300 kali ganda manis daripada tebu




PADA pada masa rakyat di seluruh dunia sedang dibelenggu dengan diabetes iaitu penyakit yang berpunca daripada gula, satu penemuan baru mungkin memberi harapan baru dalam menjauhkan penyakit itu daripada manusia.

Di Malaysia menurut statistik Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan dianggarkan kira-kira 3.4 juta rakyat negara ini menghidap diabetes pada 2010.

Ia satu petunjuk membimbangkan kerana ini bermakna lebih 12 peratus rakyat negara ini menghidap diabetes.

Jika sebelum ini tebu menjadi sumber utama gula, bagaimanapun penemuan baru pokok stevia yang mampu menggantikan fungsi pemanis semakin mendapat tempat di hati ramai orang.

Stevia atau nama saintifiknya Stevia Rebaudianna adalah tumbuhan herba dari keluarga Chrysanthemum yang mengandungi glikosida pada daunnya termasuk lebih 10 peratus steviosida.

Bertemu dengan Presiden Megaherbs Bioextreme, Dr. Zubir Yahya mendedahkan stevia mengandungi rasa manis 200 hingga 300 ganda lebih tinggi daripada gula tebu. Ini bermakna seseorang itu tidak perlu mengambil gula dalam kuantiti yang banyak untuk memaniskan secawan kopi atau membuat kek.

Tiada kalori dan toksik


PENEMUAN pemanis pada daun stevia menjadi tumbuhan itu sebagai harapan baru dalam dunia perubatan untuk menjauhkan penyakit diabetes.


Katanya, stevia boleh dianggap sebagai gula alternatif dalam nutrisi pemakanan yang mengandungi hampir tiada kalori, bebas karbohidrat dan tidak bertoksik.

“Ia baik untuk digunakan oleh pesakit diabetes selain boleh digunakan dalam industri pemakanan.

“Stevia boleh dijadikan sebagai salah satu ramuan dalam proses pembuatan kek, biskut dan sebagai bahan penambah perisa dalam makanan,” katanya ketika ditemui Pesona di pejabatnya di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, stevia mengandungi vitamin A, B, C dan mineral penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.

“Khasiat stevia sukar untuk diragui kerana ia 100 peratus semula jadi,” ujarnya.

Jelasnya lagi, stevia juga secara umum dikenali sebagai daun ajaib yang mengeluarkan manisan.

Lantaran itulah, jelas Zubir pada penghujung tahun 2008, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) telah memberi kelulusan kepada stevia digunakan sebagai makanan tambahan.

“Stevia pada masa kini turut mendapat perhatian daripada pengeluar minuman termasuk syarikat minuman bikarbonat,” beritahunya.

Kata Zubir, hasil kajian yang dijalankan mendapati stevia mempunyai kesan terabai pada kadar glukosa gula.

“Ia terjadi akibat daripada steviosida, oleh sebab itu stevia hanya memberikan rasa manis tetapi tidak mempunyai glukos.

“Herba tumbuhan itu juga boleh jadi bahan pemanis asli tanpa bahan kimia aditif,” jelasnya.

Penanaman komersial


ZUBIR memberikan penerangan mengenai khasiat dan teknik penanaman stevia di pejabat Megaherbs Bioextreme di Kuala Lumpur.


Permintaan yang tinggi ke atas stevia menyebabkan pokok yang berasal dari Amerika Selatan turut ditanam di negara ini.

Pengeluaran tanaman itu kini sudah melebihi 2,000 tan setahun dengan negara utama pengguna stevia termasuk Jepun, Australia dan Kanada.

Bercerita mengenai penanaman stevia, kongsi Zubir beberapa langkah perlu dititik beratkan sebelum memulakan penanaman stevia. Ini termasuklah penyediaan tanah, jenis tanah, penyediaan batas, pengairan, pembajaan, aplikasi organik dan penjagaan pokok, pembersihan dan penuaian.

Tanah merah berpasir (kering) adalah jenis tanah yang sesuai, manakala tanah gambut merupakan tanah yang tidak sesuai bagi penanaman stevia.

Batas adalah cara terbaik dan paling ekonomik untuk menanam stevia. Semburan mikro merupakan kaeadah yang sesuai untuk mengairi penanaman stevia.

Pembersihan boleh dilakukan secara manual menggunakan tenaga buruh untuk memastikan kesihatan pokok stevia.

Penuaian boleh dilakukan dengan hanya memetik daun, sekiranya diperlukan pada kuantiti yang kecil. Bagi penuaian secara besar besaran keseluruhan pokok boleh dipotong dan meninggalkan 10 hingga 15 sentimeter dari tanah.

Selaku syarikat yang memasarkan stevia dalam bentuk uncang bagi menggantikan gula dalam minuman, Megaherbs Bioextreme turut menawarkan perladangan kontrak kepada syarikat dan individu yang berminat.

Belajar kerja orang Jepun


DAUN stevia yang dikeringkan kemudian dikisar dan dibungkus dalam bentuk uncang untuk menjadi pemanis minuman.


Mengenali lanjut individu di belakang Megaherbs Bioextreme itu, Zubir memberitahu bekerja dengan sebuah syarikat Jepun beberapa belas tahun lalu banyak memberi pengajaran berguna dalam diri dan kerjayanya.

Katanya yang kini berusia 44 tahun, sepanjang bekerja dengan syarikat milik warga Jepun itu, cara pemikiran dia yang merupakan anak tempatan juga berubah.

“Cara kerja yang diamalkan oleh pekerja Jepun yang sentiasa komited, menepati masa dan rajin banyak memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menguruskan perniagaan Megaherbs Bioextreme.

“Dasar pandang ke timur juga mengajar saya untuk berfikir perkara yang lebih penting dan tidak membesarkan masalah yang remeh-temeh,” katanya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Aroma rempah tarik pelanggan




SEBUT sahaja hal makanan, Malaysia tidak pernah suram daripada terus dilimpahi nikmat berkenaan. Lebih-lebih lagi di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur, setiap bulan atau setiap minggu, ada sahaja restoran baru yang diperkenalkan.

Baru-baru ini, Spice International Group membuka sebuah lagi rangkaian restoran baru. Ia bertempat di bangunan komersial serba baru di persimpangan Jalan Ampang, Jalan Tun Razak iaitu Intermark.

Berkonsepkan makanan India Utara dengan latar lokasi yang penuh tenang dan eksotik, Royal India, sebuah restoran fine dining, dengan hidangan makanan India Utara membuka pintunya kepada penggemar gourmet di Malaysia.

Membawakan resipi rahsia khas dari daerah India di utara, Royal India menyediakan seleksi resipi unik serta eksotik hidangan maharaja dahulu kala.

Cita rasa mewah

“Royal India adalah definisi kepada cita rasa mewah sajian India Utara. Kami menawarkan pengalaman yang penuh kemewahan, kualiti dan keaslian rasa,” ujar Pengarah Urusan Spice International Global Berhad, Thesan Salva.

Pelancaran Royal India bukan sahaja dimeriahkan acara sajian makan malam khas, malah turut disaji dengan pelbagai persembahan dan aktiviti yang menarik kepada para tetamu.

Sementara menunggu waktu menjamu selera, para tetamu diberi peluang menikmati pelbagai pengalaman budaya India.


SEBAHAGIAN daripada para tetamu yang teruja menikmati hidangan sempena majlis perasmian Restoran Royal India baru-baru ini.


Antaranya adalah seni hiasan jari henna, urutan tangan istimewa oleh pakar terapi bertauliah ataupun mencuba sisi mistik menerusi ramalan masa depan oleh Killi Josyam, tukang tilik burung kakak tua.

Di meja makan pula, para tetamu di Royal India disajikan persembahan tarian Odissi oleh penari Sutra Dance yang tampil mengisahkan legenda dewa yang merestui majlis keramaian.

Makan malam pada malam itu dimulakan dengan pengenalan ketua chef Royal India, Rakesh Prasad yang berpengalaman lebih sedekad sebagai chef hotel terkemuka di Mumbai dan Jakarta, sebelum menyertai Spice of India pada tahun 2005.

Rempah khas

“Kami menghidangkan menu signatur Royal India iaitu Tandoori Jhingga, Dum Biryani, Murgh Angaar dan Nehari. Kami akan memastikan, setiap ramuan yang digunakan diterbangkan khas dari India untuk mengekalkan keaslian rasa dan keunikan masakan,” kata Rakesh.


TANDOORI JHINGGA


Makan malam bermula dengan sajian pembuka selera, Sabzi Samosa, pastri rangup yang berintikan sayuran berempah dan digoreng keemasan penuh kesempurnaan.

Ia diikuti menu permulaan, Tandoori Khazana, sebakul roti dan palak paneer. Tandoori Khaana adalah pilihan daging ayam, kambing dan udang yang dihidangkan bersama roti seperti naan atau capati berserta sos pencicah krim keju dan palak paneer (sayur bayam).

Menu utama yang menjadi tarikan yang paling dinantikan pada malam itu tentunya Mutter Pulao, Rogan Josh Kashmiri, Bhendi Masala dan Machli Mirch Masala.

Sajian-sajian yang berbunyi eksotik itu sebenarnya menu yang terdiri daripada kari kambing yang dimasak dengan kombinasi ramuan asli dan Kashmiri Masala, diikuti hidangan ikan yang diperap dengan pelbagai rempah ratus dari India serta sayur bendi resipi tradisional yang diadun dengan rempah masala penuh aroma.

Sebagai menutup tirai pada malam itu, Royal India menyediakan hidangan pemanis, Gulab Jamun. Pencuci mulut manis adunan susu dan buah pelaga yang disajikan bersama sirap ros pastinya pilihan wajib

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Rezeki usahawan madu lebah


SHAIFUL HIZAM menunjukkan koloni lebah yang diusahakan di ladang Carambola Bee Farm yang terdapat di beberapa tempat seperti Semenyih, Selangor dan Parit Sikom, Simpang Renggam, Johor.


TIGA tahun lalu, Shaiful Hizam Harman pernah berkobar-kobar untuk menternak burung walit. Namun, hasratnya terbantut apabila dia kekurangan maklumat mengenai penternakan haiwan itu.Ternyata ada hikmah di sebalik semua itu, kerana selepas puas berfikir dia kemudian memilih untuk menternak lebah madu.“Sekitar 2007, memang saya terfikir untuk masuk dalam industri pemakanan kerana saya sendiri merupakan pengusaha gimnasium yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Saya lihat masyarakat moden hari ini lebih menitik beratkan pemakanan mereka.“Bagaimanapun ia terpaksa dilupakan kerana selain kekurangan maklumat, saya mendapati permintaan untuk sarang burung itu pun lebih menjurus kepada pasaran China,” katanya.

Permintaan tinggi

Namun begitu, tidak lama selepas itu dia teringat tentang khasiat madu seperti yang pernah dibacanya dalam hadis Rasulullah.

“Saya mula membuat kajian tentang tawaran dan permintaan madu di seluruh dunia. Saya baca laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Australia, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.Kebanyakannya mendedahkan permintaan madu dari luar negara sangat tinggi sedangkan pengeluaran bahan itu sangat kurang.“Seperkara lagi, modal yang diperlukan untuk memulakan industri lebah madu masih kecil iaitu kira-kira RM12,000 berbanding RM250,000 untuk industri sarang burung walit,” katanya.

Selama setahun, Shaiful mula melihat laman-laman web dan belajar mengenai lebah menerusi video YouTube selain melawat beberapa ladang lebah madu di sekitar Selangor.

Hari ini, usahawan muda itu mampu meraih pendapatan kira-kira RM8,000 sebulan melalui lima kotak atau koloni lebah yang dihuni oleh 70,000 ekor lebah bagi setiap kotak.

Lebah bersifat sensitif

“Tidak susah untuk memulakan industri lebah madu. Ia boleh dibuat di belakang rumah atau ditumpang di kebun buah-buahan. Risikonya kurang kerana jika satu koloni lebah diserang penyakit seperti bakteria atau fungus, ia tidak berjangkit kepada koloni yang lain,” katanya.

Pada pendapat beliau, lebah bersifat sensitif, amat mengenang jasa dan setia kepada tuan yang memeliharanya.“Saya pernah berhadapan dengan kesulitan kewangan pada awal tahun 2009. Apa yang saya buat tidak menjadi. Saya duduk di hadapan kotak-kotak lebah saya dan menceritakan masalah saya. Saya meminta lebah-lebah ini keluar untuk mendatangkan madu dengan jumlah yang banyak,” katanya.

Beliau hampir menitiskan air mata apabila doanya dimakbulkan Allah, dengan lebah-lebahnya mengeluarkan berkilogram madu.

“Saya hanya berada di kawasan ternakan lebah dua atau tiga kali seminggu. Tetapi mungkin lebih kerap jika perlu menguruskan pemindahan lebah ke tempat baru. Sekali pergi saya akan berada untuk tempoh sejam atau dua bagi menguruskan semua koloni lebah,” katanya.

Antara yang terbaik

Beliau berharap orang ramai agar membuka mata terhadap industri yang amat berpotensi itu.

Di Malaysia, madu yang terhasil menerusi kerajinan lebah mencari manisan daripada pokok gelam, akasia (sejenis pokok kayu balak), nanas dan belimbing, mempunyai bau yang lebih kuat.Ia menyamai madu dari New Zealand yang terhasil daripada lebah-lebah yang terbang mencari manisan dari pokok manuka.Pada masa ini, Shaiful hanya menjual madu yang dibotolkan dengan jenama Madu Tree secara dalam talian pada harga RM44 bagi 500 gram berbanding RM98 (500 gram) madu yang diimport.

Shaiful menawarkan madu asli dan asas ternakan lebah yang boleh diperoleh melalui laman web http://carambolabeefarm.blogspot.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Wanita pengusaha batu nisan


Army Karmila turut terbabit dalam kerja-kerja mengukir nama pada batu nisan.

KUBUR, nisan dan kematian memang tidak dapat dipisahkan. Apabila ada kematian maka kubur diperlukan. Nisan pula adalah tanda ingatan kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita.

Nisan yang digunakan pula terdapat dalam pelbagai bentuk dan rupa bergantung kepada kemampuan waris si mati.

Walaupun ia membabitkan budaya dan adat orang Melayu yang beragama Islam, ironinya perniagaan batu nisan di negara ini sebenarnya dikuasai kaum Cina.

Ini sama seperti perniagaan dan perusahaan yang membabitkan budaya Melayu yang lain yang mana kaum Cina lebih menguasainya.

Namun, kini kesedaran semakin timbul di kalangan pengusaha Melayu untuk menceburkan diri dalam perniagaan membekalkan batu nisan.

Lebih membanggakan, kaum Hawa turut sedia menyahut cabaran melibatkan diri dalam perniagaan membabitkan kematian itu.

Army Karmila Zakaria, 28, merupakan antara yang berjaya memecah tradisi dengan membuktikan golongan Hawa berani mengusahakan perniagaan batu nisan.

Berpeluang bertemu dengan pengusaha muda batu nisan itu di Kendong Kraf yang terletak di Lot 29, Jalan Besar Selayang Baru, Batu Caves, Gombak, Selangor, baru-baru ini membuktikan perniagaan tersebut mula mendapat perhatian di kalangan orang Melayu.

Walaupun dilabelkan sebagai peniagaan yang 'mengharapkan kematian bagi membolehkan terus mendapat rezeki', namun pada dasarnya ia merupakan satu cabang perniagaan yang diharuskan dalam Islam.

Siapa sangka, perniagaan yang diusahakan secara bersama dengan adik beradiknya sejak 2007 kini mendapat permintaan dari seluruh semenanjung.

Tidak cukup dengan itu, hasil kerja yang diwarisi daripada arwah bapanya, Zakaria Ali turut dibeli oleh golongan orang-orang kenamaan.Menurut Army Karmila, pelanggan hari ini bukan sahaja mahukan kepelbagaian dan aneka pilihan malah mereka juga inginkan yang berkualiti dan cantik.

''Di Kendong Kraf, saya menyediakan pelbagai jenis saiz, batu dan corak batu nisan. Pelanggan hanya perlu membuat pilihan mana satu yang mereka suka.''Kebanyakan batu nisan yang dihasilkan di sini diperbuat daripada beberapa jenis batu seperti marmar dan granit. Malah ada juga batu nisan yang menggunakan batu kapur dengan campuran simen yang dikenali sebagai terazo.''Kami menjalankan perniagaan dari A hingga Z. Kami bukan sahaja menawarkan perkhidmatan membuat batu nisan, kami turut memasangnya (pembinaan pusara),'' jelasnya.

Ujar anak sulung daripada empat beradik itu lagi, untuk batu nisan, bengkelnya menawarkan pelbagai jenis corak dan bentuk sama ada berbentuk bulat, leper, kecil ataupun besar.

Ia dijual pada harga serendah RM1,000 dan paling tinggi ada yang mencecah sehingga RM10,000.Katanya, apa yang menjadikan produk keluarannya unik dan istimewa ialah, selain setiap bentuk dibezakan dengan corak tulisan dan warna, Kendong Kraf turut menggunakan teknik tujahan pasir pada setiap ukiran.

Selain itu, Army Karmila turut menjalankan perniagaannya secara dalam talian di www.kendongkraf.com.

Ia bukan sekadar menjual batu nisan, tetapi turut menawarkan ukiran serta hiasan dinding berasaskan kaca.

Army Karmila yang merupakan pemegang Ijazah Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata, apa yang dipelajarinya tidak sia-sia apabila dia berjaya mempraktikkannya dalam perniagaannya hari ini.Tambah anak jati Selayang Baru itu, tempoh untuk menyiapkan sesebuah batu nisan bergantung kepada corak dan saiz yang dipilih.Bagaimanapun katanya, tumpuan utama diberikan ketika proses mengukir nama dan butiran mengenai 'pemilik' batu nisan tersebut bagi mengelak kesilapan.

Army Karmila memberitahu, walaupun segala kerja dilakukan dengan teliti, tetapi sebagai seorang manusia, dia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan.''Sekiranya kesilapan daripada pihak kami, kami akan menggantikannya semula. Tetapi sekiranya kesilapan itu datangnya daripada pelanggan, mereka yang harus menanggung kos membuatnya semula," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Dari dunia perbankan ke spa


Persekitaran yang selesa untuk wanita muslimah mendapatkan perkhidmatan rawatan spa.

TIADA yang pelik. walaupun dua dunia ini jauh berbeza tetapi menerokai bidang baru yang lama diidamkan pastinya akan mampu memberikan kepuasan yang dicari-cari.

Begitu juga dengan pemilik Suri Permai Spa, Zamzana Mohd. Ariffin, 38, yang mengakui tidak kecewa langsung untuk mengucapkan selamat tinggal setelah 15 tahun berkecimpung dalam dunia perbankan.

Lebih menarik Zamzana cuma mengambil masa sebulan sahaja selepas berhenti kerja untuk memulakan perniagaan spa.

‘‘Semua ini gara-gara tekanan ketika bekerja di mana saya akan mengunjungi spa setiap dua kali sebulan,’’ katanya ketika ditemui di Spa miliknya di 17-3, Blok B, Platinum Walk Setapak, Taman Danau Kota, Kuala Lumpur, baru-baru ini.Tambahan pula, Zamzana melihat permintaan terhadap perkhidmatan spa khususnya untuk wanita muslimah yang kurang menjadikan beliau cuba mengambil peluang itu.‘‘Kebanyakan spa yang ada sekarang memberikan perkhidmatan untuk wanita dan lelaki dan Suri Permai memberikan kelainan ini demi memberikan keselesaan untuk wanita muslim,’’ katanya.Sehubungan itu, katanya, wanita muslimah tidak perlu bimbang dengan aurat jika berkunjung ke Suri Permai Spa.

Beliau berkata, Suri Permai Spa juga menjadi satu pusat sehenti untuk wanita muslimah kerana menyediakan perkhidmatan kecantikan yang lengkap iaitu dari rawatan kulit muka, badan sehinggalah kepada dandanan rambut.‘‘Malah kakitangan spa ini sebanyak tiga orang akan memastikan setiap pelanggan akan dilayan bagai permaisuri,’’ katanya yang membuka spa itu sejak lapan bulan yang lalu.Dengan hanya bermodalkan RM100,000, Zamzana cuba untuk memastikan Suri Permai Spa mampu dikunjungi oleh semua golongan wanita.‘‘Jadi jangan ingat spa hanya untuk wanita kaya sahaja Suri Permai Spa yang memahami kehendak wanita telah menawarkan pakej perkhidmatan dari serendah RM38 sahaja,’’ katanya.Katanya, ini kerana Suri Permai Spa sedar wanita dari golongan sederhana juga mahu berehat sambil memanjakan diri di spa.

‘‘Tidak kiralah sama ada mereka ini pekerja swasta, kerajaan ataupun suri rumah yang seharian kepenatan melayan karenah anak-anak dan suami tetapi akan mampu membayar untuk perkhidmatan yang kami tawarkan,’’ katanya.

Jelas Zamzana, antara rawatan yang ditawarkan di spa miliknya termasuk rawatan muka, rambut, solekan, menguruskan badan dan urutan.

Katanya, pihaknya kini sedang menawarkan promosi istimewa dari Januari hingga Mac depan.

‘‘Bagi rawatan muka normal berharga RM70 kini ditawar RM99 dengan dua kali rawatan dan juga harga menarik lain untuk urut, sauna dan juga mandi hidro,’’ katanya.

Zamzana berkata, mulai bulan depan juga beliau akan mula mengembangkan ‘spa bergerak’ supaya dapat memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah.

‘‘Kita akan memberikan tumpuan khusus untuk mereka yang memerlukan perkhidmatan urut selepas bersalin yang semakin mendapat permintaan tinggi di kalangan wanita bandar,’’ katanya.Zamzana berkata, bagi yang berminat untuk mendapat perkhidmatan Suri Permai Spa boleh melayari laman web www.suripermai.com atau emel suripermaispa@yahoo.com atau hubungi talian 03-41431070 atau 017-2010919.

Di akhir pertemuan, Zamzana mengakui, bidang kecantikan yang diminatinya selama ini tidak pernah memenatkan beliau.Ibu kepada tiga anak ini mengakui semakin serasi dengan dunia perniagaan yang dianggapnya sebagai penuh dengan sesi cabaran menarik untuk terus berjaya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Terbaik & Mulai .


Shahrum Baharudin berhati-hati dengan setiap liang lahad yang digali.


KAWASAN tanah perkuburan biasanya dikaitkan dengan cerita misteri dan menakutkan. Sebab itu bagi sesetengah orang, kubur adalah lokasi yang perlu dielakkan.

Apa tidaknya, melintasi tanah perkuburan walaupun disiang hari sudah cukup untuk meremangkan bulu roma.Sebab itu kubur hanya dikunjungi apabila ada pengkebumian atau di pagi hari raya bagi mendoakan mereka yang telah kembali ke alam baka.Pada hari-hari biasa ia diselubungi misteri dan hanya `dihuni’ oleh individu tertentu yang menjadikan kubur sebagai sumber rezeki.Itulah tugas dan cabaran yang digalas oleh penggali kubur - satu kerjaya yang kadang kala dikaitkan dengan pelbagai cerita seram dan misteri.Tetapi hakikatnya penggali kubur adalah manusia biasa yang bukan setakat mencari rezeki untuk menyara keluarga, tetapi juga bagi menunaikan fardu kifayah.Namun, ia sudah tentu bukan kerjaya yang menjadi pilihan terutama golongan muda.Ini bukan kerjaya yang menjanjikan keselesaan dengan pejabat yang selesa dan berhawa dingin.

Kerana inginkan kerja yang glamor dan selesa, anak-anak muda ramai-ramai meninggalkan kampung berhijrah ke bandar untuk memenuhi kehendak hati dengan alasan mengubah kehidupan.Maka tinggallah generasi tua untuk melakukan kerja-kerja kampung seperti penoreh getah, pesawah, nelayan dan sebagainya termasuk kerjaya sebagai penggali kubur.

Penggali kubur bukanlah satu kerjaya yang diimpi dan dicita-citakan. Selain terpaksa bermandi peluh dan dibakar terik matahari ataupun kadang kala kuyup bermandikan air hujan, saban hari hidup mereka bertemankan persekitaran yang menyeramkan.Selain menggali kubur, mereka juga akan ‘berurusan’ dengan jenazah dan persekitaran yang berceracak dengan batu nisan.

Sebenarnya, penggali kubur adalah insan biasa. Kehidupan mereka dikatakan penuh misteri kerana ia jarang dikongsi dengan orang lain.Yang menariknya, bagi penggali kubur yang bertugas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, mereka merupakan kakitangan kerajaan yang dibayar gaji bulanan.Mungkin sebelum ini ramai yang terbaca artikel-artikel dalam blog melalui Internet yang menyatakan gaji bulanan sebagai seorang penggali kubur mampu mencecah sehingga ribuan ringgit.Bukan itu sahaja, imbuhan yang mereka terima juga dikatakan mampu mengatasi gaji bulanan seorang eksekutif.Yang nyata, kenyataan-kenyataan tersebut tidak benar sama sekali dan sekiranya ada pun ia tidaklah sebanyak seperti yang dinyatakan.

Hakikatnya penggali kubur di Wilayah Persekutuan dan Selangor diletakkan di bawah pengurusan pihak berkuasa agama negeri.

Gaji bulanan akan dibayar oleh majikan masing-masing dan mereka tidak menerima lebih daripada yang sepatutnya melainkan diberi atau disedekah dengan ikhlas oleh keluarga si mati.

Malah, hari ini jarang terdapat penggali kubur yang dibayar mengikut kubur yang digali.

Sebaliknya, kelaziman itu berlaku di kawasan kampung-kampung ataupun di tanah-tanah perkuburan yang diwakafkan.Imbuhan tambahan yang mereka terima mungkin dengan menjual batu-batu nisan atau pembinaan pusara.Bagi seorang penggali kubur, Shahrum Baharudin, 37, menggali kubur bukan pekerjaan yang diinginkannya.Tetapi katanya, tugas yang dipikul itu lebih merupakan tanggungjawab kepada masyarakat dan memenuhi tuntutan agama Islam.

Pada asalnya, dia bertugas sebagai penebang pokok di bahagian landskap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Pada tahun 2004 dia ditukarkan untuk menggali kubur.

Cerita anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor, itu, pada awalnya, dia keberatan untuk menerima pekerjaan baru itu.Malah dia pernah menolaknya sebanyak tiga kali gara-gara terpengaruh dengan cerita-cerita yang kurang menarik yang didengar dan dibacanya.Tetapi lama-kelamaan, dia tidak dapat ‘melarikan’ diri lagi dan akhirnya terpaksa menerima tawaran tersebut.

Bagaimanapun, setelah lama bekerja, Shahrum akhirnya dapat menerima tanggungjawab barunya itu. Hari ini dia seronok dengan kerjaya itu.

‘‘Kerja ni nampak macam senang. Hanya gali lubang. Tetapi sebenarnya ia juga memerlukan pengalaman dan kemahiran kerana kita berurusan dengan jenazah. Kita sedia maklum jenazah juga perlu dihormati ketika dikebumikan.

‘‘Saya sebenarnya bernasib baik kerana sebelum saya ditukar kepada pekerjaan hari ini, saya telah mempelajari selok belok bagaimana hendak menggali kubur dan cara mengendalikan jenazah daripada orang lama yang lebih berpengalaman,’’ katanya yang bekerja menggali kubur di Tanah Perkuburan Orang Islam, Seksyen 9, Kota Damansara sejak tujuh tahun lalu.

Bagi Mat Sufian Abd Hamid, 45, pula, dia mula melakukan pekerjaan tersebut seawal usia 20 tahun dan segala-galanya berlaku tanpa dirancang.

Ini kerana, pada awalnya dia hanya membantu bapa mertuanya yang merupakan seorang penggali kubur dan akhirnya menjadikannya sebagai kerjaya tetap sehingga hari ini.

Menurut anak kelahiran Ijok, Batu Kurau, Perak itu, dia telah menjaga Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara, Kuala Lumpur dan tanah perkuburan di Masjid Negara lebih daripada 20 tahun.Baginya, tugas itu bukan sekadar sumber pendapatan, malah menjangkaui tuntutan agama, di samping melaksanakan tanggungjawab kepada Allah S.W.T.

‘‘Mula-mula dulu, sebelum saya diserapkan di dalam kerajaan, elaun yang diterima hanyalah RM381 sebulan dan ini bukan gaji kerana saya hanyalah pekerja kontrak.‘‘Kini, setelah setahun diserapkan di dalam kerajaan, gaji bulanan saya dibayar oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Alhamdulillah, gaji baru ni bolehlah nak sara keluarga,’’ ujar bapa kepada tujuh orang cahaya mata itu.

Tambah Mat Sufian, kerjanya yang merupakan tuntutan agama dan kehendak masyarakat kadang kala membataskan waktunya untuk bercuti bersama keluarga.

Malah, dia tidak pernah bercuti termasuklah pada hari raya.

Begitulah kerja seorang penggali kubur yang tidak mengira pagi, petang, siang atau malam, panas atau hujan kerana jenazah perlu dikebumikan segera.

Katanya, ada kalanya permintaan ahli keluarga sukar ditolak kerana memikirkan keadaan jenazah yang perlu segera dikebumikan, walaupun pada waktu tengah malam.

Yang jelas, menurut kedua-duanya, sepanjang mereka menjalankan tugas belum lagi mengalami perkara-perkara pelik dan menggerunkan.Bagaimanapun, ulas mereka berdua lagi, untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini, mereka perlu melakukan tugas dengan hati yang bersih, di samping menjaga mulut agar tidak celupar. Semua itu penting dalam aspek pengurusan dan pengkebumian jenazah.Yang pasti, walau tidak menjanjikan pendapatan lumayan, namun hasil titik peluh mereka yang dilakukan dengan ikhlas mampu menjanjikan kehidupan yang selesa seperti orang lain.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Org Terengganu Berjaya di Luar Trg - Bina empayar niaga 2 generasi

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Bermula dengan kerja menjual sate sekitar Brickfield, di Kuala Lumpur, satu ketika dahulu, seorang perantau dari Marang, Terengganu berjaya membina empayar niaga yang kini memasuki generasi kedua.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiyWdZrCIbtpIIgDXVy1n4J4KLmJryeZTWjJYpexOxPKY4ZpwudmDDFWX0IZ6_bdQKgpvPMTV-OMZYrq6cxaP2EmCi4MjsVSXM5h7kgUbCodun3YiAr8FlLrOM7_JWyBrVUVyBe3Gu5NmJY/s1600/DSC_7144(r).jpg
(3 JUTAWAN BERJAYA - DATO JAMIL, DATO SANI & Datuk Sharifuddin Musa)


Perantau itu, Musa Ibrahim hanya memiliki pendidikan darjah enam dan berbekalkan kemahiran menjual sate nekad berhijrah ke ibu kota sehelai sepinggang untuk mencuba nasib.

Setelah tiga tahun menjual sate dengan terpaksa meninggalkan isteri dan anak di kampung, beliau berkata untuk membuka restoran impiannya Federal Malay Restaurant, sebuah restoran milik Melayu pertama di Jalan Chow Kit.Pada masa yang sama, restoran itu juga menjadi rumah kepada beliau dan isteri beserta lima anaknya yang mula berpindah dari kampung ke Kuala Lumpur.Hidup di ibu kota tidak seindah seperti yang disangkakan tetapi Musa berpegang kepada prinsip 'pantang mengundur bila kaki sudah melangkah'.

Di restorannya, anak dan isteri hanya tidur beralaskan meja makan di restorannya. Ini kerana tiada tempat tidur disediakan kerana seluruh ruang dimanfaatkan untuk perniagaannya.

Keadaan itu menyemarakkan semangatnya untuk memberikan kehidupan lebih baik kepada keluarganya dan berjaya dicapainya setelah lima tahun berusaha apabila memiliki rumah sendiri di Keramat, dekat di sini.

Meskipun, sudah memiliki perniagaan yang stabil, usahanya tidak terhenti di situ sahaja. Musa mengorak langkah memasuki perniagaan baharu seperti khidmat penyajian makanan dan industri pembuatan batu bata.

Beliau kemudiannya memutuskan menutup restorannya dan menumpukan kepada perniagaan baru dan ternyata percaturan itu mendatangkan hasilnya.Berkat kesungguhan, perkhidmatan penyajian makanan milik Musa berkembang dengan pesat sehingga berjaya mendapat kontrak daripada agensi kerajaan bermula dengan asrama jururawat di Hospital Kuala Lumpur diikuti kolej kediaman Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).Ketika itu, tidak ramai usahawan menawarkan perkhidmatan tersebut dan kualiti perkhidmatannya melalui syarikat yang ditubuhkan iaitu Federal Malay Suppliers Sdn. Bhd. menjadi pujian ramai terutamanya agensi kerajaan.

Selepas itu, beliau turut membina kilang pembuatan batu bata sendiri di Terengganu di bawah syarikat Dendang Bata Industries Sdn. Bhd. dengan pelaburan sebanyak RM60,000.Selepas itu Syarikat Musa Rahman Plastik Sdn. Bhd. pula menyusul dan berjaya mendapat kontrak bernilai RM300,000 bagi membuat barangan plastik untuk hospital kerajaan.

Beliau mencapai tahap kemuncak perniagaannya sekitar tahun 80an apabila berjaya mencatat perolehan tahunan sehingga RM15 juta dan selepas itu beliau menubuhkan syarikat induk iaitu Federal Malay Holdings Sdn. Bhd. (FMH).Musa (kini Datuk Musa) yang merupakan pengerusi FMH merupakan antara antara contoh usahawan bumiputera yang berjaya.

Setelah lebih tiga dekad beliau berkecimpung dalam dunia perniagaan, kini legasi beliau dalam FMH diteruskan oleh anaknya iaitu Datuk Sharifuddin Musa, 38, yang bertindak sebagai Pengarah Urusan.

Seperti mana Musa, Sharifuddin mewarisi kesungguhan dan kecekalan bapanya untuk meneruskan kesinambungan kejayaan FMH ke peringkat lebih tinggi.

Di bawah pengurusan generasi kedua, FMH berjaya mengembangkan operasi dengan mempunyai 10 buah syarikat terbabit dalam industri pembuatan plastik, pembinaan, makanan dan landskap.

Menurut Sharifuddin, anak keenam daripada sembilan beradik yang hanya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini, bapanya merupakan ikon kepada beliau dan adik-beradiknya dalam menceburi dunia perniagaan."Kami adik-beradik diajar untuk berdikari. Saya sendiri bermula dengan membuka perniagaan sendiri sebelum bergabung dengan FMH pada 1999 setelah mendapat kepercayaan daripada ayah."Ayah mahu kami merasai kesusahan dahulu untuk dijadikan pengalaman berguna seperti yang beliau lalui sebelum ini,'' kata beliau.

Kejayaan Sharifuddin telah mendapat pengiktirafan Universiti Malaya apabila memenangi anugerah Usahawan Muda Malaysia 2010 dan dilantik menjadi duta universiti itu melahirkan lebih ramai usahawan muda dari kalangan mahasiswa universiti berkenaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments