Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru berwajah baru

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru yang bermula dengan sebuah gerai 35 tahun dulu, hari ini tampil menerusi kafe pertamanya di Platinum Walk, Danau Kota di sini sesuai dengan gaya hidup masyarakat moden.Pengarah Shaha Corporation Sdn. Bhd., Abdul Halim Jamaludin berkata, ia bagi membolehkan lebih ramai peminat Nasi Lemak Antarabangsa menikmati makanan tersebut di luar Kampung Baru dalam keadaan yang lebih selesa.

Beliau berkata, selain membuka sebuah lagi kafe di Ampang Point di sini minggu depan, pihaknya menyasarkan untuk membuka 10 lagi kafe yang sama di Lembah Klang sepanjang tahun depan."Ia diikuti pembukaan cawangan Nasi Lemak Antarabangsa di luar negara pada 2011," katanya ketika berucap sempena perasmian Kafe Nasi Lemak Antarabangsa Danau Kota yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar.

Sementara itu, Noh dalam ucapannya berkata, kejayaan Shaha Corporation membuktikan usahawan bumiputera yang dibimbing mampu bersaing dengan orang lain."Pengusaha gerai yang ada pada hari ini perlu mengikut contoh kejayaan Nasi Lemak Antarabangsa yang mampu membuka kafe sendiri berkonsep moden," katanya.Kafe Nasi Lemak Antarabangsa di Platinum Walk menghidangkan lauk-pauk terkenalnya seperti sambal kerang, sambal sotong, ayam dan daging rendang.

Menu tambahan yang dihidangkan ialah mi rebus, mi kari, asam laksa, goreng pisang, kuih tradisional dan rojak buah.Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru bermula dengan perniagaan gerai yang diasaskan oleh ibu mertua Abdul Halim, Normi Tandoh di Jalan Raja Muda Musa pada 1973.Ia diilhamkan daripada kehadiran ramai pelanggan pelbagai bangsa dan budaya. Hari ini, ia disenaraikan oleh Pelancongan Malaysia sebagai destinasi yang harus dikunjungi pelancong.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: