Asiah hasilkan produk dingin beku


PRODUK dingin beku yang semakin mendapat tempat di hati pengguna.

BUKAN memberi alasan tetapi memang hakikatnya kebanyakan wanita yang bekerja tidak mempunyai masa bagi menyediakan hidangan keluarga. Apalagi hendak membuat kuih-muih untuk sarapan, minum petang dan sebagainya.

Senario membeli sarapan seperti nasi lemak dan kuih-muih di gerai merupakan perkara biasa dan ramai memahami situasi tersebut.

Terdapat juga yang awal-awal telah menelefon restoran tom yam atau mamak meminta dihantarkan lauk-pauk dan nasi kepada anak-anak di rumah yang baru pulang daripada sekolah.

Namun, bagi wanita yang menghadapi masalah sedemikian mungkin dengan adanya banyak jenis makanan segera dingin beku, keadaan ini boleh diatasi.Pelbagai jenis makanan segera dingin beku boleh dibeli dan disimpan di dalam peti sejuk di rumah. Apabila hendak dimakan, keluarkan dan goreng atau masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro, hidangan telah pun siap untuk suami dan anak-anak.Pakar masak yang telah lama berkecimpung dalam dunia masakan, Asiah Hashim tidak pernah puas bagi menghasilkan jenis-jenis makanan bagi memenuhi kehendak wanita masa kini.

Bermula dengan menghasilkan biskut dan kek semasa musim perayaan, mengadakan kelas masakan yang mengajar pelbagai jenis makanan, terkini beliau menghasilkan pula makanan segera dingin beku.Semuanya bagi memudahkan wanita menyediakan hidangan keluarga. Dengan kata lain, wanita yang bekerja tidak akan berasa bersalah kerana tidak sempat menyediakan makanan bagi keluarga tersayang.Produk makanan segera dingin beku Asiah yang menggunakan nama Asiah Food & Beverage yang mula dikeluarkan tahun ini mendapat sambutan yang di luar jangkaan.

Pelbagai jenis makanan yang boleh diperoleh seperti murtabak lapis daging prima, murtabak lapis ayam prima, perencah mee bandung prima, pes asam pedas, karipap, samosa, cucur badak, otak-otak popia, apam aiskrim, kuah rojak dan acar buah.Semasa ditemui di kedainya di Taman Prima Saujana, Kajang, Asiah berkata, murtabak lapis daging dan ayam prima yang dikeluarkannya merupakan murtabak asli Singapura yang dipelajarinya daripada seorang pakar membuat murtabak.

"Paling disukai pelanggan ialah murtabak lapis daging prima. Hanya daging bermutu seperti daging batang pinang yang digunakan. Daging yang dikisar halus akan ditabur di atas murtabak dan di bahagian dalamnya. Bagaimanapun bagi mereka yang tidak menggemari daging boleh mendapatkan murtabak ayam,'' kata Asiah.

Beliau kini dalam proses bagi mengkomersialkan tiga jenis produknya iaitu murtabak lapis prima, perencah mee bandung dan pes asam pedas."Pes asam pedas juga begitu praktikal bagi wanita yang bekerja. Ini kerana mereka tidak perlu bersusah-payah menyediakan banyak jenis bahan seperti cili kering, belacan, daun kesum dan bawang bagi memasak asam tumis. Kadang-kadang bahan-bahan ini lebih mahal lagi daripada pes yang disediakan ini."Apa yang perlu dilakukan ialah bancuh pes bersama air dan didihkan. Masukkan ikan bersama perencah seperti tomato, bendi atau terung. Masukkan sedikit air asam jawa dan rasakan garam. Biar mendidih. Cara memasak ada disediakan pada bungkusan pes. Selain ikan, pes ini juga sesuai bagi ayam, daging dan sotong,'' ujar ibu kepada dua orang anak ini.

Beliau menambah, begitu juga dengan perencah mee bandung di mana pengguna hanya perlu menyediakan bahan asas seperti mee kuning, sawi, telur atau daging cincang. Bancuh perencah dan ikut aturan yang disediakan.

"Pengguna bukan sahaja dapat menyediakan hidangan mee bandung yang lazat untuk seisi keluarga pada hujung minggu malah boleh dihidangkan kepada tetamu yang tiba-tiba sahaja muncul di muka pintu,'' jelas wanita yang tidak pernah jemu mencuba sesuatu yang baru dalam bidang masakan.Kata Asiah, bagi yang berminat bagi mempelajari pelbagai jenis masakan seperti kek, biskut, puding, kuih talam, nasi lemak Istanbul, makanan dingin beku dan sebagainya, boleh menghadiri kelas masakan yang disediakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad daripada pukul 12 tengah hari hingga tiga petang.Kepada yang ingin menikmati murtabak, pes asam pedas, perencah mee bandung dan kuih-muih dingin beku boleh menghubungi Asiah di 016-2981280 atau emel asiahfoodbeverage@yahoo.com.my

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: