1901 jenama tempatan


1901 merupakan produk keluaran 100 peratus Bumiputera yang menitik beratkan soal kebersihan serta kesihatan.

JIKA selama ini anda tidak pernah mencuba hot dog keluaran syarikat Nineteen O One Sdn. Bhd. (1901), apa kata anda mencubanya dan tidak rugi malah ia amat berbaloi.

Ini kerana selain menggunakan daging yang berkualiti, hot dog yang disajikan juga sedap dan ditambah pula dengan sos yang dihasilkan daripada resipi tersendiri.

Pada masa yang sama, 1901 turut menyediakan produk yang mementingkan kesihatan dan ini dibuktikan dengan kesemua makanan di 1901 disediakan secara kukus dan bukan digoreng.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Ekesekutifnya, Tengku Rozidar Tengku Zainol Abidin, misi 1901 ialah menyedarkan pengguna bahawa makanan keluaran syarikatnya adalah 'makanan segera yang sihat' dan menjanjikan ia bebas minyak.

''Semasa memulakan perniagaan ini pada 1997, kami memutuskan untuk memberi pengguna pilihan baru dalam makanan segera yang bukan sahaja sedap dimakan, malah baik untuk kesihatan.''Ini kerana bagi mereka yang menjaga kesihatan seboleh mungkin akan mengelak memakan makanan segera,'' ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Tambah Tengku Rozidar, dengan menggunakan slogan '1901 food for friendship' atau makanan untuk persahabatan, 1901 adalah jenama universal yang bercirikan nilai tempatan.

Ini kerana, kata beliau, sebelum ini penggemar makanan segera sering mengaitkan 1901 sebagai jenama luar dan datang dari Amerika Syarikat.Oleh yang demikian, pihaknya ingin menggubah persepsi itu dan menegaskan bahawa 1901 adalah syarikat tempatan yang dimiliki 100 peratus bumiputera dan semua produk mereka dibuat di Malaysia termasuk sos kecuali sos mustard.

Hari ini dengan mempunyai 80 buah cawangan di seluruh dunia termasuk di Singapura, Beijing dan Jakarta, 1901 diharap dapat dijadikan sebagai produk antarabangsa bercirikan Malaysia.

Umat Islam di Malaysia juga tidak perlu was-was memandangkan syarikat itu adalah 100 peratus milik Bumiputera yang sentiasa memastikan bahawa produk makanannya bersih, selamat dan halal.Selain itu, pembekal sosejnya juga merupakan sebuah syarikat milik Bumiputera yang sentiasa memastikan sosej yang dibekalkan itu berkualiti tinggi.Bagi penggemarpenggemar hot dog, 1901 pastinya memberi pelbagai pilihan kepada anda apabila menyediakan 11 jenis hot dog dan dua jenis burger.

Menurut Rozidar lagi, kini setiap 19 haribulan setiap bulan, 1901 akan membuat promosi di mana hot dog Chicago Beef dan New York Chicken akan dijual pada harga RM2.99 tidak termasuk air.Bagi mereka yang ingin membeli secara set termasuk jus oren, anda cuma dikenakan bayaran tambahan RM1.Jelas Rozidar lagi, promosi tersebut yang dibuat pada setiap bulan akan dijalankan secara berterusan.

''Promosi RM2.99 ini hanya untuk saiz regular sahaja dan ia telah pun bermula tiga bulan yang lalu.''Walaupun ia baru bermula tetapi sebenarnya kempen tersebut telah pun dilaksanakan pada satu setengah tahun yang lalu.''Ia adalah bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membeli dan mencuba produk 1901,'' katanya.Kesemua cawangan 1901 dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam termasuk cuti umum.Jadi kepada mereka yang belum pernah mencuba 1901, apa kata dapatkannya hari ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Bengkel Pesona Humairah


Peserta pada bengkel korporat Muslimah, 'Pesona Humaira' di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MENJAGA imej atau penampilan diri bukan soal kecil yang boleh dipandang remeh. Ia sangat perlu dan penting dalam menjalani urusan kehidupan, apatah lagi bagi wanita Muslim dewasa ini yang turut terdedah dengan globalisasi.

Malah tidak dinafikan, wanita Muslim sekarang ini sudah ada yang berjawatan hebat di organisasi bertaraf antarabangsa, sumbangan dan suara mereka sudah semakin diiktiraf dan didengari, keberanian dan kejayaan mereka dalam lapangan perniagaan serta banyak lagi keterampilan lain.

Justeru tidak hairanlah dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengatakan terdapat peningkatan pembayar zakat wanita antara tahun 2008 dan 2009.

Bagi kutipan tahun 2009, pembayaran zakat oleh pembayar wanita adalah sebanyak RM71 juta berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak RM57 juta, meningkat sebanyak 25 peratus. Manakala bagi bilangan pembayar pula, meningkat sebanyak 16 peratus iaitu 35,646 orang bagi tahun 2009 berbanding tahun 2008 sebanyak 30,769 orang.

Lantas sebagai satu simbol penghargaan pihak PPZ kepada semua wanita yang membayar zakat di institusi zakat tersebut, satu bengkel korporat Muslimah dengan menggunakan tema, 'Pesona Humaira' telah diadakan.

Bengkel yang berlangsung di Impiana KLCC Hotel & Spa, Jalan Pinang, Kuala Lumpur pada 11 Februari lalu telah menerima sambutan hangat di mana seramai 130 orang wanita daripada pelbagai lapangan kerjaya menyertai bengkel separuh hari itu.

"Kebiasaannya, pihak PPZ menganjurkan kaedah berupa seminar zakat dengan kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta tetapi buat julung kalinya bagi menghargai pembayar zakat wanita, pendekatan lain sedikit telah digerakkan.

"Alhamdulillah, sambutannya begitu memberangsangkan. Ini berkemungkinan kerana dua orang panel yang telah diundang iaitu Eksekutif Unit Dakwah di PPZ yang juga penceramah bebas yang tidak asing lagi iaitu Ahmad Husni Abdul Rahman serta Yasmin Siddik, Pengasas Butik Women 2 Women yang juga merupakan seorang perunding imej yang juga tidak kurang hebatnya.

"Harapan PPZ agar hubungan baik yang terbina ini tidak putus setakat berlangsungnya seminar ini. Malah kita juga berharap agar ada di antara peserta ini akan dapat menguar-uarkan kepada teman-teman wanita mereka yang lain atau ditekankan kepada para pekerja mereka soal tanggungjawab dan kewajipan berzakat," terang Ketua Unit Komunikasi Korporat PPZ-MAIWP, Nor Mukshar Harun yang mengakui bahawa potensi wanita yang membayar zakat dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Bengkel tersebut dirasmikan Pengurus Besar PPZ, Rais Alias.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kejayaan IKS menjana ekonomi negara

MODEL Ekonomi Baru (MEB) akan diumumkan pada penghujung bulan depan. Tujuan utama MEB diperkenalkan adalah untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat Malaysia yang kini berada pada lingkungan berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi. Sudah tentu rakyat tertunggu-tunggu apakah mekanisme baru yang bakal diumumkan oleh kerajaan agar tujuan utama MEB ini tercapai. Tanpa dasar ekonomi yang baru, bukan konvensional dan segar, tentulah negara akan semakin terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana.

Melihat balik sejarah lalu, negara kita telah mencapai pertumbuhan yang amat memberangsangkan pada tahun-tahun 1990-an sehinggalah krisis kewangan Asia melanda negara. Ketika itu, pelaburan-pelaburan dari luar negara mencurah masuk ke dalam negara sehinggakan Malaysia dikenali sebagai antara negara yang berpotensi untuk menjadi negara maju. Pelaburan langsung asing (FDI) amat tinggi sekali berbanding dengan negara-negara lain.

Kini, negara kita telah disaingi oleh banyak negara lain. Malaysia tidak boleh lagi berada dalam keadaan statik. Bahkan, Malaysia mesti bergerak lebih pantas lagi berbanding dahulu. Daya saing Malaysia tidak lagi terletak pada kos buruh yang murah. Banyak lagi negara yang mempunyai kos buruh yang lebih murah berbanding Malaysia. Begitu juga, Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada FDI. Lebih-lebih lagi, keadaan ekonomi yang masih tidak menentu dengan rakan dagangan utama Malaysia iaitu Amerika Syarikat (AS) masih lagi tercari-cari formula untuk memulihkan ekonominya.

Persekitaran global telah berubah sama sekali dan memaksa Malaysia membentuk serta mencari mekanisme baru. Atas dasar itu, satu pelan induk perusahaan atau industri kecil dan sederhana (IKS) bagi tempoh 2011 hingga 2020 akan dirangka dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada MEB. Setelah sekian lama, IKS memainkan peranan yang amat penting dalam menjana ekonomi Malaysia. IKS merupakan enjin pelaburan domestik yang mesti diperkukuhkan dan mestilah menjadi peneraju utama ekonomi negara. Sebagai peneraju utama ekonomi negara, IKS sewajarnya berkeupayaan untuk berkembang bukan sahaja dalam sektor domestik negara tetapi juga berjaya melangkaui pelaburan serantau dan global.

Keupayaan-keupayaan IKS yang perlu dipertingkatkan meliputi pengurusan kewangan terbaik, pemasaran yang dinamik dan sokongan logistik yang mantap. Tidak lupa juga, teras daya saing IKS adalah sentiasa memberi ruang kepada seluruh warga IKS berinovasi dan kreatif sejajar dengan strategi-strategi yang ampuh. IKS tidak boleh lagi bergerak sendiri tetapi perlu mempunyai jaringan perniagaan yang meluas merangkumi jaringan dengan sektor swasta yang lain dan juga sektor awam. Tanpa kerjasama yang kukuh dengan kedua-dua sektor ini, IKS tidak mampu untuk berkembang dengan cepat sekali. Umpamanya, sektor awam kini dilihat semakin mesra perniagaan dengan menumpukan kepada penambahbaikan sistem penyampaian yang lebih baik seperti memperkenalkan satu nombor rujukan perniagaan yang dikenali sebagai MyCoID. Perkenalan MyCoID menggambarkan perniagaan mestilah berjalan dengan pantas dan berintegriti kerana setiap saat yang berlalu amat penting untuk warga IKS dan peniaga menjana pendapatan mereka. Kejayaan IKS bukan sahaja menjana ekonomi negara tetapi juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas lagi kepada rakyat Malaysia.

Selain IKS, peranan pelabur-pelabur institusi juga mestilah diperkukuhkan lagi. Mereka mestilah melabur dengan lebih agresif agar dapat memulangkan balik keuntungan yang lebih besar kepada para pendeposit mereka. Mereka tidak seharusnya sekadar berpuas hati dengan memberi pulangan yang lebih kurang sama saban tahun dan akhirnya menyebabkan rakyat beralih kepada pelaburan lain meskipun berisiko tinggi. Maka, tidak hairanlah apabila Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjangkakan kegiatan penipuan menerusi pelaburan dijangka meningkat di kalangan penduduk luar bandar kerana golongan ini akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pelaburan yang kononnya memberi pulangan sehingga 300 peratus. Suatu yang amat menyedihkan apabila penduduk luar bandar ditipu sedangkan rata-rata di kalangan mereka berpendapatan rendah. Selain mendidik mereka mengenai pelaburan, kita juga tidak boleh salahkan mereka seratus peratus kerana sesiapa sahaja akan mudah kelam mata apabila mendengar sesuatu pelaburan mampu memberi pulangan yang amat tinggi berbanding dengan pelaburan yang sedia ada.

Jadi, disyorkan melalui MEB, pelabur-pelabur institusi mestilah memikirkan bagaimana caranya untuk memberi pulangan yang amat tinggi kepada para pendeposit mereka. Sememangnya diakui, selama ini, pelabur-pelabur institusi telah banyak membantu rakyat tetapi bagi memacu ekonomi rakyat dengan lebih tinggi lagi, mereka sewajarnya mencari alternatif pelaburan yang memberi pulangan berlipat kali ganda seterusnya mengurangkan risiko rakyat Malaysia daripada ditipu oleh sindiket pelaburan.

Salah satu caranya adalah mengkaji pelaburan-pelaburan yang berdaya maju melibatkan perniagaan yang kreatif, inovatif dan bernilai tinggi. Jika pelabur-pelabur institusi mampu membayar pulangan yang amat tinggi kepada para pendeposit, mereka bukan sahaja dilihat sebagai bertindak membela nasib rakyat tetapi juga menjayakan agenda kerajaan untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat kepada berpendapatan tinggi melalui pendekatan pelaburan yang lebih dinamik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Jadi Jutawan Sebelum Usia 30 Tahun Matlamat Irfan Khairi Tercapai

Antara kaedah pembelajaran yang digunakan
Termasuk menghadiri beberapa kursus pendek,
Menceduk pelbagai tip menerusi internet, serta
Menjadikan beberapa orang pakar dalam bidang
Pemasaran internet sebagai contoh.

Latar belakang hidup Irfan Khairi yang kini cukup sinonom dengan gelaran 'jutawan internet' tidak banyak berbeza dengan individu lain. Gayanya yang ringkas dan bersahaja langsung tidak mengambarkan kedudukannya sebagai seorang jutawan.

Menurut Irfan, penampilannya banyak dipengaruhi oleh suasana pekerjaan yang dilakukan, berniaga menerusi internet. Pejabatnya di rumah, dan kerjayanya tidak memerlukan dia berurusan dengan pelanggan secara fizikal. Sebab itu penampilannya begitu ringkas.

Jika melihat penampilan Irfan, pasti ramai yang ingin mengikut jejak langkahnya. Bekerja di rumah, tanpa dikongkong oleh pelbagai masalah, seperti yang dihadapi oleh mereka yang menjalankan perniagaan yang lain, atau mereka yang bekerja makan gaji.

Akan tetapi, bagaimana Irfan mampu berada pada kedudukan ini, sedangkan terdapat ramai lagi individu yang turut bertungkus-lumus membangunkan perniagaan mereka di internet.

'Semua ini bukan datang dengan sendiri, sebaliknya saya berusaha keras untuk mencapainya,' jelas Irfan Khairi bersungguh-sungguh.

Di sebalik kisah kejayaan yang banyak dikongsikan bersama menerusi penampilannya dalam media massa dan eletronik tempatan hari ini, tidak ramai yang tahu pengalaman yang pernah dilalui untuk mencapai kejayaan yang dikecap sekarang.

Menurutnya, matlamat untuk menjadi jutawan sebelum mencapai umur 30 tahun berjaya dicapai setelah melalui pelbagai kesukaran.

Menceritakan pengelamannya ketika bekerja di Netmedia, sebuah syarikat Multimedia di Birmingham, selepas tamat pengajian dalam bidang Reka Bentuk Multimedia di Universiti Staffordshire, United Kingdom, Irfan tidak menyembunyikan fakta bahawa dia pernah gagal dalam menjalankan perniagaan di internet secara sambilan.

Penglibatannya dalam perniagaan menerusi internet bermula pada tahun 1999, dengan menawarkan perkhidmatan mereka bentuk laman web, brosur, kulit buku dan sebagainya.

Banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah dihabiskan untuk membangunkan perniagaan tersebut, tetapi hasilnya tidak kelihatan

'Selama setahun saya menghadapi masalah untuk mendapatkan pelanggan, menyebabkan perniagaan yang dijalankan menghadapi kegagalan,' jelas Irfan berterus-terang.

Antara faktor yang dikenal pasti menjadi penyebab kegagalan perniagaan yang dijalankan ialah kelemahan daripada aspek promosi.

'Ketika itu, cara promosi yang dilakukan tidak betul, cara pemilihan produk yang salah, dan sasaran pasaran yang tidak tepat, telah menyebabkan perniagaan yang dijalankan menghadapi kegagalan,' jelas Irfan sambil menceritakan pengalaman awalnya dalam menjalankan perniagaan menerusi internet.

Kegagalan yang dialami menyebabkan Irfan mula belajar tentang selok-belok perniagaan di internet. Hasil penelitiannya, Irfan mendapati bahawa terdapat dua kelemahan utama yang menyebabkan dia gagal. Pertama kaedah promosi yang tidak tepat,. Kedua tidak ada fokus.

'Ramai yang menganggap apabila kita ada laman web dan ada produk, pelanggan akan dating. Namun hakikatnya, jika laman web berkenaan tidak dipromosikan, maka tidak ada siapa yang tahu kewujudannya,' jelas Irfan.

Minat yang mendalam terhadap perniagaan menerusi internet telah mendorong Irfan mempelajari pelbagai perkara tentang pemasaran menerusi internet. Antara kaedah pembelajaran yang digunakan termasuk menghdiri beberapa kursus pendek, menceduk pelbagai tip menerusi internet, serta menjadikan beberapa orang pakar dalam bidang pemasaran internet sebagai contoh. Salah seorang tokoh pemasaran internet yang dijadikan contoh ialah Corey Rudl.

Corey Rudl merupakan presidan dan Ketua Pegawai Eksekutif Internet Marketing Centre, yang memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kaedah untuk menarik kumpulan sasaran kepada laman web yang dibina dan cara untuk menukar aliran pengunjung laman web kepada jualan dan profit.

Irfan menjelaskan, faktor minat, diikuti usaha yang gigih adalah resipi kejayaannya. Pada masa yang sama, pengetahuan tentang selok belok perniagaan yang dijalankan tidak patut diabaikan.

Berbekalkan ilmu dan pengelaman yang dipelajarinya sebelum ini, Irfan telah menyusun semula perniagaannya, dengan hanya bermodalkan kurang daripada RM500. Dalam percubaan yang kedua ini, Irfan lebih bijak memilih kaedah promosi yang lebih sesuai dengan produk yang diketengahkan. Misalnya, Irfan telah memberi tumpuan promosi kepada pasaran Arab bagi menjual peta Malaysia, apabila mendapati produk tersebut mempunyaai permintaan yang tinggi di sana.

Irfan akhirnya berjaya membawa perniagaannya ke landasan yang betul, apabila pendapatannya menerusi perniagaan tersebut meningkat berlipat berkali ganda daripada pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan tetapnya. Hal ini telah mendorong Irfan menjadikan perniagaan internet sebagai kerjaya sepenuh masa. Akhirnya, selepas tiga tahun menjalankan perniagaan, Irfan telah berjaya memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM1 juta.

Walau bagaimanapun, Irfan tidak menafikan bahawa permintaan daripada pengguna tempatan masih amat rendah, ekoran kurangnya keyakinan masyarakat tempatan pembelian menerusi internet.

Ketika ini 90 peratus daripada pelanggannya terdiri daripada pasaran Eropah dan Amerika Syarikat, sementara lebih kurang 10 peratus lagi datang dari negara-negara lain termasuk Malaysia.

'Masyarakat Malaysia masih menganggap transaksi menerusi internet masih tidak selamat, menyebabkan mereka kurang berminat untuk membeli menerusi internet,' jelas Irfan. Walau bagaimanapun Irfan yakin keadaan tersebut akan berubah dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Sehubungan itu, Irfan yakin individu yang sudah memiliki perniagaan di internet hari ini akan mendapat manfaatnya kelak.

Bagi mereka yang ingin menceburi perniagaan ini, Irfan mengingatkan mereka tidak perlu memulakan perniagaan dengan kos yang tinggi. Irfan mendakwa banyak perniagaan menerusi internet mengalami kegagalan kerana dimulakan perniagaan dengan kos yang besar.

'Kos sewa premis perniagaan melibatkan perbelanjaan yang tinggi setiap bulan. Begitu juga kos pembelian produk yang tinggi, sedangkan permintaan terhadap produk berkenaan masih belum dapat dipastikan. Semua ini menyebabkan peniaga sering menghadapi masalah kekurangan modal pusingan,' tegas Irfan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Ekonomi - Pemulihan satu ilusi?

HARAPAN untuk menyaksikan pemulihan ekonomi dunia yang pesat sempena bermulanya Tahun Harimau mungkin tergugat berikutan penemuan daripada salah satu kaji selidik peringkat terbesar yang dilakukan di kalangan akauntan seluruh dunia.

Walaupun kajian Global Economic Conditions Survey yang dijalankan pada suku keempat oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) telah menunjukkan bukti kukuh yang keadaan ekonomi semakin pulih, tetapi tinjauan kali ini telah menarik minat seramai 1,700 orang responden dan ahli-ahli ACCA (akauntan bertauliah) dari 99 buah negara untuk mambayangkan bahawa pemulihan sepenuhnya mungkin mengambil masa yang lebih lama dari yang dijangkakan.

Buat pertama kalinya sejak kajian yang dilakukan oleh ACCA ini dijalankan, ahli-ahlinya melaporkan bukan sahaja terdapat peningkatan keyakinan, dengan lebih separuh (46 peratus) daripada responden percaya situasi ekonomi akan semakin pulih atau sudah pulih, tetapi juga terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa permintaan, serta akses kewangan dan aliran tunai turut bertambah baik. Kaji selidik tersebut juga menunjukkan negara-negara di benua Asia dan Afrika berada dalam landasan yang betul ke arah pemulihan, yang mana para akauntan di benua ini melaporkan keyakinan yang tinggi dan pendapatan yang meningkat, sementara benua Eropah dan Amerika masih cuba mengimbangi pertumbuhan ekonomi mereka.

Bagaimanapun, kadar pemulihan ekonomi global secara hakikatnya adalah semakin perlahan walaupun dengan segala berita baik yang dinyatakan tadi.

Ahli-ahli ACCA di rantau Asia-Pasifik, yang secara konsisten mendahului jalan keluar daripada kemerosotan ekonomi, telah menjadi semakin pesimis sejak suku terakhir, kerana mereka mula mempersoalkan tentang keupayaan ahli ekonomi di Barat untuk terus mengikut rentak ekonomi yang lebih dinamik yang dipraktikkan oleh mereka.

Sementara itu, sebilangan besar pakar kewangan dari seluruh rantau menjangkakan sasaran pertumbuhan yang lemah, yang mana 11 peratus responden mengatakan kejatuhan ekonomi mungkin akan berlanjutan selama tiga tahun lagi atau lebih.

Menurut kajian terbaru ACCA ini, aktiviti pelaburan masih lagi tidak begitu menggalakkan di serata benua dan sektor, walaupun bukti kegagalan pasaran di dalam pembiayaan pelaburan menjadi semakin kurang nyata.

Pengarah Polisi dan Kajian Teknikal, ACCA Dr. Steve Priddy berkata: "Kaji selidik ACCA pada suku keempat ini merupakan yang pertama menunjukkan bukti kukuh bagi pemulihan ekonomi. Walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah profesional kewangan yang bersedia mengakui bahawa kemelesetan ekonomi sudah berakhir, tetapi kebimbangan masih wujud terhadap perkembangan pada tahun yang akan datang. Kebanyakan ahli ACCA menganggap pemulihan ini mungkin hanya suatu ilusi - iaitu ia mungkin boleh dilihat dari suatu sudut, namun ia masih tidak berganjak walau sebanyak mana pun usaha dibuat oleh organisasi mereka ataupun ekonomi domestik yang seakan berkembang."

"Secara keseluruhan, ACCA menjangkakan sekurang-kurang terdapat satu tahun lagi bagi situasi ekonomi yang mencabar, tapi dalam masa yang sama pandangan pesimis dari kaji selidik ini juga berasas (ada benarnya)", kata Steve Priddy.

Gambaran di Asia-Pasifik dan Malaysia: Kesedaran optimis melenyapkan kebimbangan tentang inflasi, kewangan kerajaan.

Pada tahun lepas, rantau Asia-Pasifik telah bangkit kembali dari kejatuhan ekonomi yang berlaku pada penghujung tahun 2008, walaupun pada ketika itu perdagangan dunia menjadi lembap dan hampir terhenti, dan rantau ini mendahului dalam pemulihan ekonomi global. Kaji selidik oleh ACCA turut mencadangkan jika pihak Barat terus gagal bersaing seiringan, ini akan memberi impak negatif terhadap dinamik ekonomi Timur Jauh menjelang tahun tahun 2010

Majoriti akauntan di kawasan Asia Pasifik percaya bahawa kesan terburuk kemerosotan ekonomi telah berakhir seawal musim panas tahun 2009 - sekurang-kurangnya tiga suku lebih awal dari kebanyakan negara Barat. Pada bulan November, 60 peratus daripada 441 responden dari sepuluh negara di rantau Asia Pasifik (berbanding 52 peratus secara global) yakin bahawa pemulihan ekonomi global akan berlaku dalam jangka masa satu tahun atau kurang.

Para akauntan di rantau tersebut mengiktiraf usaha Amerika Syarikat dalam penambahbaikan ekonomi: dan lebih separuh responden (57 peratus) percaya kerajaan mereka telah bertindak secara baik atau sangat baik terhadap kejatuhan ekonomi, berbanding hanya 24 peratus secara global. Tetapi, kebanyakan pihak kerajaan di rantau ini mempunyai kelebihan daripada rantau lain: iaitu beban hutang yang rendah yang membolehkan mereka memberi rangsangan ekonomi yang tegas dan berterusan.

Di Malaysia, bekalan kewangan adalah masih ketat; tekanan terhadap aliran tunai juga lebih nyata di sini berbanding negara lain di rantau Asia Pasifik dan anggaran pertumbuhan pendapatan baru sahaja memasuki angka positif. Terdapat juga persepsi terhadap usaha kerajaan yang dikatakan mungkin tidak memberi kesan walaupun terdapat banyak sokongan dan galakan kerajaan bagi pelaburan baru.

Sesetengah perbezaan ini mungkin boleh dijelaskan oleh situasi fiskal Malaysia yang lebih ketat: 40 peratus dari responden di sini mengharapkan kerajaan (di mana campur tangan kerajaan dianggap kurang popular di kalangan akauntan Malaysia berbanding dengan kerajaan lain di rantau ini) untuk mengurangkan perbelanjaan mengikut keadaan semasa ekonomi. Selebihnya adalah disebabkan oleh krisis kredit yang menyebabkan aliran modal di seluruh negara terganggu - hasil dari kadar mata wang asing yang tidak menentu, dilaporkan 30 peratus dari responden menunjukkan kebimbangan bagi diri mereka dan juga klien-klien mereka. Majoriti daripada 116 responden (52 peratus) dari Malaysia mengharapkan ekonomi global akan pulih dalam masa 12 bulan akan datang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Pelancongan pendidikan makin popular


SITUASI cemas peserta ketika rakit mereka karam di sungai.


BENTONG 16 Feb. - Produk pelancongan berkonsepkan rekreasi pendidikan, berpotensi tinggi untuk dikembangkan di negeri ini memandangkan keindahan alam semulajadi yang luas dan terpelihara serta amat sesuai untuk aktiviti riadah.

Konsep pelancongan menggabungkan rekreasi dan pendidikan merupakan aktiviti yang amat popular di kalangan masyarakat Barat yang dikenali sebagai summer camp atau team building yang menjadi program musim cuti bertujuan membentuk keperibadian individu.

Kini ia semakin popular di negara ini kerana memberi kesan positif kepada masyarakat khususnya golongan pelajar dan belia untuk melancong sambil beriadah serta menjalankan aktiviti motivasi diri di lokasi yang jauh daripada kesibukan kota seperti di hutan dan perkampungan.

Pengarah Pelancongan Malaysia cawangan Pahang, Amran Abdul Rahman berkata, konsep pelancongan seumpama itu semakin mendapat permintaan ketika ini berikutan meningkatnya kesedaran masyarakat terhadap motivasi diri melalui aktiviti pelancongan.

"Justeru program rekreasi tertentu akan dianjurkan dengan melancong ke sesuatu lokasi seperti hutan lipur, taman negara, pulau dan hutan simpan untuk beriadah sambil diterapkan dengan pelbagai elemen pendidikan.

"Dengan berkembangnya trend pelancongan seperti itu, secara tidak langsung ia turut meningkatkan permintaan terhadap lokasi dan infrastruktur bersesuaian bagi memenuhi keperluan kumpulan pelancong terbabit.

"Ia amat berpotensi kepada pengusaha pelancongan di luar bandar seperti di Kampung Janda Baik untuk memanfaatkan pelancongan ini dengan fokus terhadap aktiviti riadah ekopelancongan seperti hutan, bukit, sungai dan air terjun," katanya.

Menurutnya, aktiviti yang menjadi tumpuan pelancongan rekreasi pendidikan adalah seperti meredah hutan, berakit, berkayak, mendaki bukit atau menuruni jurang, perkhemahan dan sesi pengenalan spesies flora dan fauna.

''Kebanyakan pelancong dari kumpulan seperti ini tidak terlalu mementingkan aspek kemudahan penginapan yang sempurna kerana mereka inginkan sesuatu persekitaran yang lebih semulajadi dan mencabar khususnya kepada golongan pelajar universiti," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Amran, pihaknya amat menyokong aktiviti pelancongan sedemikian kerana program pelancongan pelajar merupakan sebahagian daripada tumpuan promosi Pelancongan Malaysia dalam mengembangkan pendidikan pelancongan kepada masyarakat.

Bagaimanapun, beliau menasihati individu yang mengusahakan produk pelancongan seumpama itu supaya memastikan mereka menjalankan perniagaan tersebut secara profesional dengan mendaftar dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkaitan supaya tidak timbul sebarang isu membabitkan pelancong.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Siapa terkaya di Malaysia ?

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Bekas Raja Gula, Robert Kuok Hock Nien terus mengekalkan kedudukan di tempat teratas sebagai orang terkaya di Malaysia apabila nilai kekayaannya meningkat sebanyak RM16.1 bilion kepada RM42.7 bilion.

Tahun lalu, nilai kekayaan Robert Kuok adalah sebanyak RM26.6 bilion.

Tempat kedua dikuasai oleh 'orang kuat' industri telekomunikasi, T. Ananda Krishnan dengan nilai kekayaan berjumlah RM27 bilion manakala tempat ketiga pula jatuh kepada taikun perladangan, IOI Corporation Bhd., Tan Sri Lee Shin Cheng dengan nilai kekayaan sebanyak RM11.92 bilion.

Kaji selidik tersebut dilakukan oleh sebuah majalah tempatan, Malaysian Business bagi terbitan hari ini.

Malaysian Business dalam kenyataannya di sini turut mendedahkan nilai kekayaan 40 orang terkaya Malaysia setakat pada 15 Januari 2010 berjumlah RM156.7 bilion berbanding RM96.3 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu mewakili kenaikan sebanyak 63 peratus.

Katanya, sehingga pertengahan tahun ini, pertambahan nama dalam senarai orang terkaya negara dijangka berlaku sebanyak 50 peratus lagi.

Jelasnya, setakat ini, Malaysia mempunyai 22 orang terkaya, meningkat berbanding pada tahun lalu.

"Nilai kekayaan pada tahun ini secara keseluruhannya menyusut sedikit berbanding 2008, jatuh RM171.9 bilion,'' kata Malaysian Business.

Tokoh perbankan dari Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow pula berada di kedudukan keempat terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak RM10.86 bilion.

Berada di kedudukan kelima terkaya adalah Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM10.38 bilion, manakala tempat keenam diisi oleh Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Group dengan nilai kekayaan RM7.09 bilion.

Usahawan bumiputera dan pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula menduduki tempat ketujuh dengan nilai kekayaan sebanyak RM6 bilion.

Tempat kelapan dikuasai oleh isteri mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, orang kuat syarikat konglomerat hiburan dan perjudian Genting Group, Puan Sri Lee Kim Hua dan tempat kesembilan menjadi milik Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM3.5 bilion.

Menduduki carta ke 10 merupakan tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.

Dua lagi usahawan bumiputera yang berjaya menempatkan diri dalam senarai orang terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Azman Hashim dari Arab Malaysian Corporation untuk mengisi kedudukan ke-11 dengan nilai kekayaan RM2.86 bilion dan Datuk Mokhzani Mahathir dari Kencana Petroleum pada kedudukan ke-20 dengan nilai kekayaan sebanyak RM1.07 bilion.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments