Cabaran Usahawan

ANDA bercita-cita menjadi usahawan dan mahu menguji kualiti yang ada dalam diri? Ruang untuk anda mencuba terbuka - Cabaran Keusahawanan Malaysia atau Malaysian Entrepreneur Challenge (MEC) kini kembali! MEC adalah acara pemasaran berprestij di mana kali ini, pasukan dari kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan orang ramai yang memiliki ciri peniaga dan usahawan bersaing merebut gelaran juara MEC 2009.

Antara cabaran yang menanti peserta MEC 2009 ialah bengkel keusahawanan MEC; pertandingan dan persembahan jenama; jelajah maskot; penyerahan projek dan pembaikan; percubaan produk baru dan persembahan video. Nilai hadiah yang ditawarkan sepanjang acara ini lebih RM100,000 termasuk peluang mendapatkan kerja kerja, seminar transformasi minda, kursus dan cabutan bertuah.

Ada dua kategori yang dipertandingkan pada MEC 2009. Cabaran pertama ialah menghasilkan video komersial di mana peserta perlu merakamkan video komersial bagi sesuatu produk atau perkhidmatan dalam tempoh maksimum 90 saat.

Peserta akan diadili dan dinilai dari aspek kejelasan, kreativiti, kualiti dan tarikan. Pemenang akan menerima hadiah baucer penginapan percutian antarabangsa selama lima hari empat malam bernilai RM2,800 serta wang tunai RM500.

Paling menarik, pemenang akan dipilih sendiri penonton yang mengunjungi laman www.TheChallenge.com.my. Mereka akan mengundi secara online untuk kategori terbaik, paling kelakar dan paling kreatif.

Cabaran kedua menanti peserta dalam bengkel keusahawanan selama dua hari. Bengkel ini berkonsepkan ‘tenaga tinggi, impak tinggi’ yang mempraktikkan teknologi ‘On-The-Spot & Accelerated Learning untuk golongan usahawan baru serta individu yang mahukan pencapaian tinggi.

Peserta didedahkan rahsia menjadi usahawan sebenar, strategi memulakan perniagaan tanpa kos dan taktik membina keyakinan. Untuk makluman, mereka yang mahu mengikuti bengkel keusahawanan berimpak tinggi seperti ini perlu membayar sehingga lebih RM2,470 seorang.

Namun, sempena MEC 2009, cabaran dalam bentuk latihan keusahawanan hanya mengenakan bayaran RM180 seorang atau RM280 untuk tiga peserta. Bagaimanapun, bengkel keusahawanan ini hanya membuka tempat kepada 200 orang bakal usahawan.

Apa yang menarik, peserta yang gagal memenangi sebarang tempat tetapi menunjukkan prestasi baik akan disenarai pendek bagi mendapat peluang kerjaya dan perniagaan. Ini kerana pelbagai syarikat korporat akan menilai prestasi anda sepanjang bengkel dua hari ini.

Pada hari pertama bengkel keusahawanan ini, peserta akan didedahkan dengan gambaran keseluruhan sektor keusahawanan; cara pemikiran; perubahan cara berfikir dan persepsi kewangan. Pada hari kedua, program ini akan menyentuh soal permulaan perniagaan dan pemasaran.

Peserta akan diuji soal kepemimpinan dan kerjasama berpasukan; kreativiti dalam mencipta slogan dan logo; strategi penjenamaan; keunikan dan tarikan; strategi pemasaran; persembahan dan pengucapan awam; kemahiran jualan dan promosi secara langsung.

MEC yang dicetuskan Jurulatih dan Perunding Pemasaran dan Penjenamaan tempatan, Kenneth Tai diperkenalkan tahun lalu sempena sambutan kemerdekaan negara ke-51.

Tahun ini, MEC 2009 diadakan sempena Minggu Keusahawanan Global (Global Entrepreneurship Week atau GEW) yang akan disambut pada 16 November depan. Dianggarkan, lebih lima juta orang dari seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam 14,482 aktiviti keusahawanan di 75 negara. Di Malaysia, GEW disokong Kementerian Pengajian Tinggi.

Maklumat mengenai MEC 2009 boleh didapati dengan melayari www.TheChallenge.com.my.

INFO: Antara pengisian bengkel dua hari MEC 2009

  • Bagaimana dan apa yang perlu anda lakukan sebelum memulakannya
  • Bagaimana untuk mencapai matlamat perniagaan dalam tempoh tiga tahun atau kurang
  • Bagaimana memulakan perniagaan dengan kos rendah
  • Idea perniagaan terbaik
  • Aktiviti yang menjamin kecemerlangan
  • Bagaimana mencapai apa saja dalam hidup
  • Bagaimana mendapatkan dana dengan kadar faedah terendah
  • Pendekatan sebenar dan praktikal yang akan menyingkirkan batasan dan membina keyakinan
  • Menulis perancangan perniagaan dalam tempoh 10 minit
  • Pendedahan kepada trend dan peluang perniagaan
  • Menangkap pemikiran keusahawanan anda
  • Belajar taktik sebenar sambil menghasilkan wang

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Nilai ukiran kayu Melayu


nasir Ismail tekun dan teliti ketika membuat ukiran kayu bagi mendapatkan hasil berkualiti.

MARANG 7 Okt. - Negeri Terengganu sememangnya terkenal dengan pelbagai produk kraf tangan seperti batik, songket, ukiran tembaga dan ukiran kayu. Hampir kesemua produk dari negeri itu telah melangkau ke seluruh dunia di mana ia membuktikan produk dari Malaysia turut diminati masyarakat negara luar.

Beberapa tahun dahulu kita turut berasa bangga apabila seni ukiran kayu Melayu dipilih menjadi penghias dalaman untuk sebuah auditorium di Universiti Oxford, antara universiti berprestij di dunia.Ukiran daripada kayu bermotifkan awan larat itu akan menghiasi tingkap anjung, pintu utama, birai tangga dan dinding auditorium utama dan galeri di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) yang pembinaannya dibiayai oleh kerajaan Malaysia.

Bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.Begitulah hebatnya seni ukiran kayu Melayu yang dahulunya hanya menjadi penghias istana lama namun kini telah mencapai tahap bertaraf dunia meneroka jauh ke negara luar.

Masyarakat kini juga dilihat lebih gemar memilih kelengkapan rumah yang diperbuat daripada seni ukiran kayu malah ada juga lebih selesa membina rumah yang diperbuat daripada kayu di tengah-tengah bandar.Perubahan kehendak masyarakat kini yang lebih obses terhadap seni ukiran kayu menjadikan seni ini semakin mendapat tempat di pasaran.Baru-baru ini wartawan Utusan Malaysia berkesempatan mengunjungi sebuah perusahaan adik-beradik seni ukiran kayu ini di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung, Marang.

Menjengah sahaja ke pekarangan rumah pengukir ini, kelihatan pelbagai produk ukiran kayu hasil seni tangannya dapat dilihat seperti katil, gerbang, almari, kerusi, meja dan hiasan lampu yang sungguh halus ukirannya.Maka tidak hairanlah jika ukiran perusahaan ini turut menjadi penghias di beberapa tempat bersejarah seperti di Muzium Negara dan istana.Syarikat yang diberi nama Warisan Seni Ukiran Kayu ini beroperasi sejak tahun 1991, bermula dengan hanya sebuah bengkel kecil yang dibina bersebelahan rumah mereka.Namun bermula tahun 2000, tiga daripada lapan adik-beradik ini telah mula mengembangkan perusahaannya sehingga dikenali serata negara.

Menurut Nasir Ismail, 32, perusahaan ini dimulakan oleh abangnya, Amran, 39, yang pada awalnya belajar mengukir hanya sekadar minat kerana melihat rakan-rakannya juga mahir mengukir.Katanya, abangnya mula belajar di peringkat awal di Kampung Raja, Besut ketika umurnya 19 tahun dan ukiran pertamanya ialah 'cembung pintu' (hiasan ukiran yang diletakkan di pintu)."Dia amat meminati seni ukiran kayu dan berusaha untuk mempelajari seni itu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya kini."Kemudian dia pula mengajar kami adik-beradik agar dapat membantu dia untuk mengukir jika menerima banyak tempahan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjai Bongkok baru-baru ini.Apa yang menarik perhatian, walaupun seni pembuatan ukiran ini amat rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi namun tidak sedikit pun riak wajah Nasir bosan dengan kerjayanya itu.

Menceritakan pengalamannya dalam bidang tersebut, ujar Nasir, dia mengambil masa selama setahun untuk mahir dalam seni ukiran berkenaan.Jelasnya, cabaran yang paling besar untuk menghasilkan sesebuah ukiran kayu ialah mengawal kekuatan mental dan fizikal.Ujarnya, apabila seseorang mula mengukir, cuaca panas, habuk, badan letih menjadi faktor utama sesebuah ukiran tidak dapat dibuat dengan baik."Biasanya untuk menyiapkan cembung pintu akan mengambil masa selama seharian dan sekiranya dilakukan tanpa henti tangan akan menjadi kebas dan menyukarkan ukiran dibuat.

"Selain itu, ukiran berbentuk bunga empat dimensi yang memerlukan ketelitian juga memerlukan kesabaran yang tinggi."Kadang-kadang jika terlalu banyak permintaan, kami juga terpaksa menolak tempahan kerana tidak cukup kakitangan memandangkan kami hanya mempunyai sembilan orang tukang dan hanya dua pengukir," ujarnya.Tambah Nasir, dia mengakui produk ukiran kayu sememangnya mempunyai harga yang mahal berbanding produk lain kerana kesukaran untuk membuatnya.

Namun, jelasnya, ia tidak menjadi penghalang untuk masyarakat semakin menggemari produk tersebut.Katanya, ketahanan produk yang diperbuat daripada kayu menjadi sebab utama ia kian diminati."Bagi menghasilkan produk ukiran kayu, hanya beberapa jenis kayu sahaja yang boleh digunakan seperti cengal, seraya dan berawang."Kayu-kayu ini jenis yang tahan lasak dan sukar di makan anai-anai."Bagi mereka yang berminat, di sini mereka boleh menempah produk ukiran kayu dari serendah RM5 sekeping dan lazimnya harga sesebuah ukiran ialah RM120 untuk sekaki serta mengikut jenis ukiran ," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

RM1.2j latih bumiputera ceburi perniagaan

KENINGAU 7 Okt. - Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi menyediakan kursus dan latihan kepada golongan bumiputera yang berminat untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Ramli Alan berkata, antara kursus dan latihan yang ditawarkan adalah pembuatan kek lapis, menjahit langsir, cadar dan kusyen.Selain itu katanya, Sedcovest selaku pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan program itu akan memperluaskan latihan berkenaan meliputi bidang kejuruteraan awam dan Skim Usahawan Siswazah pada masa akan datang.''Oleh itu kita sangat berharap belia dan beliawanis bumiputera merebut peluang ini sebagai salah satu cara untuk meningkatkan ekonomi diri dan keluarga," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Jahitan Langsir, Cadar dan Kusyen di Hotel Perkasa di sini hari ini.Seramai 28 usahawan dan bakal usahawan mengikuti kursus selama tiga hari itu.Hadir sama Pengurus Latihan Usahawan Sedcovest, Jusli Potoh, Ketua Peserta, Rojiah Saion dan jurulatih bengkel jahitan, Dayang Aisah Jaimi.Ramli berkata, pelatih kursus perlu berani memulakan perniagaan sebaik menamatkan latihan.

Katanya, kegagalan tidak dapat dielakkan tetapi keberanian untuk mengatasi kegagalan itu amat diperlukan untuk berjaya dalam perniagaan.Beliau menambah, untuk memulakan perniagaan tidak semestinya memerlukan modal besar.''Mungkin peringkat awal kita sasarkan ahli dalam keluarga sebagai pasaran produk, kemudian kita perluaskan di peringkat kawan-kawan dan kenalan. Selepas itu di peringkat kampung dan seterusnya," katanya.Ramli berkata, beberapa institusi kerajaan ada menawarkan pinjaman bagi membolehkan golongan bumiputera memulakan perniagaan.''Tetapi selepas sudah mendapat pinjaman jangan lupa tanggungjawab untuk membayar balik," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Produk Hidayah Cookies tambat hati pelanggan


Sarimah Jantan bersama produk makanan yang dihasilkan oleh Hidayah Cookies.

SELAIN kuih raya moden, sambutan Aidilfitri pastinya kurang meriah tanpa kehadiran kuih tradisional yang masih mendapat sambutan baik pelbagai golongan masyarakat.

Kuih tradisional seperti semperit, dodol, kuih bangkit dan baulu pasti akan menjadi hidangan wajib bagi menjamu tetamu yang datang bertandang ke rumah.Penerimaan berterusan kuih tradisional tersebut adalah mungkin disebabkan oleh rasanya yang sedap dan ia boleh disimpan untuk jangka masa lama.Mengambil contoh dodol, kuih itu kini tidak hanya dimakan ketika musim perayaan sebaliknya permintaan terhadap produk makanan itu terus meningkat walaupun pada hari-hari biasa.Malah, hari ini kita dapat melihat dodol semakin mudah untuk diperolehi dari kedai-kedai dan juga pasar raya-pasar raya utama.

Sambutan baik itu terhadap kuih tradisional telah mendorong Sarimah Jantan, 45, untuk menjalankan perniagaan produk tersebut secara komersial.Mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai guru tadika pada tahun 1990, beliau kemudiannya menceburkan diri dalam bidang perniagaan.“Setelah berhenti, saya cuba melibatkan di dalam bidang jahitan dan alhamdulillah saya menerima pendapatan sekitar RM300 hingga RM1,000 sebulan.“Disebabkan menjahit memerlukan komitmen dan tenaga yang tinggi, saya akhirnya memilih untuk menjual produk makanan bermula tahun 2000,’’ katanya ketika ditemui di kedainya di Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam, baru baru ini.

Ketika itu, beliau menjalankan perusahaan membuat kerepek, roti, kek dan dodol di rumahnya yang terletak di Seksyen 24, Shah Alam.Sambutan baik yang diterima mendorong beliau membina kilang memproses di Seksyen 36 dan operasi di sana telah dimulakan pada tahun 2003.Dengan kos sebanyak RM30,000, beliau telah membina bangunan kilang, membeli peralatan dan ketuhar serta menubuhkan syarikat di bawah penjenamaan Hidayah Cookies.Bermula tahun 2004, operasi perniagaannya terus berkembang melalu penerimaan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian sebanyak RM10,000.

Dana itu digunakan untuk membeli beberapa buah lagi ketuhar, peralatan lain seperti meja dan juga peti dingin beku.“Bagi memperkembangkan produk makanan ini, saya cuba pula menghasilkan piza dan juga biskut coklat cip,’’ jelasnya.Beliau memberitahu, biskut tersebut serta dodol merupakan antara produk yang mendapat permintaan tinggi sepanjang tahun.Malah, dodol yang dihasilkan syarikatnya juga pernah beberapa kali menerima penganugerahan pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) tahun 2008 dan 2009 serta program Hari Selangor Ria.Penganugerahan tersebut diterima berdasarkan kualiti terbaik kuih dodolnya yang tidak keras, tidak begitu manis, tidak melekat dan tahan lama.

Apa yang menarik, dari segi pembungkusan, syarikatnya telah mendapat bantuan Sirim Berhad untuk mereka bentuk kotak dan label yang menarik.Untuk mengekalkan kualiti dodolnya, beliau mempunyai petua dan cara tersendiri ketika menyediakan makanan tersebut. Antaranya adalah seperti menggunakan air bertapis serta memasak mengikut langkah yang teratur dan sempurna.Selain itu, faktor kebersihan dan penggunaan teknologi moden juga memainkan peranan penting ketika proses pembuatan.Bagi produk biskut coklat cip, ramai pelanggan menggemarinya kerana rasanya yang sedap dan rangup.Untuk musim perayaan tahun ini sahaja, syarikatnya telah mengeluarkan lebih 40 guni biskut coklat cip dengan setiap satu daripadanya mempunyai berat 25 kilogram (kg).

Beliau turut bercadang untuk menghasilkan beberapa lagi jenis biskut seperti oat, nestum dan badam pada masa hadapan.Bagi menarik perhatian pelanggan, pihaknya juga ada menyediakan hamper dan menerima tempahan untuk majlis perkahwinan.Dari segi pemasaran , beliau banyak menyertai kempen promosi pengusaha industri kecil dan sederhana yang dijalankan oleh pelbagai jabatan kerajaan.Antaranya adalah seperti pasar tani di sekitar Shah Alam, Serdang, Bandar Kinrara dan Putrajaya serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Beliau turut mengambil pendekatan dengan menjual produk-produknya ke sekolah-sekolah di sekitar Selangor, memasuki pasar raya besar terkenal serta menerima tempahan daripada pemborong dari seluruh semenanjung.Selain Jabatan Pertanian, beliau turut mendapat bantuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi semasa kewujudannya.

Dalam memastikan perniagaan beliau berjaya dan berjalan lancar, pelbagai cabaran telah beliau ditempuhi seperti pernah ditipu dan bekerja tidak tentu masa.“Walaupun saya mempunyai 12 orang pekerja untuk membantu menguruskan perniagaan, namun saya tetap perlu turun padang memantau keadaan tempat pemprosesan pada masa-masa tertentu,’’ katanya.Sepanjang berkecimpung dalam bidang perniagaan tersebut, ibu kepada empat orang anak itu mendapat dorongan serta bantuan daripada suami dan juga adik beradiknya.Untuk perancangan pada masa hadapan, beliau bercadang memperluaskan pasaran produknya ke Sarawak, Sabah, Brunei dan Singapura.

Maklumat mengenai kesemua produk syarikat Hidayah Cookies boleh diperolehi daripada laman blog hidayahcookies.blogspot.com atau hubungi talian 03-33632720.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kupas kelapa lebih pantas guna mesin


MESIN kupas kelapa yang bakal memberi banyak kemudahan kepada penanam.

MUSIM perayaan menjadikan suri rumah sibuk memasak juadah, termasuk yang menggunakan kelapa sebagai ramuan. Justeru, penggunaan mesin adalah penting, apatah lagi dalam industri pemprosesan kelapa dalam jumlah yang besar.

Kaedah tradisional mengupas kelapa secara ringkas yang diamalkan oleh petani dengan mengunakan parang, cangkul dan besi pengupas kelapa telah menyekat produktiviti.

Petani dibayar RM50 untuk setiap 1,000 kelapa yang telah dikupas dan RM35 untuk penuaian buah kelapa di ladang.

Jika petani memperoleh buah kelapa dari ladangnya, ia dibayar sebanyak RM240 untuk setiap 1,000 buah kelapa yang belum dikupas.

Oleh sebab masalah yang dihadapi oleh petani dan juga kekurangan buruh untuk mengupas kelapa, maka sebuah mesin baru telah direka bentuk oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengupas kelapa.

Penerangan teknologi / reka cipta

Mesin ini menggunakan enjin berkuasa lima kuasa kuda yang menjana pam hidraulik. Pam tersebut seterusnya akan memindahkan tenaga kepada dua aci bergigi yang mempunyai 33 gigi pada setiap aci.

Kedua-dua aci diletakkan dalam keadaan selari pada kedudukan 45 darjah dari tapak mesin. Kedua-duanya akan berputar dalam keadaan arah yang berlawanan untuk menanggalkan sabut serta mengasingkannya daripada tempurung kelapa.

Kedudukan kerangka telah dibentuk untuk memudahkan kelapa dan sabut diasingkan secara graviti iaitu sabut akan jatuh pada sebelah dalam dan kelapa yang telah ditanggalkan sabutnya akan jatuh pada sebelah luar secara automatik.

Mesin ini boleh dikendalikan oleh seorang operator yang tugasnya adalah untuk memasukkan kelapa ke dalam mesin. Mesin ini dapat mengupas kelapa pada kadar tujuh hingga lapan saat sebiji iaitu bersamaan dengan anggaran 350 biji untuk sejam.

Tahap efektif pengendalian mesin ini ialah 92.5 peratus untuk kelapa tua dan 90 peratus untuk kelapa yang sudah matang (kulit kelapa hijau).

Ciri-ciri unik reka cipta

Mesin ini mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kelebihannya tersendiri, berlainan dengan mesin yang yang telah digunakan di ladang-ladang masa kini.

lSenang dibawa dan dipindahkan ke mana-mana kerana mesin ini tidak menggunakan kuasa elektrik

lKos penyelenggaraan yang rendah dan boleh didapati dari bengkel tempatan

lBoleh dikendalikan secara berterusan

lDilengkapi dengan lengan pemegang keselamatan untuk menghentikan mesin pada masa kecemasan

lDilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk melindungi operator daripada kemalangan.

Kebaikan penggunaan mesin

Mesin ini amat berguna kepada petani, peladang dan kilang memproses kelapa. Ia dapat beroperasi dengan kadar yang lebih cepat dan dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh.

Kesan pada ekonomi

Penggunaan mesin ini dijangka dapat menambahkan pendapatan petani melalui penjualan kelapa kerana petani tidak perlu lagi menanggung kos bagi mengupas kelapa yang sebelum ini dilakukan oleh pihak lain.Proses pengupasan kelapa boleh dipusatkan di suatu tempat pengumpulan yang dapat menguruskan pengupasan kelapa. Di samping itu, sabut kelapa juga dapat diuruskan dengan lebih cekap dengan cara memprosesnya kepada produk yang berguna.

Potensi komersial

Mesin ini mempunyai potensi bagi kilang memproses kelapa dan pusat pengumpulan bahan kelapa. Mesin ini juga dapat meningkatkan pendapatan petani menerusi penjualan kelapa yang telah dikupas kepada pusat pembelian kelapa. Petani juga tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja untuk mengupas kelapa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Jambu 88: Dari jual tepi jalan ke konsep francais


Harlina Hamid dan Azahari Zakaria (kiri sekali) mengendalikan salah sebuah gerai jambu 88 yang dikembangkan berdasarkan konsep francais di Petaling Jaya, baru-baru ini.

PETALING JAYA 4 Okt. - 'Usaha tangga kejayaan', pepatah tersebut amat sesuai untuk menggambarkan ketekunan sepasang suami isteri berniaga jambu tepi jalan mengharungi pelbagai rintangan dalam mencapai kejayaan dalam hidup.

Bermula pada tahun 2007 dengan hanya berbekalkan motor roda tiga dan tanpa lesen perniagaan, beliau gigih berusaha menjaja ditepi jalan sekitar Taman Medan Petaling Jaya dan juga Puchong.Tetapi hari ini, Azahari Zakaria atau Atan boleh tersenyum gembira setelah perniagaan berasaskan jambu yang diusahakan selama tiga tahun membuahkan hasil kepada yang lumayan.

Kesenangan bukan datang bergolek, menurutnya dalam mencapai kejayaan tersebut pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi dan diharungi beliau.

Kini beliau boleh berbangga dengan memiliki 11 buah lori serta dua buah pusat stokis yang menunjukkan usaha beliau dalam mencapai kejayaan tanpa pinjaman dan bantuan dari mana-mana pihak.Beliau dan isterinya, Harlina Hamid bukan hanya berjaya memajukan diri mereka bahkan juga menjadi pembimbing kepada peniaga kecil-kecilan untuk belajar berniaga dengan mereka.Dengan menggunakan konsep rakan niaga, syarikat Jambu Lapan Lapan Sdn. Bhd. milik mereka memberi peluang kepada peniaga dengan menyediakan peluang perniagaan menggunakan jenama mereka.Pengarah Urusannya, Azahari Zakaria berkata, pelan perniagaan yang baik serta peluang berniaga juga diwujudkan bagi memberi peluang kepada mereka yang ingin menceburi bidang ini.''Konsep rakan niaga diperkenalkan dengan mengadaptasi dari ciri-ciri francais dimana peserta yang ingin menjadi rakan niaga akan dibekalkan dengan segala peralatan bagi memulakan perniagaan,'' jelasnya.Pengarah Eksekutifnya, Harlina Hamid pula berkata, setiap peserta yang ingin menjadi rakan niaga akan dikenakan RM5,000 termasuklah peralatan, kursus penyediaan makanan serta pengurusan kewangan.Menurutnya, nilai tersebut sebagai pusingan modal kepada rakan niaga kami bagi membolehkan mereka mendapatkan barangan seperti jambu dan kordial jambu untuk diniagakan.Azahari berkata, setiap rakan niaga diberi peluang sama rata dan keuntungan adalah mengikut kerajinan dan jualan mereka.

Menurutnya, rakan niaga juga berpeluang untuk meningkatkan diri mereka dengan membuat sewa beli lori dengan syarikat yang mana memudahkan perniagaan mereka berpindah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.Buat masa sekarang, syarikat mempunyai seramai 158 orang rakan niaga di seluruh negara dan paling ramai adalah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Azahari berkata, kebanyakan rakan kongsi masih lagi menggunakan meja lipat ditepi jalan dan masa operasi bergantung kepada mereka.''Kami mencadangkan masa operasi dari pukul 10 pagi hingga 7 petang tetapi bergantung juga dengan kawasan tersebut dan mengikut kesesuaiannya,'' katanya.Produk yang dijual merupakan jambu potong dan jus jambu yang menggunakan 100 peratus pati jambu yang di kisar dan dilakukan sendiri di kilangnya di Taman Medan.Semua bahan mentah perniagaan seperti jambu, asam dan pati jus boleh didapati di stokis yang sekarang syarikat mempunyai dua buah stokis di kawasan tengah dan utara.

Bagi kawasan tengah, rakan niaga boleh mengambil bahan mentah mereka dari stokis di Petaling Jaya manakala bagi kawasan utara di pejabat dan stokis di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

''Buat masa sekarang kami hanya mempunyai dua stokis dan diharapkan akan bertambah pada masa hadapan dan diceburi oleh rakan-rakan niaga kami,'' katanya.Apabila ditanya tentang cabaran yang dihadapi, Azahari berkata, biasanya masalah timbul daripada kerenah majlis perbandaran tempatan.Menurutnya, sebagai peniaga kecil, masalah kawasan yang tidak sesuai, kebersihan dan gangguan dikawasan setempat menyebabkan perniagaan kami sering di terganggu.Jambu Lapan Lapan Sdn. Bhd. boleh dihubungi melalui talian 03-77858588 atau layari laman web www.jambu88.com.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Menjadi tarikan pelancong asing

Kerepek Masri bukan hanya terkenal kalangan penduduk kampung malah kerepek dan produk jenama itu dikenali hingga ke Brunei.




SERIBU langkah itu bermula daripada langkah pertama. Itulah kata-kata perangsang kemajuan perniagaan MHP Enterprise milik pasangan suami isteri, Punari Salleh dan Mastura Senon bersama anak sulung mereka, Musleha.Menjalankan perniagaan berasaskan perusahaan makanan ringan dari sumber daripada sumber pertanian, pasangan itu sepakat mengambil singkatan nama Mastura dan Punari. Maka, wujudlah Masri sebagai jenama pada produk makanan yang mereka hasilkan.Cerita insan tabah yang membangunkan MHP Enterprise itu, semua yang dimiliki hari ini bermula dengan perniagaan pertanian secara kecil-kecilan di pasar tani.

"Berkat kesabaran yang tinggi, perniagaan ini sudah berkembang sampai ke tahap ini. MHP Enterprise dibangunkan dengan modal RM10,000. Pada masa itu, modal saya gunakan hanya untuk beli, bungkus dan pasarkan jualan."Semua kerja juga dijalankan secara tradisional. Tidak ada mesin mahupun tenaga kerja yang ramai untuk bangunkan perniagaan ini," ujar Punari dengan loghat jawa yang pekat ketika ditemui di kilang MHP Enterprise, Sekinchan, Kuala Selangor, baru-baru ini.Usaha gigih pasangan itu menerusi perniagaan kerepek telah membuka mata pihak tertentu untuk sama-sama membangunkan perusahaan tersebut.Pada peringkat awal perniagaan itu, Punari memasarkan produk ke pasar tani yang diwujudkan oleh FAMA di sekitar Lembah Klang."Waktu itu, pendapatan syarikat yang disumbangkan oleh pasar tani ialah 70 peratus dan pusat jualan di Parit 7 Sungai Leman hanya 30 peratus."Tetapi kini peratusan pendapatan itu dah terbalik. Ia menunjukkan perkembangan yang cukup memberangsangkan," kata Punari.

Cabaran

Bagi Punari, tidak ada istilah putus asa dalam mengusahakan perniagaan. Malah, baginya setiap turun naik dalam perniagaan memberikan cabaran tersendiri.


DUA orang pekerja wanita sibuk meletakkan adunan kuih ke dalam acuan.


Katakan apa sahaja jenis cabaran. Semua dihadapi dengan tabah. Apa yang pasti sabar adalah resipi asas apabila terpaksa berdepan dengan kesukaran.Tanpa berselindung, Punari mendedahkan bahawa perniagaannya diuji dengan sikap pelanggan yang tidak membayar hutang, persaingan, kenaikan dan kekurangan bahan mentah yang menyebabkannya mengalami kerugian."Untuk berjaya dalam perniagaan, tiada jalan pintas. Kejayaan memerlukan masa, pengorbanan, kerajinan dan kreativiti," pesan Punari.

Buka peluang

Jelas Punari, tempat dia menjalankan perniagaan sekarang merupakan kawasan yang kaya dengan sumber bahan mentah. Sebab itulah Punari terus bertapak di sana.Selain itu, Punari juga berniat untuk membela nasib ibu tunggal di kampung berkenaan mencari rezeki.


PUNARI bersama anaknya, Musleha menunjukkan antara produk yang dihasilkan oleh syarikat MHP Enterprise.


Selain ibu tunggal, Punari ada mengambil pelajar dari beberapa kolej komuniti berdekatan untuk menjalani latihan amali."Saya juga pernah menerima seorang pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menjalankan sesi praktikal di sini. Saya juga asuh dia menjadi usahawan."Syukur, dia menunjukkan minat dan khabarnya bakal membuka perniagaan baulu di kampus pengajiannya," ujar Punari dengan bangga.

Bersara

Pada usia awal 50-an, Punari mengambil keputusan untuk bersara. Dia kemudiannya menyerahkan perniagaan yang dimulakan pada tahun 1992 itu kepada anak sulungnya, Musleha, 28.Sejajar dengan pekembangan perniagaan, Musleha yang memiliki Ijazah Kepujian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), tampil memberi inspirasi baru kepada MHP Enterprise.Apa yang membanggakan, sejak Musleha mengambil alih perniagaan bapanya, dia telah berjaya melonjakkan pendapatan kasar hingga RM2.3 juta. Musleha juga berusaha mendapatkan pengiktirafan halal daripada jabatan agama."Mula-mula nak ambil alih perniagaan ini saya rasa macam tak berapa gembira. Sebabnya, saya rasa lebih seronok kalau dapat kerja di syarikat antarabangsa dengan kelulusan yang ada."Tetapi, lepas beberapa bulan bekerja, saya rasa seronok. Bukan sahaja dapat mewarisi perniagaan malah, boleh mendapat pendapatan dan aset yang tak mampu saya dapat kalau kerja makan gaji dengan orang lain,"ujarnya.Justeru, Musleha meneruskan usaha mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.


PRODUK keluaran MHP semakin mendapat tempat di pasaran tempatan.

Buktinya, Musleha berjaya memasarkan kerepek jenama Masri ke dalam pasar raya besar seperti Giant."Jenama ini juga sudah dikenali di Brunei sehingga ada orang Brunei yang datang ke Kuala Selangor semata-mata untuk membelinya," katanya.Musleha kini menguruskan perniagaan dengan bantuan lebih 40 orang kakitangan tetap dan sementara.

Tarikan pelancong

MHP Enterprise menjadi antara perusahaan yang berjaya di kampung berkenaan. Ia kini menjadi salah satu lokasi kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.


PENGELUARAN kerepek Masri dibantu oleh mesin berteknologi tinggi.


Antara pusat pelancongan yang membawa pelanggan melawat MHP Enterprise termasuklah Hotel De Palma Kuala Selangor, homestay Sungai Sireh, homestay Parit 7 Sungai Leman dan homestay Sungai Haji Dorani.Tidak ketinggalan peserta kursus Institut Perakaunan Negara, Kemas, Perhebat, FAMA, Perkim, Intan, PDRM, Jabatan Pertanian serta pelajar pusat pengajian tinggi.Pelancong asing yang pernah melawat kilang Masri termasuklah dari Iran, Belanda, Indonesia, Perancis, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Singapura, Myanmar dan Thailand.Begitulah kehebatan aura perusahaan Masri."Kalau datang ke Kuala Selangor, orang mesti cari Masri. Alhamdulillah... kami akan terus memberi yang terbaik kepada pelanggan,"tambah Musleha.

Masa depan

Menurut Musleha, MHP Enterprise menyasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan pada masa akan datang. Tidak sekadar cawangan, kualiti produk juga akan ditingkatkan."Kami akan menjalankan penyelidikan bersama FAMA, SIRIM dan MARDI dengan matlamat untuk memasarkan produk Masri ke pasaran global,"katanya yang tidak pernah ketinggalan untuk menyertai pelbagai pameran makanan di Kuala Lumpur.


MHP Enterprise kini menjadi salah satu lokasi kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.

Harapan Punari, Mastura dan Musleha, semoga MHP Enterprise terus maju. Menurutnya, kejayaan bukanlah destinasi, tetapi satu perjalanan yang mesti diiringi dengan usaha demi membangunkan ekonomi."Kami juga mahu membangunkan ummah lebih gemilang pada masa hadapan," akhiri Musleha.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments