Memodenkan industri pertanian

ROHAMI SHAFIE

SETIAP kali bajet tahunan diumumkan oleh kerajaan, peruntukan untuk bidang pertanian tidak pernah dilupakan. Bagi Bajet 2010, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM6 bilion untuk sektor pertanian negara.Jumlah ini diagihkan untuk infrastruktur pengairan, industri akuakultur, industri tanaman makanan, penternakan lembu dan kambing serta latihan dan bimbingan bagi program inkubatorAtas dasar ini, para petani dan penternak dan pemain-pemain industri pertanian seharusnya mengambil peluang untuk meningkatkan lagi pendapatan melalui pelbagai strategi ampuh.Pertama, bidang pertanian perlu diperkasa, dimoden dan dimajukan serta diberi suntikan segar dengan menggunakan sumber yang ada bagi mendatangkan hasil lebih lumayan. Selama ini, terdapat 'mitos' dan tanggapan salah bahawa pertanian tidak mempunyai masa depan.

Sebenarnya, pertanian merupakan satu perniagaan yang boleh dikomersialkan jika ia dilakukan dengan skala besar.Industri pertanian di Malaysia mempunyai masa depan cerah dengan pelbagai bantuan oleh kerajaan seperti benih dan baja berkualiti tinggi serta Malaysia memiliki cuaca yang amat baik untuk sektor pertanian. Bayangkan, Perlis sebuah negeri yang kecil di Malaysia mampu memberi pulangan yang lumayan dalam industri pertanian seperti pengeluaran buah mempelam harum manis yang cukup terkenal di seluruh Malaysia.

Industri buah itu merupakan keistimewaan Perlis. Ia dimajukan dengan skala besar dan menjana pendapatan rakyat.

Kedua, industri pertanian berskala besar memerlukan teknologi canggih. Maka, pemain-pemain industri ini hendaklah sentiasa mengemas kini ilmu. Umpamanya, perkongsian strategik di antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Benefiq Pte. Ltd., anak syarikat Kumpulan Glon - pemasar hasil pertanian utama Perancis.

Peluang ini perlu direbut oleh pemain-pemain industri pertanian untuk membangunkan perniagaan makanan pertanian menggunakan teknologi moden. Teknologi canggih akan mengurangkan kos, meningkatkan hasil pertanian dan memudahkan kerja-kerja pertanian.

Ketiga, aspek yang tidak kurang pentingnya ialah kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dalam memodenkan dan memajukan industri pertanian. Contohnya, penubuhan konsortium di antara FELDA, FELCRA dan RISDA membolehkan satu perkongsian strategik yang mampu merealisasikan kerjasama dengan skala besar.

Sekali lagi, kebaikannya mampu dinikmati oleh seluruh pemain-pemain industri pertanian untuk setiap rantaian nilai bermula dari peringkat tanaman sehinggalah ke peringkat pemasaran. Cili, terung, bunga kantan dan pisang antara sebahagian kecil tanaman yang mempunyai prospek yang amat besar untuk dimajukan dengan skala besar.

Tanaman sebegini bukan sahaja boleh dijual dan dipasarkan di pasar-pasar tani bahkan mampu dieksport di luar negara. Apa yang penting ialah memastikan kualiti tanaman ini agar mampu menebusi pasaran luar negara.

Selain itu, peluang dalam industri pertanian yang mempunyai nilai tinggi seperti rumpai laut, sarang burung walit dan penternakan industri udang juga patut direbut. Penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga ditagih bagi mentransformasikan industri pertanian sebagai industri yang menjana pendapatan negara dan rakyat.Kewujudan mekanisme rantaian nilai yang mantap, mapan dan menyeluruh dalam industri pertanian bakal memberi manfaat yang melimpah ruah, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.Ia akan membantu menambah pendapatan dan memperkukuhkan ekonomi dengan mengurangkan import.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,Perakaunan dan Kewangan,Kolej Perniagaan (COB), UUM

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: