Peluang Bisnis Baru ..

JIKA dilihat sosok tubuh dan gaya Jennifer Chung, mungkin ramai yang tidak menyangka dia sebenarnya seorang perisik yang sedang mengintip pesalah undang-undang.Setiap pagi, selepas suri rumah dari Korea Selatan itu menghantar dua anak lelaki ke sekolah dan mengurus suaminya ke tempat kerja, dia akan bersiap-siap untuk mencari pesalah yang terdiri daripada guru sekolah yang tamak, pengusaha restoran dan pemilik salon kecantikan."Sesetengah mereka dikenakan tindakan kerana mengenakan yuran tusyen yang melebihi had, tidak mendedahkan bahan pada menu yang dihidangkan atau menyediakan rawatan kecantikan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang doktor.

"Mereka ini ialah pesalah undang-undang. Saya perlu bukti untuk melaporkan kepada pihak berkuasa," kata Chung, 54, sambil menunjukkan kamkoder yang disembunyikan dalam beg duitnya yang dilengkapi lensa kecil di celah-celah lubang.

Dalam misi penyamaran yang tipikal, Chung akan berlakon seperti pelanggan biasa dengan merakam perbualan atau adegan-adegan yang melanggar undang-undang. Kemudian, dia akan menghantar rakaman video itu kepada pihak berkuasa.Dia akan mendapat bayaran dalam bentuk tunai bagi setiap kes daripada pelbagai jabatan kerajaan dan jumlah ganjaran yang diterima dalam sebulan boleh mencecah lebih 2 juta won (RM5,400) sebulan.

Ganjaran perisik


ANTARA alatan yang digunakan paparazi suri rumah ketika melakukan kerja-kerja penyiasatan.


Ramai rakyat Korea Selatan terutama golongan wanita umur pertengahan menjadi perisik atau lebih dikenali sebagai paparazi berbanding hidup sebagai orang kaya dan terkenal.Bilangan mereka semakin bertambah dan sumber pendapatan hanya dengan membuat rakaman video pesalah kecil undang-undang yang terdiri daripada penduduk Korea sendiri.Ketika pihak kerajaan berterusan menambah ganjaran kepada perisik, sekolah-sekolah yang memberi tunjuk ajar cara-cara mengintip pesalah turut berkembang.Sekolah-sekolah seperti itu mengajar para pelajarnya kaedah-kaedah untuk menghendap mangsa supaya perbuatan mereka dapat dirakam, malah turut berkongsi rahsia untuk berlakon sebagai orang tidak bersalah supaya tidak dicurigai.

"Bidang ini telah menjadi industri yang menguntungkan. Ada orang menjadikannya sebagai pekerjaan tetap," ujar pengasas sekolah paparazi di Seoul, Mismiz, Moon Seung-Ok.

Katanya, bilangan pelajarnya bertambah ketika keadaan ekonomi perlahan dan ramai suri rumah mencari jalan untuk menambah pendapatan keluarga.Seung-Ok juga merupakan seorang paparazi berpengalaman. Beliau menyiasat pelbagai jenis kes iaitu daripada pemandu yang melanggar hadlaju sehingga kepada pengedar dadah.Tambahnya, para perisik bertugas membantu pihak berkuasa dan polis yang kekurangan kakitangan malah ada yang bekerja lebih masa untuk menguatkuasakan undang-undang."Terdapat individu yang menuduh kami tiada hati nurani malah ada yang mengatakan kami sebagai pengkhianat. Mencari duit dengan mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain," ujar Seung-Ok kepada pelajar-pelajarnya yang rata-rata berumur dalam lingkungan antara 40 dan 50-an.Tetapi ujarnya, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan tuduhan-tuduhan seperti itu."Mereka adalah penjenayah yang membuat keuntungan dengan melanggar undang-undang!" tegas Seung-Ok yang menggambarkan pekerjaan sebagai perisik sebagai tugas patriotik dan bermanfaat.

Pusat tuisyen


MOON (tengah) memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajarnya mengenai cara menyiasat dengan betul.


Kesalahan yang sering menjadi sasaran di negara yang obses dengan pendidikan itu adalah berkaitan dengan pemilik pusat tuisyen. Antara kesalahan mereka ialah mengenakan caj yang berlebihan dan menjalankan sesi pembelajaran sehingga lewat malam.

"Ia adalah kesalahan yang paling popular kerana pengusaha pusat tuisyen yang tamak ada di mana-mana sahaja. Para suri rumah dengan mudah berlakon seperti ibu bapa biasa yang bertanyakan yuran pembelajaran," terang Seung-Ok.

Menurut laporan kementerian pendidikan Korea Selatan, pihak mereka telah membayar sejumlah 3.4 billion won (RM9.25 juta) sebagai ganjaran sejak sistem tersebut diadaptasi pada bulan Julai 2009 lalu.

Ramai pengkritik berpendapat perisik-perisik menjadikan ia sebagai perniagaan kerana perlu bertahan untuk hidup dalam saat-saat ekonomi yang sukar.

Jurucakap persatuan pengusaha pusat tuisyen Korea Selatan, Cho Young-Hwan menggelar mereka sebagai pemangsa tidak berperikemanusiaan kerana telah menyebabkan banyak pusat-pusat tuisyen kecil ditutup.Ujarnya, banyak pusat tuisyen ditekan oleh ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka tekun belajar menyebabkan ia terpaksa membuka kelas sehingga larut malam walaupun itu merupakan larangan kerajaan.Seorang lagi pengkritik, Professor undang-undang di Universiti Kebangsaan Jeju menyifatkan situasi tersebut amat merisaukan.

"Paparazi ini akan membuat perangkap dan tidak sabar-sabar menunggu orang melanggar undang-undang. Amalan seperti ini hanya menyuburkan sikap saling tidak mempercayai sesama ahli masyarakat," keluh Oh lagi. -

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: