tauhid dan aqidah umat islam yang main bermasalah? Bukankah kita diingatkan supaya bekerja seolah akan hidup 1000 tahun lagi dan beribadat seolah mati esok hari? Perjuangan kehidupan dan agama itu tiada noktahnya sehingga bergulung dunia ini dihari kiamat.

Mengapakah orang Islam kini sering dijajah minda dan amat sukar dilihat menguasai ekonomi? Ini adalah kerana orang Islam ini sangat pandai berkata-kata tetapi amat kurang yang mahu berfikir dan berusaha. Mulut mudah berkata bahawa Islam itu 'syumul' dan segala perkara dalam kehidupan itu ada di dalam Islam tetapi adakah orang Islam benar-benar mengamalkan kehidupan dan cara Islam itu sendiri?

Konsep 'ta'awun' yang ada didalam Islam diamalkan meluas oleh kaum cina diseluruh dunia tapi bagaimana dengan orang Islam lain? Orang cina membina rangkaian perniagaan dan membina keakraban melalui hubungan sosial dan jaringan (network) tetapi adakah itu amalan orang Melayu yang mengaku dominan dan sinonim dengan Islam di Tanah Melayu ini? Itulah lemah kita dan akan sentiasa lemah kerana kita lebih teruja pada nama dan bukan pada hakikat. Malah ada kumpulan yang bingkas bangun bila Melayu ditegur dan dikutuk sifat buruknya lalu dilabel orang itu 'pengutuk bangsa sendiri'. Kerana itulah kita mudah dijajah. Kita sukar mengizinkan minda kita diperbaiki dan diperbetulkan.

Namun ia tidak bermaksud orang Islam khususnya Melayu Islam tidak boleh maju ke depan. Kita tidak perlu menunggu bangsa ini menjadi betul 100% baru kita boleh membuat perubahan. Perlu diingat juga Islam itu bukan Melayu sahaja. Orang Islam terdiri daripada pelbagai etnik di dunia. Saya lebih suka mencadangkan orang Islam membina empayar perniagaan dengan mensasarkan pasaran barangan muslim. Halal Hub adalah satu contoh yang baik sebagai satu idea penaklukan ekonomi. Anda juga boleh melahirkan idea dan konsep untuk menakluk kembali ekonomi orang Islam yang kini dijajah orang orang lain.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

JIHAD BISNES

J.I.H.A.D adalah kuasa motivasi tertinggi bagi umat Islam di mana jihad melawan nafsu yang dikuasai syaitan adalah merupakan perjuangan yang terbesar untuk kita lakukan. Pernah tak anda terjaga waktu azan subuh berkumandang di saat dinihari yang dingin dan dalam hati ada terniat hendak terus bangun tetapi masih menarik selimut (maklumla sejuk :) ). Kalaula kita sebagai umat Islam yang tidak punya kuasa motivasi yang tinggi pastinya subuh kita akan terlewat atau mungkin terbabas. Itu baru kisah azan subuh, belum cerita kisah sepertiga malam lagi ( peringatan untuk diriku yang lupa ). Dan Saya juga ingin berkongsi kisah bagaimana jika anda seorang pegawai polis, yang kesempitan kerana penangan hujung bulan disogokkan dengan wang ketika saman bakal dikenakan??dan banyak lagi 1001 kisah jihad melawan hawa nafsu. Untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai makna J.I.H.A.D, anda boleh tengok web Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM). Apa yang pasti jihad berperang sebenarnya adalah jihad yang kecil berbanding dengan jihad melawan nafsu.

Antara jihad yang penting dan hendaklah diutamakan selain jihad menentang hawa nafsu dan syaitan ialah jihad menuntut ilmu dan memerangi kejahilan, jihad membanteras kemiskinan, dan jihad memerangi masalah gejala sosial. Sebenarnya semua yang berkaitan dengan semua aspek kehidupan secara keseluruhannya. Bagaimana dengan jihad bersenjata ? Perdamaian adalah penyelesaian…kita hanya perlu melawan bukan memulakan, melawan andai musuh menyerang untuk merampas nyawa, harta dan kehormatan agama.

Di sini saya ringkaskan sedikit catatan mengenai Jihad Ekonomi :-

Sebaik-baik harta adalah harta yang berada di tangan orang-orang yang soleh . Jadi sebagi orang yang mukmin yang soleh ( insyaAllah, amin .. ) kita perlu berjihad untuk meningkatkan ekonomi kita. Salah satu caranya ialah dengan menjalankan perniagaan. Cuba anda bayangkan bagaimana orang yang toleh (lawan kepada soleh :) ) yang menguasai ekonomi dan kekayaan ??? Bagaimana dan Bagaimana lagi?? Di sinilah pentingnya kesedaran orang Islam supaya berjihad dalam bidang ekonomi..Kaya tidak semestinya sombong dan bongkak..Orang Islam perlu kaya dan bertaqwa, Zuhud dan tidak bermewah-mewah. Konsep kejujuran dan menjaga etika-etika lain dalam perniagaan juga adalah tonggak kemajuan orang-orang Islam agar perniagaan yang dijalankan adalah betul mengamalkan sunnah Nabi. Bersama-samalah kita berjuang dan terus istiqamah..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Memburu rusa di De Paradise


De Paradise pengunjung berpeluang bermesra dengan rusa.

LADANG De Paradise Sdn. Bhd., bukan setakat menternak rusa. Malah ia turut dibuka kepada orang ramai untuk melihat persekitarannya di samping berpeluang untuk merasai pengalaman memburu rusa.Ini mungkin pengalaman yang tidak mungkin diperolehi di mana-mana dan pihak pengurusan ladang ternak itu kini sedang berusaha untuk menyediakan tapak khusus untuk tujuan tersebut.

Mungkin selama ini ada di kalangan orang ramai yang berangan-angan utuk memburu. Dengan adanya kemudahan di ladang itu mereka boleh merasai sendiri cabaran tersebut.

Kawasan perburuan yang disediakan itu seluas empat hektar dan ia akan dibuka kepada para pemburu yang terdapat di negara ini.

Pengusaha ternakan rusa di ladang tersebut, Muhammad Akhbar Chiraghdin memberitahu, kawasan memburu itu bagaimanapun adalah berpagar.Katanya, mereka yang memiliki lesen senjata api sahaja hanya dibenarkan berbuat demikian.

"Mereka boleh memburu rusa yang berkeliaran di kawasan itu," ujarnya.Jika mereka gagal menembak sebarang rusa katanya, pihak pengurusan akan memberikan haiwan itu sebagai insentif dan tarikan.Selain itu pihak pengurusan ladang itu jufa bercadang untuk membuka tapak permainan seperti paint-ball yang mana mereka boleh bertarung sesama sendiri atau berburu dengan rusa sebenar menerusi peralatan senapang paint-ball terbabit.

Semua itu merupakan antara usaha untuk menjadi ladang De Paradise sebagai kawasan eko pelancongan.Selain untuk pengunjung yang ingin merasai suasana hidup di kawasan ladang ia juga boleh dijadikan tempat latihan mana-mana pelajar yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang cara penternakan rusa.Untuk tujuan itu kata Muhammad Akhbar, segala kemudahan asas telah disediakan.Katanya, kemudahan seperti asrama disediakan kepada mereka sambil mengikuti latihan yang disediakan.

Semua rancangan bagi menjadikan ladang itu sebagai kawasan pelancongan dan latihan dijangka dapat direalisasikan menjelang Mac ini.Beliau berharap ia bakal menjadi tarikan baru eko pelancongan di kawasan tersebut.Dengan itu De Paradise bukan sahaja ladang perternakan rusa tetapi juga sebagai salah satu destnasi pelancongan yang menawarkan pengalaman berbeza di Pahang.Selain asrama juga katanya, kemudahan penginapan lain turut dibina untuk kemudahan orang ramai.Ia termasuk membina beberapa chalet penginapan dan dewan persidangan.

Tambahnya, selain rusa, beberapa haiwan lain seperti arnab turut diternak di situ supaya pengunjung dapat merasai suasana sebenar kehidupan di ladang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kraf tangan plastik ubah kehidupan


Najib Tun Razak tertarik hasil kraf tangan daripada tali plastik ketika mengadakan lawatan di Pusat Komuniti Bersepadu Bukit Kenau, Pulau Manis, Pekan, baru-baru ini. – utusan/RUSHDI SALLEH

PEKAN 11 Feb. - Tiada apa yang dapat merubah corak kehidupan seseorang melainkan hanya dengan usaha sendiri tanpa mengenal erti penat dan lelah.Tanpa usaha yang gigih atau dalam erti kata lain ikhtiar hidup, mana mungkin kesenangan dapat diperoleh dengan sewenang-wenangnya.

Walau segunung bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada golongan miskin sekalipun, sekiranya individu itu tidak memanfaatkannya, masalah kemiskinan tetap tiada berkesudahan.

Namun, lain pula kisahnya di penempatan Pusat Komuniti Bersepadu Bukit Kenau, Pulau Manis di sini.Kesemua isi rumah terdiri daripada golongan miskin tegar yang mahu mengubah kehidupan dan keluar daripada kepompong kemiskinan.Penempatan itu merupakan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyediakan kemudahan dan keperluan pekerjaan yang pastinya menjamin kualiti kehidupan yang lebih sempurna.Idea Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu adalah peluang menjana pendapatan bukan sahaja kepada golongan lelaki iaitu ketua isi rumah tetapi sesiapa sahaja boleh menyertainya termasuk suri rumah dan anak-anak.

Dengan kerjasama daripada sebuah syarikat yang sebelum ini beroperasi di Langkawi, Kedah, Neez Enterprise menawarkan pekerjaan berasaskan kreativiti iaitu menghasilkan kraf tangan daripada tali plastik.

Pekerjaan menghasilkan kraf tangan seperti bakul, beg tangan, beg pakaian, bekas telur, pasu bunga dan bakul sampah sememangnya sesuai untuk golongan wanita.Menariknya, seorang guru yang cukup berpengalaman dalam bidang kraf tangan yang didatangkan khas dari Langkawi diberi tanggungjawab membimbing komuniti di situ.Menurut tenaga pengajar itu, Rosilawani Abd. Majid, 30, dia akan membimbing sesiapa sahaja yang berminat untuk menambah pendapatan melalui penghasilan barangan kraf tangan itu.“Pada masa kini, projek kraf tangan tersebut ditempatkan di dewan orang ramai pusat komuniti ini dan beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.“Komuniti di sini terutama suri rumah dilihat cukup berminat dan memberi komitmen yang amat baik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini.Dia yang juga anak kelahiran Pekan berkata, syarikat berkenaan memberi upah antara 50 hingga 70 peratus daripada hasil jualan barangan kraf itu kepada peserta terbabit.

“Sehingga kini, terdapat kira-kira 50 peserta sehari dan kita menerima begitu banyak tempahan seperti beg tangan dan bakul serbaguna.“Menariknya, kraf tangan tersebut dihasilkan mengikut dua kategori iaitu untuk pengguna biasa dan orang kenamaan,” katanya.

Beliau memberitahu, harga yang ditawarkan produk kraf tangan itu adalah dari RM5 hingga RM300.

Terkini, semua beg dan bakul yang dihasilkan telah ditempah untuk pasaran di Rantau Panjang, Kelantan dan Padang Besar, Perlis.“Sejak sebulan beroperasi di Bukit Kenau ini, permintaan begitu menggalakkan terutama untuk pasaran tempatan,” katanya.Sementara itu, menurut seorang peserta, Imiah Adam, 60, dia bersyukur kerana masih berpeluang menjana pendapatan daripada upah menghasilkan barangan kraf tangan.

“Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir akan memperoleh pendapatan sendiri kerana hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai penoreh getah.“Dengan adanya peluang sebegini, saya bersyukur kerana membantu suami bagi menanggung keperluan keluarga,” katanya.

Ibu kepada sembilan orang anak itu berkata, dia tidak mempunyai masalah bekerja di situ kerana anak-anak telah bersekolah.

“Kerja senang sahaja. Yang penting kita mesti rajin dan mengikut nasihat tenaga pengajar.

“Saya tidak perlu fikir masalah anak-anak di rumah kerana semuanya bersekolah asrama. Selepas selesaikan tugas sebagai suri rumah, saya segera ke dewan ini,” kata Imiah yang berasal dari Kampung Seri Damai, Kuantan.Bagi Sabariah Osman, 50, selain menambah pendapatan keluarga, hubungan sesama jiran, lebih erat apabila dapat bersama-sama menghasilkan kraf tangan.“Seronok kerana dapat mengenali masyarakat di sini terutama golongan wanita apabila turut serta mengambil upah membuat bakul plastik.“Memang tidak dinafikan duit menjadi faktor utama tetapi apa yang lebih menggembirakan adalah mengenali satu sama lain kerana komuniti di sini di pilih dari seluruh Pahang,” katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments