Usahawan Perlu sikap Malu untuk berjaya.


DR. Mahathir Mohamad melihat buku Building Passion With Mustapha Kamal sambil ditemani isterinya, Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, disaksikan Mustapha Kamal Abu Bakar (dua dari kiri) dan Puan Sri Wan Nong Wan Ibrahim (kiri), sewaktu merasmikan pelancaran Menara Mustapha Kamal di Damansara Perdana, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Usahawan bumiputera yang menjalankan perniagaan perlu mempunyai sikap 'malu' untuk berjaya," kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Katanya, sikap tersebut merupakan rahsia kejayaan yang perlu diikuti oleh usahawan terutama para peniaga dan pengusaha Melayu.

''Orang Jepun berjaya sebab mereka 'malu'. Maksudnya jika mereka gagal, mereka akan malu, jadi, mereka akan terus berusaha sehingga berjaya.''Sebaliknya di Malaysia, sikap begini tidak diamalkan, sebagai contoh apabila berlaku sesuatu isu dalam kerajaan yang melibatkan ekonomi atau politik yang merudum menteri tak nak letak jawatan, tak ada rasa malu langsung," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Menara Mustapha Kamal (MMK), Galeri Emkay dan pelancaran buku Building Passion With Mustapha Kamal di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dan isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.Dr. Mahathir berkata, usahawan bumiputera perlu bijak untuk mengambil peluang yang diberikan bagi memperolehi kejayaan yang diingini.''Saya bangga berjumpa orang seperti Mustapha Kamal yang merupakan seorang yang serius dalam tugasnya dan bersungguh-sungguh untuk berjaya.''Sebenarnya, kita boleh lakukan apa sahaja kalau kita betul-betul lakukannya dan pasti kita akan berjaya.''Kalau modal RM1,000, jalankan perniagaan berdasarkan modal yang ada. Ini tidak modal RM1,000 nak perniagaan RM10,000, bila gagal tak tahu malu pula," katanya.

Sementara itu, Mustapha Kamal dalam ucapannya berkata, MMK menggambarkan kemuncak perjalanan perniagaannya secara keseluruhannya yang ditubuhkan sejak 1983.''Kejayaan ini merupakan usaha sama yang diberikan seluruh warga Kumpulan Emkay dan anak syarikat," katanya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Mesin mengasing biji durian


Menggunakan mesin membolehkan kerja-kerja mengasingkan biji durian dilakukan dengan lebih mudah dan bersih.

RAJA buah, durian (Durio zibethinus L). adalah salah satu buah yang sangat digemari di kalangan rakyat negara ini. Aromanya yang menggoda, menjadikan buah ini menjadi popular dimakan segar.

Selain itu, isi durian diproses untuk menghasilkan bermacam-macam jenis makanan seperti dodol wajik, coklat, gula-gula, sos dan bahan perisa.

Bagaimanapun, apabila tiba musimnya buah menjadi terlalu banyak dijual di tepi-tepi jalan dan harganya akan merudum.

Pada masa sama, industri durian lebih tertumpu kepada penjualan buah mentah dan tidak ada mesin khas atau alat khas untuk pemprosesan secara besar-besaran.Pemprosesan besar-besaran merujuk kepada bagaimana mengasingkan biji durian dengan isinya yang selama ini dilakukan secara manual.Kerja-kerja ini memerlukan tenaga yang ramai dan mengambil masa yang lama dan rumit.Di samping itu, pes durian yang diperoleh cara ini juga kurang bersih dn sudah tentu tidak menepati piawaian kebersihan makanan yang ditetapkan.

Oleh itu, selaku, peneraju dalam teknologi dan mekanisasi pertanian dan teknologi makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan satu inovasi mesin yang dikenali sebagai Mesin Pengasing Biji Durian.

Ciri-ciri mesin

Mesin dibangunkan untuk memekanisasikan proses pengasingan biji durian. Durian telah digunakan dalam penghasilan pelbagai produk makanan yang berperisa durian seperti dodol durian, ais krim, kuih dan sebagainya.*Bahagian utama mesin ialah mekanisme drum yang diperbuat daripada jaringan rod keluli tahan karat. Drum yang berputar ini menggunakan prinsip daya emparan untuk melepaskan biji daripada isi tersebut.

*Sistem penyembur angin berkelajuan tinggi digunakan untuk membersihkan isu durian yang melekat pada rod-rod tersebut.*Mesin ini hanya memerlukan seorang pengendali dan tidak memerlukan kemahiran tinggi untuk mengendalikannya.*Mesin ini digerakkan oleh motor dengan kelajuan boleh laras.*Bahagian-bahagian mesin mudah dipasang dan dileraikan serta mudah dicuci dan diselenggara.*Pemprosesan boleh dilakukan secara berterusan untuk pengeluaran pes yang maksimum.*Boleh memproses sehingga 150 kilogram (kg) isi (ulas) dalam masa sejam.

Penggunaan

*Pengendali memasukkan lebih kurang lima kg ulas durian ke dalam bekas (hopper) pengisian.*Kemudian, mesin dihidupkan dengan kelajuan yang dimasukkan sederhana tadi akan berguling di dalam drum yang berputar.*Selepas lebih kurang lima minit, sebahagian daripada biji durian akan terkeluar dengan sendirinya daripada mesin ini bekas (hopper) outlet biji.*Isi durian atau pes dikumpulkan dalam hopper outlet.*Biji-biji durian yang tertinggal boleh dikeluarkan secara manual dan proses ini diulangi untuk ulas-ulas seterusnya.

Keistimewaan

*Mesin ini direka khas untuk pemprosesan is durian kerana kebanyakan mesin pengasing biji yang terdapat di pasaran di reka untuk pelbagai jenis buah, tetapi jika digunakan untuk durian, hasilnya tidak begitu memuaskan.*Pes durian yang hasilkan tidak mengandungi serpihan biji-biji durian.*Pes durian yang dihasilkan lebih bersih. Mesin inj mengelakkan berlakunya pencemaran pada pes, dengan meminimumkan pengendalian secara terus.*Kadar perolehannya lebih tinggi berbanding penggunaan mesin pengasingan serbaguna yang terdapat di pasaran.*Lebih kurang 60 peratus biji durian dapat dikeluarkan daripada mesin dengan sendirinya.

Potensi komersial

Mesin ini sesuai digunakan oleh usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang juga berperanan sebagai sebagai peraih/penjual buah durian mentah.Pemprosesan buah durian kini boleh dijalankan untuk dibekalkan kepada industri pemprosesan hasilan durian di pasaran.Kos pengeluaran boleh dikurangkan kerana mesin ini sangat mudah digunakan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Keistimewaan Jeli Kelapa To' Wan


WAN Yahya (kanan) bersama produk jeli kelapa yang semakin mendapat permintaan tinggi.

BERMACAM-MACAM jenis pekerjaan pernah dilakukan oleh Wan Yahya Wan Abdullah, 46, sebelum beliau terlibat secara serius dalam perniagaan jeli kelapa. Beliau yang berasal dari Kelantan pernah bekerja di kedai runcit selama sepuluh tahun, menjadi jurujual dan juga berkhidmat bersama syarikat Pernas Edar.

Walau apa pun kerja yang dilakukan, baginya keikhlasan merupakan elemen paling penting agar rezeki yang halal dapat diperolehi bagi menyara diri dan keluarga.

Mengakui gaji yang diperoleh ketika melakukan kerja-kerja tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga, Wan Yahya mula memikirkan cara bagaimana untuk menambah pendapatan agar taraf hidupnya meningkat ke tahap yang lebih baik.Idea menghasilkan jeli kelapa sebenarnya tercetus pada tahun 2004 setelah beliau mendapati terdapat banyak pokok kelapa terbiar di sekitar taman perumahannya di Gua Musang, Kelantan.Beliau mengambil peluang menggunakan kelapa-kelapa itu untuk menghasilkan jeli kelapa dan dijual di pasar yang berhampiran.Pada peringkat awal, hasil jualannya telah menyumbang pendapatan sebanyak RM60 sebulan.Selepas beberapa bulan berniaga, beliau mendapati produk tersebut menerima sambutan yang sangat menggalakkan.Akhirnya, pada awal tahun lepas, beliau mengambil keputusan untuk berpindah ke Rawang, Selangor bagi mengkomersialkan perniagaannya dengan lebih serius.

Bermodalkan RM250, Wan Yahya telah membeli segala peralatan seperti membeli bekas penyejuk, membuat banner, pelekat dan juga mendaftarkan syarikat di bawah penjenamaan Jeli Kelapa To' Wan.''Selama enam bulan saya perlu berjimat cermat kerana keuntungan yang diperoleh perlu digunakan untuk pusingan modal perniagaan ini.''Selain itu, saya juga perlu membayar sewa dua buah rumah sebanyak RM150 sebulan yang digunakan sebagai tempat operasi penyediaan jeli kelapa,'' katanya ketika di temui di rumah tersebut di Bukit Beruntung, Selangor baru-baru ini.Pada peringkat awal, beliau memasarkan jeli kelapa di sekitar Pasar Taman Sentosa dan juga Damansara.

Beliau turut mendapat tempahan daripada sekolah-sekolah dan juga restoran-restoran di sekitar kawasan perumahannya selain membekalkannya kepada Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).Untuk memenuhi permintaan tersebut, Wan Yahya dibantu oleh dua orang rakannya bagi kerja-kerja mengupas, memasak, memasukkan ke dalam bekas, menghantar kepada pelanggan serta menjual di pasar.Secara purata, beliau menghasilkan sebanyak 600 hingga 700 gelas jeli kelapa sehari yang dijual dengan harga RM1 untuk gelas besar dan 60 sen untuk gelas kecil.

Untuk pasaran di koperasi sekolah-sekolah pula, beliau menjualnya dengan harga 80 sen segelas dengan penghasilan sebanyak 200 gelas sehari.''Selain itu, kita juga ada menerima tempahan membekalkan jeli kelapa untuk majlis perkahwinan serta kenduri dengan harga 30 sen satu gelas.''Biasanya, pesanan akan meningkat ketika bulan puasa dan juga hari raya di mana lebih kurang 1,500 gelas sehari akan dihasilkan sehari,'' kata ayah kepada empat orang anak ini.Dari segi bekalan kelapa, Wan Yahya memperolehinya daripada dua orang pengusaha ladang kelapa yang terletak berhampiran rumahnya dengan harga RM1.30 sebiji.Untuk memastikan kelapa yang berkualiti digunakan untuk membuat jeli berkenaan, stok kelapa akan di simpan untuk jangka masa dua hingga tiga hari sahaja.

Bagi mengekalkan keenakan dan keaslian rasa jeli kelapa, Wan Yahya mempunyai petua serta resipinya tersendiri.Ketika menyediakan jeli tersebut, beliau akan memasak dengan sukatan satu tong penuh air kelapa yang di campur dengan setengah tong air masak, agar-agar, gula mengikut rasa, sedikit garam serta di kacau bersama daun pandan.Jeli yang siap di masak akan dituang ke dalam bekas yang telah dimasukkan isi kelapa dan dibiarkan membeku sendiri sebelum dimasukan ke dalam bekas ais.Wan Yahya memberitahu, antara cabaran membuat jeli tersebut adalah untuk mengekalkan rasa buah selain mengekalkan harganya yang murah.''Bagi saya apa yang paling penting adalah perhubungan baik dengan pelanggan agar mereka berpuas hati dengan produk kita.''Biarlah kita tawarkan harga murah asalkan kualitinya baik. Dengan cara itu, saya yakin pelanggan akan terus menyokong dan membeli produk ini.'' katanya.Di samping itu, beliau juga berpegang kepada prinsip bersedekah kepada pelanggan agar perniagaannya terus diberkati.

Bagi memudahkan pelanggan, jeli kelapa yang telah siap akan dihantar terus ke rumah atau kedai mereka.Dari segi pemasaran, beliau mengambil pendekatan menampal pelekat nama syarikatnya serta cara untuk dihubungi agar orang ramai mudah untuk membuat tempahan.

Bagi menambah kemahiran dalam perniagaannya, beliau ada menghadiri kursus latihan dan bimbingan anjuran persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).''Kita perlu selalu belajar tentang sesuatu yang baru kerana jika kita rasa kita sudah pandai, sebenarnya ada orang lebih pandai daripada kita,'' katanya.Selain itu, pada masa akan datang, beliau juga bercadang untuk membuat pinjaman perniagaan daripada Agrobank untuk memperluaskan perniagaannya.Dana tersebut akan digunakan untuk menyediakan tapak kedai yang lebih luas dan selesa serta membeli peralatan yang lebih moden untuk mempercepatkan proses penghasilan jeli kelapa.Ketika ini, beliau sedang mencari wakil jualan di setiap kawasan sebagai usaha membantunya memperluaskan pasaran.Justeru, mereka yang berminat untuk menjadi wakil jualan atau membuat tempahan, Wan Yahya boleh dihubungi melalui talian 019-2031749 atau 017-4388674.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Mempelbagaikan hasil kelapa


Othman Khalid dan Sapura Nazri menunjukkan produk kelapa yang dihasilkan.

BERMULA sebagai peraih kelapa pada tahun 1998, Othman Khalid kemudian terfikir untuk menghasilkan kerisik. "Saya mendapat idea membuat kerisik semasa ke Kuala Lumpur dan Selangor dan mendapati permintaan terhadap kerisik amat menggalakkan.

"Ketika itu saya mengambil keputusan membuat kerisik secara manual bagi pasaran sekitar Bagan Datoh, Perak sahaja," katanya yang mendapat galakan daripada isterinya, Sapura Nazri.

Pada peringkat permulaan, pasangan suami isteri ini menghasilkan kira-kira 20 kilogram kerisik tetapi menambahkannya apabila permintaan semakin menggalakkan terutama semasa musim cuti sekolah dan perayaan.

Permintaan yang menggalakkan memerlukan mesin bagi mempercepatkan pengeluaran dan penghasilan produk.Justeru pasangan ini berjaya mendapatkan pinjaman daripada Agro Bank bagi membeli mesin yang boleh menghasilkan kerisik sehingga satu tan.Memandangkan komitmen besar yang diberikan dalam usahanya, Jabatan Pertanian memberikan sumbangan dalam bentuk pembinaan bengkel.Ekoran permintaan yang semakin bertambah, beliau kemudian meningkatkan bilangan mesin daripada dua kepada lima buah bagi memantapkan lagi operasinya."Apabila usaha semakin menampakkan hasil, kami menghadirkan diri pula mengikuti pelbagai kursus melibatkan industri hiliran kelapa anjuran Jabatan Pertanian bagi input manakala teknologi dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Di sana, kami didedahkan dengan industri penghasilan minyak kelapa dara (VCO), jeli kelapa, santan dan nata de coco," katanya semasa ditemui di bengkelnya di Kampung Sungai Betul, Bagan Datoh, Perak, baru-baru ini.Bengkel penghasilan produk kelapa yang bersaiz 60 kaki x 20 kaki itu berupaya mengeluarkan 100 liter VCO, satu tan kerisik, 500 hingga 600 kilogram (kg) nata de coco dan 150 hingga 200 kg santan sebulan.Sebagai peraih kelapa, Othman mudah mendapatkan bekalan kelapa dan beliau mempunyai kelebihan memilih kelapa yang sesuai untuk setiap produknya.Misalnya kelapa yang telah matang digunakan untuk menghasilkan VCO, kerisik dan santan, manakala kelapa muda pula untuk menghasilkan nata de coco dan jeli kelapa.

Tidak mahu statik dengan hanya lima produk saja beliau mula mempelbagaikan produk VCO dengan menghasilkan minyak rambut, sabun serta beberapa produk kecantikan seperti krim malam dan losen tangan dan badan.Othman berkata, minyak rambut daripada VCO mempunyai kelebihan mencegah uban serta menguatkan akar rambut bagi mengelakkan rambut gugur.Mencari pasaran bukanlah sesuatu yang sukar bagi Othman apabila produknya telah berjaya dimasukkan dalam risalah pocketshop yang diedarkan di seluruh negara.Selain itu beliau juga mendapatkan bantuan pemasaran dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Dengan cara ini membolehkan hampir semua produk hiliran kelapa saya dipasarkan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.Beliau yang gemar mendapatkan maklumat mengenai kelapa di Internet berkata, kelapa bukan saja terhad untuk masakan dan makanan tetapi kesihatan, perubatan, arang teraktif dan kraftangan."Bagaimanapun masih terlalu banyak kegunaan kelapa yang masih belum diterokai di negara ini misalnya arang daripada tempurung kelapa amat sesuai digunakan sebagai penapis dan boleh digunakan dalam pembakaran barbeku kerana kurang mengeluarkan asap," katanya.Lebih membanggakan apabila bengkel yang diuruskan telah dipilih sebagai pusat pengumpulan produk industri kecil dan sederhana (IKS) bagan Datoh di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu usahawan lain memasarkan produk mereka.

Othman boleh dihubungi di 013-4540484 atau 019-4056711

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

usahawan kek


Tuminah Siran (kanan) bersama anaknya, Hanizah Baharuddin (kiri sekali) dan Chef Faizal Ibrahim.

MEREKA yang telah biasa bekerja daripada muda hingga ke usia persaraan pastinya bingung memikirkan apakah yang hendak dilakukan setelah bersara nanti.Sudah tentu tidak betah duduk sahaja di rumah kerana ini akan membuatkan tubuh semakin lesu, tidak aktif dan boleh mengundang pelbagai jenis penyakit pula.

Bagi Tuminah Siran, 60, dia telah membuat perancangan sendiri agar usia persaraannya diisi dengan aktiviti yang tidak membosankan dan dalam masa yang sama mampu memberi pendapatan.Bermula daripada masih bertugas sebagai pembantu tadbir selama 32 tahun di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Tuminah telah pun membuat kek dan biskut untuk kawan-kawan.

''Ketika masih bekerja lagi saya kerap mengikuti kelas membuat kek dan biskut bagi menambah pengetahuan. Dalam masa yang sama, saya sering mendapat tempahan daripada kawan-kawan di pejabat,'' kata Tuminah yang ditemui di kedainya, Kedai Kek Bukit Idaman, Bukit Idaman, Selayang, Selangor baru-baru ini.Tambahnya, perniagaan daripada rumah itu telah dimulakan sejak tahun 80-an lagi. Bagaimanapun sebaik bersara pada 2002, dia terus membuka kedai kek yang dimiliki bersama suaminya, Baharuddin Kasran.Bermodalkan RM100,000, kedai kek keluarga ini turut diuruskan oleh anak bongsunya, Hanizah dan suaminya, Mahathir Mohd.

Hanizah yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan minat yang mendalam terhadap perniagaan tersebut dan sanggup membantu ibunya sepenuh masa menguruskan kedai.''Kek dan biskut kami benar-benar mengikut resipi home made. Walaupun perlu dibuat dalam jumlah banyak, kami tetap menggunakan resipi sama, tidak dikurang atau dilebihkan. Ini bagi mengekalkan rasanya.

''Jika perlu dibuat dalam jumlah besar, paling banyak pun, bancuhan dibuat dalam empat kali adunan agar rasa biskut atau kek tetap konsisten,'' ujar ibu kepada tiga orang anak ini lagi.

Menurut Tuminah lagi, walaupun produk biskut dan kek keluarannya tidak menggunakan pengawet namun ia boleh tahan sehingga tiga bulan.Katanya, kek coklat lembap paling digemari pelanggan selain biskut tat nanas di mana intinya dibuat sendiri dan bukan menggunakan inti dalam tin.''Untuk raya yang baru lalu, kami membuat 10 jenis biskut seperti tat nanas, almond london, arabian cashewnut, coklat cip, cornflakes crunchy, makmur, jejari emas dan mazola.''Selain itu, kuih-kuih tradisional seperti baulu, buah rotan, kuih ros dan maruku kacang hijau sentiasa ada sepanjang masa,'' jelasnya yang dibantu oleh Chef Faizal Ibrahim dan empat orang pekerja.Tuminah juga membuat kuih-muih sejuk beku seperti donut, karipap dan popia serta pastri yang dibekalkan kepada katerer atau dihantar ke kedai-kedai sekitar Putrajaya.

''Saya amat berterima kasih kerana mendapat kerjasama dan bantuan mesin daripada Jabatan Pertanian serta sokongan berbentuk kursus pemprosesan makanan daripada Kemas Wilayah Persekutuan,'' kata Tuminah yang kini mempunyai kedai cawangan di Paya Jaras Dalam, Selangor.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Mudahnya buat kek


KEK yang dihasilkan menggunakan tepung kek Mamastoves.

GOLONGAN wanita yang gemar ke dapur bagi mencuba pelbagai resipi kek kini tidak perlu gusar keadaan dapur bersepah dengan tepung serta kulit telur merata-rata ketika menghasilkan sebiji kek.

Ini kerana dengan adanya tepung kek Mamastoves, proses membuat sebiji kek menjadi lebih mudah dan tidak banyak kerenah.

Pengusaha tepung kek Mamastoves, Norunishah Ridzwan, 37, berkata, pengalamannya sejak dari zaman remaja membuat kek mendorong beliau bereksperimen menghasilkan tepung kek yang mudah, murah serta sedap.

"Ibu saya boleh dikatakan 'pakar' membuat kek di kampung kami di Alor Star dan sejak remaja lagi saya sudah membantu ibu membuat kek di dapur."Dengan ilmu yang diturunkan oleh ibu ditambah pengalaman selama 23 tahun membuat kek saya berjaya membuat tepung kek yang mudah diadun oleh sesiapa sahaja termasuk remaja yang ingin menghasilkan kek istimewa untuk hari lahir ibunya," jelasnya.

Beliau mengakui, minat, ketekunan, pengalaman ditambah dengan inovasi mendorongnya menghasilkan tepung kek sendiri.Malah ibu kepada enam cahaya mata ini memilih meneruskan legasi ibunya dalam pembuatan kek kerana mahu dekat dengan anak-anak sambil menambah pendapatan keluarga.Justeru beliau beroperasi dari dapurnya sendiri yang terletak di kediamannya di Bukit Beruntung, Selangor."Memang banyak tepung kek segera di pasaran, tapi saya mencari kelainan dengan menambah tepung kek span yang belum lagi ada di pasaran.

"Selain itu bahan-bahan yang digunakan untuk membuatkan kek ini semuanya saya kumpul dan campurkan sendiri. Tepung ini juga mampu bertahan selama enam bulan dan bagi yang baru pertama kali mencuba buat kek pasti jadi," jelasnya.Norunishah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perhubungan awam dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, memanfaatkan ilmu tersebut dengan cara mempromosikan perniagaannya ke seluruh Malaysia.Semuanya dilakukan menerusi promosi menerusi blog http://mamastoves.blogspot.com yang nyata relevan dengan pasaran kini.Norunishah berkata, tepung kek ini boleh dibancuh tanpa perlu menggunakan mesin penguli kek."Pukul dengan tangan pun boleh mendapatkan hasil yang baik, cuma kek span perlukan mesin kerana ia perlu betul-betul 'ringan'," ujarnya yang boleh dihubungi pada talian 016-2586694.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Rohani jutawan syarikat binaan


ROHANI menggemari busana hasil kreativiti Radzuan Radziwill.




PRINSIP hidup yang diamalkan wanita bersemangat waja ini senang sahaja. Tiada jalan mudah untuk mengecapi kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Setiap cabaran dan dugaan yang mendatang tidak harus dijadikan batu penghalang dalam meniti kejayaan, sebaliknya ia dijadikan panduan supaya diri tidak tergelincir sekiranya sudah berada di puncak.Itulah pegangan pemilik sebuah syarikat pembinaan, Rohani Baba, 53, dalam usaha meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan yang berjaya.Menurutnya, kesabaran dan disiplin adalah aset utama yang menjadi pegangannya sebelum mengambil keputusan menceburi bisnes bersama suami tercinta, Noorman Ismail dengan menubuhkan syarikat Rohani Baba Sdn. Bhd. pada tahun 1979.

“Pada awalnya kami sememangnya tiada langsung kepakaran dalam bidang ini. Saya pula setakat tamat sekolah menengah sahaja.

“Suami pula mengambil jurusan seni bina ketika belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur,” ujarnya.

Buka syarikat selepas kahwin

Pada usia 25 tahun, Rohani mendirikan rumah tangga bersama Noorman.Menurutnya: “Saya dan suami ambil keputusan untuk menubuhkan syarikat bisnes kami itu tidak lama selepas bergelar suami isteri.”Ibu kepada dua orang anak ini membuktikan walau dengan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia juga mampu mencipta kejayaan sepertimana golongan berpendidikan tinggi yang lain.Menjadikan suaminya sendiri sebagai ikon untuk terus berada di ambang kejayaan, Rohani kini sudah mampu tersenyum bangga melihat segala kemewahan yang berjaya diraihnya hasil kerja keras dalam bisnes yang diusahakannya selama ini bersama suami tercinta.Kejayaan syarikat miliknya menjana keuntungan mencecah berjuta-juta ringgit, hasil daripada projek yang kebanyakannya diperoleh daripada sektor kerajaan, Rohani bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk berada di dalam bisnes tersebut.“Seingat saya, projek pertama yang kami dapat ialah projek bernilai RM10 juta di Pulau Pinang. Ketika itu kami dapat tender untuk membina bangunan untuk kuarantin barangan.“Bermula dari situ, kami mula berusaha untuk mendapatkan lebih banyak projek,” katanya.

Projek mega RM25 juta

Menurut Rohani, antara projek yang diusahakan syarikatnya termasuklah membina masjid, sekolah, asrama dan juga bangunan-bangunan kerajaan.

“Projek terbesar yang pernah diperoleh syarikat kami bernilai RM25 juta,” akuinya.


ROHANI dan suami menghadapi saat susah dan senang bersama.


Dalam pada itu, Rohani memberitahu, cabaran terbesar dalam meluaskan empayar perniagaannya ialah ketika negara menghadapi krisis ekonomi pada tahun 1998.“Saya dan suami terpaksa mengerah keringat siang dan malam demi memastikan bisnes yang kami usahakan tidak terhenti begitu sahaja.“Saya tak nafikan bisnes kami agak teruk ketika itu, terutama disebabkan tekanan yang timbul daripada beberapa masalah.“Selain daripada kesukaran mendapat projek baru, dalam perniagaan, biasalah, mesti ada yang tak suka dan dengki. Ada sahaja pihak yang cuba mencantas projek yang diusahakan syarikat kami itu. Namun, alhamdulillah rezeki tetap ada walaupun banyak halangan,” luah Rohani.

Tambahnya: “Biarpun begitu, saya bersyukur kerana suami saya seorang yang sangat tabah. Dia banyak bersabar dan dengan hasil usahanya yang tanpa mengenal erti jemu, perniagaan kami sekeluarga dapat diselamatkan.”

Setia dengan Radzuan Radziwill

Menyentuh pula mengenai gaya hidupnya, Rohani dengan rendah diri menyatakan semua yang diperolehnya hari ini adalah rezeki yang telah diberikan oleh Tuhan.Berbicara lanjut, Rohani menegaskan dia tidak gemar membeli barangan dari jenama luar negara.“Saya bukanlah seorang yang suka membeli-belah. Kesemua pakaian saya dibuat di butik Radzuan Radziwill, Saya sendiri pun dah selesa dengan rekaan dia sejak dulu lagi dan setia dengan Radzuan seorang sahaja. Barangan rumah termasuk langsir pun dia yang jahitkan.

“Kalau melancong pula memang jarang. Kali terakhir kami melancong ke luar negara ialah pada tahun 1990, di London. Sejak itu kami tidak lagi melancong sebab masing-masing sibuk kecuali jika ada kelapangan kami akan terbang ke Indonesia,” tuturnya yang memiliki hobi menanam bunga.Sebagai usahawan, ibu dan isteri, Rohani tidak menafikan kadangkala dia juga berhadapan dengan masalah pembahagian waktu.


SUAMI menjadi ikon buat Rohani untuk berjaya dalam bisnes.


Walau bagaimanapun, Rohani lebih memberi penekanan kepada keluarga dengan memperuntukkan waktu lapang sebagai waktu bersama insan-insan yang amat disayanginya itu.Rohani ternyata bukan sahaja berjaya sebagai usahawan, tetapi juga sebagai seorang ibu. Ia terbukti apabila kedua-dua anaknya kini dipertanggungjawabkan mengendalikan syarikatnya itu.“Anak sulung saya, Neiry kini memegang jawatan sebagai pengarah urusan syarikat, sementara anak bongsu saya pula, Reyni sebagai salah seorang pengarah syarikat,” ujarnya.

Menjadi harapan kepada wanita ini untuk membuka cabang bisnes baru seperti butik ke seluruh negeri di Malaysia. “Saya berazam untuk membuka sebuah butik yang berkonsepkan pakaian muslimah bagi keperluan wanita,” akhirinya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments